Sunday, December 21, 2014

ayat-ayat al-qur'an yang dijadikan hujah oleh syiah [ Kelima ] Ayat al-Mubahalah

Ayat seterusnya yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: 
Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.” [‘Ali Imran 3:61]
Syi‘ah menggelar ayat ini sebagai Ayat al-Mubahalah.Perkataan Mubahalah (مباهلة) berasal daripada kata bahlahatau buhlah (بهلة) yang bererti doa yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kutukan kepada lawan yang membangkang. ImbuhanMubahalah menunjukkan wujudnya dua pihak yang saling melakukan perkara yang sama, dalam kes ini saling berdoa kepada Tuhan untuk menjatuhkan laknat kepada pihak yang mengingkari kebenaran.[1]
Merujuk kepada ayat di atas, diriwayatkan bahawa pada satu ketika datang delegasi Nasrani dari Najran[2] untuk berdialog dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di Kota Madinah dalam subjek perbandingan agama antara Kristian dan Islam. Setelah disampaikan segala hujah yang benar yang tidak mampu dijawab oleh delegasi Nasrani, mereka tetap enggan mengakui kebenaran Islam, apatah lagi memeluknya.
Keengganan delegasi Nasrani ini menyebabkan AllahSubhanahu wa Ta‘alamenurunkan ayat 61 surah ‘Ali Imran di atas. Merujuk kepada firman Allah: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu… , Rasulullah telah memanggil 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum. Pihak delegasi Nasrani berdoa kepada Tuhan mereka yang tiga (The Father, The Son: Jesus and The Holy Spirit)[3] manakala Rasulullah berdoa kepada Allah, Tuhan yang Satu.
Ayat 61 surah ‘Ali Imran dan kisah bermubahalah di atas dijadikan hujah oleh Syi‘ahsepertimana berikut:

HUJAH SYI‘AH                      
Bagi Syi‘ah, ayat ini adalah bukti kekhususan dan keistimewaan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum yang tidak dimiliki oleh mana-mana sahabat yang lain. Ini kerana untuk bermubahalah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak memanggil mana-mana sahabat yang lain kecuali 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain. Muhammad Mar‘i al-Amin dalam bukunya Mengapa Aku Memilih Ahl al-Bait? menulis:[4]

Sesungguhnya bersepakat para ahli tafsir bahawa (Ayat al-Mubahalah) diturunkan kepada lima manusia suci; Muhammad, 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain ‘alahim al-Salam. Di sana terdapat para sahabat yang utama dari kalangan kaum lelaki akan tetapi baginda tidak memanggil seorangpun daripada mereka selain daripada 'Ali, Hasan dan Husain. Kemudian di sana juga terdapat Ummahat al-Mukminin (para isteri Rasulullah) dan wanita-wanita Bani Hasyim akan tetapi baginda tidak memanggil seorangpun daripada mereka selain daripada anak kandungnya al-Shadiqah(Fatimah) al-Zahra' ‘alaihi salam.

Kekhususan dan keistimewaan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum, lanjut Syi‘ah, tidak hanya terletak pada pemilihan mereka oleh Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam untuk bermubahalah tetapi juga pada kejayaan mereka untuk menakutkan delegasi Nasrani daripada bermubahalah. Apabila delegasi Nasrani melihat Rasulullah membawa bersama 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain untuk bermubahalah, mereka terus mengundur diri sekalipun mereka (Rasulullah, 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain) pada saat itu belum lagi berdoa meminta laknat Allah ke atas delegasi Nasrani tersebut. Ini tidak lain disebabkan kekhususan dan keistimewaan yang terdapat pada diri 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum.
Muhammad Mar’i al-Amin menyalin riwayat berikut daripada kitab Tafsir al-Zamakhsyari sebagai bukti ke atas kejayaan tersebut:[5]

Diriwayatkan bahawa apabila mereka (kaum Nasrani dari Najran) diajak (oleh Rasulullah) untuk bermubahalah, mereka berkata: “Kami akan pulang dan kami akan membuat keputusannya.” Manakala mereka pergi, mereka berkata kepada 'Aqib, seorang yang pintar di kalangan mereka: “Wahai hamba al-Masih apa pandangan anda?” Dia menjawab: “Demi Allah sesungguhnya kalian mengetahui wahai kaum Nasrani, bahawa sesungguhnya Muhammad adalah seorang Nabi yang diutuskan. Dia telah mendatangi kalian dengan keterangan daripada Tuhan kalian. Demi Allah tidak ada satu kaum pun (yang pernah bermubahalah dengan seorang Nabi) sehingga yang kecil dan besar mereka dapat hidup. Sekiranya kalian lakukan, nescaya kalian akan binasa. Dan sekiranya kalian enggan bermubahalah maka dia akan membiarkan agama kalian dan kalian kekal dengan agama kalian. Lantaran itu ucaplah selamat tinggal kepada lelaki itu dan kembalilah ke tempat kalian.”

Maka merekapun datang kembali menemui Rasulullahshallallahu ‘alaihi wa alihiyang pada ketika itu beliau sedang mendukung Husain, memegang tangan Hasan, Fatimah berjalan di belakangnya dan 'Ali di belakang Fatimah. Baginda bersabda: “Tidakkah aku telah menyeru kalian, maka berimanlah.”

Lalu uskuf (bisyop) kaum Najran tersebut menjawab: “Wahai bangsa Nasrani! Sesungguhnya aku sedangmelihat kepada muka-muka mereka, sekiranya Allah mahu menghilangkan bukit dari tempatnya, nescaya Dia akan menghilangkannya melalui kemuliaan muka-muka mereka. Justeru itu janganlah kalian bermubahalah, nanti kalian akan binasa, dan tidak tinggal lagi seorang Nasrani pun di bumi ini hingga di Hari Kiamat.”

Lalu mereka berkata: Wahai Abu Qasim (gelaran kepada Nabi Muhammad), kami fikir kami tidak akan bermubahalah dengan anda sebaliknya kami mengakui anda di atas agama anda sementara kami kekal di atas agama kami.” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Sekiranya kalian enggan bermubalahah, maka masuklah Islam. Ke atas kalian (hak-hak) sebagaimana di atas mereka (Islam).”

(Lantas mereka menolaknya), kemudian baginda bersabda: “Aku melepaskan kalian.” Mereka menjawab: “Kami tidak mampu untuk memerangi Arab, justeru itu kami membuat perdamaian dengan anda supaya anda tidak memerangi kami, menakut-nakutkan kami dan memaksa kami supaya meninggalkan agama kami. Sebagai balasan kami akan memberikan kepada anda setiap tahun dua ribu Hillah, seribu pada bulan Safar, dan seribu pada bulan Rajab, dan tiga puluh baju besi biasa.”

Maka Rasulullah mengadakan perjanjian damai dengan mereka dengan syarat-syarat tersebut. Baginda bersabda: “Demi diriku di Tangan-Nya, sesungguhnya kebinasaan telah jelas ke atas ahli Najran (suku kaum Nasrani tersebut). Dan sekiranya mereka bermubahalah, nescaya mereka bertukar menjadi kera dan babi serta lembah ini menjadi api membakar mereka. Allah akan melenyapkan Najran dan penduduk-penduduknya sekali sehingga burung yang hinggap di atas pokok." Manakala genap setahun mereka dibinasakan (kerana tidak menepati janji mereka).

Terdapat seperkara lain yang tidak kurang penting di dalam ayat ini yang dijadikan hujah olehSyi‘ah. Syi‘ah merujuk kepada firman Allah: Anak-anak kami…bermaksud Hasan dan Husain,Perempuan-perempuan kami… bermaksud Fathimah danDiri kami… bermaksud Rasulullah dan ‘Ali bin Abi Thalib.Syi‘ah menekankan bahawa berdasarkan firman Allah Diri kami… (أنفسنا), diri ‘Ali disamakan kepada diri Rasulullah. Hal ini diperkuatkan lagi oleh sabda Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallamkepada ‘Ali dalam sebuah hadis sahih yang berasingan: 
Anda di sisi aku seperti Harun di sisi Musa kecuali bahawasanya tidak ada Nabi sesudah aku.

Muhammad Mar‘i al-Amin justeru membuat kesimpulan berikut:[6]

Aku berpendapat, apa yang zahir daripada ayat (al-Mubahalah) yang mulia ini adalah bahawa khalifah yang wajib selepas Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallamialah 'Ali bin Abi Talib ‘alaihi salam kerana Allah menjadikan (“nafs” 'Ali) sebagai “nafs” Muhammadshallallahu ‘alaihi wasallamdengan ilmunya, akhlaknya, kemuliaannya, keberaniannya, lemah lembutnya, kasihan belasnya terhadap orang-orang yang lemah, garangnya terhadap orang yang zalim dan kedudukannya tinggi yang dengannya Allah mengangkatnya. Kecuali kenabian berdalilkan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (yang maksudnya): “Anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa hanya tiada Nabi selepasku." Justeru itu tidak dibolehkan mendahulukan (memberi prioriti) seorang jua ke atas ‘Ali secara mutlak kerana mendahulukan seseorang (selain ‘Ali) adalah seumpama mendahulukan (seseorang) di atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Demikianlah panjang lebar penghujahan Syi‘ah ke atas ayat 61 surah ‘Ali Imran. Sekarang marilah kita mengkaji dan membahasnya untuk melihat sejauh mana kebenaran hujah-hujah tersebut.

JAWAPAN AHL AL-SUNNAH            
Ahl al-Sunnah mengakui peristiwa Mubahalah antara Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan delegasi Nasrani dari Najran. Ia tercatit di dalam kitab-kitab sahih, antaranya di dalam Shahih al-Bukhari:  
Daripada Huzaifah (radhiallahu 'anh), dia berkata: al-Aqib dan al-Sayyid, ketua delagasi Najran datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk saling melaknat (Mubahalah).
(Huzaifah menyambung): Lalu berkata salah seorang daripada mereka kepada sahabatnya: “Janganlah berbuat demikian kerana Demi Allah, jika benar dia (Muhammad) seorang Nabi lalu kita melaknat dia pasti kita dan generasi sesudah kita tidak akan mencapai kejayaan.”
Lalu akhirnya mereka berdua berkata: “Kami akan memberikan apa yang kamu minta (sebagai perjanjian damai) dan utuskanlah kepada kalangan kami seorang yang amanah, tidak sebarangan orang kecuali yang amanah.” Rasulullah menjawab: “Aku akan mengutus bersama kalian seorang yang amanah, benar-benar amanah.”
Setelah itu maka setiap seorang daripada para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sangat-sangat berharap agar merekalah yang terpilih sebagai utusan yang amanah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda: “Bangunlah wahai Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah.” Tatkala (Abu ‘Ubaidah) berdiri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Inilah orang amanah umat ini.” [7]

Ahl al-Sunnah juga menerima bahawa ayat 61 surah ‘Ali Imran diturunkan merujuk kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husainradhiallahu 'anhum. Sa‘ad bin Abi Waqqas radhiallahu 'anhmenerangkan: 
Tatkala diturunkan ayat: Maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu……[‘Ali Imran 3:61], Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyeru 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain lalu berdoa: “Ya Allah! Merekalah ahli keluarga aku.” [8]

Akan tetapi pada waktu yang sama Ahl al-Sunnah menolak penghujahan Syi‘ah ke atas ayat 61 surah ‘Ali Imran dan peristiwaMubahalah. Penolakan ini adalah seperti berikut:

Pertama:   Peristiwa Mubahalah bukanlah hujah kekhususan mahupun keistimewaan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain.

Tindakan Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallammemilih 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhumdalam peristiwa Mubahalahdengan meninggalkan para sahabat yang lain bukanlah untuk membuktikan kekhususan mahupun keistimewaan mereka berempat akan tetapi untuk membuktikan keyakinan baginda tentang Allah yang Maha Esa dan risalah Islam yang disampaikannya.
Ini kerana bermubahalahialah satu tindakan berdoa kepada tuhan masing-masing untuk menjatuhkan laknat ke atas pihak lawan. Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membawa bersama ahli keluarganya yang terdekat lagi dicintainya, ia menunjukkan keyakinan Rasulullah yang tidak berbelah bahagi untuk bermubahalah.
Seandainya Rasulullah tidak yakin bahawa Allah akan mengabulkan doanya untuk menjatuhkan laknat, bahkan yang akan mengabulkannya ialah Tuhan Nasrani yang Tiga, pasti baginda tidak akan membawa bersama ahli keluarga yang terdekat lagi yang dicintainya. Dalam erti kata lain, seandainya Rasulullah tidak yakin dengan risalah Islam yang dibawanya, bahkan yang benar adalah agama Nasrani, pasti baginda tidak akan mengorbankan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain yang amat dicintainya untuk bermubahalah.
Muhammad Quraish Shihab, ahli tafsir kontemporer dari Indonesia menerangkan hakikat ini:[9]

Sungguh Nabi sangat yakin akan kebenaran yang beliau sampaikannya, yakni tidak sedikit keraguan pun yang menyentuh jiwa beliau. Sungguh beliau bersiap sedia melakukan mubahalah, tidak secuil keraguan atau kekhawatiran – sampai-sampai beliau mengajak orang-orang yang paling beliau cintai, yakni anak-anak dan cucu-cucunya yang biasanya dibela dan dihindarkan dari segala kemungkinan ancaman.

Keyakinan Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallammembawa 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhummenyebabkan delegasi Nasrani menjadi ragu-ragu sehingga akhirnya menarik diri daripada bermubahalah. Pengunduran delegasi Nasrani membuktikan bahawa mereka sendiri tidak yakin akan iktikad Tuhan Bertiga yang mereka pegang selama ini. Bahkan mereka akhirnya meminta Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengutuskan seseorang yang amanah untuk mengajar mereka tentang Islam.

Bukti kedua bahawa peristiwa Mubahalah bukanlah hujah kekhususan atau keistimewaan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum ialah tindakan Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam untuk memilih Abu ‘Ubaidah bin Jarrahradhiallahu 'anh sebagai utusan yang akan mengajar kaum Nasrani Najran tersebut. Malah Rasulullah bukan sahaja sekadar memilih Abu ‘Ubaidah tetapi baginda juga mengiktiraf beliau sebagai “Inilah orang amanah umat ini.”
Di sini penulis ingin menarik perhatian para pembaca yang budiman sekalian kepada satu poin penting. Jika para pembaca lazim membaca hujah-hujahSyi‘ah terhadap ayat 61 surah ‘Ali Imran dan kaitannya dengan peristiwa Mubahalah, tidak akan ditemui mana-mana sumberSyi‘ah yang mengemukakan riwayat Shahih al-Bukhari dan lain-lain rujukan hadis Ahl al-Sunnah tentang pemilihan Abu ‘Ubaidah bin Jarrah radhiallahu 'anh. Ini kerana tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk tidak memilih‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anhadalah bukti jelas yang membatalkan hujah Syi‘ahtentang kekhususan mahupun keistimewaan ‘Ali bin Abi Thalib.[10]

Kedua:       Riwayat bahawa delegasi Nasrani menarik diri daripada bermubahalah setelah melihat muka-muka 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain adalah tidak benar.

Dalam riwayat yang dikemukakan oleh al-Zamakhsyari rahimahullah(538H), disebut bahawa:

Lalu Bisyop Nasrani menjawab: “Wahai kaum Nasara! Sesungguhnya aku sedang melihat kepada muka-muka mereka, sekiranya Allah mahu menghilangkan bukit dari tempatnya, nescaya Dia akan menghilangkannya melaluikemuliaan muka-muka mereka. Justeru itu janganlah kalian bermubahalah, nanti kalian akan binasa, dan tidak tinggal lagi seorang Nasrani pun di bumi ini hingga di Hari Kiamat.”

Dalam riwayat ini kelihatan seolah-olah sebab delegasi Nasrani mengundur diri daripada bermubahalah ialah setelah melihat kemuliaan muka-muka 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husainradhiallahu 'anhum.
Riwayat ini tidak memiliki asal usulnya. al-Zamakhsyari mengemukakannya tanpa sanad mahupun menyebut sumber rujukannya. Sejauh kajian penulis, sumber terawal yang mengemukakan riwayat ini ialah al-Tsa’labi (427H) di dalam kitab tafsirnya al-Kasyf wa al-Bayan, jld. 3, ms. 85 (tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran). Akan tetapi al-Tsa’labi juga tidak mengemukakan sanad mahupun menyebut sumber rujukannya. Riwayat yang dikemukakan oleh al-Tsa’labi ini kemudiannya diambil oleh sebahagian ahli tafsir yang lain di dalam kitab-kitab mereka. Sayang sekali tidak seorang jua daripada para ahli tafsir ini – rahimahumullah – yang menyemak sanad atau sumber rujukannya.
Di sini perlu dibezakan bahawa peristiwa Mubahalahmemang benar berlaku dan ia diriwayatkan secara bersanad dengan pelbagai lafaz, sebahagiannya panjang dan sebahagiannya pendek. Akan tetapi sejauh kajian penulis, tambahan yang disebut oleh al-Tsa’labi tidak wujud dalam mana-mana riwayat yang bersanad.
Para pembaca boleh mengkaji sendiri riwayat-riwayat yang bersanad tentang peristiwaMubalahah dalam pelbagai kitab hadis Ahl al-Sunnah seperti al-Shahih, al-Sunan, al-Musnad, al-Musannaf, al-Mustadrak dan al-Mu’jam. Selain itu terdapat beberapa rujukan khusus sepertimana berikut:

1.  ‘Abd Razzaq bin Hammam al-Shan‘ani (211H) – Tafsir ‘Abd al-Razzaq – riwayat no: 409-411 (tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran).

2.  Ahmad bin Hanbal (241H) –Fadha’il al-Shahabah – riwayat no: 1374 (Kitab Keutamaan al-Hasan dan al-Husain).

3. Ahmad bin Yahya al-Balazuri (279H) – Futuh al-Buldan, ms. 75-76 (Bab Perjanjian dengan Najran).

4.  Ibn Jarir al-Thabari (310H) –Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Qur’an – riwayat no: 5666-5675 (tafsir ayat 61-63 surah ‘Ali Imran)

5. Ibn Abi Hatim al-Razi (327H) – Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim: Musnadan ‘an Rasulullah wa al-Shahabah wa al-Tabi‘in – riwayat no: 3615-3623 (tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran).

6. Ibn Marduyah (410H), sebagaimana nukil Ibn Katsir di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, jld. 3, ms. 81(tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran).

7. Abu Nu‘aim al-Ashbahani (430H) – Dala’il al-Nubuwwah– riwayat no: 244 & 245 (Bab Kisah al-Sayyid dan al-Aqib……).

8. al-Baihaqi (458H) – Dala’il al-Nubuwwah, jld. 5, ms. 382-393 (Bab Delegasi Najran……).

9. al-Wahidi (468H) – Asbab al-Nuzul, ms. 136-137 (sebab turun ayat 61 surah ‘Ali Imran).

Oleh itu sekali lagi ditekankan bahawa tambahan yang disebut oleh al-Tsa’labi tidak memiliki asal usulnya. Justeru riwayat tersebut tertolak berbanding dengan riwayat-riwayat lain yang lengkap bersanad. Yang benar delegasi Nasrani mengundur diri daripada bermubahalah bukan kerana “muka-muka” 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husainradhiallahu 'anhum akan tetapi kerana keyakinan Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallammembawa ahli keluarganya yang terdekat lagi dicintainya.
  
Ketiga:       Perkataan Anfusana (أنفسنا) tidak bermaksud kesamaan diri akan tetapi kesamaan perbuatan.
Perkataan Anfusana (أنفسنا) tidak bermaksud kesamaan diri akan tetapi kesamaan perbuatan. Berikut dikemukakan dua ayat yang juga menggunakan perkataan Anfusana:

Pertama, firman Allah:  
Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayat-Ku, dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan Hari (Kiamat) ini?
Mereka menjawab: “Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri(أنفسنا) (mendustakan Rasul-rasul itu).” [al-An‘aam 6:130]

Dalam ayat di atas perkataanAnfusana tidak bermaksud kesamaan diri tetapi kesamaan dalam bersaksi akan kesalahan masing-masing. Sesama jin dengan manusia, sesama jin dengan jin dan sesama manusia dengan manusia wujud perbezaan yang pelbagai sehingga tidak mungkin mereka semua boleh dikatakan sebagai “satu diri.”

Kedua, firman Allah:
Mereka berdua (Adam dan Hawa) merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri (أنفسنا), dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.” [al-A’raaf 7:23]

Di atas adalah doa bertaubat yang diucapkan oleh Nabi Adam‘alaihi salam dan Hawa setelah mereka menganiaya diri sendiri di dalam syurga dengan mengikut bisikan Iblis menghampiri pohon terlarang (Lihat surah al-A’raaf mulai dari ayat 19). Perkataan Anfusanatidak bermaksud kesamaan diri kerana Adam ialah seorang Nabi Allah dan seorang lelaki manakala Hawa adalah seorang perempuan. Akan tetapi perkataan Anfusana bermaksud kesamaan perbuatan, iaitu menganiaya diri sendiri kerana mengikuti bisikan Iblis menghampiri pohon terlarang.
Berdasarkan dua ayat di atas, perkataan Anfusana di dalam ayat 61 surah ‘Ali Imran tidak bermaksud kesamaan diri antara Rasulullah dan ‘Ali akan tetapi kesamaan perbuatan Rasulullah dan ‘Ali bermubahalah dengan delegasi Nasrani.  Bagaimana mungkin disamakan antara Rasulullah dan ‘Ali padahal Rasulullah adalah manusia yang teristimewa di kalangan para manusia, Nabi Allah yang termulia di antara para Nabi dan Rasul Allah yang terpenting di kalangan para Rasul manakala ‘Ali adalah seorang manusia yang bukan Nabi dan bukan Rasul.

Adapun hadis Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallamkepada ‘Ali radhiallahu 'anh:  
Anda di sisi aku seperti Harun di sisi Musa kecuali bahawasanya tidak ada Nabi sesudah aku.[11]

Ia adalah hadis sahih yang tidak lain hanya menunjukkan keutamaan ‘Ali kepada Rasulullah. Hadis di atas tidak membawa apa-apa bukti bahawa Rasulullah dan ‘Ali adalah “diri” yang sama sebagaimana juga Nabi Musa dan Nabi Harun bukanlah “diri” yang sama. Hadis di atas juga tidak memiliki apa-apa isyarat kekhalifahan kerana Nabi Harun ‘alaihi salambukanlah khalifah Bani Israil sesudah Nabi Musa ‘alaihi salam.
  
Kesimpulan mudah kepada para pembaca:
    Pemilihan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain untuk bermubahalah bukanlah bukti keistimewaan mereka tetapi bukti keyakinan Rasulullah terhadap risalah Islam yang disampaikan baginda.

    Perkataan Anfusanabukan bermaksud kesamaan diri tetapi kesamaan perbuatan.



[1]           Quraish Shihab –Tafsir al-Mishbah, jld. 2, ms. 105.
[2]           Najran terletak di Yaman, kira-kira 240km di utara bandar San’a. [Syed Anwar Ali –Qur’an: The Fundamental Law of Human Life (Hamdard Foundation, Karachi 1987), jld. 4, ms. 172].
[3]           Sejauh mana kebenaran konsep Trinity ini? Sila rujuk buku Christianity Through The Lens Of Christian & Muslim Scholars (Part One & Two) oleh M. Amin Yaacob (Jahabersa, Johor Bahru 2004).
[4]           Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah, ms. 67-68.
[5]         Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah, ms. 68-69. Lebih lengkap rujuk Tafsir al-Zamakhsyari (al-Kasyf ‘an Haqa’iq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil fi Wujuh al-Ta’wil), jld. 1, ms. 395-397 (tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran).

[6]           Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi ‘ah, ms. 74.
[7]           Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain, lihat Shahih al-Bukhari – no: 4380 (Kitab al-Maghazi, Bab Kisah Ahli Najran). Selain Huzaifah, hadis ini juga diriwayatkan oleh ‘Abd Allah ibn Mas‘ud radhiallahu 'anh,dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bazzar, al-Nasa’i (Sunan al-Kubra), al-Hakim dan lain-lain. Berkata al-Haitsami di dalamMajma’ al-Zawa’id – no: 14911(Kitab Manaqib, Bab Manaqib Abu ‘Ubaidah bin Jarrah):Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bazzar, para perawi al-Bazzar adalah perawi yang sahih. Demikian juga para perawi Ahmad kecuali Khalaf bin al-Walid, dia thiqah.
[8]           Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain, lihat Shahih Muslim - no: 2404-3 (Kitab Keutamaan para sahabat, Bab Keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib).
[9]           Tafsir al-Mishbah, jld. 2, ms. 105.
[10]          Mengikut riwayat yang dibawa oleh Muhammad ibn Ishaq, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam turut mengutus ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anhke Najran. Akan tetapi pengutusan ini adalah pada masa yang terkemudian untuk mengutip jizyah. Rujuk al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, jld 4, ms. 212 (Bab Haji Wida’)dan Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, jld. 5, ms. 394 (Bab-bab tentang delegasi Arab kepada Rasulullah, Bab Rasulullah mengutus ‘Ali bin Abi Thalib ke Ahli Najran dan Yaman sesudah Khalid bin al-Walid).
[11]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Shahih al-Bukhari – no: 3706 (Kitab al-Manaqib, Bab Manaqib ‘Ali bin Abi Thalib),Shahih Muslim – no: 2404 (Kitab Keutamaan para sahabat, Bab Keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib), di atas dengan lafaz Muslim



ayat-ayat al-qur'an yang dijadikan hujah oleh syiah [ Keempat ] Ayat al-Tabligh

Penghujahan Syi‘ah yang seterusnya adalah ke atas sepotong ayat yang mereka namakan Ayat al-Tabligh. Ia merujuk kepada perkataanBalagh (بلغ) dalam ayat 67 surah al-Maidah:
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya, maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan risalah-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu daripada manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir. [al-Maidah 5:67]

Bagaimana Syi‘ah menjadikan ayat ini sebagai hujah? Penjelasannya seperti berikut:

HUJAH SYI‘AH                      
Berhubung ayat ini, Syi‘ahmerujuk kepada kata-kata Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh,bahawa ayat ini diturunkan berkenaan ‘Ali bin Abi Thalibradhiallahu 'anh, mengarah kepada perlantikan beliau sebagai khalifah umat Islam di sebuah tempat bernama Ghadir Khum. Perlantikan ini terkenal dengan gelaran Khutbah Ghadir Khum.
Secara lebih mendalam, lanjutSyi‘ah, apabila Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallammenyedari bahawa tugasnya menyampaikan syari‘at Allah'Azza wa Jalla sudah hampir selesai, baginda ingin melantik ‘Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah pengganti. Perlantikan ini ingin baginda umumkan ketika perlaksanaan Haji Wida’ memandangkan pada saat itu majoriti umat Islam semuanya berhimpun di satu tempat yang sama.
Akan tetapi baginda ketakutan untuk mengumumkannya kerana menjangkakan bantahan daripada umat Islam, khasnya para sahabat baginda. Ketakutan baginda ini tidak diterima sebagai satu alasan di sisi Allah. Dalam perjalanan balik dari Haji Wida’, ketika di satu lembah bernama Ghadir Khum, Allah menurunkan perintah kepada Rasul-Nya untuk tetap teguh mengumumkan perlantikan tersebut. Allah berfirman:
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu… iaitu sampaikanlah perlantikan ‘Ali sebagai khalifah pengganti.
…dan jika engkau tidak melakukannya, maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan risalah-Nya…yakni jika kamu, wahai Muhammad, tidak mengumumkan perlantikan tersebut, bererti kamu tidak menyampaikan syari‘at-Nya secara lengkap.
…dan Allah jualah akan memeliharamu daripada manusia… Allah akan memelihara kamu, wahai Muhammad, daripada para sahabat kamu yang membantah perlantikan yang akan diumumkan itu.
Berdasarkan perintah Allah ini, Rasulullah terus berkhutbah di hadapan orang ramai sambil mengangkat tangan ‘Ali dan bersabda: Barangsiapa menjadikan aku Mawlanya, maka ‘Ali adalah Mawlanya.Khutbah ini baginda sampaikan selepas solat Zohor dalam suasana panas terik, menandakan kepentingannya yang tidak boleh dilengahkan lagi.
Demikianlah hujah Syi‘ah.Penggunaan ayat 67 surah al-Maidah oleh Syi‘ah sebagai hujah kekhalifahan ‘Ali radhiallahu 'anhdapat kita jawab dan tolak dengan mudah. Ikutilah jawapannya seterus ini.

JAWAPAN AHL AL-SUNNAH            
Sebelum ini ketika membahasAyat al-Mawaddah, kita telah menjawab dan menolak hujah-hujah Syi‘ah berdasarkan kajian darjat hadis dan semakan kepada maksud sebenar ayat 23 surah al-Syura.  Insya-Allah kita akan gunakan manhaj yang sama untuk menilai, menjawab dan menolak penghujahan Syi‘ah ke atas ayat 67 surah al-Maidah. Kita mulakan dengan kajian darjat hadis kemudian diikuti dengan semakan maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah.

Pertama:   Menilai darjat hadis yang mengatakan ayat 67 surah al-Maidah turun untuk mengarahkan perlantikan ‘Ali sebagai khalifah.

Sebagai permulaan, hadis yang dirujuk oleh Syi‘ah untuk menghujahkan ayat 67 surah al-Maidah bukanlah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tetapi kata-kata Abu Sa ‘id al-Khudri sahaja, radhiallahu 'anh. Ia berbunyi:  
Daripada Abu Sa‘id al-Khudri, dia berkata: Diturunkan ayat ini: “Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu” [al-Maidah 5:67] ke atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pada Hari Ghadir Khum berkenaan ‘Ali bin Abi Thalib.

Kedua, sanad riwayat ini adalah dha‘if. Ia dikeluarkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim – no: 6609(tafsir ayat 67 surah al-Maidah), al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul, ms. 233 (ayat 67 surah al-Maidah) dan Ibn ‘Asakir di dalamTarikh Dimasq al-Kubra, jld. 45, ms. 179 (biografi ‘Ali bin Abi Thalib), kesemuanya dengan sanad yang berpangkal kepada ‘Ali bin ‘Abas, daripada al-‘Amasy, daripada ‘Athiyah, daripada Abu Sa‘id al-Khudri.

‘Athiyah, beliau ialah ‘Athiyah bin Sa‘ad Abu al-Hasan al-‘Aufiy, seorang Syi‘ah daripada Kufah. Beliau dihukum dha‘if oleh Hisyam, Yahya bin Sa‘id al-Qathan, Ahmad bin Hanbal, Sufyan al-Tsauri, Abu Zar‘ah al-Razi, Ibn Ma‘in, Abu Hatim al-Razi, al-Nasa’i, al-Jauzajani, Ibn ‘Adiy, Abu Daud, Ibn Hibban, al-Daruquthni dan lain-lain lagi. Selain itu beliau masyhur dengan sifat tadlis yang amat buruk.[1] 

Berdasarkan kecacatan di atas, riwayat ini ditolak bukan sahaja kerana kedha‘ifan dan sifat tadlis ‘Athiyah, tetapi juga kerana di sisi disiplin hadis Ahl al-Sunnah, riwayat yang dibawa oleh seorang Syi‘ah demi kepentingan mazhabnya adalah tertolak. ‘Athiyah sememangnya terkenal menyandarkan riwayat-riwayat Syi’iyyat[2] daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anhum. Sebelum ini beliau menyandarkan riwayat berikut daripada Abu Sa‘id:
Diturunkan ayat ini kepada lima orang: “Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya” , iaitu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain (radhiallahu ‘anhum).

Riwayat ini telah kita bahas dan tolak dalam perbahasan Ayat al-That-hir yang lalu.
Selain Ibn Abi Hatim, al-Wahidi dan Ibn ‘Asakir, al-Suyuthi di dalam al-Durr al-Mantsur, jld. 2, ms. 528 (tafsir ayat 67 surah al-Maidah) juga menyandarkannya riwayat yang mengatakan ayat 67 surah al-Maidah turun berkenaan ‘Ali kepada Ibn Marduyah. Akan tetapi rujukan kepada sumber ini tidak wujud pada masa kini. Sementara itu al-Hafiz al-Haskani turut mengemukakan beberapa riwayat yang senada di dalamSyawahid al-Tanzil – no: 243-250 dengan sanad yang sebahagian besarnya adalah cacat manakala bakinya terdiri daripada para perawi yang tidak ditemui statusal-Jarh wa al-Ta’dilnya. Yang beratnya, al-Hafiz al-Haskani sendiri tidak menerangkan status riwayat-riwayat yang dikeluarkannya. Justeru mencukupilah kita dengan takhrijserta rumusan al-Alusirahimahullah (1275H) berikut ini, ketika mengulas riwayat-riwayat Ghadir Khum yang berkaitan dengan ayat 67 surah al-Maidah:[3]

Dan anda sedia mengetahui bahawa khabar-khabar berkenaan peristiwa Ghadir (Khum) yang padanya terdapat perintah perlantikan (‘Ali sebagai) khalifah adalah tidak sahih di sisi Ahl al-Sunnah, bahkan tidak diterima asal-usul kelahirannya.

Demikian takhrij ke atas riwayat yang mengatakan ayat 67 surah al-Maidah turun untuk mengarahkan perlantikan ‘Ali sebagai khalifah. Yang benar riwayat tersebut tertolak kerana ia dibawa oleh seorang perawi yang bermazhab Syi‘ah. Lebih dari itu, jika kita mengkaji maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah, ia sebenarnya tidak memiliki apa-apa kaitan dengan subjek perlantikan khalifah.

Kedua:       Mengkaji maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah.
Jika kita mengkaji maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah, jelas bahawa ia tidak memiliki apa-apa kaitan dengan subjek perlantikan khalifah sebagaimana dakwa Syi‘ah. Perhatikan poin-poin berikut:
 Pertama:

Ayat 67 surah al-Maidah berbentuk umum maka ia difahami secara umum juga. Firman Allah: …sampaikanlah…(بلغ) …apa yang telah diturunkan …
(ما أنزل) dan … risalah-Nya…(رسالته) adalah umum merujuk kepada perintah menyampaikan seluruh syari‘at Islam.
Muhammad Quraish Shihab mengulas:[4]

Di sisi lain, apakah objek yang diperintahkan untuk disampaikan – tidak disebut oleh ayat ini. Mengapa tidak disebut jika ia sedemikian penting? Atau yang berlaku di sini adalah kaedah yang menyatakan: Apabila satu kalimat tidak menyebut objeknya, maka objeknya menjadi segala sesuatu yang dapat dicakup olehnya.

Misalnya, jika di hadapan anda terhidang aneka makanan, kemudian anda dipersilakan makan (oleh tuan rumah) tanpa menyebut makanan tertentu, maka itu bererti bahwa anda dipersilakan makan segala apa yang terhidang tanpa sebarang pengecualian.

Demikian juga di sini (dalam ayat ini). (Perintah) “Sampaikanlah” (بلغ) disebut dengan tidak menyebut objeknya, maka ia bererti segala sesuatu yang berkaitan dengan penyampaian ajaran agama.

Menarik untuk diperhatikan soalan Quraish Shihab: Mengapa tidak disebut jika ia sedemikian penting? Di sini Quraish Shihab merujuk kepada hujah Syi‘ahyang berkata ayat 67 surah al-Maidah diturunkan bagi memerintahkan Rasulullah akan satu hal yang penting, iaitu perlantikan ‘Ali sebagai khalifah. Maka Quraish Shihab bertanya, jika hal perlantikan tersebut sedemikian penting maka kenapa ia tidak disebut sendiri oleh Allah dalam ayat ini?
Hakikatnya adalah mudah untuk Allah ‘Azza wa Jalla berfirman sedemikian, umpama:

Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah perlantikan ‘Ali sebagai khalifah pengganti kamu……

Berfirman dalam bentuk yang khusus untuk menerangkan jawatan khalifah seseorang adalah mudah bagi Allah dan Dia telah melakukannya beberapa kali di dalam al-Qur’an. Di antaranya ialah tindakan mengkhususkan jawatan khalifah kepada Nabi Daud ‘alaihi salamdan menetapkan kerajaannya: 
Wahai Daud ! Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu). [Shad 38:26]

Juga tindakan Allah yang secara khusus menetapkan Nabi Sulaiman ‘alaihi salam sebagai pengganti jawatan khalifah Nabi Daud ‘alaihi salam: 
Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud. [al-Naml 27:16]

Oleh itu apabila Allah berfirman secara umum, bererti yang dikehendaki oleh-Nya adalah pemahaman yang umum. Tidak boleh mengkhususkannya kepada perlantikan ‘Ali kerana Allah tidak mengkehendaki pengkhususan tersebut.

Kedua:
Selain keumuman perkataan …sampaikanlah… (بلغ) …apa yang telah diturunkan … (ما أنزل) dan … risalah-Nya…(رسالته), terdapat petunjuk lain yang menafikan dakwaan bahawa ayat 67 surah al-Maidah diturunkan berkaitan dengan perlantikan ‘Ali sebagai khalifah di Ghadir Khum. Petunjuk ini terdapat pada firman Allah: (والله يعصمك من الناس) yang bermaksud: …dan Allah jualah akan memeliharamu daripada manusia. Siapakah yang dimaksudkan dengan manusia (الناس) yang akan Allah peliharakan untuk Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam? Jawapannya terdapat pada penghujung ayat 67 surah al-Maidah tersebut:Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.[5]
Berkata al-Zamakhsyarirahimahullah (538H):[6]

Dan (yang dimaksudkan dengan) “manusia” ialah orang kafir berdalilkan firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.

Di sini perlu diterangkan bahawa rangkap-rangkap pendek yang lazimnya mengakhiri sesebuah ayat, tidaklah ia memiliki pengajaran yang berpisah atau semata-mata untuk menyedapkan bacaan. Akan tetapi ia berperanan melengkapkan perbahasan ayat. Tidak tepat penafsiran sesebuah ayat selagi mana rangkap pendek yang mengakhirinya tidak diambil kira. Dalam ayat 67 surah al-Maidah di atas, rangkap pendek yang mengakhirinya:Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafirmenunjukkan bahawa keseluruhan perbincangan ayat adalah berkenaan orang-orang kafir, iaitu mereka yang mengingkari risalah Islam yang disampaikan oleh Rasulullah.
Seandainya ayat 67 surah al-Maidah ini merujuk kepada perintah perlantikan ‘Ali sebagai khalifah, ia tidak akan membicarakan tentang orang-orang kafir tetapi khusus berkenaan orang-orang yang beriman. Ini kerana seorang khalifah adalah pemimpin, penjaga dan pengurus hal ehwal agama dan kehidupan orang-orang yang beriman. Merupakan satu kesia-siaan membicarakan urusan perlantikan khalifah Dar al-Islam dengan orang kafir.

Ketiga:
Daripada poin kedua dan ketiga di atas, jelas bahawa ayat 67 surah al-Maidah merujuk kepada misi dakwah Rasulullah menyampaikan syari‘at Islam kepada orang bukan Islam. Izinkan penulis menjelaskan maksudnya seperti berikut:
    Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu… iaitu sampaikanlah risalah atau syari‘at Islam kepada orang ramai.

    …dan jika engkau tidak melakukannya, maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan risalah-Nya… yakni jika kamu, wahai Muhammad, tidak menyampaikan risalah atau syari‘at Islam kepada orang ramai, bererti kamu tidak menyampaikan syari‘at-Nya secara lengkap.

    …dan Allah jualah akan memeliharamu daripada manusia… Allah akan memelihara kamu, wahai Muhammad, daripada orang-orang yang mungkin membantah atau mengancam kamu dalam usaha kamu menyampaikan risalah Islam.

    Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir… janganlah kamu berdukacita wahai Muhammad kerana orang-orang kafir, yakni mereka yang mengingkari risalah yang kamu sampaikan itu sebenarnya terdiri daripada mereka yang tidak diberi hidayah petunjuk oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Tiga poin di atas mengakhiri kajian kita ke atas maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah. Jelas bahawa ia tiada kaitan dengan peristiwa perlantikan ‘Ali di Ghadir Khum sebagaimana dakwa Syi‘ah. Malah maksud dan tujuan ayat 67 ini bertentangan dengan dakwaan Syi‘ah, kerana sepertimana yang telah disebut dalam poin kedua di atas: Merupakan satu kesia-siaan membicarakan urusan perlantikan khalifah Dar al-Islamdengan orang kafir.
Menarik untuk diperhatikan bahawa dalam keghairahanSyi‘ah menghujahkan ayat 67 surah al-Maidah, mereka mengemukakan beberapa poin yang menyelisihi pemikiran yang waras dan logik yang sihat. Dua di antara poin tersebut adalah:

1. Syi‘ah mendakwa kononnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam takut untuk menyampaikan perintah perlantikan ‘Ali radhiallahu 'anh sebagai khalifah. Ini adalah dakwaan yang jelas tidak benar dan merupakan fitnah semata-mata ke atas Rasul Allah. Menarik untuk diperhatikan bahawa ayat 67 yang diturunkan oleh Allah'Azza wa Jalla “hasil daripada ketakutan Rasulullah” juga tidak menyebut apa-apa tentang perlantikan ‘Ali. Adakah dengan itu akan didakwa bahawa Tuhan juga takut?

2. Syi‘ah mendakwa oleh kerana kepentingan isu perlantikan ‘Ali, Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallamtelah menahan orang ramai dalam suasana panas terik selepas solat Zohor untuk berkhutbah di Ghadir Khum.

Ini adalah dakwaan yang pelik kerana setiap khutbah yang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sampaikan pada siang hari sememangnya disinari matahari manakala pada malam hari sememangnya disinari bulan dan bintang kerana sememangnya begitu iklim semulajadi di Semenanjung Arab. Lebih dari itu pada zaman tersebut tidak wujud masjid dan dewan persidangan yang berhawa dingin sebagaimana masa kini. Oleh itu tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi khutbah dalam suasana panas terik bukanlah kerana kepentingan isu tetapi kerana iklim semulajadi di Semenanjung Arab.

Alhamdulillah, berakhirlah perbahasan dan jawapan kita ke atas ayat 67 surah al-Maidah yang dijadikan hujah oleh Syi‘ahsebagai Ayat al-Tabligh. Terdapat satu poin lain yang penulis tangguhkan perbahasan dan jawapannya. Poin tersebut merujuk kepada khutbah yang disampaikan oleh Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam pada Hari Ghadir Khum. Khutbah itu sendiri, seandainya ia berdarjat sahih, tidak mengangkat ‘Ali sebagai khalifah. Yang wujud hanyalah dakwaan dan angan-angan kosong Syi‘ah. Khutbah ini akan penulis bahas dalam bukuSiri Ketiga insya-Allah dalam rangka menjawab hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh Syi‘ahdalam persoalan khalifah. Sementara itu kita beralih kepada ayat seterusnya yang dinamakanAyat al-Mubahalah oleh Syi‘ah.
  
Kesimpulan mudah kepada para pembaca:
    Ayat 67 surah al-Maidah merujuk kepada misi dakwah Rasulullah kepada orang kafir. Ia tidak memiliki apa-apa kaitan dengan perlantikan ‘Ali sebagai khalifah.



[1]           al-‘Uqaili – al-Dhu‘afa’ al-Kabir – biografi no: 1392; Ibn Hajar al-‘Asqalani – Thabaqat al-Mudallisin – biografi no: 122 dan Syu‘aib al-Arna’uth (الأرنؤوط) & Basyar ‘Awwad Ma’ruf – Tahrir Taqrib al-Tahzib, biografi no: 4616.
Tadlis bermaksud menyembunyikan nama perawi sebenar yang diambil hadis daripadanya. Ini dilakukan atas beberapa sebab, yang masyhur ialah menutup kelemahan dan kecacatan yang terdapat pada perawi yang disembunyikan itu supaya hadis yang dibawanya tidak menjadi lemah atau tertolak.
[2]           Ini adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada riwayat-riwayat yang berasal daripada sumber atau perawiSyi’ah yang terselit di antara sumber-sumber Ahl al-Sunnah.Ia umpama riwayat Israiliyyat, merujuk kepada riwayat-riwayat yang berasal daripada sumber atau perawi Bani Israil yang terselit di antara sumber-sumberAhl al-Sunnah. Lebih lanjut rujuk kepada buku yang amat bermanfaat oleh Muhammad Asri Yusuf yang berjudul Ibnu Ishaq: Peranannya Dalam Penyebaran Fahaman Syi‘ah Di Kalangan Ummah (Pustakan Bisyaarah, Kubang Kerian, Kelantan 2004).
[3]           Shihab al-Din Muhammad al-Alusi – Ruh al-Ma‘ani fi Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim wa al-Sab’i al-Mutsani,jld. 3, ms. 360 (tafsir ayat 67 surah al-Maidah). Lihat juga ulasan seumpama daripada Ibn Taimiyyah di dalam Minhaj al-Sunnah, jld. 7, ms. 33 dan seterusnya (bagi edisi lama, rujuk jld. 4, ms. 10 dan seterusnya).
[4]           Tafsir al-Mishbah(Lentera Hati, Djuanda 2001), jld. 3, ms. 140 dengan sedikit suntingan bahasa daripada penulis kerana rujukan ini asalnya dalam bahasa Indonesia.
[5]           al-Alusi – Ruh al-Ma‘ani, jld. 3, ms. 363.
[6]           Muhammad bin ‘Umar al-Zamakhsyari – al-Kasyf ‘an Haqa’iq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil fi Wujuh al-Ta’wil, jld. 1, ms. 692 (tafsir ayat 67 surah al-Maidah).