Untuk menjawab hujah-hujah Syi‘ah ke atas Ahl al-Sunnah, perkara penting yang perlu diketahui bukanlah semua hujah mereka tetapi strategi asas yang mereka gunakan untuk berhujah. Jika diketahui strategi-strategi asas Syi‘ah, maka adalah mudah untuk menangkap dan menjawab hujah-hujah mereka sama ada yang telah berlalu atau yang akan datang, sama ada yang dibahas di dalam buku ini atau yang tidak dibahas. Ini berdasarkan kata hikmah: Jika kamu memberi saya ikan saya akan memakannya untuk satu hari tetapi jika kamu mengajar saya cara menangkap ikan saya akan memakannya seumur hidup.
Terdapat lima strategi asas yang lazim digunakan oleh Syi‘ah untuk berhujah ke atasAhl al-Sunnah. Sesiapa yang mengkaji hujah-hujah Syi‘ah akan mendapati mereka tidak lari daripada menggunakan lima strategi asas ini, sama ada secara sebahagian atau keseluruhannya. Berikut dikemukakan setiap satu daripada lima strategi asas ini diikuti dengan jawapan Ahl al-Sunnah bagi membatalkannya.
Strategi Asas Syi‘ah yang Keempat :
Adakalanya darjat hadis dinilai sahih dengan merujuk kepada pensahihan al-Hakim didalam kitabnya al-Mustadrak
Di samping menyenaraikan sejumlah rujukan kitab hadis Ahl al-Sunnah sebagai bukti kebenaran hadis, Syi‘ah adakalanya mensahihkan hadis yang mereka kemukakan dengan merujuk kepada kitab al-Mustadrak karangan al-Hakim al-Naisaburirahimahullah (405H), dengan menukil kata-kata beliau: “Hadis ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim tetapi tidak dikeluarkan oleh mereka berdua” atau apa-apa lain yang seumpama. Berdasarkan pensahihan al-Hakim ini, apatah lagi pensahihan yang berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim, Syi‘ah mengukuhkan lagi kedudukan hadis yang mereka kemukakan sebagai hujah ke atas Ahl al-Sunnah.
Jawapan Ahl al-Sunnah ke atas Strategi Asas Syi‘ah yang Keempat:
Penilaian hadis oleh al-Hakim hanya dapat diterima jika ia disemak dan dipersetujui oleh ahli hadis yang lain.
Mazhab Ahl al-Sunnah ialah mazhab yang berada di pertengahan dalam semua perkara: ia tidak melencong ke kanan dengan sikap keterlaluan dan tidak melencong ke kiri dengan sikap memperlecehkan. Apabila merujuk kepada seorang tokoh ilmuan, Ahl al-Sunnah juga memiliki jalan yang di pertengahan: mereka memuliakan dia tanpa mempertuhankannya dan bersikap adil dalam menilai kelemahannya – seandainya ada – tanpa menghinanya.
Mazhab Ahl al-Sunnah juga adalah mazhab yang dinamik, ia sentiasa mengkaji semula dan menyemak ulang sumber-sumber dan intipati pengajaran mereka, sama ada dalam bidang al-Qur’an, hadis, fiqh dan sebagainya. Memang diakui ada segelintir yang menutup pintu-pintu kajian semula dan penyemakan ulang ini, namun tindakan segelintir yang jumud ini tidak boleh digeneralisasikan kepada semua Ahl al-Sunnah.
al-Imam, al-Hafiz, al-Allamah, Muhammad bin ‘Abd Allah al-Dhabiyyi – al-Naisaburi – al-Hakim Abu ‘Abd Allah – juga terkenal dengan gelaran singkat Ibn al-Bayyi’
(ابن البيع), ialah seorang anak murid kepada puluhan ahli hadis termasuk Ibn Hibban (354H) dan al-Daruquthni (385H), kemudiannya menjadi tokoh hadis pada zamannya, beralih kepada guru kepada para ahli hadis sesudahnya dan akhirnya menjadi sumber rujukan bagi para ilmuan sehingga masa kini. Karangan-karangan beliau menjadi sumber rujukan para ahli hadis, bahkan sebahagiannya menjadi dasar kepada standard ilmu hadis sesudahnya.[1]
Di antara sekian banyak kitab yang beliau karang, yang terbesar dan yang terakhir ialah kitab hadis al-Mustadrak ‘ala al-Shahihin. Tujuan al-Hakim menyusun kitab al-Mustadrak ialah menghimpun hadis-hadis yang sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim, atau salah seorang daripada mereka, yang tidak mereka muatkan dalam kitab sahih masing-masing.[2] Al-Hakim telah menghimpun sebanyak 8803 hadis[3]berdasarkan tujuan di atas dan mensahihkannya mengikut beberapa tingkatan:[4]
1. Hadis yang sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.
2. Hadis yang sahih mengikut syarat al-Bukhari atau mengikut syarat Muslim. Iaitu kesahihannya hanya berdasarkan syarat salah seorang daripada mereka.
3. Hadis yang sahih tanpa disandarkan kepada al-Bukhari atau Muslim. Ini bererti hadis tersebut adalah sahih mengikut syarat al-Hakim sendiri.
4. Hadis yang tidak diberi apa-apa darjat. Kemungkinan bagi yang terakhir ini al-Hakim bermaksud untuk menilainya setelah selesai menyusun kitab al-Mustadrak. Akan tetapi ajal telah mendahuluinya sehingga dia tidak sempat untuk menunaikan maksudnya.
Akan tetapi kajian semula oleh tokoh-tokoh hadis selepas al-Hakim mendapati wujud beberapa percanggahan dalam pensahihan al-Hakim. Mereka dapati hanya sebahagian hadis yang darjatnya menepati pensahihan al-Hakim manakala selainnya tidak. Ada hadis yang dihukum sahih oleh al-Hakim berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim akan tetapi semakan semula mendapati ia tidak menepati syarat al-Bukhari dan Muslim. Demikian juga bagi hadis yang beliau sahihkan berdasarkan syarat salah seorang daripada mereka, atau berdasarkan syarat al-Hakim sendiri. Bahkan adakalanya di sebalik pensahihan tersebut, semakan semula mendapati hadis tersebut sebenarnya memiliki darjat dha‘if, sangat dha‘if sehinggalah ke darjat palsu (maudhu’).
Para ahli hadis ini kemudiannya mengusulkan beberapa faktor yang menyebabkan percanggahan ini:
Pertama:
Beliau seorang ahli hadis akan tetapi juga seorang Syi‘ah al-Rafidhah yang jahat.[5]Oleh itu disahihkan hadis-hadis yang tidak sahih bertujuan mencemari asas-asas Ahl al-Sunnah dan pada waktu yang sama membenarkan Mazhab Syi‘ah.
Pendapat ini dianggap lemah[6] malah ditolak oleh Ahl al-Sunnah. Ini kerana MazhabAhl al-Sunnah tidak menghukum seseorang melainkan pada amalan zahirnya. Amalan zahir al-Hakim tidak menunjuk atau mengisyaratkan apa-apa tanda bahawa beliau bermazhab Syi‘ah al-Rafidhah.
Kehadiran sejumlah besar hadis tentang keutamaan para Ahl al-Bait Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam, khasnya ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum tidak boleh dijadikan hujah bahawa al-Hakim bermazhab Syi‘ah kerana ketika menyusun bab tentang pengenalan dan keutamaan para sahabat (كتاب معرفة الصحابة), al-Hakim telah mendahulukan hadis-hadis tentang keutamaan Abu Bakar, kemudian ‘Umar bin al-Khaththab, kemudian ‘Utsman ibn Affan, kemudian barulah diikuti dengan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhum. Lebih dari itu hadis-hadis yang menerangkan keutamaan para Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sememangnya banyak jumlahnya.
Paling tinggi yang boleh dikatakan tentang al-Hakim ialah beliau hanya mengutamakan kecintaan kepada para Ahl al-Bait radhiallahu ‘anhum dan ini dikenali sebagai al-Tasyaiyu’ [7] atau al-Mufadhdhilah.
Kedua:
Untuk menghimpun 8803 buah hadis, al-Hakim telah mengambil jangka masa yang lama sehingga ke penghujung hayatnya. Dalam jangka masa yang lama ini, sebagaimana kebiasaan kebanyakan manusia, usia tua telah mendahuluinya sehingga dia tidak mantap dalam menghukum darjat sesebuah hadis, bahkan sering tersilap. Kecerdasan fikiran yang tidak mantap dan kesilapan kerana usia tua menyebabkan al-Hakim banyak membuat kesilapan di dalam al-Mustadrak sehingga ke tahap mensahihkan hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang pernah ditolaknya sendiri dalam kitab yang lain. Oleh kerana kesilapan yang fatal ini sebahagian ahli hadis menganggap lemah pensahihan hadis al-Hakim sehingga tidak boleh berhujah dengannya melainkan disemak semula.
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) menerangkan:[8]
(al-Hakim adalah) seorang imam yang sangat benar dan jujur akan tetapi dia mensahihkan dalam kitabnya al-Mustadrak hadis-hadis yang digugurkan (yakni ditolak sepenuhnya kerana pelbagai kecacatannya) dan hal seperti ini banyak dilakukan olehnya …… Dan sebesar-besar sebutan baginya adalah dia disebut di kalangan orang-orang yang dha‘if akan tetapi telah diperkatakan tentang keuzurannya kerana dia – semasa menulis kitab al-Mustadrak – berada di penghujung umurnya.[9]
Dan sebahagian mereka (ahli hadis) menyebut bahawa dia tidak mantap dan cuai pada penghujung umurnya dan yang sedemikian ini terbukti kerana dia (al-Hakim) telah menyebut sejumlah para perawi dalam kitab al-Dhu‘afa’nya sendiri dan secara muktamad menerangkan penolakan riwayat hadis daripada mereka (para perawi yang dha‘if tersebut) dan menegah daripada berhujah dengan (hadis yang diriwayatkan) oleh mereka – lalu kemudian dia (al-Hakim) mengeluarkan hadis-hadis daripada sebahagian mereka (yang didha‘ifkannya itu) dalam kitab al-Mustadraknya dan mensahihkannya.
Ketiga:
al-Hakim berpegang kepada manhaj bermudah-mudahan (tasahul) di dalam mensahihkan sesuatu hadis. Ini sebagaimana terang Ibn al-Shalah rahimahullah(643H):[10]
Dan dia (al-Hakim) meluaskan skop pada syarat penetapan hadis sahih dan bermudah-mudahan dalam menghukum dengannya.
al-Zayla‘iy (الزيلعي) rahimahullah (762H) menerangkan maksud “meluaskan skop pada syarat penetapan hadis sahih dan bermudah-mudahan dalam menghukum dengannya”, yang dapat diringkaskan sebagai berikut:[11]
- al-Bukhari dan/atau Muslim adakalanya mensahihkan hadis daripada seorang perawi yang pada dirinya terdapat perbincangan. Namun pensahihan mereka tidaklah semata-mata berdasarkan perawi itu sahaja tetapi berdasarkan lain-lain penguat dari sudut sanad atau penyokong dari sudut matan.[12] Akan tetapi al-Hakim telah menggunakan perawi yang sama tersebut untuk mensahihkan hadis yang lain tanpa apa-apa penguat dan penyokong yang lain, lalu dia berkata “Hadis ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan/atau Muslim.” Pensahihan sebegini tidak boleh dikatakan “atas syarat al-Bukhari dan/atau Muslim” dan ini merupakan salah satu bentuk “bermudah-mudahan” yang diamalkan oleh al-Hakim.
- al-Hakim seringkali mensahihkan sebuah hadis “atas syarat al-Bukhari dan Muslim” akan tetapi sebenarnya para perawi dalam sanad hadis tersebut sebahagiannya adalah perawi al-Bukhari dan sebahagiannya adalah perawi Muslim. Ini juga salah satu bentuk “bermudah-mudahan” yang diamalkan oleh al-Hakim.[13]
- al-Bukhari dan Muslim adakalanya berdasarkan seorang perawi, mensahihkan sebahagian hadisnya dan tidak mensahihkan sebahagian hadisnya yang lain. Ini berlaku sekalipun kepada perawi yang sama kerana ukuran pensahihan hadis bergantung juga daripada siapa dia menerimanya dan kemantapan serta kemasyhuran dirinya sendiri dalam meriwayatkan hadis tersebut. Akan tetapi al-Hakim telah mengambil sikap bermudah-mudahan dengan mengumumkan kekhususan perawi tersebut dan mensahihkan semua hadis-hadis yang diriwayatkan olehnya dan mengistilahkannya sebagai “Hadis ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan/atau Muslim.”
- al-Hakim juga seringkali mengeluarkan hadis daripada para perawi yang lemah dan tertuduh sebagai pendusta kemudian mensahihkannya sebagai “Hadis ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan/atau Muslim.” Yang terakhir ini adalah bentuk bermudah-mudahan yang paling buruk (تساهل فاحش).
Daripada 3 faktor yang diusulkan di atas, hanya faktor kedua dan ketiga adalah benar sebagai penyebab bagi wujudnya percanggahan di dalam pensahihan al-Hakim. Faktor bermudah-mudahan merupakan manhaj asas al-Hakim sekalipun tujuan beliau dalam menyusun kitab al-Mustadrak ialah menghimpun hadis-hadis yang sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan/atau Muslim. Beliau terpaksa berpegang kepada manhaj bermudah-mudahan kerana (1) untuk menyusun hadis-hadis yang benar-benar menepati syarat al-Bukhari dan Muslim adalah satu tugas yang amat berat dan (2) jika mampu sekalipun, jumlah hadisnya akan menjadi sangat kecil dan ini akan mensia-siakan tujuan asal beliau untuk menyusun kitab al-Mustadrak.
Walaubagaimanapun mensahihkan hadis-hadis yang sebenarnya dha‘if, sangat dha‘if dan maudhu’ bukanlah merupakan manhaj atau tujuan atau kesengajaan al-Hakim tetapi ia adalah kerana kelanjutan umurnya yang menyebabkan dia sering lupa atau tersilap. Ini adalah lumrah manusiawi (human factor) yang tidak layak dijadikan sumber celaan melainkan dijadikan sumber pembaikan.
Atas dua faktor di atas, terdapat dua pendapat dalam berinteraksi dengan hadis-hadis yang disahihkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadraknya:
Pendapat Pertama:
Ini pendapat yang bersederhana lagi dipertengahan, di mana boleh diterima pensahihan al-Hakim melainkan wujud hukum yang berlainan oleh tokoh hadis yang terkemudian (selepas al-Hakim) atau jika dapat dikesan kecacatan di dalam hadis tersebut yang mengubah hukumnya dari sahih kepada tidak sahih. Pendapat ini diusulkan oleh Ibn al-Shalah rahimahullah:[14]
Dan dia (al-Hakim) meluaskan skop pada syarat penetapan hadis sahih dan bermudah-mudahan dalam menghukum dengannya. Maka yang utama ialah mengambil jalan tengah dalam urusan ini: Maka kita mengatakan dengan apa yang telah dihukumkan dengan kesahihannya (oleh al-Hakim) dan (ini bagi kes di mana) kita tidak menemui urusan tersebut (pensahihan atau pendha‘ifannya) daripada para imam yang selainnya. (Hadis yang disahihkan oleh al-Hakim tersebut) jika tidak termasuk kategori sahih maka ia termasuk dalam kategori hasan, boleh berhujah dengannya dan beramal dengannya.[15] Kecuali jika jelas padanya terdapat kecacatan maka wajib mendha‘ifkannya.
Pendapat kedua:
Ini adalah pendapat yang lebih tegas, di mana tidak boleh diterima pensahihan al-Hakim kerana telah berlaku banyak kesilapan di dalamnya, sebahagiannya kecil dan sebahagiannya besar. al-Zaila‘iy menukil kata-kata Ibn Dihyah rahimahullah:[16]
Berkata Ibn Dihyah di dalam kitabnya al-‘Ilm (bahawa pendapat yang) masyhur adalah: Wajib ke atas para ahli hadis untuk berhati-hati ke atas perkataan (pensahihan) al-Hakim Abi ‘Abd Allah kerana sesungguhnya dia banyak berbuat silap, menzahirkan (membenarkan hadis-hadis) yang gugur (tertolak). Dan sesungguhnya telah cuai kebanyakan orang-orang yang datang selepas beliau dari (kesalahan-kesalahan) yang sedemikian dan (mereka) bertaklid (mengikut terus tanpa menyemak) kepadanya (al-Hakim) pada yang sedemikian (pensahihan al-Hakim).
Pendapat yang dipilih:
Yang dipilih dan yang dikuatkan ialah pendapat kedua, iaitu tidak boleh diterima pensahihan al-Hakim ke atas hadis-hadisnya di dalam al-Mustadrak. Ini kerana:
1. Manhaj bermudah-mudahan al-Hakim sepertimana yang disebut oleh Ibn al-Shalah, sebenarnya adalah lebih berat berbanding apa yang dikenali di kalangan lain-lain ahli hadis yang bermanhaj seumpama seperti Ibn Khuzaimah (311H) dan Ibn Hibbanrahimahullah.[17] Malah al-‘Iraqi rahimahullah (806H) pernah mengomentarinya sebagai bermudah-mudahan yang amat serius.[18]
2. Di dalam pensahihan al-Hakim wujud kebenaran dan kesilapan. Di dalam kesilapan tu pula sebahagiannya adalah kecil dan sebahagiannya adalah besar. Oleh itu tidak boleh dianggap bahawa pensahihan al-Hakim paling minimum berdarjat hasan sahaja.
3. Kitab al-Mustadrak al-Hakim, di dalamnya telah bercampur aduk antara hadis yang sahih, hasan, dha‘if, sangat dha‘if dan maudhu’. Untuk membezakan hadis-hadis yang telah bercampur aduk ini memerlukan semakan semula secara keseluruhannya.
4. Hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan salah satu sumber syari‘at Islam dan kita semua telah diberi amaran tegas oleh baginda untuk tidak menyebarkan hadis-hadis yang tidak berasal daripada baginda. Oleh itu adalah satu kewajipan untuk menyemak hadis-hadis daripada kitab al-Mustadrak sebelum mengemukakannya sekalipun atas tujuan keutamaan beramal, memberi amaran dan menerangkan kemuliaan para sahabat.[19]
Catitan tambahan:
Sifat bermudah-mudahan al-Hakim yang menyebabkan pensahihannya perlu disemak semula merangkumi seluruh kitab al-Mustadrak dan bukan terhad kepada hadis-hadis yang menerangkan keutamaan para Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamsahaja, radhiallahu ‘anhum.
Sebahagian tokoh Syi‘ah ada yang berkata bahawa Ahl al-Sunnah hanya menyemak dan menolak hadis-hadis di dalam al-Mustadrak apa yang berkaitan dengan keutamaanAhl al-Bait sahaja. Ini adalah pendapat yang tidak benar. Semakan semula oleh para ahli hadis Ahl al-Sunnah merangkumi seluruh kitab al-Mustadrak termasuk dalam bab yang menghimpun hadis-hadis tentang keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsmanradhiallahu ‘anhum. Bahkan semakan semula telah menemui beberapa hadis yang berdarjat sangat dha‘if dan maudhu’ berkenaan tiga khalifah yang pertama di atas di dalam kitab al-Mustadrak.
Strategi mudah kepada para pembaca:
- Pensahihan hadis oleh al-Hakim hanya dapat diterima jika ia disemak dan dipersetujui oleh ahli hadis yang lain.
[1] Lebih lanjut sila rujuk:
1. al-Khatib al-Baghdadi – Tarikh Baghdad, jld. 3, ms. 93-94, biografi no: 1096 (Bab yang bernama Muhammad bin ‘Abd Allah).
2. Ibn al-Jauzi – al-Muntazhom fi Tarikh al-Muluk wa al-Imam, jld. 15, ms. 109-111, biografi no: 3059 (Bab yang meninggal tahun 405H).
3. al-Dzahabi – Tazkirah al-Huffaz, jld. 3, ms. 162-166, biografi no: 962 (Bab thabaqat ke-13) dan Siyar A’lam al-Nubala, jld. 17, ms. 162-177, biografi no: 100 (Di atas nama al-Hakim).
4. al-Suyuthi – Thabaqat al-Huffaz, ms. 410-411, biografi no: 927 (Bab thabaqat ke 13).
[2] Ibn al-Shalah – ‘Ulum al-Hadits, ms. 21-22 (Bab pembahagian ke-4 dari jenis hadis-hadis sahih).
[3] Demikian menurut penomboran Musthofa ‘Abd al-Qadir ‘Atha di dalam penelitian beliau (tahqiq) ke atas kitab al-Mustadrak (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn.)
[4] al-Shan‘ani – Tawdhih al-Afkar li ma‘ani Tanqih al-Anzhar, ms. 67 (Masalah: Penjelasan berkenaan hadis sahih yang merupakan tambahan atas apa yang ada dalam al-Bukhari dan Muslim).
[5] Lihat Lisan al-Mizan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani, jld. 6, ms. 250-251, perawi no: 7666 (Bab yang bernama Muhammad, Biografi Muhammad bin ‘Abd Allah al-Dhabiyyi).
[6] Antaranya ialah al-Subki di dalam Thabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, jld. 2, ms. 443-453, biografi no: 329 (Bab thabaqat ke-4, Muhammad bin ‘Abd Allah bin Muhammad).
[7] al-Zahabi – Siyar A’lam al-Nubala, jld. 17, ms. 174.
[8] Nukilan berpisah daripada Lisan al-Mizan, jld. 6, ms. 250-251, perawi no: 7666.
[9] Yakni kedha‘ifan al-Hakim bukanlah kerana apa-apa sifat tercela seperti pendusta atau sebagainya tetapi adalah kerana keuzuran usia tua yang menyelubunginya. Faktor kedha‘ifan ini adalah sesuatu yang dimaafkan.
[10] Ibn al-Shalah – ‘Ulum al-Hadits, ms. 22.
[11] Lihat Nasb al-Rayah Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld. 1, ms. 462-463 (Kitab Solat, Bab hadis-hadis berkenaan bacaan Basmalah, Tahqiq ke atas hadis yang dijadikan dalil oleh al-Khatib).
[12] Lebih lanjut lihat:
1. Abi Zakariyya Muhammad al-Anshari – Fath al-Baqi bi Syarh Alfiyyah al-‘Iraqi,ms. 57 (Pembahagian yang Pertama: Hadis Sahih, Bab Sekuat-kuat kitab hadis, Bab Sebab al-Bukhari dan Muslim mengeluarkan hadis daripada sesetengah perawi yang dha‘if).
2. Abu Bakr Kafi – Manhaj al-Imam al-Bukhari fi Tashhih al-Ahadits wa Ta’lilaha(Dar Ibn Hazm, Beirut 2000).
3. Abu ‘Ubaidah Masyhur bin Hasan – al-Imam Muslim bin al-Hajjaj wa Minhaj fi al-Shahih wa Atsaruhu fi ‘Ilm al-Hadits (Dar al-Shami‘iy, Riyadh 1996).
[13] Penulis menambah, adakalanya bagi sebuah hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim, hanya sebahagian perawi yang menepati syarat al-Bukhari dan/atau Muslim manakala sebahagian lagi tidak. Namun al-Hakim mensahihkannya “atas syarat al-Bukhari dan/atau Muslim.” Ini juga salah satu bentuk “bermudah-mudahan” yang diamalkan oleh al-Hakim.
[14] Ibn al-Shalah – ‘Ulum al-Hadits, ms. 22.
[15] Yakni jika darjat hadis tersebut tidak sahih, minimum ia adalah hasan. Lebih lanjut di atas pendapat Ibn al-Shalah ini, lihat komentar al-‘Iraqi di dalam Fath al-Mughits bi Syarh Alfiyyah al-Hadits, ms. 17 (Bab kitab sahih yang merupakan tambahan ke atas Sahih al-Bukhari dan Muslim).
[16] Nasb al-Rayah Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld. 1, ms. 463.
[17] al-Sakhawi – Fath al-Mughits Syarh Alfiyyah al-Hadits, jld. 1, ms. 51 (Bab: Hadis sahih yang merupakan tambahan kepada dua kitab sahih).
[18] Fath al-Mughits bi Syarh Alfiyyah al-Hadits, ms. 18.
[19] Terdapat beberapa rujukan terkini yang memberikan semakan semula atas pensahihan al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak. Antaranya:
1. al-Mustadrak ‘ala al-Shahihin yang disunting (tahqiq) oleh Mushthafa ‘Abd al-Qadir ‘Atha’ dengan disertai di bahagian notakakinya semakan semula oleh al-Zahabi dalam kitabnya al-Talkish. Diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut.
2. al-Mustadrak ‘ala al-Shahihin yang disunting (tahqiq) dan disemak semula oleh ‘Abd al-Salam bin Muhammad dengan rujukan kepada al-Talkish oleh al-Zahabi. Dterbitkan oleh Dar al-Ma’refah, Beirut.
3. Tanbih al-Wahim ‘ala ma ja-a fi Mustadrak al-Hakim (تنبيه الواهم على ما جاء في) oleh Ramdhan bin Ahmad bin ‘Ali yang merupakan semakan semula secara bebas ke atasal-Mustadrak tanpa terbatas kepada al-Talkish oleh al-Zahabi. Diterbitkan oleh Maktabah al-Taubah, Riyadh.
Sumber :
Sumber :http://www.hafizfirdaus.com/