Sebahagian
orang menukil kata-kata Abu Hayyan[2] dalam
kitab tafsirnya al-Nahr al-Mad satu ungkapan yang berbunyi:
Saya
telah membaca dalam kitab Ahmad bin Taimiyyah[3] satu
perkara yang kita lalui dan ia adalah dengan tulisannya yang dinamakan Kitab
al-Arasy. Bahawa Allah Ta‘ala duduk di atas al-Kursi dan
Dia mengosongkan satu tempat untuk duduk bersama-Nya di situ oleh Nabi shallallahu
'alaihi wasallam.
Fitnah
ini dapat dijawab seperti berikut:
Pertama:
Masalah
“duduk di atas al-Kursi” sebenarnya bukan pendapat peribadi Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah tetapi pendapat yang dinukilnya daripada Mujahid[4].
Kemudian, apa yang diungkap oleh Abu Hayyan adalah daripada perkataan beliau
sendiri kerana yang disebut oleh Mujahid ialah al-Arasy dan bukannya al-Kursi.
Seterusnya,
Abu Hayyan hanya menyebut dia membaca ungkapan tersebut dalam kitab Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah. Abu Hayyan tidak pula menerangkan konteks perbincangan
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, sama ada beliau membincangnya dalam rangka
menyokong, menolak atau memperincikannya.
Kedua:
Perbincangan
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang sebenar adalah seperti berikut:
al-Qadhi
Abu Ya'la[5] telah
mengarang kitabnya Ibthal al-Takwil untuk menjawab kitab Ibn Furak[6]yang
sekali pun di dalamnya memiliki beberapa hadis dan riwayat yang dijadikan
sandaran, ia adalah hadis yang maudhu’ (palsu). Contohnya ialah hadis
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melihat Allah dengan mata kepalanya
pada malam Isra' dan Mikraj.
Juga
sesetengah perkara yang diriwayatkan daripada sebahagian generasi al-Salaf, seperti
hadis duduknya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas Arasy.
Sebahagian orang meriwayatkannya melalui jalan periwayatan yang banyak dan
menghubungkannya kepada baginda, padahal kesemuanyamaudhu’. Hanya sahaja
yang sabit (adalah riwayat) daripada Mujahid dan selainnya daripada kalangan al-Salaf (dan
bukannya perkataan Rasulullah).
Generasi al-Salaf dan
para imam mereka meriwayatkannya dan tidak mengingkarinya, bahkan mereka
menerimanya. Ada pula yang mengatakan: Perkara seperti ini tidak disebut
melainkan ia bersifat tauqif(didiamkan). Akan tetapi perlulah dibezakan
antara lafaz yang sabit daripada Rasul dan lafaz yang sabit daripada kata-kata
orang lain samada ianya diterima ataupun ditolak.[7]
Maka
perhatikan kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah di atas. Maka dari manakah
datangnya pembohongan dan pemalsuan (yang dilakukan oleh Abu Hayyan) ini?
Ketiga:
Riwayat
Mujahid yang dimaksudkan, ia dikeluarkan oleh Ibn Jarir al-Thabari[8] dan
selainnya ketika menafsirkan ayat:
Semoga
Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu (Wahai Muhammad) pada Hari Akhirat di
tempat yang terpuji. [al-Isra’ 17:79]
Diriwayatkan
daripada Mujahid bahawa tempat terpuji itu ialah “Didudukkannya bersama-Nya di
atas Arasy”.[9]
Keempat:
Persoalan
duduknya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas Arasy,
seandainya ia sabit – dan yang benar adalah ia tidak sabit[10],
tidak ada kaitan dengan subjek nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya. Seandainya
sabit, maka menjadi hak Allah untuk mendudukkan Rasul-Nya mengikut apa dan
bagaimana yang Dia kehendaki. Yang penting, Allahistiwa’ di atas Arasy
dengan cara yang layak bagi-Nya tanpa penyerupaan dengan makhluk.
Kelima:
Saya
telah menukil dalam kitab-kitab biografi bahawa wujud permusuhan antara Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah dengan Abu Hayyan. Padahal telah sabit dalam hadis yang
sahih:
لاَ تَجُوزُ شَهَادَةُ خَائِنٍ
وَلاَ خَائِنَةٍ وَلاَ زَانٍ وَلاَ زَانِيَةٍ وَلاَ ذِي غِمْرٍ عَلَى أَخِيهِ.
Tidak
diperbolehkan saksi orang yang khianat sama ada lelaki atau perempuan, tidak
juga daripada orang yang berzina sama ada lelaki atau perempuan, dan tidak juga
saksi daripada orang yang iri hati terhadap saudaranya.[11]
Maka
penyaksian atau pengakuan Abu Hayyan dalam isu ini adalah tertolak sejak dari
awal.[12]
[1] Antara yang melontar
fitnah ini ialah Zamihan Mat Zin al-Ghari dalamSalafiyah Wahabiyah Suatu
Penilaian, ms. 107.
[2] Beliau ialah Abu
Hayyan al-Andalusi, seorang ahli bahasa dan ahli tafsir yang terkenal dengan
karyanya al-Bahr al-Muhith. Kitab al-Nahr al-Mad merupakan
ringkasan beliau ke atas al-Bahr al-Muhith. Abu Hayyan lahir pada
tahun 654H dan meninggal dunia pada tahun 754H.
[3] Iaitu Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyyah. Disebabkan permusuhan Abu Hayyan kepada Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah, dia enggan menggunakan gelaran “Syaikh al-Islam”, sebaliknya
menyebut nama sahaja.
[4] Beliau ialah Mujahid
bin Jabar, lahir pada tahun 20H. Beliau ialah anak murid termuda ‘Abd Allah ibn
‘Abbas radhiallahu 'anhuma. Akan tetapi beliau adalah murid yang paling
dipercayai dalam meriwayatkan tafsir al-Qur’an daripada Ibn ‘Abbas. Beliau
meninggal dunia pada tahun 103H.
[5] Beliau ialah Abu
al-Husain Muhammad bin al-Husain bin Khalaf al-Fara’, seorang tokoh Mazhab
Hanbali yang terkenal melalui kitabnya Thabaqat al-Hanabilah. Beliau lahir
pada tahun 380H dan meninggal dunia pada tahun 458H.
[6] Mungkin yang
dimaksudkan ialah Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan bin Furak al-Ashbahani. Seorang
syaikh al-Mutakallimin yang beraliran al-Asya‘irah,meninggal
dunia pada tahun 455H.
[7] Dar‘u Ta‘arudh, jld. 5,
ms. 237. Ada pun perkataan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tentang kesabitan
riwayat Mujahid, maka ia akan saya terangkan kemudian.
[8] Beliau ialah imam para
ahli tafsir. Nama penuhnya ialah Abu Ja’far Muhammad bin Jarir bin Yazid
al-Thabari. Lahir di kota Tabarstan pada tahun 224H dan meninggal dunia pada
tahun 310H. Karyanya yang terkenal ialah Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Ay
al-Qur’an yang lazim disebut sebagai Tafsir al-Thabari.
Berdasarkan
kitab tafsirnya, sebahagian orang ada yang meragui aqidahnya dan
mengeluarkannya daripada barisan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
Yang benar beliau ialah seorang tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sebagaimana
yang disaksikan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Ada
pun kitab-kitab tafsir yang beredar di tangan orang ramai, yang paling benar
ialah tafsir Muhammad bin Jarir al-Tabari dimana beliau menyebut
perkataan-perkataan kaum al-Salafdengan sanad-sanad yang sabit, tidak ada
bid’ah dalamnya dan tidak meriwayatkan hadis daripada orang-orang yang
bermasalah (kecuali sedikit). [Majmu’ al-Fatawa, jld. 13, ms. 386]
Ada
pun aqidah beliau berkenaan nama-nama dan sifat-sifat Allah, al-Zahabi (748H)
menyatakan:
Inilah
kitab tafsir yang dikarang oleh imam para imam, dimana bagi ayat-ayat al-Sifat beliau
berpegang kepada perkataan paraal-Salaf yang menetapkannya tanpa menafikan
mahu pun mentakwilkannya. Dan beliau tidak sekali-sekali menyamakan sifat Allah
dengan sifat makhluk-makhluk. [Siyar al-‘Alam Nubala(tahqiq: Syu‘aib
al-Arna‘uth; Muassasah al-Risalah, Beirut, 1998), jld. 14, ms. 280]
[9] Jami’ al-Bayan ‘an
Takwil Ay al-Qur’an (Dar al-Fikr, Beirut, 1999), riwayat no: 17068.
Mujahid
menyebutnya tanpa menyandarkan kepada Ibn ‘Abbas, menunjukkan ia adalah
pendapat peribadi beliau. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah mengisyaratkan
hal ini dengan berkata: “Akan tetapi perlulah dibezakan antara lafaz yang sabit
daripada Rasul dan lafaz yang sabit daripada kata-kata orang lain samada ianya
diterima ataupun ditolak”. Selain itu kebanyakan riwayat lain, termasuk
daripada Mujahid, menafsirkan tempat terpuji sebagai pemberian izin oleh Allah Subhanahu
wa Ta'ala kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk
memberi syafaat kepada umatnya pada Hari Akhirat kelak.
[10] Kebanyakan kitab
tafsir mengemukakan riwayat Mujahid tanpa membicara sama ada ia benar atau
tidak. Sekali pun mereka tidak setuju dengan keterangan Mujahid sebagai
tafsiran yang tepat ke atas ayat 79 surah al-Isra’, mereka tidak pula memberi
ulasan ke atasnya. Agaknya kerana inilah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
menganggap riwayat tersebut adalah sabit.
Akan
tetapi anak murid Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Muhammad bin Ahmad al-Zahabi
(748H) telah menyanggah riwayat tersebut. Ketika membicara biografi Mujahid,
al-Zahabi berkata:
Dan
di antara yang paling diingkari berkenaan apa yang diriwayatkan daripada
Mujahid dalam tafsir adalah berkenaan firman Allah: Semoga Tuhanmu
membangkit dan menempatkanmu (Wahai Muhammad) pada Hari Akhirat di tempat yang
terpuji. [al-Isra’ 17:79] (dimana) berkata Mujahid: “Didudukkannya
bersama-Nya di atas Arasy”. [Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal (tahqiq:
‘Adil Ahmad & ‘Ali Muhammad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1995), jld. 6,
ms. 25, biografi no: 7078]
[11] Hasan: Dikeluarkan
oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalamShahih Sunan Abu Daud, hadis
no: 3601 (Kitab al-Aqdiyyah, Bab orang yang persaksiannya ditolak).
[12] Kesimpulannya, Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah tidak menyatakan bahawa Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam akan duduk di atas Arasy pada Hari Akhirat nanti. Beliau
hanya membicarakan riwayat-riwayat dan pandangan-pandangan yang wujud berkenaan
hal ini.