Monday, June 1, 2015

Antara Al-Siddiq Dan Al-Sadiq: Hubungan Sebenar Keluarga Abu Bakar Dan Ali R.A.

Ramai orang tidak mengetahui tentang hubungan kekerabatan di antara sahabat-sahabat Rasulullah  s.a.w. terutamanya di antara Abu Bakar dan Ali.
Setelah Abu Bakar meninggal dunia, Ali telah mengahwini isteri beliau Asma binti ‘Umais bin Ma’d bin al-Harith. Sebelum berkahwin dengan Abu Bakar, beliau menjadi isteri Ja’far bin Abi Talib, iaitu saudara kandung Ali. Hasil daripada perkahwinan dengan Ali, Asma memperolehi anak lelaki bernama Yahya.[i][1] Asma sentiasa mendampingi Fatimah sehingga di saat hampir kewafatannya[ii][2] dan beliau turut mengambil bahagian dalam memandikan jenazah Fatimah.[iii][3]
Hasil perkahwinan Abu Bakar dan Asma, Muhammad bin Abu Bakar dilahirkan. Sewaktu kewafatan Abu Bakar beliau masih lagi kecil. Oleh itu, dengan perkahwinan Ali dan Asma, Muhammad menjadi anak tiri beliau. Ali mendidik Muhammad bersama-sama dengan dua anak lelakinya Hasan dan Husin, ketika itu Umar menjadi khalifah.
Setelah pembukaan Madain, dua orang puteri Kisra, Yazdejrad telah ditawan dan dibawa ke Madinah. Sebelum memasuki Madinah mereka berdua telah diajak mengucap dua kalimah syahadah. Setelah berlaku pemesyuaratan antara Umar, Ali dan sahabat besar yang lain, kedua-dua puteri itu dikahwin dengan anak-anak sahabat. Seorang berkahwin dengan anak Ali, Husain dan yang kedua dikahwinkan dengan Muhammad bin Abu Bakar, anak tiri Ali. Melalui perkahwinan-perkahwinan ini, Husain memperolehi Ali Zainul Abidin manakala Muhammad memperolehi al-Qasim. Dengan ini, Ali Zainul Abidin dan al-Qasim merupakan sepupu di sebelah ibu. Kemudian berlaku persemendaan antara Husain dan Muhammad di mana cucu Husain, Muhammad al-Baqir berkahwin dengan cucu Muhammad, Ummu Farwah yang melahir Ja’far al-Sadiq.[iv][4] Nama Ummu Farwah ialah Asam binti Abdul Rahman bin Abu Bakar. Dengan ini, di sebelah bapanya silsilah keturunan Ja’far al-Sadiq adalah dari Bani Hasyim manakala sebelah ibunya dari keluarga Abu Bakar.
Perlu diberi perhatian, ‘Aisyah, anak perempuan Abu Bakar dan juga isteri Rasulullah s.a.w. adalah adik beradik kepada datuk Ja’far al-Sadiq, Muhammad bin Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Abu Bakar. Dengan ini, ‘Aisyah mempunyai pertalian darah dengan Ja’far al-Sadiq. Beliau (Ja’far al-Sadiq) merupakan tokoh ilmu yang unggul dan memperolehi ilmu daripada tokoh-tokoh besar seperti al-Qasim, al-Zuhri dan ‘Ata’. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik pernah menjadi murid beliau. Beliau juga mewarisi ilmu daripada nenek beliau ‘Aisyah melalui ‘Urwah bin al-Zubair yang mendapat didikan dari ‘Aisyah sendiri.
Di zamannya, Ja’far menjadi tempat rujukan bagi ulama dan beliau adalah seorang yang benar sehingga tidak pernah diketahui bahawa beliau pernah berdusta. Oleh kerana itu, beliau digelar al-Sadiq. Jika datuk di sebelah ibunya, Abu Bakar terkenal dengan sifat benar dan amanah bersama-sama Rasulullah s.a.w., maka tidak hairanlah cucu beliau, Ja’far al-Sadiq terkenal juga dengan sifat benar.
Ini kerana ibunya adalah Farwah binti al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar dan ibunya Farwah, Asma binti Abdul Rahman bin Abu Bakar.
Ja’far al-Sadiq diriwayatkan pernah berkata: Abu Bakar telah melahirkanku dua kali.[v][5]
Carta 1 di bawah berikut dapat menjelaskan maksud  kata-kata Ja’far al-Sadiq itu.
carta 1
Hubungan persemendaan yang rapat di antara mereka ini boleh dilihat dengan lebih jelas lagi melalui carta 2 sebagaimana berikut.
carta 2
 carta 3
1.
        Rasulullah s.a.w. mengahwini ‘Aisyah binti Abu Bakar. (1-a dan 1-b)
2.     Hasan bin Ali, cucu Rasulullah s.a.w. mengahwini Hafsah binti Abdul Rahman bin Abu Bakar.[vi][6] (2-a dan 2-b)
3.     Ishaq bin Ja’far bin Abi Talib, berkahwin dengan Ummu Hakim binti al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar al-Siddiq. (3-a dan 3-b)
4.     Muhammad al-Baqir bin Ali Zainul Abidin bin al-Husain bin Ali bin Abi Talib berkahwin dengan Ummu Farwah binti al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar al-Siddiq. (4-a dan 4-b)
5.     Musa al-Jawn bin Abdullah al-Mahd bin al-Hasan al-Muthanna bin al-Hasan al-Sabt bin Ali bin Abi Talib mengahwini Ummu Salamah binti Muhammad bin Talhah bin Abdullah bin Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Siddiq. (5-a dan 5-b)
Keakraban mereka dapat dilihat dengan jelas lagi apabila Ahli Bait menamakan anak-anak mereka dengan nama Abu Bakar.
1.     Ali bin Talib menamakan  anaknya dengan Muhammad yang dikunyahkan dengan Abu Bakar.[vii][7] Ibu Abu Bakar bernama Laila binti Mas’ud dari Bani Taym yang juga merupakan keluarga /keturunan Abu Bakar al-Siddiq.
2.     Abu Bakar bin al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Beliau telah syahid di Karbala’bersama dengan bapa saudaranya, al-Husain.[viii][8]
3.     Abu Bakar Ali Zainul ‘Abidin bin al-Husain. Ini merupakan kunyah bagi Ali Zainul ‘Abidin, imam yang keempat menurut Syiah. Hal ini disebutkan oleh ramai penulis Syiah.[ix][9]
4.     Abu Bakar Ali bin Musa al-Kazim bin Ja’far al-Sadiq. Kunyah Ali al-Ridha ini disebutkan oleh Nur al-Din al-Tabarasi di dalam al-Najm al-Thaqib fi Alqab wa Asma’ al-Hujjah al-Ghaib.
5.     Abu Bakar bin Abdullah bin Ja’far bin Abi Talib. Ini disebutkan di dalam Ansab al-Asyraf dan Tarikh Khalifah al-Khayyat.
Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, adalah tidak wajar bagi golongan Syiah yang mendakwa mereka menyintai Ahli Bait sedangkan dalam masa yang sama mereka memaki hamun Abu Bakar dan keluarganya. Mereka itu tidak lain adalah nenek moyang imam-imam dua belas yang didakwakan. Seringkali Syiah menggambarkan layanan yang buruk yang telah diberikan oleh Abu Bakar terhadap ahli keluarga Ali. Walhal sebenarnya tidak begitu. Keakraban dan kemesraan antara dua keluarga yang mulia ini disaksikan oleh sejarah dengan adanya hubungan persemendaan antara mereka. Apatah lagi Ali dan keluarganya menamakan anak-anak mereka dengan nama Abu Bakar. Kebencian Syiah terhadap para sahabat tidak lain adalah sebagai bukti, bahawa Syiah adalah satu agenda musuh Islam yang memutarbelitkan istilah dan konsep cinta kepada Ahli Bait untuk mencipta agama baru yang menghancurkan kemurnian dan rahmat Islam.
Daripada perbincangan di atas jelas menunjukkan hubungan kekeluarga Abu Bakar dengan keluarga Rasulullah s.a.w. Apakah mungkin asal gelaran kepada Ja’far itu al-Siddiq seperti datuknya Abu Bakar al-Siddiq tetapi telah ditenggelamkan supaya tidak terlintas bahawa beliau dari keturunan Abu Bakar? Atau mungkin gelaran al-Sadiq sebagai isyarat bahawa beliau cucu Abu Bakar yang mempunyai persamaan sifat benar tetapi kita cuai dari memikir hubungan sebenar mereka berdua.
.
[i][1] Syaikh Mufid, al-Irsyadhal.354
[ii][2] al-Arbali, Kasyf al-Ghummah, jld.1 hal.503, al-Majlisi, Bihar al-Anwarjld.43hal.213 dan al-Tusi, Tahzib al-Ahkam, jld.1 hal. 469, al-Tusi, al-Amali, jil.1 hal.107
[iii][3] Silsilah A’lam al-Hidayah, jld.3 hal.188Bihar al-Anwarjld.43 hal.192
[iv][4] al-Kulayni, Kitab al-Hujjah min al-Usul fi al-Kafi, jil.1 hal.472. Biografi Ja’far al-Sadiq boleh dilihat dalam tulisan al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’ dan Tarikh al-Islam.
[v][5] Ibn ‘Unbah, ‘Umdah Talibhal.195
[vi][6] Muhammad al-A’lami al-Hairi, Tarajim A’lam al-Nisa’hal.260, 273 dan 278, Abu Nasr al-Bukhari, Sirr Silsilah al-‘Alawiyyahhal.20
[vii][7] al-Irsyadhal.186, al-Ya’qubi, Tarikh al-Ya’qubi, jil.2 hal.213, al-Asfahani, Maqatil al-Talibiyyinhal.142
[viii][8] al-Irsyadhal.248, al-Qummi, Muntaha al-amal, jil.1 hal.544
[ix][9] Sila rujuk al-Jazairi, al-Anwar al-Nu’maniyyah.