Wednesday, October 1, 2025

๐—ฆ๐˜†๐—ฒ๐—ถ๐—ธ๐—ต ๐— ๐˜‚๐—ต๐—ฎ๐—บ๐—บ๐—ฎ๐—ฑ ๐—ฏ๐—ถ๐—ป ‘๐—”๐—ฏ๐—ฑ. ๐—ฎ๐—น-๐—ช๐—ฎ๐—ต๐—ต๐—ฎ๐—ฏ: ๐—ง๐—ผ๐—ธ๐—ผ๐—ต ๐—ฌ๐—ฎ๐—ป๐—ด ๐——๐—ถ๐˜‡๐—ฎ๐—น๐—ถ๐—บ๐—ถ.

Mas'ud al-Nadwi  (terjemahan : Mohd Amin Yaacob)

Pemerintahan Kerajaan Semenanjung Tanah Arab

Secara realiti proses pembaikan (al-Islah) dari sudut pegangan serta akhlak yang berlaku di negeri Najd serta lingkungannya ketika hayat al-Syeikh al-Imam dan selepas kematian beliau berpunca dari pergerakan dakwah serta keperibadian dirinya. Beliau bernasib baik karena dibantu para penguasa seperti Muhammad bin Saud, 'Abd. al-'Aziz bin Muhammad bin Saud dan Saud bin 'Abd. al-'Aziz dalam merealisasikan perjuangan. Keluarga Saud (Aali Sa'ud) dikenal sebagai golongan yang menganut teguh perjuangan al-Syeikh al-Imam. Sehubungan ini penulis mengemukakan sejarah keluarga ini secara ringkas serta perkaitan mereka dengan pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam.

Pemerintahan Pertama: Muhammad bin Saud[1]

๐Ÿ“ŒKetika pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam berkembang dengan pesat al-Amir Muhammad bin Saud (m.1179H/1765M) menghantarkan satu utusan ke al-Haramain (Mekah). Ia bertujuan memohon keizinan terhadap penduduk Najd menunaikan kewajipan haji serta mengadakan dialog dengan ulama' Mekah mengenai beberapa permasalahan. Namun usaha ini mendapat tindakbalas negatif dari penguasa Mekah ketika itu. Penahanan dilakukan terhadap delegasi Najd sehingga sebagian dari mereka dipenjarakan.

๐Ÿ“ŒPenduduk Najd dihalang menunaikan haji

Ahmad Zaini Dahlan turut memeriwayatkan peristiwa ini. Namun penulis menemukan penulisannya [2] tidak berdasarkan fakta yang sahih serta peristiwa yang direkod secara tidak benar dan amanah. Oleh karena itu disarankan terpaksa disandarkan kepada penulisan๐Ÿ“Œ Ibnu Bisyr yang mengulas seperti berikut:

Pada tahun 1162H, Syarif (penguasa) Mekah Saud bin Sa'id menahan delegasi Najd serta menjatuhkan hukuman bunuh diri terhadap sebagian dari mereka.[3]

Disebabkan berpegang teguh pada pergerakan dakwah al-Syekh al-Imam, penduduk Najd dilarang menunaikan haji ke Mekah serta menziarahi kota ini secara bebas selama beberapa tahun. Pengecualian dilakukan terhadap delegasi ulama' Najd yang diizinkan menziarahi Baitullah pada 1183H, 1185H dan 1197H. ini berubah selepas 'Abd. al-'Aziz berjaya menguasai kota Mekah secara aman pada 1218H/1803M.

Pemerintah Kedua: 'Abd. al-'Aziz

bin Muhammad bin Saud
al-Amir Muhammad bin Saud meninggal dunia ketika pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam masih diperingkat awal. Beliau digantikan anaknya ‘Abd. al-‘Aziz bin Muhammad bin Saud. Menurut Margoliouth, satu delegasi dihantar ke Mekah pada 1179H/1766M menemui Syarif[4] (penguasa)nya. Dalam pertemuan ini para ulama’ Mekah menetapkan bahawa pegangan akidah penduduk Najd tidak menyalahi ketetapan Imam ahl a-Sunnah yaitu Ahmad bin Hanbal rahimahullah. Namun Ibn Ghannam, Ibn Bisyr serta Philip tidak menyebutkan tarikh penghantaran delegasi pada 1179H/1766M. Tarikh yang dinyatakan Margoliouth tidak diperakui disebabkan beliau tidak menyatakan sumber perolehan maklumat. Kenyataan Ahmad Zaini Dahlan (al-Durar al-Saniyyah, hlm.44) turut dipertikaikan kerana tidak berdasarkan kepada sebarang fakta.

Haji pertama selepas larangan
         
Pada 1183H berlaku pertempuran antara golongan al-Muwahhidin dengan rombongan Mekah sehingga tertangkapnya Mansur, penguasa Mekah. Namun al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz membebaskan beliau tanpa dikenakan sebarang bayaran pembebasan (fidyah). Kesan dari peristiwa ini menyebabkan penguasa Mekah mengizinkan pengikut al-Syeikh al-Imam menunaikan Haji di Mekah. Ibn Ghannam mengulas:

Penangkapan penguasa Mekah menyebabkan ibadat haji dibenarkan dilaksanakan dengan aman.[5]

Walaupun kebenaran tidak tertakluk kepada beberapa tahun mendatang, peristiwa ini berjaya membuka lembaran baru dalam mengadakan perbincangan serta dialog.

Delegasi pertama Najd

Ibn Ghannam berkata:

Pada 1185H/1779M, al-Syeikh al-Imam serta ‘Abd. al-‘Aziz menghantar sejumlah besar hadiah kepada penguasa Mekah Ahmad bin Sa’id. Natijah dari tindakan ini, penguasa Mekah menghantar perutusan meminta diutuskan seorang ilmuan bagi memperjelaskan hakikat dakwah al-Syeikh al-Imam serta mengadakan dialog dengan ulama’ Mekah. al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz al-Husin diutus dengan membawa perutusan dari al-Syeikh al-Imam.

Antara yang hadir dalam sessi dialog ialah Yahya bin Salih al-Hanafi, ‘Abd. al-Wahhab bin Hassan al-Turki mufti daerah Sultan, ‘Abd. al-Ghani bin Hilal. Perbincangan berlegar sekitar tiga permasalahan seperti berikut:

Pertama: Persoalan hukum kafir ke atas kaum muslimin yang melakukan perkara menyalahi akidah.

Kedua: Meruntuhkan kubah di atas kubur.

Ketiga: Pengingkaran memohon syafaat kepada golongan salih yang sudah mati. Para ulama’ berpuas hati dengan pembuktiaan yang dikemukakan al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz al-Husin lantas mereka mengeluarkan kenyataan: “Ini merupakan pegangan imam Ahmad bin Hanbal.”

Tuan syeikh ini meninggalkan sessi dialog dengan menerima pujian serta penghormatan.[6]

Ibn Bisyr mengemukakan kisah ini secara ringkas.[7] Philip turut menyatakannya namun majoriti kenyataan beliau berdasarkan kitab Ibn Ghannam Raudhah al-Afkar. Philip tersilap apabila menyatakan tarikh penduduk Najd diizinkan menunaikan Haji iaitu 1183H/1769M serta tarikh perutusan delegasi iaitu 1185H/1771M. Kenyataan beliau menyalahi apa yang termaktub dalam kitab Ibn Ghannam.

Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz bin ‘Abd. Allah al-Husin termasuk kalangan murid al-Syeikh al-Imam yang terkenal alim serta jujur (thiqah). Beliau diutus sebagai ketua delegasi ke Mekah sebanyak dua kali serta dilantik sebagai hakim setelah al-Syeikh al-Imam meninggal dunia. Beliau menjawat portofolio ini ketika pemerintahan al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz (m.1218H/1803M), Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz (1229H/1814M) dan ‘Abd. Allah bin Saud (mati disalib 1234H/1819M). Ketika Ibrahim Basya menawan al-Dar’iyyah pada 1234H beliau diperlakukan dengan keji[8] sehingga menjejaskan fizikalnya. Segala puji bagi Allah, tuan syeikh ini tidak dibunuh sebagaimana yang lain. Beliau meninggal dunia pada 21 Rejab tahun 1237H/April 1822M.[9]

Keizinan umum dalam menunaikan haji

Ibn Ghannam mengulas:

Pada 1197H/1785M ‘Abd. al-‘Aziz menghantar sejumlah besar hadiah seperti kuda tunggangan, unta dan selainnya kepada Suror penguasa Mekah. Kesan dari tindakan ini menyebabkan penduduk Najd diizinkan menunaikan ibadat haji setelah larangan dikenakan selama beberapa tahun. Jumlah mereka yang menyertai rombongan ini sekitar 300 orang.[10]

Ibn Bisyr tidak menyatakan kisah ini. Philip menyebutkannya dengan menyatakan tarikh berlakunya peristiwa ini pada 1197H/1785M. Sehubungan ini Philip berkata:

Suatu yang jarang diulas di mana tindakan penguasa Mekah mengizinkan penduduk Najd menunaikan haji buat kali kedua merupakan perkara penting dalam sejarah Arab di waktu itu. Ia berkait peranan Suror membebaskan pentadbiran Hijaz dari pengaruh khalifah Turki. Bagi menunjukkan kekuasaannya Suror melancarkan serangan ke atas sempadan ‘Asir serta Najd dan menyekat penduduk Najd dari menunaikan haji.

Namun golongan Wahabi tidak memperdulikan gertakan penguasa Mekah ini. Sebaliknya tindakan Suror mengakibatkan beliau menghadapi kesukaran dari aspek yang berlainan. ๐Ÿ“ŒIa merujuk pertelingkahan antara jemaah haji Iraq serta Iran. Suror tidak berupaya memberi perlindungan kepada mereka. Ini menyebabkan penguasa Iraq mencegah rakyatnya dari melakukan perjalanan. Kerajaan Iran mendakwa penguasa Iraq bertanggungjawab terhadap kesukaran yang dihadapi jemaah haji mereka di padang pasir.

Kesan dari pertelingkahan kedua pihak ini menyebabkan sumber hasil penduduk Hijaz tersekat sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan peniaga. Apabila merasakan permasalahan ini tidak dapat diselesaikan Suror terpaksa menjalinkan hubungan baik dengan penguasa Najd. Penghantaran hadiah seperti kuda dan unta pada musim kemarau ini merupakan titik permulaan kepada hubungan baik.[11]

Delegasi kedua Najd

Suror meninggal dunia pada 1202H. ‘Abd. al-Mu’in serta Ghalib menggantikan tempatnya sebagai penguasa Mekah. Ketika Ghalib dilantik sebagai penguasa berlaku peperangan hebat antara penduduk Najd, Hijaz serta Mesir. Wujud bukti kukuh mengatakan Ghalib menghantar perutusan kepada ‘Abd. al-‘Aziz supaya mengutuskan seorang ilmuan yang dapat memperjelaskan hakikat dakwah al-Syeikh al-Imam. ‘Abd. al-‘Aziz merasa amat gembira lantas menghantar al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz al-Husin (ketua delegasi pertama) yang turut membawa bersamanya perutusan al-Syeikh al-Imam kepada Ghalib.

Menerusinya beliau mengemukakan pembuktian jelas mengenai dakwah al-Salafiyyah serta peringatan terhadap keputusan delegasi pertama di mana para ulama’ Mekah bersetuju dengan perjuangan al-Syeikh al-Imam. Ghalib menyambut baik kedatangan al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz al-Husin serta menerima penjelasan yang disampaikannya. Namun beliau menarik kembali sokongan atas desakan ulama’ yang berkepentingan. Golongan ini menyatakan sekiranya Ghalib menyahut seruan Ibn Saud beliau akan kehilangan kekuasaan. Dalam konteks ini al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz al-Husin mendesak Ghalib supaya mengadakan pertemuan serta dialog antara beliau dengan ulama’ Mekah. Namun golongan ini menolak untuk diadakan pertemuan.[12] Suatu yang menghairankan apabila Ibn Bisyr tidak menyebutkan peristiwa penting ini.

Delegasi ketiga Najd

Apabila delegasi kedua mengalami kegagalan, maka berlaku pertembungan antara kedua pihak (Hijaz serta Najd. Dalam tempoh ini tentera Najd berjaya meluaskan pengaruh serta kekuasaan di seluruh Semenanjung Tanah Arab. Ini sehinggakan mereka berjaya menakluki wilayah al-‘Ama’ir berdekatan al-Ahsa’ pada 1211H serta memperolehi banyak harta rampasan.[13]

Melihat kekuatan penduduk Najd menyebabkan Ghalib bersedia mengadakan perundingan seterusnya. Beliau menghantar perutusan kepada al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz agar mengutuskan seorang ilmuan yang dapat memperjelaskan hakikat dakwah al-Syeikh al-Imam kepada penduduk Mekah. Delegasi ketiga dihantar setelah al-Syeikh al-Imam meninggal dunia. ‘Abd. al-‘Aziz dengan segera mengabulkan permintaan Ghalib disebabkan di sisinya tidak ada yang lebih penting dari seruan dakwah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Individu yang terpilih mengetuai delegasi ini ialah salah seorang murid terkemuka al-Syeikh al-Imam iaitu al-Syeikh Hamid bin Nasir bin ‘Uthman bin Mu’ammar.

Apabila selesai menunaikan tawaf di Mekah, tuan syeikh ini serta rombongannya menyerahkan hadiah yang dikirim ‘Abd. al-‘Aziz kepada penguasa Mekah. Perundingan dengan para ulama’ Mekah yang berlangsung selama beberapa hari berjaya mencapai matlamat. Beberapa persoalan yang dikemukakan ulama’ berjaya dijawab dengan kukuh oleh al-Syeikh Hamid bin Nasir bin ‘Uthman bin Mu’ammar. Jawapan ini akhirnya dicetak dengan tajuk al-Fawakih al-‘Azab fi al-Radd ‘ala Man Lam Yahkum al-Sunnah wa al-Kitab.[14] Perbincangan secara khusus berlegar mengenai persoalan syafaat, al-Istigoshah serta hukum kafir ke atas mereka yang meninggalkan solat. Dialog ini diadakan pada 1211H dalam sebuah perhimpunan yang dihadiri Ghalib, penguasa Mekah. Ibn Ghannam mengulas:

Para ulama’ Mekah mengakui kekuatan hujjah al-Syeikh Hamid bin Nasir bin ‘Uthman bin Mu’ammar namun mereka tetap menyatakan penentangan…hingga akhir.

Ibn Ghannam menyatakan secara lengkap peristiwa ini[15], begitu juga Philip[16]. Namun agak menghairankan Ibn Bisyr tidak menyatakannya.

al-Syeikh Hamid bin Nasir bin ‘Uthman bin Mu’ammar dikurniakan kelebihan menuntut ilmu dengan al-Syeikh al-Imam sebagaimana ketua delegasi pertama serta kedua iaitu al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz al-Husin. Beliau turut menuntut ilmu kepada saudara al-Syeikh al-Imam iaitu Sulaiman bin ‘Abd. al-Wahhab. Tuan syeikh ini dilantik sebagai hakim di al-Dar’iyyah dalam tempoh yang panjang. Al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz mengutuskan beliau ke Mekah untuk mengajar serta memberi fatwa. Beliau meninggal dunia di Mekah pada pertengahan bulan Zulhijjah 1225H/Januari 1811M.[17]

Perdamaian setelah peperangan

Penguasaan golongan Wahabi semakin pesat menyebabkan penguasa Mekah mengutus delegasi kepada Sulaiman Basya, penguasa Iraq.[18] Sulaiman menghantar pasukan tentera yang dipimpin Suwaini diikuti oleh Ali Basha.[19] Namun tentera Iraq mengalami kekalahan sehinggakan tentera Najd berjaya melakukan serangan berterusan ke atas sempadan Iraq. al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz berjaya menakluki Bahrain, Oman serta wilayah sekitarnya. Kesan peristiwa ini menyebabkan penduduk Najd dilarang sama sekali menunaikan haji. Tentera Najd berterusan melancarkan serangan terhadap Iraq sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penguasa Mekah. Sekali lagi mereka terpaksa menarik kembali larangan mengerjakan haji serta mengadakan kerjasama. Peperangan akhirnya diteruskan pada 1205H/1790M, 1210H/1795M dan 1212H/1798M. Tentera Najd berjaya mencapai kemenangan dalam kesemua peperangan ini.[20]

Peperangan yang berlaku pada 1212H/1798M di tempat bernama al-Kirmah dianggap peperangan paling dahsyat.[21] Ghalib mengalami kekalahan besar dengan beribu-ribu tenteranya terkorban. Genjatan senjata diadakan pada 1213H/Disember 1798M. Penduduk Najd serta rombongan dari Iraq berpeluang menunaikan haji dengan aman pada 1213H hingga 1215H.

Ibadat haji pada 1213H

Setelah tamat peperangan al-Kirmah, Ghalib menghantar perutusan kepada ‘Abd. al-‘Aziz bagi memohon mengadakan perjanjian damai. ‘Abd. al-‘Aziz bersetuju dengan perkara ini lantas Ghalib membenarkan penduduk Najd menunaikan haji. Antara individu yang menyertainya ialah ‘Ali bin Muhammad serta Ibrahim bin Muhammad.[22] Keduanya merupakan anak kepada al-Syeikh al-Imam. Dahlan mengulas:

Ikatan perjanjian damai berlaku antara mereka sehingga terhenti peperangan. Golongan Wahabi mula mengerjakan haji dengan selamat. Ini ketika mana penduduk Mekah ditegah dari menyatakan penentangan terhadap mereka sama ada menerusi lisan mahupun tangan.[23]

al-‘Amir ‘Abd. al-‘Aziz serta anaknya Saud tidak berpeluang mengerjakan haji pada tahun tersebut. Ini disebabkan timbalan penguasa Iraq Ali Basya menghantar pasukan tentera bagi melancarkan serangan ke atas al-Dar’iyyah sehinggakan keduanya sibuk menyiapkan pertahanan. Peristiwa ini berlaku pada 1213H/1799M.

Ibadat haji pada 1214H

Perlaksanaan haji pada tahun ini disertai al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz. Rombongan beliau disertai sebilangan besar penduduk Najd, al-Ahsa’, wilayah sekitarnya, golongan Badwi serta selainnya. Ia terdiri dari pasukan tentera berkuda, golongan wanita serta kanak-kanak. Mereka berjaya melaksanakan haji dengan sempurna serta mengelakkan diri dari melakukan perkara yang menyalahi syariat.[24] Rombongan ini pulang dengan selamat setelah selesai menunaikan haji pada 28 Zulhijjah/1800M.[25]

Ibadat haji pada 1215H
         
Perlaksanaan haji pada tahun ini turut disertai al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz serta anaknya Saud. Rombongan beliau disertai penduduk Najd, golongan Badwi, kaum wanita dan kanak-kanak. Setelah berlalunya hari ke tujuh, ‘Abd. al-‘Aziz ditimpa sakit tenat sehingga terpaksa diusung pulang ke al-Dar’iyyah. Kedudukannya sebagai ketua rombongan haji digantikan anaknya Saud. Beliau melaksanakan tugas dengan baik serta dengan sifat kemuliaan yang wujud pada dirinya beliau banyak memberikan sedekah serta pemberian kepada golongan yang memerlukan.[26] Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz turut memberikan penghormatan ke atas rombongan haji yang datang dari negara luar seperti Oman yang diketuai penguasanya.[27]
  
Penulis mengemukakan peristiwa berdasarkan susunan yang betul setelah merujuk kepada sumber yang diperakui. Ternyata sebahagian ilmuan seperti al-Amir Syakib Arsalan melakukan kesalahan dari aspek penyusunan peristiwa. Ini berkemungkinan besar disebabkan rujukan kepada penulisan eropah.[28]

๐Ÿ“Œ๐Ÿ“ŒSerangan terhadap Karbala pada 1216H/1802M
       
Wujud beberapa periwayatan mengenai serangan tentera Najd terhadap Karbala, Najaf serta kawasan sekitarnya. Philip mengulas:

Serangan bertubi-tubi Ibrahim Basya serta penguasa Basrah dengan dibantu tentera bersekutu ke atas golongan Wahabi di tanah air mereka pada 1798M mengalami kegagalan. Genjatan senjata selama 6 tahun diadakan antara ‘Abd. al-‘Aziz dengan Ibrahim Basya. ๐Ÿ“Œ๐Ÿ“ŒNamun ia tidak kekal lama apabila golongan Syi’ah di kalangan puak Khuza’il melancarkan serangan hebat ke atas rombongan Wahabi. Tindakan jahat ini menyebabkan Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz melakukan serangan balas dengan menyerang Karbala pada 18 Zulhijjah 1216H/21 April 1802M.[29]
         
Ibn Bisyr mengulas:

Saud dengan tentera berkuda serta unta yang berasal dari Najd, Hijaz, Tihamah dan selainnya mara ke bumi ๐Ÿ“ŒKarbala pada bulan Zulkaedah.[30] Apabila tiba di sana mereka memasuki Karbala dengan memanjat dinding. Majoriti penduduknya di kalangan lelaki dewasa dibunuh sama ada di pasar mahupun tempat kediaman. Selepas itu mereka memusnahkan kubah yang terletak di atas kubur yang diyakini golongan Syi’ah milik Husin radiyallahu ‘anh. Mereka mengambil apa sahaja yang terdapat di sisi kubah, sekitarnya dan di tempat lainnya seperti senjata, pakaian, tikar, emas, perak, naskah al-Qur’an yang bernilai dan sebagainya. Tentera ini meninggalkan Karbala menjelang pagi keesokan harinya dengan membawa keseluruhan harta rampasan setelah membunuh sekitar 2000 lelaki.[31]
         
Penduduk Najd merasa gembira mendengar peristiwa ini. Sebaliknya kaum muslimin secara umum serta golongan Syi’ah secara khusus menyatakan kemarahan mereka. Fath Ali Qajar (1212-1250H/1798-1834M) Syah Iran ketika itu berazam melancarkan serangan balas terhadap Najd dengan kekuatan 100,000 tentera. Sulaiman Basha penguasa Baghdad turut menyediakan kelengkapan ketenteraan. Namun hasrat Syah Iran terpaksa dibatalkan apabila penduduk Iran terlibat dalam pertelingkahan serta peperangan sesama sendiri. Sementara Ibrahim Basha sibuk mengatasi revolusi yang dilancarkan puak Kurdi terhadap dirinya.[32]

Sehubungan ini kemarahan Syah Iran dapat difahami. Namun kenyataan penulisan sejarah mengenai hasrat beliau melancarkan serangan ke atas Najd tidak tidak dapat dibuktikan. Dalam konteks ini ini penulis menemui sebuah manuskrip di perpustakaan al-Syarqiyyah di Batnah yang menyatakan perkara ini. Antara isi kandungannya ialah sebuah risalah yang diutus al-‘Amir Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz kepada Syah Iran Fath Ali Qajar.

Beliau berazam melancarkan serangan balas terhadap penduduk Najaf serta menghapuskan perbuatan syirik yang dilakukan golongan Syi’ah di sana. Sekiranya Syah Iran tidak berusaha membasmi kekejian ini penguasa Najd akan mengambil tindakan drastik. Risalah ini turut mengungkapkan jawapan Fath Ali Qajar terhadap al-‘Amir Saud. Beliau memberi amaran supaya penguasa Najd tidak meneruskan hasratnya. Di permulaan risalah dinyatakan penjelasan serta keutamaan perjuangan dakwah al-Syeikh al-Imam secara ringkas.       

Manuskrip ini ditulis pada 1219H/1804M selepas berlakunya peristiwa serangan ke atas Karbala. Namun dari sudut lain, penulis merujuk kenyataan Philip[33] yang mengulas bahawa wujud persefahaman serta hubungan baik antara Syah Iran dengan al-‘Amir Saud pada 1808M. Dengan itu hasrat Syah Iran untuk menyerang Najd tidak dapat dibuktikan. Mengenai hasrat Ibrahim Basha diketahui umum beliau meninggal dunia pada 1217H sejurus selepas berlakunya peristiwa Karbala.[34]

Perjanjian damai tamat pada 1217H

Hakikatnya perjanjian damai antara Najd serta Mekah setelah tamat peperangan al-Kirmah tidak berpanjangan. Ghalib penguasa Mekah menuduh tentera Najd mencabuli syarat perjanjian. Apabila perkara ini tidak dapat diselesaikan melalui perutusan surat Ghalib, menghantar menterinya Uthman al-Mudoifi untuk mengadakan perundingan. Namun apabila tiba di Najd, Uthman membuat keputusan menyertai golongan Wahabi.

Di sudut yang lain, hubungan antara Ghalib dengan saudaranya ‘Abd. al-Mu’in semakin buruk. Sehubungan ini ‘Abd. al-Mu’in memohon bantuan Saud sehingga berlaku pertempuran berdekatan bandar Taif. Walaupun mengalami kecederaan teruk, Ghalib berjaya menyelamatkan diri dengan berlindung di kubu Taif. Tentera Najd berjaya menawan Taif serta melantik Uthman al-Mudoifi sebagai gabenor Hijaz.[35] Dalam konteks ini golongan Wahabi berjaya meluaskan pengaruh serta wilayah kekuasaan sehingga bersiap sedia ke Mekah.

Musim haji semakin hampir. Rombongan berkuda Syam dalam perjalanan menunaikan haji dengan berpakaian ihram diketuai ‘Abd. Allah Basha. Beliau berjaya mengadakan perjanjian damai dengan Saud. Syarat perjanjian ialah rombongan Syam dikehendaki kembali ke negeri mereka setelah 3 hari tamat menunaikan haji. Ghalib memohon kepada ‘Abd. Allah Basha supaya menjadi pengantara antara dirinya dengan Saud. Namun ketua rombongan Syam dengan segera berangkat kembali dengan mematuhi syarat perjanjian lantas tidak mempedulikan saranan Ghalib.[36]

Memasuki Mekah

Setelah selesai musim haji, Ghalib penguasa Mekah melarikan diri ke Jeddah. Sehubungan ini Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz berjaya memasuki Mekah dengan aman tanpa sebarang penentangan. Peristiwa ini berlaku pada hari sabtu 8 Muharram 1218H/ 30 April 1803M.[37] Saud melantik ‘Abd. al-Mu’in saudara Ghalib sebagai amir Mekah serta melaksanakan pembaikan (al-Islah). Ibn Bisyr mengulas:

Saud memasuki Mekah dengan memberikan keamanan serta pemberian yang banyak kepada penduduknya. Apabila selesai menunaikan tawaf serta sai’e Saud serta kaum muslimin mula menjalankan proses meruntuhkan kubah yang dibina di atas kubur serta makam. Ia mengambil masa lebih 20 hari disebabkan kedudukan berselerak di merata tempat. Dengan itu Mekah berjaya membebaskan dirinya dari unsur syirik yang berkait dengan tanah perkuburan.[38]

Philip pula berkata:

Ketika memasuki Mekah, Saud berusaha membersihkan kota ini dari kekotoran berhala. Beliau membahagikan permata serta perhiasan lain yang terdapat di Ka’bah, meruntuhkan kubah serta membunuh sebahagian penjaga Ka’bah.[39]

Apa yang menarik Ibn Bisyr tidak menyebut peristiwa pembahagian permata serta pembunuhan sebahagian penjaga Ka’bah. Kenyataan ini disokong Hughes seorang rahib serta sejarawan terkenal:

Pembersihan kota suci umat Islam dilakukan tanpa sebarang kecederaan atau kematian ke atas penduduknya. Ketika penguasa Najd menguasai kota ini, Masjid al-Haram dimakmurkan sehingga terserlah ketaatan serta kezuhudan yang pupus sejak sekian lama.[40]

Barrack Hart, seorang penulis kontemporari mengulas:

Sehingga kini nama Saud sentiasa meniti dibibir penduduk Mekah. Ia disertakan dengan ucapan syukur serta ridha. Pujian turut diperuntukkan kepada tentera Najd di atas sikap beretika ketika memasuki Mekah.[41]

๐Ÿ“ŒDalam al-Hidyah al-Saniyyah:

Paksaan dilakukan ke atas masyarakat supaya menunaikan solat secara berjemaaah. Golongan Wahabi menghapuskan peralatan tembakau, pemakaian sutera serta ukiran. Mereka berpandangan ia menyalahi peraturan syariat.[42]

Dalam al-Khulasoh al-Kalam:

๐Ÿ“ŒGolongan Wahabi menghukum individu yang tidak menunaikan solat berjemaah sehingga masyarakat mulai menunaikan solat di belakang seorang imam. Ulama’ pelbagai madzhab akan mengimamkan solat dalam waktu yang berbeza. Risalah yang ditulis al-Syeikh ‘Abd. Allah bin Syeikh al-Islam yang menjelaskan pegangan serta perjuangan Wahabi disebarkan kepada umum. Di dalamnya mengandungi hukum meruntuhkan kubah, zawiyah serta persoalan lain.[43]

Ghalib sebagaimana penjelasan terdahulu menyembunyikan diri di Jeddah. Saud cuba menangkapnya setelah menetap di Mekah selama 14 hari (22 Muharram 1218H). Namun usaha ini menemui kegagalan disebabkan tentera beliau diserang penyakit taun. Dengan itu Saud terpaksa membatalkan hasrat menguasai Hijaz. Namun 200 tenteranya kekal di Mekah melakukan ibadat korban.[44]

๐Ÿ“Œal-Amir ‘Abd. al-‘Aziz mati syahid

Pada 18 Rejab 1218H/4 November 1803M, ketika sedang mengimamkan solat Asar seperti biasa, penguasa Najd ini ditikam dengan sebuah belati ketika sujud sehingga membawa kepada kematian. Individu yang melakukan perbuatan ini ialah seorang penganut Syi’ah al-Rafidhoh berbangsa Iran ataupun Kurdi[45] yang menetap di al-Dar’iyyah. Beliau bertindak demikian sebagai balasan terbunuh sebahagian keluarganya di Karbala di tangan tentera Najd. Beliau berpura-pura menjadi seorang yang salih sehingga ‘Abd. al-‘Aziz mempermuliakannya. Ini memberikan ruang kepadanya melaksanakan perancangan jahat setelah menunggu selama setahun.

Al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz bin Saud memerintah Najd selama 37 tahun (1179H/1765-1218H/1803M). Sebahagian besar pentadbirannya di bawah pengawasan al-Syeikh al-Islam. Beliau memegang tampuk pemerintahan setelah ayahnya meninggal dunia pada 1159H/1744M. Keseluruhan peperangan yang berlaku antara 1159H/1744-1179H/1765M, di bawah pimpinan beliau. Manakala peperangan selepas tarikh ini diserahkan kepada timbalan penguasa yang juga anaknya Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz.

Al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz memperolehi manfaat besar kerana berpeluang menjadi murid al-Syeikh al-Imam sehingga kecintaan kepada dakwah tertanam kukuh di dalam sanubarinya. Sehubungan ini setelah sempurna penguasaan ke atas beberapa wilayah, langkah pertama yang dilakukan beliau ialah usaha pembaikan (al-Islah). Menurut Ibn Bisyr, al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz terkenal di kalangan rakyat dengan sifat kelembutan serta kasih sayang. Mencukupi bagi penulis menyatakan penyaksian Imam Muhammad bin Ali al-Syaukani (1173H/1760M-1250H/1832M) yang hidup sezaman dengan beliau. Imam al-Syaukani mengulas:

Sesiapa sahaja yang berada di bawah pengawasan al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz akan mendirikan solat, menunaikan zakat serta melaksanakan keseluruhan tuntutan syariat. Mereka melakukan perkara ini setelah berada dalam suasana kejahilan. Ketika itu kalimah syahadah diucapkan di bibir tanpa mengetahui maksudnya. Namun setelah menjalani perubahan mereka mula mendirikan solat pada waktunya serta melaksanakan rukun Islam dengan tatacara sebenar.[46]

๐Ÿ“ŒPemerintah Ketiga: Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz (1218H/1803M-1229H/1814M)

Setelah mengambil alih tampuk pemerintahan, Saud mula meluaskan skop dakwah serta pentadbiran menurut panduan ayahnya. Beliau menyerahkan kepimpinan ketenteraan kepada anaknya ‘Abd. Allah. Dalam konteks ini Khaibar di Hijaz, Bahrain, Oman dan Ras al-Khimah berjaya ditawan. Menyedari kedudukan mereka dalam bahaya, kerajaan Turki mengarahkan Ali Basha penguasa Iraq, ‘Abd. Allah Basha penguasa Damsyik serta Syarif Basha penguasa Jeddah bersedia melancarkan serangan.

Persiapan ketenteraan dilakukan di Iraq yang terdiri kalangan bangsa Arab serta Kurdi. Namun persiapan ketenteraan tidak dapat dilaksanakan pada waktunya. Sehubungan ini Saud mengambil peluang menyerang Basrah sehingga Ali Basha terpaksa berkubu di al-Hilah. Tentera Najd seterusnya mara ke al-Zubir dan berjaya meruntuhkan kubah serta makam. Setelah selesai melaksanakan tugas mereka kembali ke Najd. Saud memperolehi banyak harta rampasan sementara Ali Basha sibuk mematahkan revolusi yang dilakukan puak Kurdi ke atasnya.[47]

Memasuki Mekah kali kedua

Ketenangan dirasai Saud melihat apa yang berlaku di Oman serta bandar persisiran pantai yang mengiktiraf kepimpinannya. Setelah selesai urusan Iraq beliau berfikir untuk menguasai Hijaz semula.[48] Sehubungan ini Uthman al-Mudoifi berjaya menawan Taif tanpa sebarang penentangan. Tentera Najd seterusnya memasuki Madinah dalam keadaan aman pada 1220H/1805M. Kubah serta makam yang wujud di kota suci ini berjaya diruntuhkan.[49] Dalam tempoh ini, tentera Najd yang berjaya menguasai bandar berdekatan bersiap sedia menuju ke Mekah.

Musim haji semakin hampir. Rombongan berkuda Syam yang dalam perjalanan menunaikan haji terpaksa menunda perjalanan disebabkan sekatan serta kekacauan yang berlaku di Mekah. Keadaan ini memaksa Ghalib memohon keamanan serta berjanji untuk mentaati Saud.[50] Dengan itu rombongan Syam diizinkan menunaikan haji. Sehubungan ini Ghalib menghantar hadiah kepada Saud dengan menyatakan ketaatan menerusi perjanjian damai yang dilaksanakan antara wakilnya ‘Abd. al-Wahhab Abi Nuqtah dengan ‘Uthman al-Mudoifi. Unwan al-Majd mengulas:

Suasana di Mekah serta jalan perhubungan kembali aman. Masyarakat berpusu-pusu ke Mekah dari seluruh wilayah sementara harga barangan kembali stabil.[51]

Kenyataan ini diperkukuhkan menerusi penyaksian sejarawan Eropah seperti Hart dan Bridges. Namun mereka menyatakan gambaran serta tempat yang berbeza seperti berikut:

Kota Madinah berjaya ditawan pada 1804M. Sebelum peristiwa ini terdapat seorang lelaki bernama Hassan Qal’ie yang menguasai Madinah. Beliau mengambil keseluruhan khazanah yang wujud di bilik Nabi (al-hujrah al-syarifah) serta dibahagikan kepada pengikutnya. Setelah berlalu beberapa masa penawanan kota ini, Saud turut memasuki bilik Nabi serta mengambil sisa khazanah yang ada di dalamnya.[52]

Haji ketiga Saud

Setelah berjaya menguasai Mekah Saud berpeluang menunaikan haji serta menziarahi Baitullah kali ketiga pada 21 Zulkaedah 1221H/1807M. Apabila tiba di Mekah beliau memberikan hadiah serta pemberian yang banyak kepada penduduknya. Apabila selesai menunaikan haji beliau menuju ke Madinah pada akhir Zulhijjah dan setelah menetapkan urusan pentadbiran Saud kembali ke al-Dar’iyyah. Ahmad Zaini Dahlan menyebut bahawa Saud mengeluarkan emas serta permata yang terdapat di bilik Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam.[53] Ibn Bisyr tidak menyatakan perkara ini. Dalam konteks ini kenyataan Dahlan tidak dapat disahkan disebabkan tiada bukti serta ia tidak dikemukakan Ibn Bisyr. Sekiranya Saud mengambil khazanah yang terdapat di bilik Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam serta membahagikan kepada tenteranya sudah pasti Ibn Bisyr menyatakannya. Ini sebagaimana ulasan beliau terhadap apa yang Saud lakukan di Karbala. al-Jabarti, sejarawan terkenal Mesir turut mengulas peristiwa ini dengan mengatakan ‘Abd. Allah bin Saud mengambil khazanah dari bilik Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam namun al-Jabarti kemudian membatalkan kenyataannya.[54]

Penting dinyatakan di sini bahawa rombongan berkuda Syam terpaksa berpatah balik kerana tidak mematuhi syarat yang ditetapkan. Syarat yang dimaksudkan ialah tidak membawa sebarang peralatan muzik serta para penyanyi.[55] Sehubungan ini Saud turut mengarahkan tentera Turki meninggalkan Mekah kerana tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.[56]

Pembaikan (al-Islah) lain

Saud menunaikan haji ketiga pada 1221H. Beliau berterusan mengerjakan haji selepas itu iaitu pada 1222-1227H. Urusan hajinya sentiasa sibuk dengan menyeru manusia kepada jalan Allah serta melaksanakan pembaikan kepada masyarakat. Ibn Bisyr mengulas:

Ketika berada di Mekah Saud sentiasa menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran. Sehubungan ini peralatan tembakau tidak dibenarkan dijual di pasar. Beliau melantik petugas yang berperanan menyeru kepada penunaian solat ketika masuk waktu dengan ucapan: Solat! Solat![57]

Ibn Bisyr berpeluang menziarahi Mekah serta menunaikan haji pada 1225H. Beliau menyatakan apa yang dilihatnya:

Saud dengan khusyuk memakai pakaian ihram. Ketika itu kami sedang berkumpul untuk menunaikan solat zohor. Beliau menyampaikan khutbah, memberi nasihat, mengajar masyarakat tatacara mengerjakan haji, menyatakan kepentingan kalimah tauhid serta memupuk perpaduan tanpa mengira darjat atau keturunan.

Saud menyeru sambil duduk di atas untanya. Beliau tidak membenarkan senjata dihunus di kota Mekah, melarang wanita memakai perhiasan serta mengancam sesiapa yang melakukan demikian. Beliau melantik petugas untuk menyeru kepada penunaian solat pada waktunya sehingga jarang dilihat golongan yang tidak hadir menunaikan solat. Di pasar tidak lagi terdapat sesiapa yang menghisap tembakau atau benda mengkhayalkan lainnya.[58]

๐Ÿ“ŒKetika menunaikan haji tahun berikutnya Ibn Bisyr berkata:

Mekah bebas daripada kemungkaran seperti menghisap tembakau, meninggalkan solat serta bersumpah selain nama Allah…hingga akhir.

al-Jabarti banyak menyatakan pembaikan yang dilakukan Saud. Ketika mengulas perjanjian damai antara Ghalib dengan Saud pada bulan Muharram 1221H, beliau berkata:

๐Ÿ“ŒSaud melarang perbuatan mungkar seperti meminum arak serta menghisap tembakau. Beliau menyeru kepada melazimi melakukan solat secara berjemaah, pengeluaran zakat, meninggalkan pemakaian sutera serta perhiasan mewah. Beliau membatalkan cukai yang membebankan serta menghapuskan bayaran pengurusan jenazah sehingga taraf hidup rakyat bertambah baik.

๐Ÿ“ŒSaud mengarahkan masyarakat supaya mematuhi perintah Allah sebagaimana termaktub dalam al-Qur’an, mengikhlaskan tauhid kepada-Nya, mengikuti sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam, khulafa al-Rasyidin, para sahabat, tabi’in serta imam empat madzhab dan meninggalkan pergantungan kepada selain Allah di kalangan makhluk-Nya. Mereka diperintahkan supaya meninggalkan syirik yang menyalahi Tauhid Uluhiyyah serta keseluruhan perlakuan bid’ah.

Dalam konteks ini Saud mengadakan dialog dengan para ulama’ sambil mengemukakan hujah yang qat’ie berlandaskan al-Qur’an serta al-Sunnah sehingga mereka bersetuju dengan tindakannya. Kesan dari usaha pembaikan ini terserlah keamanan dan kemakmuran sehingga di jalan perhubungan yang menghubungkan Mekah, Jeddah serta Taif.[59]

Penaklukan serta peperangan lain

Pergerakan tentera Saud tidak dihentikan setelah Hijaz berjaya dikuasai. Pada 1223H/1808M Saud melancarkan serangan terhadap Najaf di Iraq namun gagal menguasainya.[60] Sebaliknya dalam perjalanan pulang ke al-Dar’iyyah pasukannya diserang musuh di al-Samawah serta al-Zubir. Pada Rabiulakhir 1225H/1810M, Saud dan tenteranya menuju ke Syam. Setelah mencapai kejayaan dalam beberapa siri pertempuran, belau pulang dengan membawa sejumlah besar harta rampasan. Ibn Bisyr mengulas:

Pertempuran di Syam berjaya menimbulkan ketakutan besar di kalangan penduduk Damsyik serta kawasan sekitarnya.[61]

Peperangan turut berlaku di Basrah serta wilayah berhampiran namun tidak membawa keputusan sepertimana yang diharapkan.

Ras al-Khimah

Selain peperangan di atas, berlaku pertempuran antara tentera Najd dengan Syarikat Hindia Timur (East Indies Company)[62]. Hakikatnya kerajaan Inggeris di India merasa bimbing terhadap kegiatan penduduk teluk di kalangan puak Jawazim. Golongan ini berterusan melancarkan serangan terhadap kapal yang melalui perairan teluk sehingga mendatangkan kerugian besar. Kerajaan Inggeris berusaha mengatasi perkara ini sejak permulaan kurun ke 19. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan, Saud menguasai perairan teluk dan berjaya meletakkan puak Jawazim di bawah kekuasaannya. Sehubungan ini kerajaan Bombay menyerang Ras al-Khimah dengan kapal perangnya sehingga bandar tersebut musnah terbakar dan penduduknya terpaksa melarikan diri.

Kemusnahan bandar ini tidak memberi kesan kepada pergerakan tentera Najd. Aktiviti ketenteraan masih dikekalkan di wilayah pendalaman Oman. Namun sebagaimana kenyataan Zwemmer:

Serangan Britain merupakan malapetaka besar pertama yang dihadapi Najd sebelum ketibaan tentera Mesir. Angkatan perang dihantar dari Bombay pada 1809M bertujuan secara khusus menghancurkan pusat kegiatan golongan Wahabi di Ras al-Khimah serta penduduk tempatan. Bedilan meriam kapal bertalu-talu sehingga bandar tersebut terbakar menjadi abu.[63]

Bridges memetik kenyataan Kolonel Smith[64] yang menganggap kejatuhan Ras al-Khimah sebagai kekalahan moral pertama kepada golongan Wahabi.

Peperangan dengan Mesir

Secara realiti kekuatan Najd terbentang luas ke timur bandar Halib[65] hingga sempadan Hindi di selatan, dari perairan teluk di timur sehingga kawasan laut mati di sebelah barat. Keluasan pengaruh menyebabkan serangan ke atas Ras al-Khimah tidak mendatangkan kesan kepada mereka. Sebaliknya kekuatan ini mendatangkan kebimbangan kepada kerajaan Turki. Ini disebabkan penguasa Baghdad, Damsyik serta Jeddah gagal dalam usaha menghalang kemaraan golongan Wahabi.

Sehubungan ini kerajaan Turki melantik Mohammad Ali al-Khidwi al-Misri, penguasa Mesir supaya menyekat kekuatan Najd.[66] Dikatakan kerajaan Turki tidak melantik penguasa Mesir pada 1840M melainkan dengan syarat ini. Ungkapan kiasan yang disampaikan kepada penguasa Mesir yang dilantik: “Bunuhlah si ular! Namun jangan patahkan tongkatmu.”

Namun kekuatan Muhammad Ali meningkat dari masa ke semasa sehingga turut membimbangkan kerajaan Turki. Peluang diambil dengan membiarkan perselisihan berlaku antara keluarga Saud dengan penguasa Mesir. Peperangan pertama Mesir berlaku pada akhir 1226H/1811M. Tusun bin Muhammad Ali (m.1231H/1816M) menuju ke pantai barat dengan kekuatan 10,000 tentera. Beliau berjaya menawan Yanbu’ tanpa sebarang penentangan.[67] Tusun meneruskan perjalanan ke Madinah namun apabila tiba di sebuah jalan berhampiran selat yang sempit beliau bertembung dengan tentera Najd yang dipimpin ‘Abd. Allah dan Faisal, anak kepada Saud. Tusun mengalami kekalahan sehingga sekitar 1200 tenteranya terbunuh.[68] Beliau terpaksa berundur ke Yanbu’.

Tusun dan peperangan

Tusun bin Muhammad Ali menetap seketika di Yanbu’ sebelum mara ke Madinah sehingga berjaya menguasainya. Ini dilakukan setelah kota suci ini mengalami sekatan selama sebulan.[69] Beliau kemudian dengan segera menuju ke Jeddah sehingga ‘Abd. Allah bin Saud yang mengetuai tentera Najd terpaksa meninggalkan Mekah. Akhirnya tentera Mesir berjaya menawan Mekah tanpa sebarang penentangan. Setelah beberapa hari, mereka berjaya menawan Taif. Ahmad Zaini Dahlan mengulas:

Wajah kegembiraan terpancar di setiap daerah Mesir. Sambutan diadakan selama 15 hari bersempena kemenangan ini. Namun berlaku sesuatu yang tidak diduga di mana terjadi pertempuran ‘Anifah berdekatan tanah perkuburan Turbah sehingga Mesir menerima kekalahan.[70]

Uthman al-Mudoifi panglima tentera Saud semakin berani setelah berlakunya peperangan Turbah. Beliau mara ke Taif buat kali kedua namun pasukannya mengalami kekalahan dan beliau sendiri ditangkap dalam keadaan mengalami kecederaan. Majoriti tenteranya terbunuh.[71] Ghalib menghantar beliau kepada Muhammad Ali di Mesir namun tidak dapat menemuinya disebabkan beliau dalam perjalanan ke Hijaz. ‘Uthman diarak mengelilingi bandar Kaherah kemudian dihantar ke Istanbul di mana maut menantinya.[72] Ahmad Zaini Dahlan dalam kritikan secara terangan[73] terhadap Uthman tetap berasa kasihan ke atas nasibnya dengan berkata:

Ketika Uthman al-Mudoifi berada di Mesir sebilangan pegawai kerajaan Muhammad Ali Basha menemuinya serta menyoal siasat sekitar sejam. Mereka mendapati dia dengan lancar serta sebaik-baik ungkapan menjawab pertanyaan yang dikemukakan sehingga mereka berkata sesama sendiri: “Betapa malang si Uthman ini apabila dia pergi ke istana mereka pasti membunuhnya.”[74]

Muhammad Ali merasa bimbang terhadap keadaan peperangan sehingga secara bersendirian menuju ke Hijaz serta tiba di Jeddah pada akhir Syawal.[75] Beliau melucutkan jawatan Ghalib sebagai penguasa Mekah serta menahan kemudian menghantarnya ke Mesir sebagai tahanan. Ghalib kemudian dipindahkan ke Salonika dan akhirnya meninggal dunia setelah 2 tahun berlalu.[76] Muhammad Ali melantik Yahya bin Suror anak saudara Ghalib sebagai penguasa baru Mekah. Namun pemerintahannya hanya pada nama sahaja. Kekuasaan sebenar terletak di tangan Ahmad Basha, gabenor baru Hijaz. Dalam konteks ini Hijaz membebaskan dirinya dari penguasaan golongan Wahabi lantas menjadi sebahagian dari wilayah Mesir.[77] Muhamad Ali menganggap segala usaha yang dilakukan Ghalib di Mekah sia-sia sahaja. al-Rihlah al-Hijaziyyah berkata:

Ghalib dengan kedudukannya sebagai penguasa Mekah meneruskan aktiviti golongan Wahabi. Dia mengarahkan agar sisa-sia kubah golongan salihin di Mekah, Jeddah serta selainnya diruntuhkan.[78]

Hakikatnya Ghalib bertindak sedemikian kerana takut Saud akan melucutkan jawatannya sebagai penguasa Mekah. Namun Saud seorang pemimpin yang berperibadi mulia. Beliau membiarkan Ghalib mengekalkan jawatan. Sebaliknya Muhammad Ali merupakan individu yang mementingkan kebendaan. Tindakan pertama yang dilakukan setelah berjaya menguatkan kedudukan ialah menghukum Ghalib. Sekiranya pembaca ingin mengetahui secara lengkap konspirasi Muhammad Ali sehingga membawa kepada penangkapan Ghalib sila rujuk kepada kitab Khulasoh al-Kalam.[79] Bridges turut menyebutkan kisah penahanan Ghalib.[80] Ia menyamai kenyataan yang terdapat dalam Khulasoh al-Kalam. Burckhardt beberapa kali menyingkapkan sikap buruk serta tipudaya Muhammad Ali dalam penulisannya. Sebaliknya beliau menyatakan pujian terhadap Ghalib. Beliau berada di Mesir ketika Ghalib tiba sebagai seorang tahanan serta menyatakan pandangan ini setelah menemuinya.[81]

Namun pengaruh Muhammad Ali serta pemerintah Mesir lainnya tidak kekal lama. Walaupun Hijaz, ‘Asir serta Yaman berada di bawah kekuasaannya, tentera Najd berjaya melebarkan pengaruh di wilayah pendalaman. Mesir menghantar Mustafa Bek untuk memerangi golongan Wahabi namun beliau berjaya dikalahkan.[82] Apa yang menarik tentera Najd dipimpin seorang wanita bernama “Ghaliyah”. Burckhardt menyifatkan wanita ini sebagai serikandi yang memiliki sifat keberaniaan.[83]

Pada bulan Muharram 1229H/1814M, bantuan ketenteraan Mesir tiba menerusi jalan laut. Berlaku pertempuran antara mereka dengan tentera Najd berhampiran tanah perkuburan al-Qanzafah. Namun Mesir tetap menerima kekalahan.[84]

Saud meninggal dunia

Apabila kemenangan hampir berpihak kepada tentera Najd, ‘al-Amir Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz bin Muhammad bin Saud meninggal dunia pada malam Isnin 11 Jamadilawal 1229H/1814M. Kesannya menyebabkan kedudukan Muhammad Ali bertambah kuat sehingga harapan penduduk Najd untuk melebarkan pengaruh kekuasaan berkecai.

Kehidupan seharian Saud

Saud memiliki keperibadian yang jarang dapat ditandingi individu pada zamannya. Beliau mendapat pendidikan dari al-Syeikh al-Imam secara berterusan sehingga dirinya merupakan contoh dalam lapangan ilmu serta pengamalan. Kepakarannya dalam bidang ilmu fekah, hadith serta pidato.

Menjadi kebiasaan kepada Saud ketika suasana peperangan setelah menunaikan solat Maghrib beliau akan berdiri sambil menasihati tenteranya supaya bersikap sabar serta mentaati perintah. Beliau sentiasa mengungkapkan teladan dari sirah Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam serta para sahabat. Sehubungan ini tentera Najd dikenali dengan sifat keberanian serta disiplin yang tinggi. Mereka sentiasa berhati-hati ketika peperangan supaya senjata tidak digunakan terhadap kanak-kanak, kaum wanita serta golongan tua. Tidak dinafikan mereka menginginkan harta rampasan perang namun ia dibahagikan kepada golongan berhak berdasarkan tatacara hukum syariat.

Ketika suasana damai, penduduk al-Dar’iyyah akan berhimpun di hadapan istana setiap hari selesai menunaikan solat subuh. Saud serta keluarganya akan keluar serta duduk bersama mereka. Dalam perhimpunan ini seorang ulama’ di kalangan keluarga al-Syeikh al-Imam akan menyampaikan kuliah agama. Kebiasaannya ‘Abd. Allah bin al-Syeikh al-Islam yang ditugaskan melaksanakan perkara ini. Perbincangan berlegar sekitar Tafsir Ibn Jarir atau Ibn Kathir. Setelah selesai pengajian Saud akan memasuki istana sambil menunggu sehingga tengahari sekiranya ada di kalangan rakyat yang ingin menemuinya untuk mengadu atau memohon sesuatu.

Selepas solat zohor, pengajian ilmu diadakan di dalam istana. Keluarga al-Syeikh al-Imam tidak menghadiri majlis ini kerana sibuk mengendalikan pengajian ilmu di tempat lain. Di istana, Saud sendiri yang menyampaikan ilmu kepada pendengar. Pengajian meliputi pembacaan Tafsir Ibn Kathir atau Riyad al-Solihin. Saud akan menghuraikan isi kandungannya. Setelah selesai pengajian beliau menemui rakyat dalam tempoh 2 jam sehingga hampir waktu asar. Setelah selesai menunaikan solat Asar suatu perhimpunan umum diadakan dalam istana. Sulaiman bin ‘Abd. Allah bin al-Syeikh al-Islam (mati dibunuh 1233H) akan menyampaikan kuliah Sahih al-Bukhari. Ibn Bisyr penulis Unwan al-Majd berpeluang menghadiri majlis ini. Beliau memuji al-Syeikh Sulaiman di atas keluasan ilmu yang ada pada dirinya.

Ini merupakan perjalanan hidup al-Amir Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz secara ringkas. Bagi mengetahui secara mendalam, pembaca boleh merujuk kenyataan Unwan al-Majd,[85] Bridges[86] dan Burckhardt. Dalam konteks ini Burckhardt mengulas:

Buat pertama kali suasana kestabilan dan keamanan tercapai selepas era Nabi Muhammad. Golongan Badwi berpeluang melelapkan mata dengan lena di malam hari tanpa berasa susah hati kehilangan harta serta binatang ternakan.[87]

Pemerintah Keempat: ‘Abd. Allah bin Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz (1229H/1814M-1233H/1818M)

‘Abd. Allah memiliki sifat keberanian serta ketangkasan seperti Saud. Namun beliau belum mencapai tahap membuat keputusan serta kepimpinan seperti ayahnya. Apabila mendapati dirinya dalam bahaya, beliau memilih untuk berbaik-baik dengan musuh. Sebaliknya pihak musuh yang sememangnya bersumpah ke atas diri mereka untuk menghancurkan Najd mengambil sikap sambil lewa untuk berdamai. Sekiranya perdamaian dilakukan mereka akan mengkhianati perjanjian.

Merujuk suasana peperangan yang berlaku, tentera Najd berjaya menguasai al-Qanzafah yang terletak di laut merah dari tangan Mesir. Namun Muhammad Ali menghantar pasukan tentera yang diketuai ‘Abidin Bek menuju ke Zahran untuk menguasai semula al-Qanzafah. Walaubagaimanapun tentera Najd berjaya merampasnya kembali.[88]

Mesir mengalami nasib malang apabila mengalami kekalahan dalam peperangan Zahran. Faisal bin Saud berjuang bermati-matian menghadapi musuh berdekatan tanah perkuburan Taif. Setelah mencapai kejayaan beliau berhasrat menyerang Taif. Di sudut lain, Tusan bin Muhammad Ali menghadapi kesukaran. Namun Muhammad Ali tiba dengan segera menyalurkan bantuan sehingga Faisal terpaksa berundur. Berlaku peperangan hebat di Basl berhampiran Taif dengan kemenangan berada di pihak Mesir. Brockhardt mengulas:

Pertempuran menyebabkan lebih 5000 tentera Wahabi terbunuh. Di mana nilaian setiap kepala sekitar 6 dolar. Mayat tentera dilonggokkan di hadapan Muhammad Ali. Tentera Wahabi melakukan kesilapan strategi apabila bertempur di tempat terbuka. Mereka tidak mematuhi pesanan Saud supaya tidak bertembung dengan tentera Mesir atau Turki di tempat terbuka.[89]

Muhammad Ali melakukan kekejaman setelah tamat peperangan. Brockhardt menyaksikan sendiri tindakan beliau membiarkan sahaja tentera Wahabi yang terbunuh untuk menjadi santapan anjing liar.[90]

Muhammad Ali seterusnya mara sehingga berjaya menawan Turbah.[91] Beliau tiba di ‘Asir dan berjaya menawan beberapa puak berdekatan kemudian pulang ke Mekah melalui al-Qanzafah. Beliau terpaksa kembali ke Mesir atas sesuatu sebab yang tidak dijangka.[92] Anaknya Tusun bersiap sedia di Madinah untuk melancarkan serangan ke atas Najd. Dalam perjalanan menuju ke destinasi beberapa bandar terkenal di daerah al-Qasim seperti al-Ras berjaya ditawan. Namun sebahagian penduduk Najd berjaya menyekat jalan perhubungan di Madinah sehingga Tusun tidak menerima berita mengenai ayahnya yang berangkat ke Mesir. ‘Abd. Allah bin Saud mengadakan sekatan selama sebulan sehingga tentera Mesir terpaksa mengadakan rundingan damai. Berikut merupakan butiran perjanjian damai sebagaimana dinyatakan Ibn Bisyr serta sejarawan lainnya.

Perjanjian damai serta pengkhianatan

Ibn Bisyr mengulas:

Perjanjian damai diadakan antara Tusun dengan ‘Abd. Allah. Ia berkait peperangan antara kedua pihak, serangan terhadap Najd dihentikan, keselamatan jalan perhubungan kedua pihak yang melibatkan Turki, Syam, Mesir serta keseluruhan wilayah berdekatan hingga ke Najd. Selain itu urusan haji hendaklah dipastikan dalam keadaan selamat. ‘Abd. Allah mengutuskan delegasi yang diketuai penguasa al-Dar’iyyah ‘Abd. Allah bin Muhammad bin Bunyan dan al-Qadi ‘Abd. al-‘Aziz bin Muhammad bin Ibrahim ke Mesir dengan membawa surat perjanjian untuk diserahkan kepada Muhammad Ali penguasa Mesir. Delegasi ini tiba dan kembali dengan selamat.[93]

Secara realiti, ‘Abd. Allah bin Saud berada di pihak yang kuat ketika itu. Beliau menerima bantuan dari keseluruhan bandar bahagian selatan. Sekiranya dilihat kepada kepentingan kedudukan, dengan mudah pengaruh Mesir di Semenanjung Tanah Arab dapat disekat. Namun beliau tidak mengambil peluang ini dengan menerima perjanjian damai. Sehubungan ini Tusun kembali ke Madinah dengan selamat.[94] Menurut Ibn Bisyr, Philip serta selainnya, perjanjian damai terlaksana dengan sempurna antara Tusun dengan ‘Abd. Allah. Ini berdasarkan kenyataan Ibn Bisyr bahawa delegasi ‘Abd. Allah kembali dari Mesir dengan kejayaan.[95]

Namun Philip menambah dengan mengatakan Muhammad Ali tidak berpuashati dengan perjanjian damai serta menuntut ‘Abd. Allah bin Saud supaya datang segera ke Istanbul. Sekiranya beliau menolak serangan akan dilakukan terhadap al-Dar’iyyah. Sudah semestinya ‘Abd. Allah menolak tuntutan untuk pergi bersendirian ke ibukota kerajaan Turki. Sebaliknya beliau mempertingkatkan penyusunan kabilah yang menyokongnya serta memperkuatkan pertahanan ibu negerinya (al-Dar’iyyah).[96]

Delegasi ‘Abd. Allah di Mesir

Berdasarkan kenyataan al-Jabarti serta sejarawan lainnya selain Ibn Bisyr dan Philip, ternyata perjanjian damai bergantung kepada persetujuan Muhammad Ali. Oleh itu setelah perjanjian damai ditandatangani, ‘Abd. Allah mengutuskan perwakilan kepada Muhammad Ali di Mesir pada 1230H/1815M.[97] al-Jabarti mengulas:

Muhammad Ali tidak berpuashati dengan perjanjian damai. Beliau tidak menyambut baik kedatangan perwakilan dari Najd. Ketika kedua perwakilan menemuinya beliau menyampaikan ucapan mempertikaikan syarat-syarat perjanjian serta memohon diri untuk beredar.[98]

al-Jabarti serta Brockhardt mensifatkan ‘Abd. Allah bin Muhammad bin Bunyan dan al-Qadi ‘Abd. al-‘Aziz bin Muhammad bin Ibrahim sebagai individu berilmu serta berakhlak mulia. Menurut Brockhardt para ulama’ Mesir merasa gembira serta berpuashati mendengar penjelasan setelah mengadakan pertemuan dengan kedua perwakilan Najd ini.[99] al-Jabarti yang berpeluang mengadakan pertemuan dengan ‘Abd. Allah bin Muhammad bin Bunyan dan al-Qadi ‘Abd. al-‘Aziz bin Muhammad bin Ibrahim mengulas:

Perwakilan Najd menziarahi Universiti al-Azhar ketika pelajarnya bersiap sedia memulakan pembelajaran. Mereka ditanya mengenai ulama’ yang pakar dalam madzhab Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah. Para pelajar menjawab di Mesir tidak ada lagi individu yang pakar tentang madzhab tersebut. ‘Abd. Allah bin Muhammad bin Bunyan dan al-Qadi ‘Abd. al-‘Aziz bin Muhammad bin Ibrahim seterusnya membeli beberapa kitab tafsir serta hadith seperti al-Khazin, al-Kasyaf, al-Baghawi serta keseluruhan Kutub al-Sittah. Daku berpeluang menemui keduanya sebanyak dua kali. Daku dapati keduanya sangat peramah, baik dalam percakapan serta mahir dalam ilmu syariat terutama permasalahan fekah serta perbezaan empat madzhab.[100]

Penulis menyatakan pertemuan serta sikap Muhammad Ali terhadap kedua perwakilan Najd berdasarkan kenyataan sejarawan Mesir yang berpeluang menemui mereka. Hakikatnya Muhammad Ali menolak perjanjian damai disebabkan beberapa faktor. Para sejarawan berbeza pendapat dalam menentukan faktor tersebut.[101]

Ibn Bisyr menyebutkan ‘Abd. Allah turut menghantar perwakilan kedua menemui Muhammad Ali pada tahun berikutnya. Ia diketuai Hassan bin Mazru’ dan ‘Abd. Allah bin ‘Aun dengan disertakan hadiah serta sumbangan.[102] Jelas kepada kedua perwakilan bahawa mereka telah diperdayakan. Walaupun Muhammad Ali tetap tidak menerima perjanjian damai pada bila-bila masa sekalipun namun beliau tidak menyatakannya kepada perwakilan kedua Najd. Sehubungan ini Ibn Bisyr serta penduduk Najd lainnya mula menyedari secara realiti perjanjian damai tidak berjaya.[103]

Setelah meneliti perutusan yang dihantar ‘Abd. Allah kepada Muhammad Ali, Brockhardt memuji ‘Abd. Allah di atas keikhlasan niat serta kejernihan hatinya.[104] Sebaliknya beliau serta Bridges merasa sangsi terhadap Muhammad Ali kerana meletakkan tuntutan terhadap sumber pendapatan wilayah al-Ahsa’ yang subur sebagai syarat kepada penerimaan perjanjian damai.

Ibrahim Basha

Secara hakiki Muhammad Ali tidak merasa senang terhadap perjanjian damai yang dilakukan ‘Abd. Allah bin Saud dengan anaknya Tusun. Dengan itu beliau memilih Ibrahim Basha[105] saudara kepada Tusun untuk menguruskan persoalan Najd. Sehubungan ini Ibrahim Basha beserta pasukan tentera yang besar dihantar ke Yanbu’ pada 8 Zulkaedah 1231H/28 September 1816M. Tentera beliau berhenti selama sebulan di kawasan sumber air al-Hinakiyah serta berjaya mengumpulkan puak Matir, ‘Utaibah serta Unzah di kalangan badwi berdekatan untuk digabungkan ke dalam pasukannya.[106] Namun Ibrahim Basha akhirnya menyedari puak Badwi ini cuba mengambil kesempatan dengan melakukan rompakan ke atas tenteranya.

Menyedari situasai yang berlaku, ‘Abd. Allah bin Saud dengan segera mara sehingga berlaku pertempuran antara kedua pasukan ini. Namun tentera Najd tidak berupaya berhadapan dengan pertahanan tentera Mesir lantas terpaksa berundur ke bandar al-Ras di wilayah al-Qasim dengan dikejar Ibrahim Basha serta pasukannya. Tentera Mesir mengepung al-Ras selama 3 bulan sehingga penduduknya terpaksa meminta perdamaian. Dalam tempoh pengepungan ini berlaku pertempuran kecil secara berterusan yang mengorbankan sekitar 900 tentera Mesir manakala hanya 7 di kalangan penduduk al-Ras yang terkorban.

Penawanan al-Ras membuka ruang seluas-luasnya kepada Ibrahim Basha untuk mara ke hadapan. Setelah melakukan serangan ke atas al-Ras beliau berjaya menawan bandar ‘Unaizah, al-Khubara’ serta Buraidah pada 1232H. Namun di al-Syuqra’ tentera Najd menunjukkan sifat keberanian yang luarbiasa namun tidak berupaya menghadapi taktik tentera Mesir yang dibantu jurutera perancis Vaissiere[107] sehingga akhirnya penduduk al-Syaqra terpaksa menyerah diri.[108] Setelah kejatuhan al-Syaqra berlaku peperangan penentuan yang dikenali sebagai Hasimah berdekatan tanah perkuburan bandar Darma yang merupakan bandar kubu penduduk Najd setelah al-Dar’iyyah.

Penduduk Darma berjuang dengan gagah berani serta menolak untuk menyerah diri sehingga tidak mungkin sebagaimana kenyataan Anne Blunt[109] bagi Ibrahim Basha mencapai kemenangan melainkan di atas darah serta timbunan mayat. Akhirnya tentera Mesir berjaya menguasai Darma pada 18 Rabi’ al-Thani 1232H/24 Februari1818M. Sementara itu ‘Abd. Allah serta sebahagian tenteranya berlindung di kubu Darma. Akhirnya mereka terpaksa berundur dengan segera ke al-Dar’iyyah bersama 3000 pengikutnya di kalangan kanak-kanak, kaum wanita dan selainnya.

Penguasaan bandar al-Dar’iyyah

Setelah berjaya menawan Darma, Ibrahim Basha meneruskan kemaraan sehingga tiba di pintu bandar al-Dar’iyyah. Beliau mengepung bandar ini selama 6 bulan. Walaupun semasa pengepungan sebahagian besar tenteranya terbunuh namun bantuan tiba setiap hari dari Mesir. Sebaliknya penduduk al-Dar’iyyah semakin berkurangan dari masa ke semasa. Mereka yang masih bertahan terpaksa menanggung penderitaan disebabkan kekurangan bekalan makanan serta persenjataan. Al-Amir ‘Abd. Allah bin Saud dan seluruh keluarganya serta keluarga al-Syeikh al-Imam berjuang dengan dengan penuh semangat serta keberaniaan namun akhirnya terpaksa memohon perdamaian.[110] Pada mulanya ‘Abd. Allah bin Saud menolak untuk menyerah diri lalu berlindung di kubu keluarganya di Tarif yang terletak di dalam bandar al-Dar’iyyah. Namun apabila merasakan tidak dapat bertahan dengan serangan bertubi-tubi beliau akhirnya menyerah diri kepada Ibrahim Basha.[111]

Dengan berlakunya peritiwa ini maka tamat pemerintahan kerajaan Saudi Pertama atau sebagaimana yang digelarkan Philip “Empayar Wahabi Pertama” yang diasaskan al-Syeikh al-Islam serta pengikutnya.

Kesudahan menanti ‘Abd. Allah bin Saud

Setelah dua hari menyerah diri, Ibrahim Basha memerintahkan ‘Abd. Allah bin Saud di bawa ke Mesir dengan ditemani 4 orang di kalangan pembantunya. Rombangan ini tiba pada Muharram 1234H/November 1818M dengan menerima ejekan serta cemuhan penduduknya. Setelah menemui Muhammad Ali pada 19 Muharram, ‘Abd. Allah di hantar ke Istanbul di mana maut menantinya. Beliau serta pembantunya disalib pada 18 Safar 1234H/18 Disember 1818M di lapangan Hagia Sophia dalam keadaan kepalanya dipusing ke bawah.

Dengan kematian ‘Abd. Allah bin Saud maka terhenti salasilah penguasa Najd yang mendapat pendidikan dari al-Syeikh al-Imam. ‘Abd. al-‘Aziz bin Muhammad bin Saud serta Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz merupakan murid kepada al-Syeikh al-Imam secara langsung. ‘Abd. Allah bin Saud tidak dianggap sebagai murid secara hakiki kerana masih kecil ketika al-Syeikh al-Islam meninggal dunia.

‘Abd. Allah tidak berpeluang memerintah dalam suasana aman namun beliau sentiasa mengikuti langkah yang dilaksanakan ayah serta datuknya dalam lapangan ilmu, dakwah serta pentadbiran.

Kesudahan lain

Dalam tempoh 6 bulan, pertempuran berlaku berterusan di dalam mahupun luar al-Dar’iyyah. Penulisan ini tidak mampu menyatakan secara lengkap keseluruhannya sebagaimana yang termaktub dalam penulisan Ibn Bisyr yang menyaksikan pertempuran tersebut.[112]

Senarai nama syuhada’ di kalangan keluarga Saud

Bilangan yang terlibat ialah 21 orang, iaitu Faisal bin Saud, Ibrahim bin Saud, Fahd bin ‘Abd. Allah bin ‘Abd. al-‘Aziz, Fahd bin Turki bin ‘Abd. Allah bin Muhammad bin Saud, Muhammad bin Hassan bin Masyari bin Saud, Ibrahim bin Hassan bin Masyari, ‘Abd. Allah bin Hassan bin Masyari, ‘Abd. al-Rahman bin Hassan bin Masyari, Ibrahim bin ‘Abd. Allah bin Farhan, ‘Abd. Allah bin Ibrahim bin Hassan bin Masyari, ‘Abd. Allah bin Nasir bin Masyari, Muhammad bin ‘Abd. Allah bin Muhammad bin Saud, Saud bin ‘Abd. Allah bin Muhammad bin Saud dan Muhammad bin Saud bin ‘Abd. Allah bin Muhammad bin Saud.

Senarai nama syuhada’ di kalangan keluarga al-Syeikh al-Imam

Sulaiman bin ‘Abd. Allah bin al-Syeikh, Ali bin ‘Abd. Allah bin al-Syeikh dan Muhammad bin ‘Abd. al-Rahman bin Hassan bin al-Syeikh. Suatu yang menyedihkan perlakuan tentera Mesir terhadap jenazah al-Syeikh Sulaiman bin ‘Abd. Allah yang dipotong serta dikoyakkan satu persatu.[113]

Selain keluarga Saud serta al-Syeikh al-Imam termasuk yang terkorban ialah ulama’ serta pembesar Najd. Antaranya ialah Ali bin Muhammad bin Rasyid al-‘Arini kadi daerah Kharaj, Salih bin Rasyid al-Harbi, ‘Abd. Allah bin Muhammad bin ‘Abd. Allah bin Sulaim, Hamad bin Isa bin Sulaim dan Muhammad bin Ibrahim bin Sadhan.[114]

Selain yang terkorban, wujud kalangan ulama yang diperlakukan Ibrahim Basha seperti binatang buas. Sebagai contoh apa yang berlaku kepada al-Syeikh al-Qadi Ahmad bin Rasyid al-Hanbali. Beliau merupakan ulama’ terkemuka Madinah yang menyertai pergerakan al-Syeikh al-Imam. Tuan syeikh ini dipukul serta ditikam mulutnya sehingga berjatuhan giginya satu persatu.[115]

al-Qadi Ahmad bin Rasyid berasal dari al-Ahsa’. Terkenal dengan keluasan ilmu dalam madzhab Hanbali sehingga digelar sebagai “al-Hanbali”. Pada peringkat permulaan beliau menentang dakwah al-Syeikh al-Imam namun menyokongnya apabila mengetahui kedudukan sebenar. Beliau menetap serta meninggal dunia di Madinah ketika lanjut usia.[116]

al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz al-Husein al-Nasiri (m.1237H) turut diperlakukan secara yang tidak sepatutnya. Beliau menetap di al-Syaqra’ ketika bandar itu ditawan tentera Mesir. Ibrahim Basha memanggil beliau menemuinya dengan di pimpin pengikutnya disebabkan beliau sakit sehingga tidak berupaya berjalan. Apabila tiba di hadapannya al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz ini memberi salam dengan ucapan: “Salam ‘alaika ya Ibrahim!” Ibrahim merasa terkejut dengan salam secara demikian sehingga al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz diejek serta dipersendakan. Dengan tidak memperdulikan apa yang akan terjadi beliau dengan tegas menasihati Ibrahim berlandaskan al-Qur’an sehingga Ibrahim berkata: “Ampunkan kami wahai tuan syeikh, ampunkan kami wahai tuan syeikh!”

al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz al-Husein al-Nasiri termasuk kalangan murid al-Syeikh al-Imam yang terkemuka. Beliau pernah dilantik sebagai utusan ke Hijaz sebanyak dua kali ketika al-Syeikh al-Imam masih hidup.

Selain yang terkorban terdapat kalangan mereka yang berjaya melepaskan diri dari diperlakukan secara zalim. Antaranya Turki bin ‘Abd. Allah bin Muhammad bin Saud yang banyak membantu menegakkan kekuasaan Najd dan al-Syeikh Ali bin Hassan bin al-Syeikh al-Islam.

Pemusnahan bandar al-Dar’iyyah

al-Dar’iyyah ditawan pada awal Zulkaedah 1232H. Namun usaha memusnahkan bandar ini berterusan selama setahun sehingga ia dibakar dan mengalami kerosakan teruk. Ibn Bisyr menjelaskan seperti berikut:

Ibrahim Basha mengarahkan tenteranya supaya merobohkan sama sekali tempat kediaman, istana, pohon kurma serta pohon lainnya dan menghalau penghuninya tanpa sebarang belas kasihan. Seolah-olah al-Dar’iyyah seperti bumi yang ditinggalkan.[117]

Nasib malang menimpa al-Dar’iyyah. Sebelum pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam ia hanya sebuah perkampungan kecil. Namun kemudian bertukar menjadi pusat pergerakan al-Salafiyyah sehingga menjadi menjadi bandar perdagangan yang makmur serta simbol kepada kekuatan keluarga Saud.[118]

Kerajaan Britian mengutuskan ucapan tahniah
         
Setelah sempurna pemusnahan al-Dar’iyyah, Ibrahim Basha membuat keputusan meninggalkan bandar yang telah menjadi sama rata dengan bumi. Kerajaan Britain mengutuskan satu perwakilan khas yang diketuai Kapten George Forster Saddler bagi menyampaikan ucapan tahniah di atas kejayaan Ibrahim Basha. Dalam konteks ini kerajaan Britain menerusi Syarikat Hindia Timur (British East India Company) dengan penuh kesungguhan berusaha melebarkan pengaruh di Semenanjung Tanah Arab. Ini di saat kekuatan Najd berjaya menguasai perairan teluk sehingga melancarkan serangan serta menenggelamkan kapal miliknya. Oleh itu kerajaan Inggeris di Bombay berusaha mengatasi perkara ini dengan melancarkan serangan terhadap Ras al-Khimah sehingga mengalami kemusnahan sebagaimana yang diperjelaskan terdahulu.

Apabila Syarikat Hindia Timur mengetahui kemenangan Mesir ke atas penduduk Najd, mereka merasa takut kehilangan kepentingan disebabkan kejayaan Mesir itu. Ini berpunca dari timbulnya beberapa permasalahan setelah al-Dar’iyyah berjaya ditawan. Ternyata pasukan tentera Mesir mula berkeliaran di kawasan perairan teluk serta tidak menghormati pengaruh Inggeris. Sehubungan ini walaupun pemimpin Britain merasa sukacita dengan kehancuran kekuatan Najd mereka tetap tidak menerima keburukan sikap Mesir.[119]

Dengan itu mereka mengutuskan George Forster Saddler menemui Ibrahim Basha di al-Dar’iyyah. Namun pihak Inggeris tersalah dalam membaca niat Mesir. Hakikatnya Mesir tidak menghendaki kewujudan kerajaan yang berkekalan sama ada di Najd mahupun di perairan teluk. Faktor ini menyebabkan Ibrahim Basha berangkat ke Mesir selepas berjaya menghancurkan al-Dar’iyyah serta membiarkan Najd dalam kucar kacir (anarki). Bagi mengetahui peristiwa penghantaran George Forster Saddler penulis merujuk kenyataan David George Hogarth seorang sejarawan yang berpengalaman:

Pada musim panas 1234H/1819M pihak Inggeris menghantar kapal perang dari Bombay ke perairan teluk diketuai Kapten George Forster Saddler. Beliau merupakan utusan khas Inggeris kepada Ibrahim Basha bagi menyampaikan ucapan tahniah Inggeris di atas kejayaan membebaskan al-Dar’iyyah serta saling bekerjasama mengambil langkah perlu dalam usaha menghancurkan kekuatan golongan Wahabi.[120]

Sejarawan Barat kurun ke 19 beranggapan tiada pengharapan bagi penduduk Najd mengembalikan kekuatan setelah al-Dar’iyyah berjaya dihancurkan. Daughty ketika memetik pandangan sejarawan barat pada 1880 berkata:

“Umum berpandangan bahawa kerajaan Wahabi tidak akan muncul semula.”[121]

Zwemmer, seorang pendita yang memusuhi Islam mengulas:

“Pergerakan Wahabi mengalami kekalahan teruk. Kini kedudukan mereka dari sudut politik hanya omong kosong sahaja.”[122]

Beliau menambah:

“Kita semestinya mengakui bahawa di sisi masyarakat Arab pengaruh kerajaan Saud merupakan sesuatu yang sudah berlalu.”[123]

Namun hakikatnya kenyataan sebahagian sejarawan barat ini merupakan suatu pendustaan. Penduduk Najd akhirnya berjaya bangkit buat kali kedua sehingga kekuatan baru mengatasi yang terdahulu. Walaupun al-Dar’iyyah tidak berupaya untuk dibangunkan semula namun kini al-Riyadh merupakan ibukota golongan Wahabi.

Peperangan Mesir

Peperangan antara Mesir dengan Najd berterusan dalam tempoh yang panjang. Di peringkat permulaan, tentera Mesir mengalami kerugian besar disebabkan kemenangan berada di pihak Najd. Walaupun mencapai kemenangan tentera Najd tidak melencung walau sedikitpun dari peraturan yang ditetapkan Islam mengenai peperangan. Sebaliknya Muhammad Ali, Ibrahim Basha serta pembesar mereka melakukan tindakan seolah-olah mereka bukan lagi beragama Islam. Sehubungan ini mencukupi bagi penulis menyatakan ulasan ‘Abd. al-Rahman al-Jabarti, sejarawan terkenal Mesir terhadap keperibadian tentera Mesir berdasarkan pengakuan pegawai tentera mereka. Ia seperti berikut:

Sebahagian pegawai tinggi tentera Mesir yang dianggap baik peribadi berkata kepadaku: “Bagaimana mungkin kita akan mencapai kemenangan? Kebanyakan tentera kita tidak mempunyai pegangan. Malahan sebahagiannya tidak meyakini sesuatu apa pun. Mereka membawa peti yang penuh dengan minuman memabukkan. Azan pula tidak pernah dikumandangkan di kem. Selain itu kewajipan syariat tidak dipraktikkan atau tidak diketahui.

Sebaliknya musuh kita (di kalangan golongan Wahabi) apabila azan berkumandang mereka akan bersegera mengambil wuduk serta berbaris menunaikan solat dibelakang seorang imam. Apabila tiba waktu solat sedangkan peperangan sedang berlaku mereka akan melaksanakan solat al-Khauf – di mana sebahagian pasukan akan berjaga-jaga mengawasi musuh sementara sebahagian lain akan menunaikan solat. Tentera kita merasa hairan terhadap perlakukan tersebut. Hakikatnya mereka tidak pernah mendengar perkara ini apatah lagi melihat dengan mata.”[124]

Ini merupakan kenyataan pegawai tinggi tentera Mesir kepada al-Jabarti. Sehubungan ini al-Jabarti turut melihat sendiri perlakuan tentera Mesir menerusi peristiwa lain. Ia merujuk kejadian pada bulan Ramadan 1233H:

Sebahagian besar tentera berangkat menjalankan tugas. Mereka makan di waktu pagi bulan Ramadan dengan alasan bertugas ketika perjalanan (musafir). Kebanyakan mereka duduk di pasar, makan dan minum sambil di tangan memegang puntung rokok sehingga langsung tidak menghormati bulan Ramadan.[125]

Sekiranya ini merupakan nilai penghormatan mereka terhadap hukum Islam betapa ajaib perlakuan Ibrahim Basha setelah menghancurkan al-Dar’iyyah serta menguasai Najd sehingga al-Jabarti secara jujur mengulas seperti berikut:

Ibrahim Basha apabila didatangi ulama’ dengan memberi salam dia tidak membalas ucapan mereka walau dengan isyarat tangan sekalipun. Sebaliknya dia berterusan berbual dengan seorang pemabuk yang duduk di sisinya.[126]

Pengkhianatan serta kezaliman Muhammad Ali
Burkhardt merupakan sejarawan Barat yang menziarahi Hijaz serta Semenanjung Tanah Arab semasa pemerintahan Muhammad Ali. Beliau berkata:

“Hakikatnya amalan rasuah berjaya menundukkan golongan badwi di bawah telapak kaki Mesir.”

Beliau menambah:

Di sisi Muhammad Ali peranan wang lebih lebih berpengaruh dari kekuatan ketenteraan dalam meluaskan kedudukannya ke atas masyarakat Arab.[127]

[1].Sejarah politik Najd di luar perbicaraan penulis. Bagi mengetahui perkara ini secara mendalam sila lihat hasil penulisan seperti berikut:

1.‘Unwan al-Majd karangan Ibn Bisyr
2.‘Ajaib al-Athar karangan al-Jabarti
3.Tarikh Najd karangan al-Alusi
4.Hadar al-‘Alam al-Islami beserta ulasan Syakib Arsalan, Jil 4, hlm.161, 172
5.Da’irah al-Ma’arif al-Islamiyyah (rencana mengenai Ibn Saud)
6.al-‘Arabiyya karangan Philip
7.Hasil penulisan Amin al-Rihani dalam bahasa Inggeris serta Arab
[2].al-Durar al-Saniyyah, hlm.44. Kitab lain karangan Dahlan ialah Khulasoh al-Kalam fi Amra’ al-Balad al-Haram
[3].‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.23
[4].Sejarawan Inggeris serta Eropah mengelarkan penguasa Mekah sebagai “Grand Syarif” = Syarif al-Kabir manakala pembesar Mekah yang lain sebagai “Syarif” sahaja. Sebaliknya dalam masyarakat Arab, perkataan syarif merupakan gelaran secara umum kepada keluarga Hassan dan Husin radiyallahu ‘anhuma. Dalam konteks ini gelaran “syarif Mekah” dikhaskan kepada penguasa Mekah sahaja. Bagi mengetahui sejarah para syarif ini pembaca boleh merujuk kitab Dahlan Khulasoh al-Kalam walaupun kebanyakan isinya tidak berdasarkan fakta yang sahih. Labib al-Batnuni turut menyatakan secara ringkas sejarah syarif Mekah dalam kitab al-Rihlah al-Hijaziyyah, hlm.81-83. Selain itu rujukan boleh dilakukan dengan melihat penulisan Hart Travels in Arabia, Jil. 1, hlm.405, 444 serta penulisan Garth bertajuk History of Arabia. Berdasarkan penulisan di atas senarai nama syarif Mekah seperti berikut:
1.Mas’ud bin Sa’id, 1146H
2.Musa’id bin Sa’id, 1165H
3.Ja’far bin Sa’id, 1172H
4.Musa’id bin Sa’id, 1173H
5.Abd. Allah bin Sa’id, 1184H
6.Ahmad bin Sa’id, 1184H
7.'Abd. Allah bin Hassan, 1184H
8.Ahmad bin Sa’id, 1184H
9.Suror bin Musa’id, 1186H
10.‘Abd. al-Mu’in bin Musa’id, 1202H
11.Ghalib bin Musa’id, 1202H
12.Yahya bin Suror, 1228H
[5].Raudhah al-Afkar, Jil. 2, hlm.91
[6].Raudhah al-Afkar, Jil. 2, hlm.91-92.
[7].Raudhah al-Afkar, Jil. 2, hlm.89
[8].‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.191
[9].Bagi mengetahui kisah ini secara mendalam sila rujuk ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.91, 94, 232-233
[10]             Raudhah al-Afkar, Jil. 2, hlm.134
[11]             Arabia, hlm.34, 39
[12]             Raudhah al-Afkar, Jil. 2, hlm.163
[13]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.110
[14]             Majmu’ah al-Hidyah al-Saniyyah, hlm.90-95
[15]             Raudhah al-Afkar, Jil. 2, hlm.226
[16]             Arabia, hlm.71-72
[17]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.152
[18]             Pada 1212H Ghalib yang memberitahu kerajaan Uthmaniyyah mengenai bahaya gerakan Wahabi dan mengesyorkan kerajaan Turki supaya menyekat pengaruh mereka. Namun kerajaan Turki tidak memberi perhatian terhadap isu ini. Berdasarkan kajian penulis, ternyata penguasa Baghdad Ibrahim Basha merupakan individu yang berusaha memerangi penduduk Najd sebelum 1212H dan selepas tarikh ini. [Khulasoh al-Kalam, 266. 268]
[19]             Pasukan tentera dihantar pada 1211H/1797M serta 1213H/1799M.Secara lengkap sila rujuk ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.107, 109, 118 dan kenyataan Philip, hlm.68. 70.
[20]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.86, 67, 103, 107, 112 dan Philip, hlm.51, 54, 73-74
[21]             Peperangan ini dikenali dengan peperangan al-Kirmah. Setelah mengalami kekalahan Ghalib kembali ke Mekah pada 3 Zulkaedah/19April 1798M.[Khulasoh al-Kalam, hlm.267]
[22]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.120
[23]             Khulasoh al-Kalam, hlm.268
[24]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.20
[25]             Khulasoh al-Kalam, hlm.268
[26] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.121
[27]             Philip, hlm.81
[28]             Hadhar al-‘Alam al-Islami, Jil. 4, hlm.162-163
[29]             hlm.81, rencana Mordtmane dalam Da’irah al-Ma’arif al-Islamiyyah (bahasa Arab), Jil. 1, hlm.191-192
[30]             Zulkaedah 1216H/March 1802M.Ini berkemungkinan merujuk tarikh keluar. Mordtmane menetapkan tarikh serangan pada 18 Zulhijjah 1216H/April 1802M.Ini merupakan tarikh yang lebih tepat.
[31]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.121-122
[32]             Hadar al-‘Alam al-Islami, Jil. 4, hlm.163
[33]             Arabia, hlm.90
[34]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.122, 203
[35]             Pada akhir 1218H/1803M
[36]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.122, Philip hlm.83
[37]             Menurut penulis Qamus al-Islam, hlm.660, tarikh memasuki Mekah ialah 27 April namun kenyataan ini tidak benar. Zwemmer, hlm.94 turut menyatakan tarikh yang salah apabila mengambilnya dari penulis Qamus al-Islam..
[38]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.122, 203
[39]             hlm.83
[40]             Qamus al-Islam, hlm.660
[41]             Barrack Hart, Jil. 2, hlm.149
[42]             hlm.43
[43]             hlm.278-279
[44]             Hadhar al-‘Alam al-Islami, Jil. 4, hlm.162, Philip, hlm.83.
[45]             Sejarawan secara umum menyatakan pembunuhnya ialah seorang Rafidhoh yang berasal dari Iran. (Philip, hlm.84, Hadhar al-‘Alam al-Islami, Jil. 4, hlm.163. Namun Ibn Bisyr (Jil. 1, hlm.123) menyatakan pembunuhnya seorang Syiah yang berbangsa Kurdi.
[46]             al-Badr al-Toli’
[47]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.130, Philip, hlm.86-87
[48]             Zulkaedah 1219H/Februari 1805M
[49]             Sebahagian sejarawan seperti pengarang Hadhar al-‘Alam al-Islami serta Hughes dalam Qamus al-Islamnya, hlm.660 mendakwa golongan Wahabi meruntuhkan kubah yang dibina di atas kubur Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Namun ini merupakan kenyataan yang tidak benar. [Akan dibincangkan secara lengkap dalam bab akan datang].
[50]             Akhir 1220H/Februari 1806H
[51]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.132-134. Musim kemarau melanda seluruh wilayah semenanjung tanah Arab dari Zulhijjah 1219H hingga Zulkaedah 1220H (Khulasoh al-Kalam, hlm.285). Ia turut memberi kesan kepada wilayah Najd serta Yaman. Namun keadaan paling teruk berlaku di kota Mekah kerana penduduknya selain menghadapi kemarau turut berhadapan dengan suasana perang serta sekatan sehingga hampir binasa. Philip mendakwa penderitaan penduduk Mekah berlaku setelah Mekah di tawan. Namun kenyataannya ini tidak benar kerana Dahlan yang diketahui umum sangat memusuhi golongan Wahabi sendiri tidak menyebutkan hal ini di dalam penulisannya. Sila rujuk Khulasoh al-Kalam, hlm.292
[52]             Brockhardt, Jil. 2, hlm.198-199, Bridges, hlm.33-34
[53]             Khulasoh al-Kalam, hlm.214
[54]             ‘Ajaib al-Athar, Jil. 4, hlm.299
[55]             Khulasoh al-Kalam, hlm.294
[56]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.138
[57]             1222H/1809M, ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.141
[58]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.151
[59]             ‘Ajaib al-Athar, Jil. 4, hlm.5, 6, Jil. 6, hlm.278-279 cetakan Lujnah al-Bayan al-‘Arabi
[60]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.135
[61]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.148-149
[62]             Syarikat Hindia Timur (East Indies Company) diasaskan dengan objektif perniagaan. Namun ia kemudian bermatlamatkan penjajahan sehingga berjaya menguasai negara India pada 1857M. Ia mentadbir negara tersebut sehingga India mencapai kemerdekaan pada 1947M (penterjemah).
[63]             Arabia, the Cradle of Islam
[64]             Bridges, hlm.35, 44 dan Brockhardt, hlm.208
[65]             Hakikatnya pengaruh kerajaan Wahabi tidak meliputi bandar Halib tetapi di selatan Syam sahaja (penterjemah).
[66]             Muhammad Ali Basha merupakan nenek-moyang kepada raja-raja Mesir moden (iaitu ketika penulisan ini dihasilkan –penterjemah). Beliau berasal dari Albania namun sebagaimana kenyataan anaknya Ibrahim: bahasa serta ketamadunan Arab menyebabkan kami menjadi Arab. Muhammad Ali lahir pada 1768M, meninggal dunia pada 1849M.
[67]             1226H/1811M
[68]             Brockhardt, hlm.232
[69]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.158, Philip, hlm.94
[70]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.160
[71]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.162, Philip, hlm.96, Dahlan, hlm.296, Ibn Bisyr, hlm.162 dan Bridges, hlm.61
[72]             Akhir 1228H/Disember 1813M
[73]             Khulasoh al-Kalam, hlm.271-272
[74]             Khulasoh al-Kalam, hlm.296
[75]             14 Syawal 1228H/Ogos 1813M.Khulasoh al-Kalam, hlm.296.
[76]             Akhir ramadan 1231H/Julai 1816M, ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.185, Brockhardt, hlm.262
[77]             Hijaz menjadi sebahagian wilayah Mesir dalam tempoh singkat. Hubungan antara Mesir dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah menjadi tegang dalam tempoh Hijaz di bawah penguasaan Mesir sehingga berlaku peperangan Damiyah yang menyebabkan Muhammad Ali menguasai Syam. Namun apabila Sultan ‘Abd. al-Hamid menjadi khalifah pada 1255H Hijaz diletakkan semula di bawah penguasaan kerajaan Uthmaniyyah. Khulasoh al-Kalam, hlm.308
[78]             hlm.89
[79]             Muhammad Ali menjemput Ghalib supaya menghadiri jamuan yang diadakannya. Dalam majlis tersebut pengawal keselamatan siap menunggu dan apabila mereka mendapati Ghalib datang tanpa persiapan senjata serta tidak dekelilingi pengiring beliau ditangkap serta ditahan.
[80]             hlm.68-69
[81]             hlm.209, 262
[82]             Akhir Zulhijjah 1228H/Disember 1813M, ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.163-164
[83]             hlm.364, 369, Philip, hlm.96, Dahlan, hlm.300
[84]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.194
[85]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.165-176
[86]             hlm.80
[87]             hlm.170
[88]             JamadilAwal 1229H/March 1814M
[89]             Brockhardt, hlm.317-318
[90]             hlm.323, Bridges, hlm.92
[91]             3 Safar 1230H/15 Januari 1815M. Ini merupakan kenyataan Mordtmane sementara Ibn Bisyr tidak menetapkan tarikh. al-Jabarti Jil. 4, hlm.218 menyatakan berita kemenangan di Turbah sampai ke Mesir pada 9 Rabiulawal 1230H. Brockhardt menyatakan Muhammad Ali keluar dari Mekah pada 26 Muharram 1230H/7 Januari 1815M
[92]             ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.181
[93] 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.183
[94] Brockhardt, hlm.347. Peristiwa ini terjadi pada akhir Julai 1815M
[95] 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.183
[96] hlm.97
[97] al-Jabarti, Jil. 4, hlm.229
[98] al-Jabarti, Jil. 4, hlm.229
[99] hlm.113
[100] al-Jabarti, Jil. 4, hlm.229
[101] Ibn Bisyr Jil 1, hlm.185, Mordtmane, hlm.97, Philip, hlm.97 dan al-Hadhar al-'Alam al-Islami, Jil. 4, hlm.166
[102] 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.185
[103] 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.183
[104] hlm.202
[105] Dikatakan bahawa Ibrahim Basha bukan anak sebenar Muhammad Ali tetapi anak tirinya sahaja. 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.185
[106] Akhir 1231H/November 1816M
[107] Tentera Ibrahim Basha dilengkapi dengan pasukan perubatan Itali serta jurutera Peranchis. Antara mereka adalah Socio, Todeshini. Gentill dan Scots (Hogarth, hlm 101). Scotts merupakan doktor khas untuk Ibrahim Basha. Para pegawai Eropah ini membantu tentera Mesir menghadapi peperangan 'Asir dan Yaman (Hogarth, hlm.101). Brockhardt memuji keberanian seorang pegawai Inggeris yang bergabung dengan tentera Tusun. Beliau akhirnya memeluk Islam serta dikenal sebagai Ibrahim Agha. 'Abd. Allah juga mengiktiraf keberanian pegawai Inggeris ini
[108] Anne Blunt, Jil. 2. hlm.26
[109] Jil. 2, hlm.260
[110] Zulkaedah 1233H/8 Desember 1818M, 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.206. Menurut Mordtmane kecelakaan al-Dar'iyyah pada 7 September 1818M
[111] 9 September 1818M, Mordtmane, hlm.103
[112] 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm. 194-208
[113] 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.210
[114] 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.210
[115] 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.210
[116] Meninggal dunia pada 1249H
[117] 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.213, al-Alusi, Tarikh Najd, hlm.24-26
[118] 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.214
[119] Philip, hlm.103
[120] Bagi mengetahui secara mendalam sila rujuk penulisan beliau bertajuk Penetration of Arabia, hlm. 104-111
[121] Putri, Jil. 2, hlm.425
[122] Zwemmer, hlm.191
[123] Philip, hlm.102.
[124] al-Jabarti, Jil. 4, hlm.140
[125] al-Jabarti, Jil. 4, hlm.289
[126] al-Jabarti, Jil. 4, hlm.306
[127] hlm.202, 206