Monday, June 8, 2015

Lima strategi asas Syi‘ah dalam berhujah dan Jawapan Ahl al-Sunnah ke atasnya : Kelima ( Malaysia )

Untuk menjawab hujah-hujah Syi‘ah ke atas Ahl al-Sunnah, perkara penting yang perlu diketahui bukanlah semua hujah mereka tetapi strategi asas yang mereka gunakan untuk berhujah. Jika diketahui strategi-strategi asas Syi‘ah, maka adalah mudah untuk menangkap dan menjawab hujah-hujah mereka sama ada yang telah berlalu atau yang akan datang, sama ada yang dibahas di dalam buku ini atau yang tidak dibahas. Ini berdasarkan kata hikmah: Jika kamu memberi saya ikan saya akan memakannya untuk satu hari tetapi jika kamu mengajar saya cara menangkap ikan saya akan memakannya seumur hidup.
Terdapat lima strategi asas yang lazim digunakan oleh Syi‘ah untuk berhujah ke atasAhl al-Sunnah. Sesiapa yang mengkaji hujah-hujah Syi‘ah akan mendapati mereka tidak lari daripada menggunakan lima strategi asas ini, sama ada secara sebahagian atau keseluruhannya. Berikut dikemukakan setiap satu daripada lima strategi asas ini diikuti dengan jawapan Ahl al-Sunnah bagi membatalkannya.
Strategi Asas Syi‘ah yang Kelima :
Menggunakan pendekatan psikologi untuk menarik keyakinan orang awam.

Penjelasannya:
Dalam melangsungkan usaha dakwah kepada masyarakat Ahl al-SunnahSyi‘ahmemiliki 2 kategori orang yang masing-masingnya memerlukan strategi yang berlainan:
1. Mereka yang terdiri daripada para tokoh agamawan, intelektual, cendekiawan dan terpelajar. Bagi kategori pertama ini Syi‘ah menggunakan strategi ilmiah seperti penggunaan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.
2. Mereka yang terdiri daripada kalangan orang awam yang memiliki minat di dalam agama dan ingin mencari ubat bagi rohaninya. Bagi kategori kedua ini Syi‘ahmenggunakan strategi atau pendekatan psikologi.
Antara pendekatan psikologi tersebut ialah:
Pendekatan Pertama:
Mengemukakan skrip dialog antara tokoh Syi‘ah dan tokoh Ahl al-Sunnah yang terkenal, lalu di dalam dialog tersebut tokoh Ahl al-Sunnah tidak mampu menjawab hujah-hujah yang dikemukakan oleh tokoh Syi‘ah. Maka akhirnya tokoh Ahl al-Sunnahitu mengalah, bahkan ada yang keluar dari mazhab Ahl al-Sunnah dan masuk ke mazhab Syi‘ah.
Kesan psikologinya:
Memandangkan tokoh besar Ahl al-Sunnah tidak dapat menjawab hujah Syi‘ahsehingga beralih masuk ke mazhab Syi‘ah, sudah tentu ini menandakan kebenaran mazhab Syi‘ah.
Contoh dialog yang dimaksudkan ialah antara Sultan al-Wa‘izin dari Syiraz, Iran yang mewakili Syi‘ah dan Hafiz Muhammad Rashid serta Syaikh ‘Abd al-Salam dari Kabul, Afghanistan yang mewakili Ahl al-Sunnah. Sesi dialog ini masyhur dikenali sebagai peristiwa Peshawar Nights, didakwa berlangsung di bandar Peshawar yang bermula pada 23 Rejab 1345H dan berlangsung selama 10 malam berturut-turut.
Contoh dialog kedua ialah buku al-Muraja‘at (Dialog Sunnah Syi‘ah) oleh Syarafuddin al-Musawi. al-Musawi mendakwa dia telah berdialog dengan Salim al-Bisyri, seorang Syaikh al-Azhar lalu kemudiannya membukukan segala pertukaran pendapat dan hujah daripada dialog tersebut.
Pendekatan Kedua:
Mencatit “kisah benar” seorang Ahl al-Sunnah yang ingin mendekati agama setelah sekian lama menjauhinya. Lalu dalam usahanya ini dia mendapati ada beberapa aliran di dalam mazhab Ahl al-Sunnah yang saling berlainan sehingga mengelirukannya: Yang manakah yang benar ? Akhirnya dia menemui mazhab Syi‘ah. Dalil-dalil mereka jelas, hujah-hujah mereka kuat dan kesatuan mereka teramat utuh. Ini berbeza dengan mazhab Ahl al-Sunnah yang samar-samar dalilnya lagi lemah hujahnya.
Kesan psikologinya:
Pasti sahaja yang benar ialah Syi‘ah disebabkan oleh kekuatan dalil dan kesatuan mazhab mereka.
Contoh terbaik ialah novel Akhirnya Kutemukan Kebenaran……Kisah Pengembaraan Kerohanian dan Mencari Ilmu karya Muhammad al-Tijani yang sudah diterjemah ke bahasa Melayu pada tahun 1996.
Selain itu terdapat sebuah buku yang merupakan gabungan antara Pendekatan Pertama dan Kedua, iaitu buku Mengapa Aku Memilih Ahl al-Bait. Buku ini didakwa merupakan karangan Muhammad Mar’i al-Amin, kononnya seorang Qadi besar Mazhab al-Syafi‘i di Halab, Syria. Ia diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Lutpi Ibrahim dan boleh dirujuk dalam edisi bercetak atau “e-book” dalam beberapa laman web Syi‘ah.
Pendekatan Ketiga:
Memaparkan kisah sedih bercampur marah akibat perbuatan majoriti sahabat sebaik sahaja kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kisah dimulai dengan kerakusan para sahabat untuk merebut jawatan khalifah sehingga mengabaikan urusan jenazah Rasulullah, suasana hiruk pikuk dan perpecahan dalam majlis perlantikan Abu Bakar, pengepungan rumah Fathimah diikuti dengan perampasan tanah Fadak daripadanya (Fathimah), sikap ‘Ali yang memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada Abu Bakar hanya selepas 6 bulan, perlantikan ‘Umar dan ‘Utsman sehinggalah ke peristiwa pembunuhan ‘Ali, Hasan dan Husain.
Kesan psikologinya:
Majoriti para sahabat telah menderhakai wasiat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamdalam perlantikan ‘Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah pengganti. Di samping itu mereka telah berlaku zalim ke atas ‘Ali dan ahli keluarganya. Mazhab majoriti sahabat inilah yang kini membentuk mazhab Ahl al-Sunnah. Maka tidak ragu lagi bahawa mazhab Ahl al-Sunnah adalah mazhab yang salah manakala yang benar ialah mazhab Syi‘ah.
Contoh pemaparan Kisah-kisah seperti ini ialah buku Saqifah – Awal Perselisehan Ummat dan Detik-detik Akhir Kehidupan Rasulullah oleh O. Hashem.
Pendekatan Keempat:
Memilih dan menapis maklumat yang terbaik yang menyebelahi Mazhab Syi‘ahdaripada sumber-sumber Ahl al-Sunnah seperti al-Qur’an, al-Sunnah dan sejarah. Kemudian menyusunnya dalam format yang dapat mempengaruhi para pembaca. Sumber-sumber ini adalah sesuatu yang sukar dikaji sendiri oleh para pembaca sehingga akhirnya mereka (para pembaca) terpaksa berpuas hati, bahkan menjadi yakin dengannya.
Kesan psikologinya:
Benarlah Mazhab Syi‘ah dengan pelbagai hujah yang mereka nukil daripada sumber rujukan Ahl al-Sunnah sendiri.
Contohnya ialah dalam bab keutamaan dan kemuliaan para sahabat. Syi‘ah hanya memilih dan mengemukakan hadis-hadis tentang keutamaan dan kemuliaan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh yang mereka nukil daripada kitab al-Mustadrak susunan al-Hakim rahimahullah, seolah-olah keistimewaan ini hanya terdapat pada ‘Ali dan tidak pada para sahabat yang lain.
Jawapan Ahl al-Sunnah ke atas strategi Syi‘ah yang kelima:
Kejayaan pendekatan secara psikologi tetap bergantung kepada faktor kesahihan fakta dan kebenaran hujah.
Penjelasannya:
Sebaik mana sekalipun pendekatan psikologi yang digunakan, yang tetap menjadi ukuran ialah kesahihan fakta dan kebenaran hujah. Ini kerana pendekatan psikologi hanya bersifat fiktif selagi mana ia tidak dibenarkan oleh fakta dan hujah yang bersifat hakiki.
Siapa sahaja boleh menggubah skrip lakonan, mengarang novel dan mengarah drama, akan tetapi yang menjaminnya benar atau dongeng ialah kesahihan fakta dan kebenaran hujah yang membentuknya.
Pendekatan-pendekatan psikologi yang digunakan oleh Syi‘ah adalah dongeng belaka demi menarik keyakinan orang awam. Dialog Peshawar Nights sebenarnya tidak berlangsung. Ia hanyalah sebuah skrip drama yang ditulis oleh tokoh-tokoh Syi‘ah.[1]Dialog al-Muraja‘at juga adalah lakonan semata-mata. Buku al-Muraja‘at hanya diterbitkan suku abad selepas kematian Salim al-Bisyri. Tidak seorangpun daripada ahli keluarga Salim al-Bisyri, rakan-rakan pensyarah di Universiti al-Azhar dan anak-anak muridnya yang mengetahui tentang dialog ini. Tidak ada apa-apa bukti sahih bahawa dialog ini benar-benar berlaku kecuali daripada pengakuan al-Musawi sendiri.[2]
Manakala sesiapa yang menganalisa secara cermat buku Mengapa Aku Memilih Ahl al-Bait oleh Muhammad Mar’i al-Amin dengan mudah akan dapat mengecam (mengenali) bahawa ia adalah karangan seorang ahli debat Syi‘ah dan bukan seorang qadi yang lazimnya hanya mengetahui perbahasan hukum hakam agama. Penguasaan ilmu seorang qadi hanyalah pada bab halal dan haram, bukan pada persoalan iktikad, tafsiran al-Qur’an (selain ayat-ayat hukum), takhrij hadis,[3] kisah sejarah dan sebagainya.
Selain itu perlu diingatkan bahawa faktor penyebab kepada beralihnya seseorang daripada Mazbab Ahl al-Sunnah kepada Mazhab Syi‘ah bukan kebenaran Syi‘ah akan tetapi kejahilan orang itu sendiri. Ini seumpama beralihnya seorang Islam kepada agama Kristian, faktor penyebabnya bukanlah kebenaran agama Kristian tetapi kejahilan orang Islam itu sendiri.
Tidak jauh berbeza ialah buku Akhirnya Kutemukan Kebenaran……Kisah Pengembaraan Kerohanian dan Mencari Ilmu[4], Saqifah – Awal Perselisehan Ummat[5] dan Detik-detik Akhir Kehidupan Rasulullah. Isi kandungannya tidak lain adalah kisah-kisah lemah dan dusta yang sengaja dipilih dan disusun indah guna memberi pengaruh kepada para pembacanya.[6]
Adapun hadis-hadis berkenaan keutamaan dan kemuliaan ‘Ali bin Abi Thalibradhiallahu ‘anh yang dinukil daripada kitab al-Mustadrak susunan al-Hakimrahimahullah, ia sebenarnya hanya mewakili 5 peratus daripada keseluruhan hadis yang terkandung di dalam kitab tersebut dalam bab keutamaan dan kemuliaan para sahabat. Secara terperinci, di dalam bab ini terdapat 2600 buah hadis[7], dimulai dengan Abu Bakar, Umar, ‘Utsman, ‘Ali dan seterusnya. Daripada jumlah ini hadis berkenaan ‘Ali berjumlah 133 buah, mewakili 5 peratus sahaja. Syi‘ah hanya memiliki 133 buah hadis ini dan mendiamkan 2467 yang lain.
Demikian beberapa contoh dongengan yang terkandung di dalam pendekatan psikologi yang digunakan oleh Syi‘ah ke atas Ahl al-Sunnah. Oleh itu sekali lagi diingatkan bahawa yang penting bukanlah kelicikan pendekatan psikologi yang digunakan tetapi kesahihan fakta dan kebenaran hujah yang membentuknya.
Strategi mudah kepada para pembaca:
  • Berwaspada dengan pendekatan psikologi yang digunakan oleh Syi‘ah untuk mempengaruhi orang awam.
Sekian lima strategi asas Syi‘ah dalam berhujah ke atas Ahl al-Sunnah. Para pembaca yang terdiri daripada orang Syi‘ah atau yang pernah didakwah oleh Syi‘ahatau yang bakal didakwah oleh Syi‘ah akan mendapati mereka (Syi‘ah) tidak lari daripada menggunakan lima strategi asas ini, sama ada secara sebahagian atau keseluruhannya. Mengetahui jawapan Ahl al-Sunnah ke atas kelima-lima strategi asasSyi‘ah ini adalah langkah pertama dan yang paling utama untuk menjawab hujah-hujah mereka. Langkah seterusnya ialah mengetahui jawapan Ahl al-Sunnah secara terperinci ke atas hujah-hujah mereka yang terperinci juga. Insya-Allah kita akan mulakan dengan menjawab hujah-hujah Syi‘ah yang dibangunkan daripada ayat-ayat al-Qur’an al-Karim dalam siri berikutnya.

[1] Pendustaan ini telah dibongkar Abu Muhammad al-Afriqi di:http://www.ansar.org/english/beshawer.htm

[2] Salah sebuah buku yang menjawab al-Muraja‘at telahpun diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh A. Thaha dan Ilyas Ismail atas judul Sunni yang Sunni (Penerbitan Pustaka, Bandung 1989) daripada tajuk asalnya: al-Bayyinat fi al-Rad ‘ala Abatil al-Muraja‘at. Buku ini boleh dirujuk dalam format e-book dalam laman web penulis:http://www.al-firdaus.com
[3] Iaitu membahas hadis dengan menyebut sumber-sumber rujukannya yang asal disertai dengan darjat kekuatannya sama ada sahih, hasan dan sebagainya.
[4] Telahpun dijawab dan dibongkar pembohongannya di:http://www.ansar.org/english/exposingtaijani.htm
[5] Telah dijawab secara ringkas oleh Saleh A. Nahdi dalam bukunya Saqifah – Penyelamat Persatuan Umat (Arista Brahmatyasa, Jakarta 1992).
[6] Rujuk semula Strategi Asas Syi‘ah yang Ketiga khusus dalam bidang ilmu sejarah.
[7] Ini menurut penomboran Mushthafa ‘Abd al-Qadir ‘Atha’ dalam edisi yang diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut.
Sumber: