OLEH: MUHAMMAD ASRIE AL-MADANI
Telah masyhur dalam sejarah Islam bahawa
selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w dan selepas terbunuhnya Khalifah
al-Rasyidin yang ketiga; Usman bin Affan r.h, umat Islam berada dalam keadaan
perpecahan dan perbezaan pendapat yang membawa kepada pertumpahan darah.
Sering diwar-warkan di merata ceruk bahawa
persengketaan yang berlaku dalam peperangan Jamal dan Siffin adalah
persengketaan antara Sahabat-sahabat Rasulullah r.hum dan mereka ini berperang
sesama sendiri.
Namun, berapakah jumlah Sahabat yang berperang
sesama sendiri ini? Adakah semua Sahabat yang hidup ketika itu terlibat dalam
persengekataan sesama sendiri ini? Syiah Rafidah mendakwa semua Sahabat menjadi
kafir kecuali beberapa kerat kerana mereka semua terlibat dalam pertumpahan
darah ini. Benarkah sedemikian rupa?
Jawapan yang tepat dan tidak teragak-agak
adalah dakwaan dan tohmahan jijik Rafidah ini adalah dusta sama sekali kerana
para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim majoriti mereka langsung tidak terlibat
dalam pertempuran sesama sendiri ini.
Imam Muhammad bin Sirin r.h, salah seorang
Tabiin yang menyaksikan persengketaan ini dengan dua matanya berkata:
هاجت الفتنة، وأصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم
عشرة آلاف، فما حضرها منهم مائة، بل لم يبلغوا ثلاثين
Maksudnya: “Berlaku fitnah sedangkan jumlah para Sahabat Rasulullah s.a.w semuanya
(yang masih hidup) ketika itu 10,000 (sepuluh ribu) orang, tidak ikut serta
dalam fitnah itu daripada mereka kecuali 100 (seratus) orang bahkan mungkin
tidak sampai 30 (tiga puluh) orang sekalipun”. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/281].
Hal ini juga dapat dilihat dalam kitab-kitab
sejarah Islam yang muktabar seperti al-Bidayah wan Nihayah oleh Ibn Kasir dan
Tarikh al-Islam Imam al-Zahabi. Al-Imam Ibn Kasir r.h ketika menyenarikan
nama-nama pembesar Sahabat yang terbunuh semasa peperangan Jamal menyebut hanya
dua orang iaitu Talhah r.a dan al-Zubair r.a sedangkan kata Ibn Kasir r.h
jumlah keseluruhan yang terbunuh dalam peperangan Jamal adalah 10,000 orang.
Bandingkan jumlah korban keseluruhan dengan
jumlah Sahabat yang terkorban dalam peperangan Jamal ini, menunjukkan betapa
sedikitnya Sahabat yang terlibat dalam peperangan ini.
Bahkan lebih menarik, Al-Zubair r.a tidaklah
dibunuh di medan peperangan namun seorang Rafidah yang terlibat dalam
pembunuhan Usman r.a mengekori beliau semasa beliau meninggalkan medan
peperangan lalu si celaka ini membunuh beliau secara tipu muslihat ketika
beliau sedang tidur reda Allah sebanyak-banyaknya atas beliau-Hawari Rasulillah
s.a.w-.
Ketika berlaku peperangan Jamal ini, Saidina
Al-Zubair r.a sebuah hadis Nabi s.a.w kepada beliau ketika Nabi s.a.w menemui
beliau sedang duduk bersama Ali r.a lantas Nabi s.a.w bersabda: “Adakah kamu mencintainya wahai Zubair?” Jawab Zubair:“Apakah yang menghalangi aku untuk mencintainya?” Lalu Nabi s.a.w bersabda:“Maka bagaimana pula keadaan kamu nanti ketika kamu
memeranginya sedangkan kamu berlaku zalim kepadanya?”
Apabila beliau teringat akan hadis ini, maka
Saidina Zubair r.a segera beredar daripada pertempuran dan bersumpah tidak akan
memerangi Ali r.a. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/268-269].
Demikian juga telah tsabit semua Sahabat
ridwanullahi ‘alaihim yang terlibat dalam peperangan Jamal ini menyesal dan
mengaku mereka bersalah dalam tindakan mereka dan terjadi perdamaian antara
mereka sebaik sahaja selesai peperangan.
Imam al-Sya’bi r.h begitu mengingkari ramainya
Sahabat yang terlibat dalam peperangan Jamal sehingga beliau berkata:
لم يشهدها إلا علي، وعمار، وطلحة، والزبير من الصحابة
Maksudnya: “Tidak turut serta dalamnya (perang Jamal) melainkan Ali, Ammar, Talhah,
dan al-Zubair daripada Sahabat”. [Tarikh al-Islam, 3/484]
Malah riwayat-riwayat sejarah lainnya
menyatakan para Sahabat yang turut serta bersama Ali r.a dalam peperangan Jamal
ini tidak lebih daripada 1000 sahabat sahaja sedangkan seperti kata Ibn Sirin
r.h jumlah Sahabat yang masih hidup ketika itu adalah 10,000 orang. Bayangkan
terdapat 9000 lagi sahabat ridwanullahi ‘alaihim tidak menyertai fitnah yang
terjadi ini. [Ibid]
Sudahlah bilangan Sahabat yang turut serta ini
sedikit, peperangan yang berlaku pula bukan berpunca daripada mereka
ridwanullahi ‘alaihim sebagaimana yang ditegaskan para sejarawan Islam. Berkata
Imam al-Zahabi r.h menyatakan pendapat para Ahli Sejarah:
اصطف الفريقان، وليس لطلحة ولا لعلي رأسي الفريقين
قصد في القتال، بل ليتكلموا في اجتماع الكلمة، فترامى أوباش الطائفتين بالنبل، وشبت
نار الحرب، وثارت النفوس
Maksudnya: “Kedua-dua pasukan berada dalam barisan dan tiada niat dalam diri Talhan
dan Ali, ketua kedua-dua pasukan untuk berperang bahkan untuk berbincang untuk
menyatukan suara lalu sekelompok orang daripada kedua-dua pihak mula
melontarkan lembing maka menyala lah api peperangan dan berkobarlah jiwa…”.[Tarikh al-Islam, 3/486].
Jelas kalimah أوباش menunjukkan yang memulakan
peperangan adalah kaum yang tidak diketahui dan bukanlah daripada kalangan
Sahabat sendiri bahkan mereka itu sangat berusaha untuk menyatukan kaum
muslimin, bahkan Aisyah r.ha Ummul Mukmini sendiri ketika memujuk Kaab bin Sur
keluar bersamanya ke Jamal berkata:“Sesungguhnya tujuanku hanyalah untuk memperbaiki antara manusia”.[Ibid]
Bahkan Kaab bin Sur al-Azdi r.h (Abu Nuaim r.h
memasukkan beliau dalam kalangan Sahabat) keluar sebagai pemegang tali unta
Ummul Mukminin membawa Mushaf dan perisai sahaja dan sepanjang peperangan
beliau mengajak manusia supaya berdamai namun dia terbunuh terkena panah sesat
(dan kita tidak meragui kemungkinan besar kaum Sabaiah –Rafidah- yang memanah
beliau kerana tidak mahu peperangan dihentikan).
Demikian juga Muslim al-Juhani r.h daripada
pihak Ali r.a diarahkan oleh Ali r.a untuk mengarak Mushaf dan menyeru supaya
mereka berhenti berperang dan kembali kepada hukum al-Quran namun dia juga
dibunuh bahkan dikatakan orang pertama yang terbunuh.[ibid, m.s 490].
Lihat, para Sahabat dalam peperangan Jamal ini
sentiasa berusaha untuk menghentikan peperangan yang bukan mereka mulakan. Maka
Laknat Allah atas tangan-tangan tersembunyi di sebalik kejadian ini yang tidak
lain tidak bukan pengikut Abdullah bin Saba’, pengasas ajaran Syiah.
Berpindah pula kepada fitnah yang kedua iaitu
peristiwa Siffin yang berlaku antara Saidina Ali r.a dan Saidina Muawiyah r.a.
Berkata al-Imam Ahmad bin Hanbal r.h:
Menceritakan kepada kami Umayyah bin Khalid, dikatakan kepada Syu’bah: Ibn Abi
Syaibah telah meriwayatkan daripada al-Hakam daripada Abdul Rahman bin Abi
Laila berkata: “Turut serta dalam peperangan Siffin daripada Ahli Badar 70
(tujuh puluh) orang”. Berkata Syu’bah: “Abu Syaibah salah, kami telah
berdiskusi dengan al-Hakam berkenaan perkara ini dan kami tidak dapati Ahli
Badar yang menyertai Siffin kecuali Khuzaimah bin Tsabit[1]”.
Dikatakan juga turut serta dalam Siffin daripada Ahli Badar, Sahl bin Hunaif
r.a dan Abu Ayyub al-Ansari r.a. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/281].
Al-Zahabi r.h menukil daripada Khalifah bahawa
Sahabat Ahli Badar yang menyertai Siffin bersama Ali r.a adalah: ‘Ammar bin
Yasir, Khawat bin Jabir, Sahl bin Hunaif, Abu Saad al-Sa’idi, Abul Yusr, Abu
Rifa’ah al-Ansari dan Abu Ayyub al-Ansari.
Sahabat yang bukan Ahli Badar pula adalah:
Khuzaimah bin Tsabit[2], Qais
bin Saad bin Ubadah, Abu Qatadah, Sahl bin Saad al-Sa’idi, Qurzah bin Kaab,
Jabir bin Abdullah, Ibn Abbas, al-Hasan, al-Husein, Abdullah bin Jaafar bin Abi
Talib, Uqbah bin ‘Amir, Abu ‘Ayyash al-Razki, ‘Adi bin Hatim, al-Asy’as bin
Qais, Sulaiman bin Surad, Jundub bin Abdullah, dan Jariah bin Qudamah”.
Lihat jumlah Sahabat yang menyertai peperangan
Siffin ini boleh dibilang dengan jari sahaja wahai kaum Muslimin sekalian,
masih terdapat beribu-ribu Sahabat lain lagi yang tidak turut serta dalam
peperangan ini.
Adapun riwayat daripada Abdul Rahman bin Abza
r.a:
شهدنا مع علي ثمانمائة ممن بايع بيعة الرضوان، قتل
منهم ثلاثة وستون رجلاً، منهم عمار
Maksudnya: “Kami menyertai Ali bersama 800 orang yang berbaiat dalam Baiat al-Ridwan,
terbunuh antara mereka 360 lelaki antaranya Ammar”. [Tarikh al-Islam, 3/545].
Riwayat ini munkar kerana perawinya: Yazid bin
Abdul Rahman adalah Abu Khalid al-Dalani kerana dia sahaja bernama Yazid bin
Abdul Rahman yang mempunyai riwayat yang diriwayatkan oleh Abdul Salam bin
Harb.
Yazid ini dihukum Layyin oleh Ibn Adi dalam
al-Kamil fid Dhu’afa’ dan cukuplah menjelaskan kedaifannya dengan disenaraikan
dalam al-Kamil, kitab yang khusus menceritakan perawi yang daif sahaja dan
Syuraik berkata: “Dia seorang
Murjiah, kami berlindung dengan Allah daripadanya”. [Lihat al-Kamil, 7/277-278
dan al-Tarikh al-Kabir , al-Bukhari, 8/346-347].
Maka jelas kepada kita jumlah Sahabat yang
terlibat dalam peperangan Siffin tidak sampai beberapa kerat sahaja, maka di
manakah kesahihan tohmahan Rafidah bahawa ‘SEMUA SAHABAT KECUALI BEBERAPA
KERAT’ kafir mereka kerana berperang sesama sendiri??
Kemudian, adakah mereka yang terlibat dalam
peperangan Kafir? Demi Allah, sama sekali tidak kerana Nabi s.a.w telah
menamakan mereka sebagai MUSLIMIN sebagaimana dalam sabda baginda:
إنَّ ابني هذا سَيِّدٌ ، ولعَلَّ اللهَ أَنْ يُصلِحَ
به بَيْنَ فِئتَينِ عَظِيمَتَينِ من المسلمين
Maksudnya: “Sesungguhnya anak ku ini (yakni al-Hasan bin Ali r.hma) adalah Sayyid
(penghulu), mudah-mudahan Allah akan membaikkan dengannya dua puak yang besar
daripada Muslimin”. [al-Bukhari].
Hadis ini mengisyaratkan islah yang dilakukan
oleh Saidina al-Hasan r.a dengan menyerahkan jawatan Khalifah kepada Saidina
Muawiyah r.a yang dengan itu kaum muslimin berkumpul semula di bawah satu
Khilafah dan dinamakan tahun itu sebagai ‘Tahun Jamaah’.
Jelas dan terang lagi bersuluh Nabi s.a.w
menamakan kedua-dua kumpulan yang menyokong Ali r.a dan Muawiyah r.a sebagai
MUSLIMIN, maka siapakah Rafidah sehingga berani-berani sahaja mengkafirkan para
Sahabat Nabi s.a.w. Sungguh rahmat dan reda Allah tidak putus-putus mencurah ke
atas para Sahabat Rasulullah s.a.w dan tidak putus-putus pula laknatNya atas
kaum Rafidah yang zalim dan fasiq ini.
[1] Kedudukan
Khuzaimah bin Tsabit r.a sebagai Ahli Badar terdapat pertikaian.
[2] Atas pendapat beliau bukan
Badri