Sunday, December 21, 2014

Strategi Asas Syi‘ah yang Keempat dan kelima

Adakalanya darjat hadis dinilai sahih dengan merujuk kepada pensahihan al-Hakim didalam kitabnya al-Mustadrak
Penjelasannya:
Di samping menyenaraikan sejumlah rujukan kitab hadis Ahl al-Sunnah sebagai bukti kebenaran hadis, Syi‘ahadakalanya mensahihkan hadis yang mereka kemukakan dengan merujuk kepada kitab al-Mustadrak karangan al-Hakim al-Naisaburi rahimahullah (405H), dengan menukil kata-kata beliau:“Hadis ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim tetapi tidak dikeluarkan oleh mereka berdua” atau apa-apa lain yang seumpama. Berdasarkan pensahihan al-Hakim ini, apatah lagi pensahihan yang berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim, Syi‘ah mengukuhkan lagi kedudukan hadis yang mereka kemukakan sebagai hujah ke atas Ahl al-Sunnah.
  
Jawapan Ahl al-Sunnah ke atas Strategi Asas Syi‘ah yang Keempat:

Penilaian hadis oleh al-Hakim hanya dapat diterima jika ia disemak dan dipersetujui oleh ahli hadis yang lain.
  
Mazhab Ahl al-Sunnah ialah mazhab yang berada di pertengahan dalam semua perkara: ia tidak melencong ke kanan dengan sikap keterlaluan dan tidak melencong ke kiri dengan sikap memperlecehkan. Apabila merujuk kepada seorang tokoh ilmuan, Ahl al-Sunnah juga memiliki jalan yang di pertengahan: mereka memuliakan dia tanpa mempertuhankannya dan bersikap adil dalam menilai kelemahannya – seandainya ada – tanpa menghinanya.

Mazhab Ahl al-Sunnah juga adalah mazhab yang dinamik, ia sentiasa mengkaji semula dan menyemak ulang sumber-sumber dan intipati pengajaran mereka, sama ada dalam bidang al-Qur’an,  hadis, fiqh dan sebagainya. Memang diakui ada segelintir yang menutup pintu-pintu kajian semula dan penyemakan ulang ini, namun tindakan segelintir yang jumud ini tidak boleh digeneralisasikan kepada semua Ahl al-Sunnah.

al-Imam, al-Hafiz, al-Allamah, Muhammad bin ‘Abd Allah al-Dhabiyyi – al-Naisaburi – al-Hakim Abu ‘Abd Allah – juga terkenal dengan gelaran singkat Ibn al-Bayyi’ 
(ابن البيع), ialah seorang anak murid kepada puluhan ahli hadis termasuk Ibn Hibban (354H) dan al-Daruquthni (385H), kemudiannya menjadi tokoh hadis pada zamannya, beralih kepada guru kepada para ahli hadis sesudahnya dan akhirnya menjadi sumber rujukan bagi para ilmuan sehingga masa kini. Karangan-karangan beliau menjadi sumber rujukan para ahli hadis, bahkan sebahagiannya menjadi dasar kepada standard ilmu hadis sesudahnya.[1]

Di antara sekian banyak kitab yang beliau karang, yang terbesar dan yang terakhir ialah kitab hadis al-Mustadrak ‘ala al-Shahihin. Tujuan al-Hakim menyusun kitab al-Mustadrakialah menghimpun hadis-hadis yang sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim, atau salah seorang daripada mereka, yang tidak mereka muatkan dalam kitab sahih masing-masing.[2] Al-Hakim telah menghimpun sebanyak 8803 hadis[3] berdasarkan tujuan di atas dan mensahihkannya mengikut beberapa tingkatan:[4]

1. Hadis yang sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.

2. Hadis yang sahih mengikut syarat al-Bukhari atau mengikut syarat Muslim. Iaitu kesahihannya hanya berdasarkan syarat salah seorang daripada mereka.

3. Hadis yang sahih tanpa disandarkan kepada al-Bukhari atau Muslim. Ini bererti hadis tersebut adalah sahih mengikut syarat al-Hakim sendiri.

4. Hadis yang tidak diberi apa-apa darjat. Kemungkinan bagi yang terakhir ini al-Hakim bermaksud untuk menilainya setelah selesai menyusun kitab al-Mustadrak. Akan tetapi ajal telah mendahuluinya sehingga dia tidak sempat untuk menunaikan maksudnya.

Akan tetapi kajian semula oleh tokoh-tokoh hadis selepas al-Hakim mendapati wujud beberapa percanggahan dalam pensahihan al-Hakim. Mereka dapati hanya sebahagian hadis yang darjatnya menepati pensahihan al-Hakim manakala selainnya tidak. Ada hadis yang dihukum sahih oleh al-Hakim berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim akan tetapi semakan semula mendapati ia tidak menepati syarat al-Bukhari dan Muslim. Demikian juga bagi hadis yang beliau sahihkan berdasarkan syarat salah seorang daripada mereka, atau berdasarkan syarat al-Hakim sendiri. Bahkan adakalanya di sebalik pensahihan tersebut, semakan semula mendapati hadis tersebut sebenarnya memiliki darjat dha‘if, sangat dha‘if sehinggalah ke darjat palsu (maudhu’).
Para ahli hadis ini kemudiannya mengusulkan beberapa faktor yang menyebabkan percanggahan ini:

Pertama:
Beliau seorang ahli hadis akan tetapi juga seorang Syi‘ah al-Rafidhah yang jahat.[5] Oleh itu disahihkan hadis-hadis yang tidak sahih bertujuan mencemari asas-asas Ahl al-Sunnah dan pada waktu yang sama membenarkan Mazhab Syi‘ah.
Pendapat ini dianggap lemah[6] malah ditolak oleh Ahl al-Sunnah. Ini kerana Mazhab Ahl al-Sunnah tidak menghukum seseorang melainkan pada amalan zahirnya. Amalan zahir al-Hakim tidak menunjuk atau mengisyaratkan apa-apa tanda bahawa beliau bermazhab Syi‘ahal-Rafidhah.
Kehadiran sejumlah besar hadis tentang keutamaan paraAhl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, khasnya ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husainradhiallahu ‘anhum tidak boleh dijadikan hujah bahawa al-Hakim bermazhab Syi‘ah kerana ketika menyusun bab tentang pengenalan dan keutamaan para sahabat (كتاب معرفة الصحابة), al-Hakim telah mendahulukan hadis-hadis tentang keutamaan Abu Bakar, kemudian ‘Umar bin al-Khaththab, kemudian ‘Utsman ibn Affan, kemudian barulah diikuti dengan ‘Ali bin Abi Thalibradhiallahu ‘anhum. Lebih dari itu hadis-hadis yang menerangkan keutamaan para Ahl al-BaitRasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sememangnya banyak jumlahnya.
Paling tinggi yang boleh dikatakan tentang al-Hakim ialah beliau hanya mengutamakan kecintaan kepada para Ahl al-Baitradhiallahu ‘anhum dan ini dikenali sebagai al-Tasyaiyu’ [7]atau al-Mufadhdhilah.

Kedua:
Untuk menghimpun 8803 buah hadis, al-Hakim telah mengambil jangka masa yang lama sehingga ke penghujung hayatnya. Dalam jangka masa yang lama ini, sebagaimana kebiasaan kebanyakan manusia, usia tua telah mendahuluinya sehingga dia tidak mantap dalam menghukum darjat sesebuah hadis, bahkan sering tersilap. Kecerdasan fikiran yang tidak mantap dan kesilapan kerana usia tua menyebabkan al-Hakim banyak membuat kesilapan di dalam al-Mustadrak sehingga ke tahap mensahihkan hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang pernah ditolaknya sendiri dalam kitab yang lain. Oleh kerana kesilapan yang fatal ini sebahagian ahli hadis menganggap lemah pensahihan hadis al-Hakim sehingga tidak boleh berhujah dengannya melainkan disemak semula.
Ibn Hajar al-‘Asqalanirahimahullah (852H) menerangkan:[8]

(al-Hakim adalah) seorang imam yang sangat benar dan jujur akan tetapi dia mensahihkan dalam kitabnyaal-Mustadrak hadis-hadis yang digugurkan (yakni ditolak sepenuhnya kerana pelbagai kecacatannya) dan hal seperti ini banyak dilakukan olehnya …… Dan sebesar-besar sebutan baginya adalah dia disebut di kalangan orang-orang yang dha‘if akan tetapi telah diperkatakan tentang keuzurannya kerana dia – semasa menulis kitab al-Mustadrak – berada di penghujung umurnya.[9]

Dan sebahagian mereka (ahli hadis) menyebut bahawa dia tidak mantap dan cuai pada penghujung umurnya dan yang sedemikian ini terbukti kerana dia (al-Hakim) telah menyebut sejumlah para perawi dalam kitab al-Dhu‘afa’nya sendiri dan secara muktamad menerangkan penolakan riwayat hadis daripada mereka (para perawi yang dha‘if tersebut) dan menegah daripada berhujah dengan (hadis yang diriwayatkan) oleh mereka – lalu kemudian dia (al-Hakim) mengeluarkan hadis-hadis daripada sebahagian mereka (yang didha‘ifkannya itu) dalam kitab al-Mustadraknya dan mensahihkannya.

Ketiga:
al-Hakim berpegang kepada manhaj bermudah-mudahan (tasahul) di dalam mensahihkan sesuatu hadis. Ini sebagaimana terang Ibn al-Shalahrahimahullah (643H):[10]
Dan dia (al-Hakim) meluaskan skop pada syarat penetapan hadis sahih dan bermudah-mudahan dalam menghukum dengannya.
al-Zayla‘iy (الزيلعي)rahimahullah (762H) menerangkan maksud “meluaskan skop pada syarat penetapan hadis sahih dan bermudah-mudahan dalam menghukum dengannya”, yang dapat diringkaskan sebagai berikut:[11]
    al-Bukhari dan/atau Muslim adakalanya mensahihkan hadis daripada seorang perawi yang pada dirinya terdapat perbincangan. Namun pensahihan mereka tidaklah semata-mata berdasarkan perawi itu sahaja tetapi berdasarkan lain-lain penguat dari sudut sanad atau penyokong dari sudut matan.[12] Akan tetapi al-Hakim telah menggunakan perawi yang sama tersebut untuk mensahihkan hadis yang lain tanpa apa-apa penguat dan penyokong yang lain, lalu dia berkata “Hadis ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan/atau Muslim.” Pensahihan sebegini tidak boleh dikatakan “atas syarat al-Bukhari dan/atau Muslim” dan ini merupakan salah satu bentuk “bermudah-mudahan” yang diamalkan oleh al-Hakim.

    al-Hakim seringkali mensahihkan sebuah hadis “atas syarat al-Bukhari dan Muslim” akan tetapi sebenarnya para perawi dalam sanad hadis tersebut sebahagiannya adalah perawi al-Bukhari dan sebahagiannya adalah perawi Muslim. Ini juga salah satu bentuk “bermudah-mudahan” yang diamalkan oleh al-Hakim.[13]
    al-Bukhari dan Muslim adakalanya berdasarkan seorang perawi, mensahihkan sebahagian hadisnya dan tidak mensahihkan sebahagian hadisnya yang lain. Ini berlaku sekalipun kepada perawi yang sama kerana ukuran pensahihan hadis bergantung juga daripada siapa dia menerimanya dan kemantapan serta kemasyhuran dirinya sendiri dalam meriwayatkan hadis tersebut. Akan tetapi al-Hakim telah mengambil sikap bermudah-mudahan dengan mengumumkan kekhususan perawi tersebut dan mensahihkan semua hadis-hadis yang diriwayatkan olehnya dan mengistilahkannya sebagai “Hadis ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan/atau Muslim.”

    al-Hakim juga seringkali mengeluarkan hadis daripada para perawi yang lemah dan tertuduh sebagai pendusta kemudian mensahihkannya sebagai “Hadis ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan/atau Muslim.” Yang terakhir ini adalah bentuk bermudah-mudahan yang paling buruk (تساهل فاحش).
Daripada 3 faktor yang diusulkan di atas, hanya faktor kedua dan ketiga adalah benar sebagai penyebab bagi wujudnya percanggahan di dalam pensahihan al-Hakim. Faktor bermudah-mudahan merupakan manhaj asas al-Hakim sekalipun tujuan beliau dalam menyusun kitab al-Mustadrak ialah menghimpun hadis-hadis yang sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan/atau Muslim. Beliau terpaksa berpegang kepada manhaj bermudah-mudahan kerana (1) untuk menyusun hadis-hadis yang benar-benar menepati syarat al-Bukhari dan Muslim adalah satu tugas yang amat berat dan (2) jika mampu sekalipun, jumlah hadisnya akan menjadi sangat kecil dan ini akan mensia-siakan tujuan asal beliau untuk menyusun kitab al-Mustadrak.
Walaubagaimanapun mensahihkan hadis-hadis yang sebenarnya dha‘if, sangat dha‘if dan maudhu’ bukanlah merupakan manhaj atau tujuan atau kesengajaan al-Hakim tetapi ia adalah kerana kelanjutan umurnya yang menyebabkan dia sering lupa atau tersilap. Ini adalah lumrah manusiawi (human factor) yang tidak layak dijadikan sumber celaan melainkan dijadikan sumber pembaikan.
Atas dua faktor di atas, terdapat dua pendapat dalam berinteraksi dengan hadis-hadis yang disahihkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadraknya:

Pendapat Pertama:

Ini pendapat yang bersederhana lagi dipertengahan, di mana boleh diterima pensahihan al-Hakim melainkan wujud hukum yang berlainan oleh tokoh hadis yang terkemudian (selepas al-Hakim) atau jika dapat dikesan kecacatan di dalam hadis tersebut yang mengubah hukumnya dari sahih kepada tidak sahih. Pendapat ini diusulkan oleh Ibn al-Shalah rahimahullah:[14]

Dan dia (al-Hakim) meluaskan skop pada syarat penetapan hadis sahih dan bermudah-mudahan dalam menghukum dengannya. Maka yang utama ialah mengambil jalan tengah dalam urusan ini: Maka kita mengatakan dengan apa yang telah dihukumkan dengan kesahihannya (oleh al-Hakim) dan (ini bagi kes di mana) kita tidak menemui urusan tersebut (pensahihan atau pendha‘ifannya) daripada para imam yang selainnya. (Hadis yang disahihkan oleh al-Hakim tersebut) jika tidak termasuk kategori sahih maka ia termasuk dalam kategori hasan, boleh berhujah dengannya dan beramal dengannya.[15] Kecuali jika jelas padanya terdapat kecacatan maka wajib mendha‘ifkannya.

Pendapat kedua:

Ini adalah pendapat yang lebih tegas, di mana tidak boleh diterima pensahihan al-Hakim kerana telah berlaku banyak kesilapan di dalamnya, sebahagiannya kecil dan sebahagiannya besar. al-Zaila‘iy menukil kata-kata Ibn Dihyahrahimahullah:[16]

Berkata Ibn Dihyah di dalam kitabnya al-‘Ilm(bahawa pendapat yang) masyhur adalah: Wajib ke atas para ahli hadis untuk berhati-hati ke atas perkataan (pensahihan) al-Hakim Abi ‘Abd Allah kerana sesungguhnya dia banyak berbuat silap, menzahirkan (membenarkan hadis-hadis) yang gugur (tertolak). Dan sesungguhnya telah cuai kebanyakan orang-orang yang datang selepas beliau dari (kesalahan-kesalahan) yang sedemikian dan (mereka) bertaklid (mengikut terus tanpa menyemak) kepadanya (al-Hakim) pada yang sedemikian (pensahihan al-Hakim).

Pendapat yang dipilih:
Yang dipilih dan yang dikuatkan ialah pendapat kedua, iaitu tidak boleh diterima pensahihan al-Hakim ke atas hadis-hadisnya di dalam al-Mustadrak. Ini kerana:

1. Manhaj bermudah-mudahan al-Hakim sepertimana yang disebut oleh Ibn al-Shalah, sebenarnya adalah lebih berat berbanding apa yang dikenali di kalangan lain-lain ahli hadis yang bermanhaj seumpama seperti Ibn Khuzaimah (311H) dan Ibn Hibban rahimahullah.[17] Malah al-‘Iraqirahimahullah (806H) pernah mengomentarinya sebagai bermudah-mudahan yang amat serius.[18]

2. Di dalam pensahihan al-Hakim wujud kebenaran dan kesilapan. Di dalam kesilapan tu pula sebahagiannya adalah kecil dan sebahagiannya adalah besar. Oleh itu tidak boleh dianggap bahawa pensahihan al-Hakim paling minimum berdarjat hasan sahaja.

3. Kitab al-Mustadrak al-Hakim, di dalamnya telah bercampur aduk antara hadis yang sahih, hasan, dha‘if, sangat dha‘if dan maudhu’. Untuk membezakan hadis-hadis yang telah bercampur aduk ini memerlukan semakan semula secara keseluruhannya.

4. Hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan salah satu sumber syari‘at Islam dan kita semua telah diberi amaran tegas oleh baginda untuk tidak menyebarkan hadis-hadis yang tidak berasal daripada baginda. Oleh itu adalah satu kewajipan untuk menyemak hadis-hadis daripada kitab al-Mustadraksebelum mengemukakannya sekalipun atas tujuan keutamaan beramal, memberi amaran dan menerangkan kemuliaan para sahabat.[19]

 Catitan tambahan:
Sifat bermudah-mudahan al-Hakim yang menyebabkan pensahihannya perlu disemak semula merangkumi seluruh kitab al-Mustadrak dan bukan terhad kepada hadis-hadis yang menerangkan keutamaan paraAhl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sahaja,radhiallahu ‘anhum.
Sebahagian tokoh Syi‘ah ada yang berkata bahawa Ahl al-Sunnah hanya menyemak dan menolak hadis-hadis di dalam al-Mustadrak apa yang berkaitan dengan keutamaan Ahl al-Baitsahaja. Ini adalah pendapat yang tidak benar. Semakan semula oleh para ahli hadis Ahl al-Sunnah merangkumi seluruh kitab al-Mustadrak termasuk dalam bab yang menghimpun hadis-hadis tentang keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsmanradhiallahu ‘anhum. Bahkan semakan semula telah menemui beberapa hadis yang berdarjat sangat dha‘if dan maudhu’ berkenaan tiga khalifah yang pertama di atas di dalam kitab al-Mustadrak.

Strategi mudah kepada para pembaca:
        Pensahihan hadis oleh al-Hakim hanya dapat diterima jika ia disemak dan dipersetujui oleh ahli hadis yang lain.

[1]           Lebih lanjut sila rujuk:
1.       al-Khatib al-Baghdadi –Tarikh Baghdad, jld. 3, ms. 93-94, biografi no: 1096 (Bab yang bernama Muhammad bin ‘Abd Allah).
2.       Ibn al-Jauzi – al-Muntazhom fi Tarikh al-Muluk wa al-Imam, jld. 15, ms. 109-111, biografi no: 3059 (Bab yang meninggal tahun 405H).
3.       al-Dzahabi – Tazkirah al-Huffaz, jld. 3, ms. 162-166, biografi no: 962 (Bab thabaqat ke-13) dan Siyar A’lam al-Nubala, jld. 17, ms. 162-177, biografi no: 100 (Di atas nama al-Hakim).
4.       al-Suyuthi – Thabaqat al-Huffaz, ms. 410-411, biografi no: 927 (Bab thabaqat ke 13).  
[2]           Ibn al-Shalah - ‘Ulum al-Hadits, ms. 21-22 (Bab pembahagian ke-4 dari jenis hadis-hadis sahih).
[3]           Demikian menurut penomboran Musthofa ‘Abd al-Qadir ‘Atha di dalam penelitian beliau (tahqiq) ke atas kitab al-Mustadrak (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn.)
[4]           al-Shan‘ani – Tawdhih al-Afkar li ma‘ani Tanqih al-Anzhar, ms. 67 (Masalah: Penjelasan berkenaan hadis sahih yang merupakan tambahan atas apa yang ada dalam al-Bukhari dan Muslim).
[5]           Lihat Lisan al-Mizanoleh Ibn Hajar al-‘Asqalani, jld. 6, ms. 250-251, perawi no: 7666 (Bab yang bernama Muhammad, Biografi Muhammad bin ‘Abd Allah al-Dhabiyyi).
[6]           Antaranya ialah al-Subki di dalam Thabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, jld. 2, ms. 443-453, biografi no: 329 (Bab thabaqat ke-4, Muhammad bin ‘Abd Allah bin Muhammad).
[7]           al-Zahabi – Siyar A’lam al-Nubala, jld. 17, ms. 174.
[8]           Nukilan berpisah daripada Lisan al-Mizan, jld. 6, ms. 250-251, perawi no: 7666.
[9]           Yakni kedha‘ifan al-Hakim bukanlah kerana apa-apa sifat tercela seperti pendusta atau sebagainya tetapi adalah kerana keuzuran usia tua yang menyelubunginya. Faktor kedha‘ifan ini adalah sesuatu yang dimaafkan.
[10]          Ibn al-Shalah - ‘Ulum al-Hadits, ms. 22.
[11]          Lihat Nasb al-Rayah Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld. 1, ms. 462-463 (Kitab Solat, Bab hadis-hadis berkenaan bacaan Basmalah, Tahqiq ke atas hadis yang dijadikan dalil oleh al-Khatib).
[12]          Lebih lanjut lihat:
1.       Abi Zakariyya Muhammad al-Anshari – Fath al-Baqi bi Syarh Alfiyyah al-‘Iraqi, ms. 57(Pembahagian yang Pertama: Hadis Sahih, Bab Sekuat-kuat kitab hadis, Bab Sebab al-Bukhari dan Muslim mengeluarkan hadis daripada sesetengah perawi yang dha‘if).
2.       Abu Bakr Kafi – Manhaj al-Imam al-Bukhari fi Tashhih al-Ahadits wa Ta’lilaha (Dar Ibn Hazm, Beirut 2000).
3.       Abu ‘Ubaidah Masyhur bin Hasan – al-Imam Muslim bin al-Hajjaj wa Minhaj fi al-Shahih wa Atsaruhu fi ‘Ilm al-Hadits (Dar al-Shami‘iy, Riyadh 1996).
[13]          Penulis menambah, adakalanya bagi sebuah hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim, hanya sebahagian perawi yang menepati syarat al-Bukhari dan/atau Muslim manakala sebahagian lagi tidak. Namun al-Hakim mensahihkannya “atas syarat al-Bukhari dan/atau Muslim.” Ini juga salah satu bentuk “bermudah-mudahan” yang diamalkan oleh al-Hakim.
[14]          Ibn al-Shalah - ‘Ulum al-Hadits, ms. 22.
[15]          Yakni jika darjat hadis tersebut tidak sahih, minimum ia adalah hasan. Lebih lanjut di atas pendapat Ibn al-Shalah ini, lihat komentar al-‘Iraqi di dalam Fath al-Mughits bi Syarh Alfiyyah al-Hadits, ms. 17 (Bab kitab sahih yang merupakan tambahan ke atas Sahih al-Bukhari dan Muslim).
[16]          Nasb al-Rayah Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld. 1, ms. 463.
[17]          al-Sakhawi - Fath al-Mughits Syarh Alfiyyah al-Hadits,jld. 1, ms. 51 (Bab: Hadis sahih yang merupakan tambahan kepada dua kitab sahih).
[18]          Fath al-Mughits bi Syarh Alfiyyah al-Hadits, ms. 18.
[19]          Terdapat beberapa rujukan terkini yang memberikan semakan semula atas pensahihan al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak. Antaranya:
1.       al-Mustadrak ‘ala al-Shahihin yang disunting (tahqiq) oleh Mushthafa ‘Abd al-Qadir ‘Atha’ dengan disertai di bahagian notakakinya semakan semula oleh al-Zahabi dalam kitabnya al-Talkish. Diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut.
2.       al-Mustadrak ‘ala al-Shahihin yang disunting (tahqiq) dan disemak semula oleh ‘Abd al-Salam bin Muhammad dengan rujukan kepada al-Talkish oleh al-Zahabi. Dterbitkan oleh Dar al-Ma’refah, Beirut.
3.      Tanbih al-Wahim ‘ala ma ja-a fi Mustadrak al-Hakim(تنبيه الواهم على ما جاء في) oleh Ramdhan bin Ahmad bin ‘Ali yang merupakan semakan semula secara bebas ke atasal-Mustadrak tanpa terbatas kepada al-Talkish oleh al-Zahabi. Diterbitkan oleh Maktabah al-Taubah, Riyadh.

Strategi Asas Syi‘ah yang Kelima:
Menggunakan pendekatan psikologi untuk menarik keyakinan orang awam.

Penjelasannya:
Dalam melangsungkan usaha dakwah kepada masyarakat Ahl al-Sunnah, Syi‘ah memiliki 2 kategori orang yang masing-masingnya memerlukan strategi yang berlainan:

1. Mereka yang terdiri daripada para tokoh agamawan, intelektual, cendekiawan dan terpelajar. Bagi kategori pertama ini Syi‘ahmenggunakan strategi ilmiah seperti penggunaan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.

2. Mereka yang terdiri daripada kalangan orang awam yang memiliki minat di dalam agama dan ingin mencari ubat bagi rohaninya. Bagi kategori kedua ini Syi‘ah menggunakan strategi atau pendekatan psikologi.
Antara pendekatan psikologi tersebut ialah:

Pendekatan Pertama:
Mengemukakan skrip dialog antara tokohSyi‘ah dan tokoh Ahl al-Sunnah yang terkenal, lalu di dalam dialog tersebut tokoh Ahl al-Sunnah tidak mampu menjawab hujah-hujah yang dikemukakan oleh tokoh Syi‘ah. Maka akhirnya tokoh Ahl al-Sunnah itu mengalah, bahkan ada yang keluar dari mazhab Ahl al-Sunnah dan masuk ke mazhab Syi‘ah.

Kesan psikologinya:
Memandangkan tokoh besar Ahl al-Sunnahtidak dapat menjawab hujah Syi‘ah sehingga beralih masuk ke mazhab Syi‘ah, sudah tentu ini menandakan kebenaran mazhab Syi‘ah.

Contoh dialog yang dimaksudkan ialah antara Sultan al-Wa‘izin dari Syiraz, Iran yang mewakili Syi‘ah dan Hafiz Muhammad Rashid serta Syaikh ‘Abd al-Salam dari Kabul, Afghanistan yang mewakili Ahl al-Sunnah. Sesi dialog ini masyhur dikenali sebagai peristiwaPeshawar Nights, didakwa berlangsung di bandar Peshawar yang bermula pada 23 Rejab 1345H dan berlangsung selama 10 malam berturut-turut.

Contoh dialog kedua ialah buku al-Muraja‘at (Dialog Sunnah Syi‘ah) oleh Syarafuddin al-Musawi. al-Musawi mendakwa dia telah berdialog dengan Salim al-Bisyri, seorang Syaikh al-Azhar lalu kemudiannya membukukan segala pertukaran pendapat dan hujah daripada dialog tersebut.

 Pendekatan Kedua:
Mencatit “kisah benar” seorang Ahl al-Sunnah yang ingin mendekati agama setelah sekian lama menjauhinya. Lalu dalam usahanya ini dia mendapati ada beberapa aliran di dalam mazhab Ahl al-Sunnah yang saling berlainan sehingga mengelirukannya: Yang manakah yang benar ? Akhirnya dia menemui mazhab Syi‘ah. Dalil-dalil mereka jelas, hujah-hujah mereka kuat dan kesatuan mereka teramat utuh. Ini berbeza dengan mazhab Ahl al-Sunnah yang samar-samar dalilnya lagi lemah hujahnya.

Kesan psikologinya:
Pasti sahaja yang benar ialah Syi‘ahdisebabkan oleh kekuatan dalil dan kesatuan mazhab mereka.

Contoh terbaik ialah novel Akhirnya Kutemukan Kebenaran……Kisah Pengembaraan Kerohanian dan Mencari Ilmu karya Muhammad al-Tijani yang sudah diterjemah ke bahasa Melayu pada tahun 1996.

Selain itu terdapat sebuah buku yang merupakan gabungan antara Pendekatan Pertama dan Kedua, iaitu buku Mengapa Aku Memilih Ahl al-Bait. Buku ini didakwa merupakan karangan Muhammad Mar’i al-Amin, kononnya seorang Qadi besar Mazhab al-Syafi‘i di Halab, Syria. Ia diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Lutpi Ibrahim dan boleh dirujuk dalam edisi bercetak atau “e-book” dalam beberapa laman web Syi‘ah.
  
Pendekatan Ketiga: 
Memaparkan kisah sedih bercampur marah akibat perbuatan majoriti sahabat sebaik sahaja kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kisah dimulai dengan kerakusan para sahabat untuk merebut jawatan khalifah sehingga mengabaikan urusan jenazah Rasulullah, suasana hiruk pikuk dan perpecahan dalam majlis perlantikan Abu Bakar, pengepungan rumah Fathimah diikuti dengan perampasan tanah Fadak daripadanya (Fathimah), sikap ‘Ali yang memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada Abu Bakar hanya selepas 6 bulan, perlantikan ‘Umar dan ‘Utsman sehinggalah ke peristiwa pembunuhan ‘Ali, Hasan dan Husain.

Kesan psikologinya:
Majoriti para sahabat telah menderhakai wasiat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamdalam perlantikan ‘Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah pengganti. Di samping itu mereka telah berlaku zalim ke atas ‘Ali dan ahli keluarganya. Mazhab majoriti sahabat inilah yang kini membentuk mazhab Ahl al-Sunnah. Maka tidak ragu lagi bahawa mazhab Ahl al-Sunnah adalah mazhab yang salah manakala yang benar ialah mazhab Syi‘ah.
Contoh pemaparan Kisah-kisah seperti ini ialah buku Saqifah – Awal Perselisehan Ummatdan Detik-detik Akhir Kehidupan Rasulullaholeh O. Hashem.
  
Pendekatan Keempat:
Memilih dan menapis maklumat yang terbaik yang menyebelahi Mazhab Syi‘ahdaripada sumber-sumber Ahl al-Sunnahseperti al-Qur’an, al-Sunnah dan sejarah. Kemudian menyusunnya dalam format yang dapat mempengaruhi para pembaca. Sumber-sumber ini adalah sesuatu yang sukar dikaji sendiri oleh para pembaca sehingga akhirnya mereka (para pembaca) terpaksa berpuas hati, bahkan menjadi yakin dengannya.

Kesan psikologinya:
Benarlah Mazhab Syi‘ah dengan pelbagai hujah yang mereka nukil daripada sumber rujukan Ahl al-Sunnah sendiri.

Contohnya ialah dalam bab keutamaan dan kemuliaan para sahabat. Syi‘ah hanya memilih dan mengemukakan hadis-hadis tentang keutamaan dan kemuliaan ‘Ali bin Abi Thalibradhiallahu ‘anh yang mereka nukil daripada kitab al-Mustadrak susunan al-Hakimrahimahullah, seolah-olah keistimewaan ini hanya terdapat pada ‘Ali dan tidak pada para sahabat yang lain.

Jawapan Ahl al-Sunnah ke atas strategiSyi‘ah yang kelima:
Kejayaan pendekatan secara psikologi tetap bergantung kepada faktor kesahihan fakta dan kebenaran hujah.

 Penjelasannya:
Sebaik mana sekalipun pendekatan psikologi yang digunakan, yang tetap menjadi ukuran ialah kesahihan fakta dan kebenaran hujah. Ini kerana pendekatan psikologi hanya bersifat fiktif selagi mana ia tidak dibenarkan oleh fakta dan hujah yang bersifat hakiki.

Siapa sahaja boleh menggubah skrip lakonan, mengarang novel dan mengarah drama, akan tetapi yang menjaminnya benar atau dongeng ialah kesahihan fakta dan kebenaran hujah yang membentuknya.

Pendekatan-pendekatan psikologi yang digunakan oleh Syi‘ah adalah dongeng belaka demi menarik keyakinan orang awam. DialogPeshawar Nights sebenarnya tidak berlangsung. Ia hanyalah sebuah skrip drama yang ditulis oleh tokoh-tokoh Syi‘ah.[1] Dialog al-Muraja‘at juga adalah lakonan semata-mata. Buku al-Muraja‘athanya diterbitkan suku abad selepas kematian Salim al-Bisyri. Tidak seorangpun daripada ahli keluarga Salim al-Bisyri, rakan-rakan pensyarah di Universiti al-Azhar dan anak-anak muridnya yang mengetahui tentang dialog ini. Tidak ada apa-apa bukti sahih bahawa dialog ini benar-benar berlaku kecuali daripada pengakuan al-Musawi sendiri.[2]

Manakala sesiapa yang menganalisa secara cermat buku Mengapa Aku Memilih Ahl al-Baitoleh Muhammad Mar’i al-Amin dengan mudah akan dapat mengecam (mengenali) bahawa ia adalah karangan seorang ahli debat Syi‘ah dan bukan seorang qadi yang lazimnya hanya mengetahui perbahasan hukum hakam agama. Penguasaan ilmu seorang qadi hanyalah pada bab halal dan haram, bukan pada persoalan iktikad, tafsiran al-Qur’an (selain ayat-ayat hukum),takhrij hadis,[3] kisah sejarah dan sebagainya.

Selain itu perlu diingatkan bahawa faktor penyebab kepada beralihnya seseorang daripada Mazbab Ahl al-Sunnah kepada Mazhab Syi‘ahbukan kebenaran Syi‘ah akan tetapi kejahilan orang itu sendiri. Ini seumpama beralihnya seorang Islam kepada agama Kristian, faktor penyebabnya bukanlah kebenaran agama Kristian tetapi kejahilan orang Islam itu sendiri.

Tidak jauh berbeza ialah buku Akhirnya Kutemukan Kebenaran……Kisah Pengembaraan Kerohanian dan Mencari Ilmu[4], Saqifah – Awal Perselisehan Ummat[5] dan Detik-detik Akhir Kehidupan Rasulullah. Isi kandungannya tidak lain adalah kisah-kisah lemah dan dusta yang sengaja dipilih dan disusun indah guna memberi pengaruh kepada para pembacanya.[6]

Adapun hadis-hadis berkenaan keutamaan dan kemuliaan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh yang dinukil daripada kitab al-Mustadrak susunan al-Hakim rahimahullah, ia sebenarnya hanya mewakili 5 peratus daripada keseluruhan hadis yang terkandung di dalam kitab tersebut dalam bab keutamaan dan kemuliaan para sahabat. Secara terperinci, di dalam bab ini terdapat 2600 buah hadis[7], dimulai dengan Abu Bakar, Umar, ‘Utsman, ‘Ali dan seterusnya. Daripada jumlah ini hadis berkenaan ‘Ali berjumlah 133 buah, mewakili 5 peratus sahaja. Syi‘ah hanya memiliki 133 buah hadis ini dan mendiamkan 2467 yang lain.

Demikian beberapa contoh dongengan yang terkandung di dalam pendekatan psikologi yang digunakan oleh Syi‘ah ke atas Ahl al-Sunnah. Oleh itu sekali lagi diingatkan bahawa yang penting bukanlah kelicikan pendekatan psikologi yang digunakan tetapi kesahihan fakta dan kebenaran hujah yang membentuknya.

Strategi mudah kepada para pembaca:
        Berwaspada dengan pendekatan psikologi yang digunakan oleh Syi‘ahuntuk mempengaruhi orang awam.

Sekian lima strategi asas Syi‘ah dalam berhujah ke atas Ahl al-Sunnah. Para pembaca yang terdiri daripada orang Syi‘ah atau yang pernah didakwah oleh Syi‘ah atau yang bakal didakwah oleh Syi‘ah akan mendapati mereka (Syi‘ah) tidak lari daripada menggunakan lima strategi asas ini, sama ada secara sebahagian atau keseluruhannya. Mengetahui jawapan Ahl al-Sunnah ke atas kelima-lima strategi asas Syi‘ahini adalah langkah pertama dan yang paling utama untuk menjawab hujah-hujah mereka. Langkah seterusnya ialah mengetahui jawapanAhl al-Sunnah secara terperinci ke atas hujah-hujah mereka yang terperinci juga. Insya-Allahkita akan mulakan dengan menjawab hujah-hujahSyi‘ah yang dibangunkan daripada ayat-ayat al-Qur’an al-Karim dalam siri berikutnya.

[1]           Pendustaan ini telah dibongkar Abu Muhammad al-Afriqi di: http://www.ansar.org/english/beshawer.htm
[2]           Salah sebuah buku yang menjawab al-Muraja‘at telahpun diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh A. Thaha dan Ilyas Ismail atas judul Sunni yang Sunni (Penerbitan Pustaka, Bandung 1989) daripada tajuk asalnya: al-Bayyinat fi al-Rad ‘ala Abatil al-Muraja‘at. Buku ini boleh dirujuk dalam format e-book dalam laman web penulis: www.al-firdaus.com
[3]           Iaitu membahas hadis dengan menyebut sumber-sumber rujukannya yang asal disertai dengan darjat kekuatannya sama ada sahih, hasan dan sebagainya.
[4]           Telahpun dijawab dan dibongkar pembohongannya di: http://www.ansar.org/english/exposingtaijani.htm
[5]           Telah dijawab secara ringkas oleh Saleh A. Nahdi dalam bukunya Saqifah – Penyelamat Persatuan Umat (Arista Brahmatyasa, Jakarta 1992).
[6]           Rujuk semula Strategi Asas Syi‘ahyang Ketiga khusus dalam bidang ilmu sejarah.
[7]           Ini menurut penomboran Mushthafa ‘Abd al-Qadir ‘Atha’ dalam edisi yang diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut.

Kata Penutup

Untuk menjawab dan menolak sesebuah subjek, kita perlu memiliki asas yang kuat lagi luas mengenainya. Apatah lagi jika subjek yang hendak kita jawab dan tolak itu ialah sesuatu yang amat besar lagi berpengaruh.Alhamdulillah, penulis yakin bukuSiri Pertama ini telah melengkapkan para pembaca dengan asas-asas yang perlu untuk menjawab hujah-hujahSyi‘ah al-Rafidhah ke atas Ahl al-Sunnah dalam persoalan Khalifah.
Perbahasan yang paling penting di dalam buku ini yang perlu diberi perhatian oleh para pembaca ialah 5 Strategi AsasSyi‘ah Dalam Berhujah ke atasAhl al-Sunnah. Mengenal pasti kelima-lima strategi asas ini dan jawapan Ahl al-Sunnah ke atas adalah langkah pertama dan yang paling utama untuk menjawab hujah-hujah Syi‘ah. Malah pengetahuan tentang 5 strategi asas ini adalah bekal yang mencukupi untuk para pembaca sekalian menjawab sendiri hujah-hujah Syi‘ahdaripada al-Qur’an, al-Sunnah dan sejarah.
Sama-sama kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar dipermudahkan bagi penulis untuk menyiapkan Siri Kedua buku ini, iaitu menjawab ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah dalam persoalan khalifah. Antara ayat-ayat yang dimaksudkan ialah:

Ayat al-That-hir:Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya. [al-Ahzab 33:33]
Ayat al-Wilayah:Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk. [al-Maidah 5:55]
Ayat al-Mawaddah:Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang (al-Mawaddah) dalam kekeluargaan (al-Qurba).” [al-Syura 42:23]
Ayat al-TablighWahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.[al-Maidah 5:67]
Ayat al-Mubahalah:Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta". [‘Ali Imran 3:61]
dan lain-lain lagi.

Insya-Allah kita bertemu semula dalam buku Siri Kedua.Wassalamu‘alikum waRahmatullahi waBarakatuh.

Sumber kajian lanjut dalam subjek Syi‘ah dalam bahasa Melayu, Indonesia dan Inggeris yang disyorkan kepada para pembaca

1.                            al-Syi‘ah Minhum ‘Alaihim oleh Mamduh Farhan al-Buhari (edisi terjemahan oleh Agus Hasan Bashari atas judul Gen Syi‘ah: Sebuah Tinjauan Sejarah, Penyimpangan Akidah dan Konspirasi Yahudi; Darul Falah, Jakarta 2001)
2.                  al-Syi‘ah wa al-Qur’an oleh Ihsan Ilahi Dhahir (Idara Tarjuman al-Sunnah; Lahore 1983).
3.                  Virus Syi‘ah: Sejarah Alienisme Sekte oleh Ihsan Ilahi Dhahir (edisi terjemahan oleh Fadhli Bahri; Darul Falah, Jakarta 2002).
4.                  The Shi‘ites and The Sunna oleh Ihsan Ilahi Dhahir (edisi terjemahan oleh Rana Ihsan Ilahi; Idara Tarjuman al-Sunnah; Lahore 1984).
5.                  Mukhtasar al-Tuhfah al-Itsna ‘Asyariyyaholeh Shah Waliyullah al-Dahlawi (1762M) (edisi terjemahan oleh Salahuddin Abdullah atas judul Ringkasan Syiah Mazhab Imam Dua Belas; Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur 1992).
6.                  Ma‘a al-Syi‘ah al-Itsna ‘Asyariyyah fi al-Usul wa al-Furu’ oleh ‘Ali Ahmad al-Salus (edisi terjemahan oleh Asmuni Solihan atas judulEnsiklopedi Sunnah Syiah; Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2001).
7.                  al-Khutoot al-‘Areedah: An Exposition and Refutation of the sources upon which the Shi‘ite Religion is based oleh Muhib al-Din al-Khatib (1389H) (edisi terjemahan oleh Mahmoud Murad; Majlis al-Haq, Canada & Pustaka Ushamurni, Kuala Lumpur 1987).
8.                  Mengenal Pokok-pokok Ajaran Syiah al-Imamah dan Perbedaannya Ahlussunnah oleh Muhib al-Din al-Khatib (1389H) (edisi terjemahan oleh Munawwar Putera; PT Bina Ilmu, Surabaya 1984).
9.                  Penjelasan Terhadap Fahaman Syiah oleh Bahagian Penyelidikan JAKIM (K. Lumpur 1997).
10.              Dedah Fahaman Syiah oleh Musa al-Musawi (edisi terjemahan oleh Udah Mohsin, Mohd. Zawawi & Mudasir Rosdar; JAKIM, K. Lumpur 1998).
11.              Syiah: Siapakah Mereka dan Apakah Sikap Kita Terhadap Mereka ? oleh Yazid Bahrin (Jahabersa, Johor Bahru 1997).
12.              Kepalsuan Ajaran Syiah & Pemikiran Khomenioleh ‘Abd Allah al-Ghifari (edisi terjemahan oleh Samsuddin Selamat; Jahabersa, Johor Bahru 1998).
13.              Perbandingan Antara Sunnah dan Syi‘ah oleh ‘Abd Allah bin Sa‘id al-Junaid (edisi terjemahan oleh Mahmud Fauzi; LPPI, Jakarta 1999).
14.              Mengapa Kita Menolak Syi‘ah ? (Kumpulan makalah Seminar Nasional Sehari Tentang Syi‘ah; LPPI, Jakarta 1998).
15.              Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah : Satu Pengenalanoleh Johari Mat di dalam bukuKoleksi Kertas Kerja SeminarAhli Sunnah wal Jamaah Golongan Tauladan(Jahabersa, Johor Bahru 2004).
16.              Manhaj Akidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah oleh Abdullah Yasin di dalam bukuKoleksi Kertas Kerja SeminarAhli Sunnah wal Jamaah Golongan Tauladan(Jahabersa, Johor Bahru 2004).
17.              Irsyad al-Ghabi ila Mazhab Ahl al-Bait fi Shabi al-Nabi oleh Muhammad bin ‘Ali al-Syaukani (1252H) (edisi terjemahan oleh A.M. Basalamah atas judul Sikap Ahlul Bait Terhadap Para Sahabat Nabi; Lembaga Penelitian & Pengkajian Islam (LPPI), Jakarta tp.thn.).
18.              al-Syi‘ah wa Ahl al-Bait oleh Ihsan Ilahi Dhahir (edisi terjemahan oleh Mustafa Mahdamy atas judulTikaman Syi‘ah Terhadap Para Sahabat Nabi; Pustaka Mantiq, Solo 1986).
19.              Syi‘ah, Imam Mahdi dan Duruz: Sejarah dan Faktaoleh ‘Abd al-Mun‘im al-Nimr (edisi terjemahan oleh ‘Ali Mustafa Ya’qub; Qisthi Press, Jakarta 2003).
20.              al-‘Awasim min al-Qawasim fi Tahqiq Mawaqif al-Shahabah ba’da Wafat al-Nabioleh Abu Bakar Ibn al-‘Arabi (543H) dengan tahqiq Muhib al-Din al-Khatib (1389H) (edisi terjemahan oleh Abu Mazaya & ‘Ali Mahfuz atas judul Benteng-Benteng Penahan Kehancuran: Satu Upaya dalam Membela Para Sahabat Nabi s.a.w.; Darul Iman, Sri Gombak 2002).
21.              Pertelingkahan Para Sahabat Nabi (s.a.w): Antara Ketulenan Fakta dan Pembohongan Sejarah (Edisi Kedua) oleh Muhammad Asri Zainul Abidin (Pustaka Yamien, Gombak 2003).
22.              Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah yang Perlu Diperbetulkan Semula oleh Ibrahim ‘Ali Sya’wat (edisi terjemahan oleh Basri bin Ibrahim; Jahabersa, Johor Bahru 2003).
23.              The Cambridge History of Iran (editor): Ehsan Yarshater (Cambridge Univ. Press 1983)jld 3: The Seleucid, Parthian and Sasanid Periods.
24.              Hukum Ulamak Islam Terhadap Shiah: Dahulu dan Sekarang oleh Ibnu Umar (Virtue Publications, Kuala Lumpur 1987).
25.              Syi‘ah Rafidhah: Di Antara Kecuaian ‘Ulama’ dan Kebingungan Ummah oleh Muhammad Asri Yusuf (Pustaka Bisyaarah, Kubang Kerian 1992).
26.              Aliran dan Paham Sesat di Indonesia oleh (Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2002).
27.              Mengenal Keutamaan Mutiara Zamanoleh Hamd bin ‘Abd Allah al-Humaidi (edisi terjemahan oleh Abu Ihsan al-Atsari; Darul Haq, Jakarta 2002).
28.              Manhaj Ahl al-Sunnah Dalam Menilai Maklumat Dan Menghukum Individu oleh Muhammad Asri Z. A. di dalam buku Koleksi Kertas Kerja Seminar Ahli Sunnah wal Jamaah Golongan Tauladan (Jahabersa, Johor Bahru 2004).
29.              al-Bayyinat fi al-Rad ‘ala Abatil al-Muraja‘at oleh Mahmud al-Za’bi (edisi terjemahan oleh A. Thaha dan Ilyas Ismail atas judul Sunni yang Sunni (Penerbitan Pustaka, Bandung 1989). Boleh dirujuk dalam format e-book dalam laman web penulis: www.al-firdaus.com.
30.              Saqifah – Penyelamat Persatuan Umatoleh (Arista Brahmatyasa, Jakarta 1992).