Menangkis Fitnah K.H
Sirajuddin Abbas al-Jahmiyyah
Ke Atas Syaikhul Islam Ibn
Taimiyyah Rahimahullah
Sebagai Pencetus Akidah
Al-Mujassimah dan Al-Musyabbihah.
Penulis artikel: Mohd Hairi
bin Nonchi
Pendidikan Sains Sosial,
Universiti Malaysia Sabah.
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah ialah nama yang tidak asing lagi di sisi para pendukung dan
pencinta al-Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, mengingatkan
sumbangannya yang begitu besar di dalam meneruskan kesinambungan usaha
memelihara dan mendakwahkan al-Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
kepada umat manusia serta berusaha gigih memeliharanya dari sebarang unsur luar
yang menghakis ketulenannya.
Siapakah Syaikhul Islam Ibn
Taimiyyah ?
Nama penuh beliau ialah Ahmad
bin ‘Abd al-Halim bin ‘Ab al-Salam al-Harani, merupakan seorang Imam Mujtahid
yang dilahirkan pada tahun 661H dan meninggal dunia pada tahun 728H di Damsyik.
Beliau terkenal sebagai seorang yang bersungguh-sungguh dalam mempelajari
ilmu-ilmu agama sehingga akhirnya beliau telah menjadi seorang yang amat pakar
di dalam bidang keilmuan seperti bidang usul, hadis, tafsir, fiqh, bahasa,
syari’at, mantik, falsafah, perbandingan agama dan pelbagai lagi. Beliau juga
begitu terkenal sebagai seorang ulamak Islam yang banyak berkarya sehingga
mencapai beratus-ratus judul (diterangkan bahawa beliau memiliki lebih kurang
300 buah karya) dan kitab beliau yang paling terkenal adalah bertajuk Majmu’
al-Fatwa.
Pandangan tokoh-tokoh Islam
ke atas Syaikhul Islam.
Setelah kita mengetahui serba
sedikit mengenai latar belakang Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah, maka
ada baiknya kita melihat pula apakah pandangan para imam muktabar Ahl al-Sunnah
wa al-Jama'ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih ke atas Syaikhul Islam.
· Pertama: Pujian al-Hafiz
al-Zahabi rahimahullah (w.748H), seorang tokoh agung dalam Ilmu Hadis - yang
juga merupakan murid Ibn Taimiyyah – menyenaraikan gurunya itu di dalam
kitabnya Tazkirah al-Huffaz yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadis. Beliau
memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan
gelaran Syaikhul Islam, antara lain katanya:
"Ibn Taimiyyah: Seorang
syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafiz (dalam hadis), seorang yang
kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah syaikhul
Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan
zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia,
dipuji oleh penyokong dan penentang." [Dinukil daripada buku Himpunan
Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3); dalam edisi e-book, Hafiz
Firdaus Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2005), ms. 115].
· Kedua: Pujian al-Hafiz Ibn
Hajar al-`Asqalani rahimahullah (w.852H) dalam kitabnya al-Durar al-Kaminah
menceritakan mengenaikan fitnah yang dikenakan kepada Ibn Taimiyah, sehingga
beliau menyebut:
"Ibn Taimiyyah terus
dipenjara sehingga kembali ke rahmat Allah. Kepada Allah juga kembali segala
urusan. Dia memerhatikan mereka yang khianat dan apa yang disembunyikan di
dalam dada. Hari kematian Ibn Taimiyyah itu menjadi bukti, manusia memenuhi
jalan menyambut jenazahnya, orang Islam datang dari serata pelusuk. Mereka
mengambil keberkatan dengan menghadiri jenazahnya, pada hari yang ditegakkan bukti,
mereka semua ingin memegang kerandanya sehingga patah kayunya …… Ibn Taimiyyah
imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan
ulama, pewaris para anbiya." Sehinggalah beliau juga menggelarnya sebagai
“Syeikhul Islam”. [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa
Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116].
· Ketiga: Pujian al-Imam
Sayuti rahimahullah (w.911H) juga menyenaraikan Ibn Taimiyyah dalam senarai
para huffaz hadis (para hafiz hadis), iaitu dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz.
al-Imam Sayuti yang bermazhab Syafi’i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti
berikut:
"Ibn Taimiyyah, seorang
syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih,
mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syeikhul Islam, lambang
golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini …… salah seorang tokoh
terbilang …… memberi perhatian dalam bidang hadis, memetik dan menapisnya,
pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadis (kecacatan tersembunyi
hadis) juga fiqh hadis, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada
lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan
tokoh-tokoh yang tiada tandingan." [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah
Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116-117].
· Keempat: Pujian al-Imam
al-Subki rahimahullah (w.756H), iaitu seorang ahli tafsir dan ahli dalam medan
debat terkemuka bermazhab Syafi'e. Beliau berkata mengenai Ibn Taimiyyah semasa
menjawab surat gurunya, al-Hafiz al-Zahabi yang memarahinya di atas
perkataannya terhadap Ibn Taimiyyah sebelum ini dimana dia berkata:
"Adapun apa yang tuan
katakan mengenai al-Syaikh Taqiyuddin (Ibn Taimiyyah), maka hamba ini (saya)
telah pun pasti ketinggian kemampuannya, limpahan dan keluasan lautan ilmunya
dalam naql (al-Qur'an dan al-Sunnah) dan akal, kehebatan dan kebijaksanaan dan
ijtihadnya, juga dia mencapai kesemuanya itu lebih dari yang disifatkan. Hamba
ini (saya) sentiasa akan mengakuinya. Nilainnya (Ibn Taimiyyah) pada diri ini
lebih besar dan mulia dari segalanya. Dengan apa yang telah Allah himpunkan
padanya dari sifat zuhud, warak, kuat beragama, membela dan menegakkan agama
kebenaran semata-mata kerana Allah. Dia melalui perjalanan ulamak salaf dengan
sepenuhnya, sangat asing orang sepertinya pada zaman ini bahkan di mana-mana
zaman pun." [Dinukil daripada buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama
& Tokoh-Tokohnya, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Karya Bestari Sdn Bhd,
Selangor, 2005), ms. 123].
Demikianlah beberapa pujian
dan pengiktirafan yang diberikan oleh para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa
al-Jama'ah terhadap Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Sungguhpun
demikian pujian dan pengiktirafan yang telah diberikan oleh para ulamak
muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ke atas beliau rahimahullah, namun di
sebalik itu semua masih ada lagi segolongan manusia yang dilihat begitu tegar
di dalam memerangi dakwah Syaikhul Islam.
Di antara fitnah yang sering
dilontarkan oleh para musuh Syaikhul Islam terhadap beliau ialah termasuklah
menganggap beliau sebagai pencetus kepada akidah al-Mujassimah, iaitu meyakini
Allah sebagai Tuhan yang beranggota (berjisim) dan al-Musyabbihah, iaitu
menganggap Allah sebagai Tuhan yang memiliki sifat yang sama dengan sifat
makhluk. Keadaan ini semakin menjadi berat apabila kebanyakan fitnah tersebut
adalah dilontarkan oleh sebahagian "golongan agamawan", terutamanya
dari kalangan para penganut amalan kesufian yang menyeleweng dan golongan jahil
yang sememangnya memiliki manhaj yang bertentangan dengan manhaj al-Salaf al-Shalih
dalam persoalan akidah (khususnya yang berkaitan dengan perkara tauhid al-Asma'
wa al-Sifat). Antara individu yang paling lantang melontarkan fitnah ke atas
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah termasuk yang berada di Malaysia
ialah:
· Zamihan Mat Zain al-Ghari
menerusi buku yang bertajuk Salafiyah Wahabiyah Satu Penilaian yang diterbitkan
oleh Tera Jaya Enterprise, Cheras, 2001 dan beberapa kertas kerjanya seperti
Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia dan Memahami Ancaman Terhadap
Ahli Sunnah Wal Jamaah.
· K.H Sirajuddin Abbas
menerusi bukunya yang bertajuk I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang diterbitkan
oleh Pustaka Tarbiyah Baru, Jakarta Selatan, 2008.
· ‘Abdullah al-Siddiq
al-Ghumari menerusi bukunya yang kini sudah diterjemahkan atas judul Makna
Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi, terbitan Middle East Global, Kuala
Lumpur, 2005.
Walau bagaimanapun, kesemua
fitnah, pengkhianatan, pembohongan dan penyelewengan ilmiah para pemfitnah dan
pendusta di atas telah pun dibongkar dan dijawab semula oleh para pendukung dan
pencinta Sunnah tanah air. Silalah rujuk buku-buku berikut di bawah ini bagi
mengetahui apakah bentuk fitnah, pengkhianatan, pembohongan dan penyelewengan
ilmiah yang dilakukan oleh para pemfitnah dan pendusta di atas dalam
menjustifikasikan fitnah-fitnah yang dilontarkan oleh mereka terhadap Syaikhul
Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berserta jawapan Ahli Sunnah terhadapnya:
1) Menjawab 17 Fitnah
Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah, Syaikh Murad Syukri (Perniagaan
Jahabersa, Johor Bahru).
2) Pembongkaran Jenayah
Ilmiyah Buku Salafiyah Wahabiyah: 73 Penilaian Semula Ke Atas Penilaian Zamihan
Mat Zain al-Ghari, Hafiz Firdaus Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).
3) Menangkis Pencemaran
Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Karya Bestari
Sdn Bhd, Selangor).
4) Siapakah Ahli Sunnah Yang
Sebenar, Dr Azwira Abd Aziz (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).
5) Koleksi Kuliah-Kuliah
Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Menurut Manhaj Salaf As-Soleh (Jilid 1), Ustaz
Rasul Dahri (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).
Sekilas mengenai fitnah K.H
Sirajuddin Abbas ke Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah.
Ingin ditarik perhatian para
pembaca yang budiman sekalian kepada salah seorang tokoh pemfitnah dan pendusta
yang cukup masyhur di Indonesia iaitu K.H Sirajuddin Abbas yang merupakan salah
seorang pembawa bendera al-Jahmiyyah dan salah seorang pemimpin besar
quburiyyun (pemuja qubur). Menerusi bukunya yang bertajuk I'tiqad Ahlus Sunnah
Wal Jamaah, beliau didapati telah pun menabur begitu banyak fitnah dan
pendustaan yang tidak berasas ke atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah. Di antaranya yang paling masyhur ialah beliau mendakwa bahawa
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah sebagai penganut akidah al-Mujassimah
dan al-Musyabbihah, lantas dengan itu beliau menjatuhkan hukum
"sesat" kepada tokoh tersebut dan mereka yang sealiran dengan
pegangan Syaikhul Islam. Bagi menguatkan dakwaan ini, berikut dinukilkan
beberapa contoh fitnah oleh K.H Sirajuddin Abbas ke atas Syaikhul Islam
sebagaimana yang dimaksudkan berserta koreksi Ahli Sunnah ke atasnya, antara
lain beliau berkata:
"Bagi Ibn Taimiyyah
Tuhan mempunyai muka, tangan, mata, rusuk, duduk bersela, datang dan pergi dan
Cahaya langit dan bumi, karena hal itu semuanya tersebut dalam al-Quran,
katanya. Tuhan berada di atas langit, boleh ditunjuk dengan anak jari,
mempunyai tumit kaki, mempunyai tangan kanan, mempunyai nafas, naik-turun dan
Tuhan itu "masa", karena semuanya itu tersebut dalam Hadits yang
sahih-sahih, kata Ibnu Taimiyah. Jadi beliau sebenarnya harus dimasukkan dalam
Bab kaum Mujassimah atau Musyabbihah, karena ada persamaannya dalam
I'tiqad" [I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah, K.H Sirajuddin Abbas (Pustaka
Tarbiyah Baru, Jakarta Selatan, 2008), ms. 300].
Sekian "fatwa" yang
dikeluarkan oleh K.H Sirajuddin Abbas terhadap Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah. Bagi menjawab tuduhan yang dilontarkan oleh tokoh al-Jahmiyyah
terhadap Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah di atas, berikut akan saya
turunkan beberapa penjelasan oleh Ahli Sunnah terhadapnya yang saya nukilkan
secara ringkas daripada buku Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal
Jamaah Menurut Manhaj Salaf As-Soleh, Jilid 1, Ustaz Rasul Dahri (Perniagaan
Jahabersa, Johor Bahru, 2001), halaman 12-19:
Pada hakikatnya, bukan
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah seorang sahaja yang menyatakan bahawa
Tuhan mempunyai muka, mempunyai tangan, mempunyai mata, mempunyai jari, berada
di langit serta mempunyai sifat-sifat lain yang paling sempurna dan layak
bagi-Nya. Oleh itu beliau tidak boleh dihukum sesat oleh K.H Sirajuddin dan
oleh mereka yang terpengaruh dengan fahaman K.H Sirajuddin.Dalam hal ini,
fahaman, pegangan dan amalan Ibn Taimiyyah adalah berdasarkan fahaman para
sahabat, tabi'in, tabi'ut at-tabi'in dan semua para ulamak Ahl al-Sunnah wa
al-Jama'ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih, kerana kenyataannya beliau
bersefahaman, sependapat dan seakidah dengan mereka. Antara mereka yang jelas
semanhaj (sefaham dan seakidah) dengan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah ialah:
· Pertama: al-Imam al-Auza'i
rahimahullah yang dianggap Imam ahli Syam di zamannya. Beliau menegaskan:
"Kami dan para tabi'in
semuanya menetapkan dengan kesepakatan (ijmak) qaul kami bahawa: Sesungguhnya
Allah di atas 'Arasy-Nya dan kami beriman dengan apa yang telah dinyatakan oleh
al-Sunnah berkenaan sifat-sifat Allah Ta'ala." [Fathul Bari, Ibn Hajar
al-'Asqalani, jld. ms. 406, (Dar Ihya at-Turath al-Arabi, Beirut)].
· Kedua: al-Imam Abu Hasan
al-Asy'ari rahimahullah yang dikenali sebagai Imam Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah,
beliau telah menegaskan bahawa al-Qur'an bukan makhluk dan diturunkan oleh
Allah yang berada di langit dan beliau seterusnya menjelaskan:
"Allah mempunyai sifat,
mempunyai tangan, bersemayam di atas 'Arasy-Nya dan mempunyai muka. Al-Qur'an
itu Kalamullah bukan makhluk dan al-Qur'an diturunkan dari langit"
[Iktiqad Aimmatul Hadits, Ismaili, ms. 50-51].
· Ketiga: al-Imam asy-Syafi'e
menjelaskan (sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abi Talib setelah beliau
ditanya tentang sifat Allah:
"Dan bagi-Nya dua tangan
sebagaimana firman-Nya: "(Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah
terbuka". Bagi-Nya tangan sebagaimana firman-Nya: "Dan langit digulung
dengan tangan kanan-Nya". Allah mempunyai wajah sebagaimana firman-Nya:
"Setiap sesuatu akan binasa kecuali wajah-Nya". Bagi-Nya kaki
sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam: "Sehinggalah Dia
meletakkan wajah dan kaki-Nya". Dia mempunyai jari sebagaimana sabda Nabi
shalallahu 'alaihi wasallam: "Tiadalah hati itu kecuali jari-jari dari
jari-jari Ar-Rahman (Allah)". Kami (Imam asy-Syafi'e dan para ulamak Ahli
Sunnh lainnya –pen) menetapkan sifat-sifat ini dan menafikan dari penyerupaan
sebagaimana dinafikan sendiri oleh Allah sebagaimana difirmankan: "Tiada
sesuatu pun yang semisal dengan-Nya dan Dia Maha Mendengar dan Maha
Melihat." [Iktikad Qimmah al-Arba'ah, Abu Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad,
(cetakan pertama Darul 'Asimah Saudi Arabia), ms. 46-47].
al-Imam asy-Syafi'e
rahimahullah seterusnya menjelaskan lagi:
"Kita menetapkan
sifat-sifat (Allah) sebagaimana yang didatangkan oleh al-Qur'an dan yang warid
tentang-Nya dari al-Sunnah, kami menafikan tasybih (penyerupaan) tentang-Nya
kerana dinafikan oleh diri-Nya sendiri sebagaimana firman-Nya (Tiada sesuatu
yang semisal dengan-Nya." [Iktikad Qimmah al-Arba'ah, Abu Hanifah, Malik,
Syafie wa Ahmad, , ms.42].
al-Imam asy-Syafi'e
rahimahullah telah menjelaskan juga tentang turun naiknya Allah:
"Sesungguhnya Dia
(Allah) turun setiap malam ke langit dunia (sebagaimana) menurut khabar dari
Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam." [Iktikad Qimmah al-Arba'ah, Abu
Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad, , ms.47].
Imam asy-Syafi'e rahimahullah
dan Ibn Taimiyyah, mereka berdua ada kesepakatannya dalam meyakini tentang
turun-naiknya Allah. Mereka berlandaskan kepada sabda Rasulullah shalallahu
'alaihi wasallam (yang bermaksud):
"Tuhan kita turun ke
langit dunia pada setiap malam apabila sampai ke satu pertiga dari akhir malam,
maka Dia berfirman: Sesiapa yang berdoa akan Aku perkenankan, sesiapa yang
meminta akan Aku tunaikankan dan sesiapa yang meminta keampunan akan Aku
ampunkan" [Hadis riwayat al-Bukhari – hadis no: 1141, Muslim – hadis no:
78, Abu Daud – hadis no: 4733, at-Tirmizi – hadis no: 4393, Ibn Majah – hadis
no: 1366 dan Ahmad 1/346]
· Keempat: Dalam satu riwayat
hadis mutaffaq 'alaihi, bahawa Allah itu "ad-Dhar" atau
"masa". Namun, bagaimana K.H Sirajuddin Abbas menafikannya. Sabda
Rasulullah ini (yang bermaksud): "Janganlah kamu maki ad-Dhar (masa),
kerana sesungguhnya Allah itu adalah masa" [Hadis riwayat al-Bukhari dan
Muslim].
Demikian salah satu
pendedahan fakta mengenai pendustaan yang dilakukan oleh tokoh aliran
al-Jahmiyyah dan quburiyyun Indonesia, K.H Sirajuddin Abbas terhadap salah
seorang tokoh ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, Syaikhul Islam Ibn
Taimiyyah rahimahullah.
Pada kesempatan ini, saya
(mohd. Hairi), ingin bertanya kepada para pengekor tokoh pendusta dan pemfitnah
di atas: jika benarlah kenyataan si pendusta tersebut di atas bahawa Syaikhul
Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah sebagai salah seorang penganut akidah
al-Mujassimah dan al-Musyabbihah hanya kerana manhajnya dalam menithbatkan
(menetapkan) nas-nas sifat Allah tanpa ta'hil (menghilangkan fungsi sifat) dan
tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan sifat makhluk), mengapakah dakwaan,
tohmahan dan hukuman yang sama tidak ditujukan kepada ulamak muktabar Ahl
al-Sunnah wa al-Jama'ah selain beliau dari kalangan al-Salaf al-Shalih yang
turut mengaplikasikan manhaj yang sama dengan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah dalam berinteraksi dengan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala
iaitu menetapkan (ithbat) sifat-sifat Allah tanpa ta'thil dan tasybih? Saya
menyerahkan persoalan ini kepada kebijaksanaan dan keadilan para pembaca yang
budiman sekalian untuk menilai sendiri siapakah yang sebenarnya yang patut
dipersalahkan dalam hal ini serta yang paling layak untuk dianugerahkan pangkat
"kesesatan" sebagaimana dakwaan si pendusta, K.H Sirajuddin Abbas dan
para pengkornya ke atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menerusi
bukunya tersebut.
Seterusnya, marilah kita
perhatikan pula satu lagi contoh fitnah yang dilontarkan oleh tokoh pujaan
golongan yang beraliran al-Jahmiyyah dan para pemuja kuburan (quburiyyun) ini
ke atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Dalam bukunya yang sama di
atas (I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah), pada halaman 303, beliau telah memetik
kata-kata Ibnu Bathuthah dalam kitabnya Rahlah Ibnu Bathuthah, juz 1, halaman
57 (cetakan Azhariyah, Kairo, 1928M) yang bermaksud:
"Saya (Ibnu Bathuthah
–pen) ketika itu sedang berada di Damsyiq. Saya di masjid mendengar dia (Ibn
Taimiyyah –pen) memberi pelajaran di hadapan umum di mimbar mesjid kami".
Banyak pelajaran diucapkan. Di antara perkataannya: " Tuhan Allah turun ke
langit dunia serupa turunnya dengan turun saya ini", lalu ia turun satu
tingkat di jenjang mimbar. Pada ketika itu seorang ulama ahli fiqih Madzhab
Maliki bernama Anus Zahra' membantah dia dan melawan ucapan-ucapan Ibnu
Taimiyyah".
Dengan memetik kenyataan Ibn
Bathuthah secara semberono dan tanpa melakukan sebarang pengkajian ilmiah
terhadap kesahihan faktanya di atas, tokoh al-Jahmiyyah dan pemfitnah ini telah
pun membuat kesimpulan dalam bukunya itu bahawa Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah adalah seorang ulamak penyesat yang berakidah tajsim dan tasybih
lantaran tindakannya – menurut dakwaan palsu Ibn Bathuthah yang ditelan
mentah-mentah oleh si jahil ini (K.H Sirajuddin Abbas) – yang menyamakan
turunnya beliau (Ibn Taimiyyah) dari tangga turun Masjid Damsyiq itu adalah
sama dengan turunnya Allah ke langit dunia.
Bagi menjawab fitnah dan
tuduhan yang melulu lagi tidak berasaskan kepada fakta yang benar ini, maka
saya kemukakan beberapa hujah di bawah ini yang saya nukil daripada buku
Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya, Dr. Mohd Asri Zainul
Abidin (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2005) halaman 125-128:
Para ulamak yang ikhlas telah
bangun menjawab fitnah Ibn Bathuthah ini. Antara apa yang ditulis oleh alim Syam
yang terkenal, al-'Allamah Muhammad Bahjah al-Baitar dalam bukunya Hayat Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah (cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut, ms. 43-49). Antara
jawapan beliau yang panjang lebar itu:
· Pertama: Ibn Bathuthah
sebenarnya tidak mendengar perkara tersebut daripada Ibn Taimiyyah sama sekali.
Ia hanyalah satu pembohongan. Buktinya, dalam catatannya, beliau sampai ke
Damsyiq pada hari Khamis, 19 Ramadan tahun 726H, sedangkan Ibn Taimiyyah telah
dipenjarakan pada awal bulan Sya'ban tahun tersebut, dan terus berada dalam
penjara sehingga meninggal pada malam Isnin 20 Zulkaedah ahun 728H. Bagaimana
mungkin Ibn Bathuthah dapat melihatnya?
· Kedua: Buku kembara Ibn
Bathuthah (Rahlah Ibnu Bathuthah –pen) penuh dengan cerita pelik lagi tidak
masuk akal dan palsu. Cerita ini diambil daripada orang ramai yang dia dengar
di negeri-negeri yang dikunjungi, tanpa sebarang penilaian. Umpamanya beliau
menyatakan di tengah Masjid Umawi di Damsyiq ada kubur Nabi Zakaria
'alaihissalam, sedangkan yang diketahui ianya adalah kubur Yahya 'alaihissalam.
Juga dakwaannya kononnya di membaca di dalam Fadail al-Damsyiq daripada Sufyan
al-Thauri bahawa solat di Masjid Damsyiq sama dengan pahala tiga puluh ribu
solat. Kita tahu bahawa perkara seperti ini tidak boleh dibuat dengan andaian
akal. Orang yang seperti Sufyan al-Thauri tidak akan membuat dakwaan seperti
yang tidak mempunyai sebarang dalil. Dakwaan ini telah melebihkan Masjid
Damsyiq ke atas Masjid Nabi dan Masjid al-Aqsa. Kedua-dua masjid tersebut pun
tidak sampai ke darjat yang seperti ini. Mustahil tokoh hadis dan warak seperti
Sufyan al-Tahuri membuat dakwaan ini, melainkan satu pembohongan terhadapnya.
Bahkan Ibn Bathuthah mengakui
fadilat (kelebihan) bernazar untuk kubur-kubur utama jika seseorang dalam kesusahan
di pukul angin kencang di tengah lautan. Sedangkan dalam keadaan tersebut
golongan musyrikin pun akan terus berdoa kepada Allah tanpa sebarang syirik.
Malangnya Ibn Bathuthah dapat menerima dan mengakui nazar seperti ini: Firman
Allah (maksudnya) : "Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu
menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan
doa yang tulus ikhlas kepada-Nya. Kemudian setelah Allah selamatkan mereka
(naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya" [Surah al-'Ankabut:
65]. Oleh itu, tidak mustahil, buku ini menyebut kisah palsu yang disandarkan
kepada Ibn Taimiyyah rahimahullah, padahal beliau tidak pernah berbuat
demikian.
· Ketiga: Ibn Taimiyyah tidak
pernah menjadi khatib Masjid Damsyiq, seperti yang didakwa oleh Ibn Bathuthah.
Beliau hanyalah memberi kuliah pengajiannya di atas kerusi sahaja. Ini seperti
yang disebut oleh anak-anak muridnya yang menulis sejarahnya, antara mereka
al-Imam al-Zahabi.
· Keempat: Tulisan-tulisan
Ibn Taimiyyah rahimahullah menafikan hal ini (iaitu akidah tajsim dan tasybih).
Antaranya pegangan akidah Ibn Taimiyyah yang dipetik oleh Nasir al-Din
al-Syafi'e (w. 842H) dalam al-Radd al-Wafir (cetakan al-Maktab al-Islami,
Beirut) :
"Mazhab Salaf, para imam
yang empat dan selain mereka ialah menithbatkan (menetapkan sifat Allah) tanpa
tasybih (menyerupakan dengan sesuatu), mensucikan-Nya tanpa ta'thil
(menghilangkan fungsi sifat). Tidak boleh bagi seseorang meletakkan sesuatu
pegangan atau 'ibarah (huraian atau rangkaian ucapan) daripada dirinya sendiri.
Bahkan dia hendaklah mengikuti dalil, bukan membuat bid'ah."
Demikian sekelumit dari
puluhan contoh fitnah yang dilontarkan oleh salah seorang tokoh Ahli Bid'ah ke
atas tokoh Ahli Sunnah yang sempat saya kemukakan di sini. Sebenarnya masih
terdapat banyak lagi pendustaan yang disandarkan oleh K.H Sirajuddin Abbas
al-Jahmiyyah ke atas Syaikhul Islam Ibn Tamiyyah rahimhullah yang tidak dapat
saya muatkan dalam ruangan yang amat terbatas ini. Walau bagaimanapun,
Alhamdulillah, sebagaimana yang saya telah nyatakan sebelum ini bahawa tidaklah
semua tohmahan, tuduhan melulu dan fitnah yang dilemparkan oleh para tokoh Ahli
Bid'ah di atas terhadap Syakihul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah melainkan
telah pun disediakan jawapannya semula secara ilmiah oleh para pencinta
al-Sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Sekali lagi diingatkan agar
para pembaca yang budiman sekalian dapat meneliti sendiri buku-buku yang telah
disenaraikan di atas bagi mengetahui hakikat pendustaan oleh para pendukung
aliran bid'ah tersebut ke atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah dan
para tokoh Ahli Sunnah lainnya.
Kesimpulan.
Bagi mengakhiri perbahasan
kita mengenai hakikat sebenar pegangan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah berhubung dengan tauhid al-Asma' wa al-Sifat Allah Subhanahu wa
Ta'ala, maka akan saya kemukakan lagi beberapa fakta "tambahan"
berupa keterangan yang bersumberkan daripada pengakuan Syaikhul Islam Ibn
Taimiyyah rahimahullah itu sendiri.
Diminta kepada para pembaca yang
budiman sekalian agar dapat berlaku adil lagi terbuka dengan membandingkan ia
dengan pegangan para Imam muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah lainnya
sebagaimana yang telah saya kemukakan di bahagian artikel ke-2 buku ini (sila
baca ulasan saya dalam artikel bertajuk Wahabi: Meluruskan Salah Faham) untuk
kita melihat sejauh manakah benarnya dakwaan Ahli Bid'ah ke atas Syaikhul Islam
sebagai seorang tokoh ulamak yang berakidah al-Mujassimah dan al-Musyabbihah
dan bertentangan dengan akidah para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah
lainnya. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata:
“Maka ini adalah iktikad
firqah najiah (puak yang selamat) Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang beroleh
pertolongan sehingga hari Kiamat, iaitu beriman dengan Allah… Dan di antara
(cara) beriman dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan
diri-Nya dengannya dalam kitab-Nya dan dengan apa yang telah Rasul-Nya Muhammad
shallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkan-Nya dengannya, tanpa tahrif (mengubah
atau menukar ganti makna), tanpa ta’thil (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu
wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamtsil
(mengumpamakan makna dengan sesuatu).
Bahkan, mereka (Ahl al-Sunnah
wa al-Jama'ah) beriman sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding
(Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya dengan sesuatu apapun, dan Dialah yang
Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Mereka (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) tidak
menafikan dari-Nya apa yang Dia telah sifatkan diri-Nya dengannya, mereka tidak
mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar, mereka
tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Allah serta ayat-ayat-Nya,
mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak mengumpamakan
sifat-sifat-Nya dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana sesungguhnya (Allah)
Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai nama-Nya, tidak ada yang
menyetarai-Nya, tidak ada yang menyekutui-Nya dan tidak boleh dikiaskan-Nya
dengan makhluk-Nya, Subhanahu Wa Ta’ala…” [Al-'Aqidah al-Wasathiyyah, Ahmad Ibn
'Abd al-Halim al-Harrani Ibn Taimiyyah, ms. 5-7; dalam Siapakah Ahli Sunnah
Yang Sebenar, ms. 48-49].
Di halaman yang lain,
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebut:
“Maka sesungguhnya firqah
najiah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah beriman dengan yang demikian itu (nas-nas
hadis berkenaan sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala), sebagaimana mereka beriman
dengan apa yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengannya dalam
kitab-Nya, tanpa tahrif, tanpa ta’til, tanpa takyif dan tanpa tamtsil. Bahkan
merekalah yang sederhana di kalangan puak umat ini sebagaimana umat ini juga
yang sederhana di kalangan umat-umat (yang lain), kerana mereka (Ahl al-Sunnah wa
al-Jama'ah) sederhana dalam bab sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala di antara
Ahli Ta’thil al-Jahmiyyah dan Ahli Tamtsil al-Musyabbihah.” [Al-'Aqidah
al-Wasathiyyah, Ahmad Ibn 'Abd al-Halim al-Harrani Ibn Taimiyyah, ms. 23-24;
dalam Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar, ms. 49-50].
Makluman: Artikel ini
merupakan sedutan daripada ulasan saya ke atas artikel Misteri Wahabi Di
Malaysia, Karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang saya muatkan dalam buku saya
"Katakan Tidak Pada Wahhabi" bagi Edisi Baru (edisi kedua) yang akan
diterbitkan oleh Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru. Insya' Allah. Dipersilakan
untuk menyebarkan risalah ini kepada sesiapa jua untuk pengkajian ilmu. Sekian,
wassalam - Mohd Hairi Nonchi, UMS.
Email This BlogThis! Share to
Twitter Share to Facebook
Posted by Saidan Effendi