Oleh
: Dr. Muhammad Amahzun
PENGENALAN
Ulamak ilmu jarh wa ta’dil (penilaian
keadilan perawi hadith) telah bersetuju secara keseluruhannya bahawa fenomena
pembohongan di kalangan syiah adalah lebih menonjol dan ketara berbanding
dengan kelompok-kelompok yang lain. Kitab-kitab ilmu jarh wa ta’dil yang
masyhur seperti kitab-kitab Imam Bukhari, Ibnu ‘Adi, Ibnu Mu’ien, Ad-Daruquthni
dan lain-lain penulisan mereka yang berikhtisaskan hal ehwal sanad periwayatan,
secara nyata membuat kesimpulan bahawa, pembohongan oleh syiah adalah yang
paling banyak di kalangan ahli qiblat. Bahkan muncul pepatah yang berbunyi
‘lebih pembohong dari rafidhi (syiah)’ sebagai mengisyaratkan kepada betapa
seseorang itu sangat kuat berdusta.
Sebagai contoh, Abu Muawiyah Ad-Dharir
Al-Kufi berkata, aku telah mendengar Al-A’masy menyebut, “…aku telah menemui
orang ramai dan tidaklah mereka menamakan syiah itu melainkan sebagai para
pendusta.” (lihat : Minhaj As-Sunnah oleh Ibnu Taimiyah juzuk 1 ms. 16).
Al-Khatib Al-Baghdadi juga pernah meriwayatkan dengan sanad kepada Ibnu Al-Mubarak,
beliau berkata, “Abu ‘Ismah telah bertanya kepada Abu Hanifah : daripada
siapakah kamu memerintahkan aku supaya mendengar (untuk mengambil dan
meriwayatkan hadith)?” Abu Hanifah menjawab, “Daripada setiap mereka yang adil
pada hawa nafsunya melainkan syiah, kerana sesungguhnya usul aqidah mereka
adalah menghukum sesat para sahabat Muhammad SAW”. (lihat : Al-Kifayah fi ‘Ilmi
Ar-Riwayah oleh Al-Khatib Al-Baghdadi ms. 203).
Bahkan Hamad bin Salamah telah berkata,
“telah berkata syeikh mereka (syiah) bahawa: Sesungguhnya jika kami berkumpul,
kami akan memperelokkan satu-satu riwayat dan kemudian kami jadikan ia sebagai
hadith!” (lihat: Minhaj As-Sunnah oleh Ibnu Taimiyah juzuk 1 ms. 16). Selain
itu, Yunus bin Abdul A’la telah berkata, “Asyhab telah berkata: Imam Malik
telah ditanya pendapatnya mengenai syiah rafidhah”. Imam Malik menjawab,
“janganlah kamu bercakap dengan mereka dan jangan meriwayatkan apa-apa dari
mereka. Sesungguhnya mereka itu adalah pendusta.” (lihat: Al-Muntaqa oleh
Adz-Dzahabi, ms. 21). Harmalah juga pernah bekata, “aku mendengar Imam
Asy-Syafie berkata: aku tidak pernah melihat seseorang membuat kesaksian palsu
selain daripada syiah ar-rafidhah”. (lihat : Al-Kifayah fi ‘Ilmi Ar-Riwayah
oleh Al-Khatib Al-Baghdadi ms. 202).
Lebih jauh daripada itu, syiah telah
menjadikan pendustaan sebagai syiar mereka lalu diimejkan jenayah itu dengan
imej keagamaan dengan menamakannya sebagai ‘Taqiyyah’. Misalnya mereka berkata,
“Tiada iman bagi sesiapa yang tidak bertaqiyyah” Kalam ini mereka nisbahkan
kepada Muhammad Al-Baqir sebagai pengkhianatan dan pencelaan ke atas Al-Baqir.
(lihat: Al-Kafi fil Usul oleh Al-Kulaini, bab At-Taqiyyah juzuk 2 ms. 19).
AHLUL BAYT DAN PEMBOHONGAN SYIAH
Pembohongan
syiah bukan sahaja mendapat komentar oleh para ulamak hadith dan lain-lainnya,
bahkan turut diulas oleh Saidina Ali RA dan para Alul Bayt sendiri. Misalnya,
Abu Amr Al-Kasyi menyebut di dalam kitab Ar-Rijal, “Abu
Abdillah (iaitu Jaafar As-Sadiq) telah berkata: sesungguhnya kami Alul Bayt
adalah orang-orang yang benar, tetapi kami tidak bebas dari terkena pendustaan
ke atas kami. Lantas kebenaran kami telah gugur disebabkan oleh pendustaan
mereka ke atas kami di kalangan manusia. Rasulullah SAW adalah sebenar-benar
insan tetapi Musailamah telah mendustainya, Amirul Mu’minin Ali bin Abi Thalib
adalah orang benar selepas Rasulullah SAW dengan kesaksian daripada Allah
tetapi dia telah didustakan oleh Abdullah bin Saba’ -Laknatullah ‘Alaih-.
Manakala Abu Abdillah Al-Husein bin Ali pula telah ditimpa bencana Al-Mukhtar
(Ats-Tsaqafi). ..Manakala Ali bin Al-Husein pula telah didustakan oleh Abdullah
bin Al-Harith Asy-Syami dan Bannan… begitu juga dengan Al-Mughirah bin Said
serta As-Sirriey dan Abu Al-Khattab…” Lantas beliau menyambung, “… laknat Allah
ke atas mereka semua, dan kami juga tidak terlepas dari didustakan oleh
pendusta. Cukuplah Allah (sebagai pelindung kami) dari bencana sekalian
pendusta, semoga Allah merasakan ke atas mereka kepanasan besi yang terbakar”. (lihat:
Ar-Rijal oleh Al-Kasyi ms. 257).
Sesungguhnya
golongan syiah telah mencipta banyak hadith dan riwayat palsu yang bertepatan
dengan kehendak hawa nafsu mereka sebagaimana mereka mencipta hadith palsu di
dalam bab kelebihan Ali dan Alul Bayt. Mereka juga mencipta banyak nas palsu
untuk mencela pada sahabat RA khususnya Abu Bakar RA dan Umar Al-Khattab RA.
(lihat contohnya di dalam Syarh Nahjil Balaghah oleh Ibnu Abi Al-Haddad, juzuk
2 ms.135). Syiah juga mencipta hadith palsu untuk menghina Muawiyah RA.
Satu contoh mudah adalah hadith yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW kononnya
Baginda berkata, “jika kamu melihat Muawiyah di atas mimbarku, maka bunuhlah
dia” (lihat: Al-Alie’ Al-Masnu’ah fi Al-Ahadith Al-Maudhu’ah oleh As-Sayuti,
juzuk 1 ms. 323) Bukan sahaja di dalam membahaskan tentang Ali RA dan Muawiyah
RA, bahkan syiah juga mencipta banyak pembohongan terhadap para sahabat RA yang
lain. Jika mereka berani untuk mendustakan Nabi SAW maka seudah tentulah
pembohongan ke atas selain Baginda itu jauh lebih mudah bagi mereka.
IBNU
TAIMIYAH DAN SYIAH
Penulisan
Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya Minhaj As-Sunnah adalah di antara penulisan
yang paling baik di dalam proses mendedah dan menyingkap perancangan dan taktik
syiah merosakkan kesucian Islam di dalam masalah aqidah, hadith, fiqh dan
sejarah. Katanya, “… sesungguhnya ahli ilmu telah
bersepakat dengan naqal,, riwayat dan isnad bahawa syiah itu adalah
sedusta-dusta kaum, pembohongan di kalangan mereka telah begitu lama, dan sebab
itulah para imam dan ulamak Islam mengenali mereka sebagai kelompok yang
beridentitikan ‘kaki dusta’” (lihat: Minhaj As-Sunnah oleh Ibnu Taimiyah juzuk 1 ms. 16).
Jika dibuat penelitian terhadap
riwayat-riwayat yang dipelopori oleh syiah, kita akan menemui kesimpulan bahawa
golongan ini tidak pernah memperincikan hadith- hadith mereka kepada soal
amanah, ‘adalah (keadilan perawi) dan penjagaan serta hafalan. Kitab-kitab
muktabar mereka seperti Al-Kafi dan sebagainya, penuh dengan riwayat-riwayat
yang disanadkan kepada sedusta-dusta perawi. Ini adalah kerana, pertimbangan
kesahihan riwayat mereka hanyalah berpaksikan kepada sikap taasub, hawa nafsu
dan kebencian mereka terhadap kepimpinan dan ulamak Islam. Jelas sekali mereka
tidak menerima riwayat melainkan ia dibawa oleh perawi yang semazhab dengan
mereka, iaitu cukup dengan kedudukan perawi itu seorang syi’e imami. Tidak
menjadi soal sama ada perawi itu seorang yang teliti atau lalai, benar atau
pembohong, mereka tidak menilai riwayat-riwayat dengan satu kaedah ilmiah
sebagaimana yang kita lihat di kalangan ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kaedah
ini adalah intisari terpeliharanya ajaran Islam bahkan dikagumi oleh pengkaji-
pengkaji barat seperti Margolioth dan lain-lain. Seringkali apabila ditanya
siapakah perawi hadith ini, syiah akan menjawab, ia diriwayatkan oleh
Al-Husein, Al-Baqir atau Musa Al-Kadzim… maka muktamadlah ia. (lihat: Asy-Syiah
fi ‘Aqa’idihim wa Ahkamihim oleh Amir Muhammad Al-Kadzimi Al-Qazwini ms. 6,
dinaqalkan dari Wa Jaa’a Daurul Majus oleh Dr. Abdullah Al-Gharib ms. 121)
Ibnu Taimiyah ketika membantah dakwaan
Ibnu al-Muthahhar Al-Hulliy Ar-Rafidhi yang mendakwa di dalam kitabnya Minhaj
Al-Karamah bahawa perawi-perawi syiah adalah tsiqah, beliau berkata,
“..
Kami (ahli sunnah dan hadith) mengkritik perawi-perawi kami dari kalangan ahli
sunnah tanpa membuat sebarang penambahan. Kami mempunyai tulisan yang banyak
sekali untuk menilai sama ada mereka adil atau dhaif, benar atau lalai, dusta
atau keliru. Kami tidak menyokong mereka secara batil sebagai usul walaupun
dengan kesalehan dan keelokan ibadat mereka. Bahkan kami menggugurkan
periwayatan mereka sebagai hujah sekiranya mereka banyak melakukan kesilapan di
dalam meriwayatkan hadith dan lemah ingatan walaupun mereka itu terdiri
daripada wali-wali Allah. Sedangkan kalian (syiah) menetapkan seorang perawi
itu sebagai tsiqah (berkepercayaan) hanya kerana dia seorang syiah imami, tanpa
mengira dia itu seorang yang pelupa atau kuat ingatan, berdusta atau bercakap
benar. Dengan itu penuhlah di tangan kalian berita dan khabar lisan kalian yang
berdusta atau tidak diketahui kesahihannya. Sama perihalnya dengan Ahli Kitab
Yahudi dan Kristian dengan pendustaan syiah Ar-Rafidhah sebagai perbandingan…”
“…
Kami mengetahui bahawa Khawarij itu lebih jahat daripada kalian, tetapi
walaupun begitu kami tidak menuduh mereka sebagai pendusta. Ini adalah kerana
kami telah pun menguji mereka dan jelasnya mereka itu bercakap benar.
Maka bagi mereka itu apa yang benar dan ke atas merekalah kesalahan-kesalahan
yang dilakukan.Sedangkan di sisi kalian, yang benar itu dianggap seperti titik
hitam yang keji…! Sedangkan Ahli Sunnah dan Hadith tidak merestui pembohongan
walaupun ia boleh memberikan keuntungan pada hawa nafsu. Lihat sahaja berapa
banyak riwayat mengenai kelebihan Abu Bakar, Umar, Uthman bahkan Muawiyah serta
yang lain-lainnya di dalam hadith-hadith yang sanadnya diriwayatkan olehÂ
An-Naqqasy, Al-Qathi’ie, Ats-Tsa’labi, Al-Ahwazi, Abi Naiem, Al-Khatib, Ibnu
Asakir dan lain-lainnya. Akan tetapi ulamak hadith tidak menerima sekiranya ada
keterangan tentang berlakunya pendustaan di dalamnya bahkan jika pada isnad
hadith itu ada sahaja seorang perawi majhul yang tidak diketahui perihalnya,
maka hadith itu ditangguhkan penerimaannya. Sedangkan kalian (syiah) hanya
mensyaratkan hadith di sisi kalian bahawa ia bertepatan dengan hawa nafsu
biarpun ia umpama daging yang busuk mahupun lemak!” (lihat Al-Muntaqa oleh Adz-Dzahabi ms. 480)
IBNU
QAYYIM AL-JAUZIYAH DAN SYIAH
Ketika
mengulas tentang syiah, Ibnu Qayyim Al-Jauziyah menyatakan, “Manakala
Ali bin Abi Thalib, hukum hakam dan fatwanya begitu tersebar sekali. Akan
tetapi, semoga Allah membinasakan syiah, mereka telah merosakkan banyak
daripada ilmunya (Ali bin Abi Thalib) dengan melakukan pendustaan ke atas
beliau. Oleh yang demikianlah, anda dapati kebanyakan ashabul hadith dan ahlus
sahih tidak berpegang kepada hadith dan fatwa Ali bin Abi Thalib melainkan jika
ia datang melalui periwayatan Ahli Baytnya dan pengikut Abdullah bin Mas’ud.” (lihat : ‘A’lam Al-Muwaqqi’ien oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah,
juzuk 1 ms. 21)
Jelaslah kelihatan di dalam pengamatan
kita, bahawa kebanyakan riwayat yang wujud mencela khilafah Amirul Mu’minin
Uthman bin Affan RA. adalah daripada golongan syiah. Mereka tidak meriwayatkan
berita-berita tentang peristiwa berkenaan daripada perawi yang menyaksikan
kejadiannya, bahkan hanya mendengar daripada yang mendengar, berdusta dari yang
berdusta. Dalam banyak keadaan juga, seorang perawi banyak meriwayatkan
kejadian yang berlaku berpuluh tahun sebelum itu.
Berikut adalah pendapat para ulamak
jarh wa ta’dil berhubung dengan beberapa orang perawi syiah terkemuka. Mereka
adalah di antara pemilik riwayat-riwayat yang terdapat di dalam kitab sejarah
yang utama seperi kitab Tarikh Ar-Rusul wal Muluk oleh Imam At-Thabari. Merekalah
juga tokoh ahli akhbar (akhbariyyin) yang paling banyak menyumbang riwayat
berhubung dengan fitnah yang berlaku di zaman Saidina Uthman dan Ali RA.
Riwayat-riwayat berkenaan memperlihatkan pengolahan kisah dengan gambaran
khusus untuk mereka menyebarkan propaganda syiah di awal-awal terasasnya
sejarah Islam, selepas mereka menipu ramai manusia atas nama agama dan
kecintaan kepada Alul Bayt!
Kita kemukakan tiga contoh perawi syiah
yang merupakan antara perawi yang wujud di dalam periwayatan Tarikh At-Thabari.
Penjelasan ini bertujuan untuk memperlihatkan bagaimana mudarat yang
telah syiah lakukan terhadap sejarah Islam. Mereka yang mahu melanjutkan
pengetahun berhubung dengan perawi-perawi syiah, kitab-kitab ilmu jarh
wa-ta’dil mempunyai banyak catatan berhubung dengan mereka. Bahkan terdapat
juga buku yang mengumpulkan maklumat berhubung dengan perawi syiah secara
khusus. Misalnya kitab Rijal Asy-Syiah fil Mizan oleh Abdul Rahman Abdullah
Az-Zar’ie, cetakan Darul Arqam, Kuwait.
Abu Mikhnaf Lut bin Yahya
Abu Hatim
berkata mengenainya : matruk (ditinggalkan -yakni tidak diambil
periwayatannya). Ad-Darulquthni pula mengatakan bahawa beliau dhaif (lemah).
Ibnu Mu’ien berkata: dia itu tidak dipercayai dan tidak mempunyai sebarang
nilai.. Ibnu ‘Adie mengatakan bahawa beliau ini syiah pekat yang menjadi tuan
punya kisah-kisah (akhbar) kaum itu. Adz-Dzahabi mengatakan bahawa beliau
seorang ikhbari (ahli akhbar) yang cuai dengan periwayatannya serta tidak
dipercayai.
Hisham
bin Muhammad bin As-Saib Al-Kalbi
Imam Ahmad bin Hanbal berkata:
Sesungguhnya beliau adalah pemilik hikayat-hikayat malam (samar) dan perihal
nasab. Padaku tidaklah ada seorang pun yang mengambil hadith daripadanya.
Ad-Darulquthni pula memberi komentar bahawa Al-Kalbi ini matruk. Ibnu Asakir
mengatakan bahawa beliau ini syiah rafidhie yang tidak boleh dipercayai.
Al-’Uqaili mengatakan bahawa padanya ada kelemahan (dari segi jarh wa ta’dil).
Ibnu Al-Jarud dan Ibnu As-Sakan menyenaraikan Al-Kalbi di dalam kitab
Ad-Dhu’afa (perawi-perawi yang dhaif) mereka. Al-Kalbi juga dicela oleh
Al-Asma’ani. Ibnu Hibban juga mengatakan bahawa beliau meriwayatkan
daripada bapanya yang mana mereka berdua terkenal dengan kisah-kisah karut dan
akhbar yang tidak diketahui asal-usulnya. Juga sangat melampau di dalam
berpegang dengan mazhab syiahnya.. Ibnu Mu’ien berkata: beliau itu seorang yang
tidak dipercayai, pendusta dan sering tercicir di dalam periwayatannya. Ibnu
‘Adie berkata: Hisham Al-Kalbi itu lebih terkenal dengan hikayat-hikayat malam
(samar) dan setahu aku tidaklah ia mempunyai sebarang musnad bahkanÂ
bapanya juga adalah al-kazzab (sangat pendusta). Adz-Dzahabi pula memberi
komen: Hisham itu tidak boleh dipercayai.
Jabir bin Yazid Al-Ju’fie
Ibnu
Mu’ien berkata : Jabir itu seorang yang sangat pendusta, hadithnya tidak
ditulis dan tiada kemuliaan baginya. Zaidah bin Qudamah Ats-Tsaqafi Al-Kufi
berkata : sesungguhnya Al-Ju’fie itu demi Allah seorang seorang yang sangat
pendusta dan beriman dengan akidah Ar-Raj’ah. Abu Hanifah pula menyebut : Di
kalangan orang yang pernah aku temui, tiadalah yang lebih pendusta dari Jabir
Al-Ju’fie. Tidaklah aku berikan dia satu-satu pendapatku melainkan ia akan
mendatangiku dengan sesuatu yang telah ia lakukan kepada pendapatku. An-Nasa’ie
berkata : matruk. Abu Daud pula berkata : Tiadalah sebarang kekuatan pada
hadithnya (Al-Ju’fie) di sisiku. Asy-Syafie berkata :Â Aku mendengar
Sufian bin Uyainah berkata: Aku mendengar kalam Jabir Al-Ju’fie lantas aku
segera menyembunyikan diri kerana bimbang kami akan ditimpa oleh bumbung! Yahya
bin Ya’la pula menyebut : Aku mendengar Zaidah Ats-Tsaqafi Al-Kufi berkata :
Jabir A-Ju’fie itu seorang syiah Ar-Rafidhie yang mencaci sahabat-sahabat Nabi
SAW. Ibnu Hibban pula memberikan komentarnya : Beliau (Al-Ju’fie) itu adalah
saba’ie pengikut Abdullah bin Saba’. Beliau mempercayai bahawa Ali itu akan
kembali ke dunia. Al-Jourjanie berkata : Beliau itu sangat pendusta.
Kesimpulan
Ketiga-tiga perawi tadi adalah pemegang
kepada riwayat-riwayat utama berhubung dengan peristiwa fitnah di zaman Saidina
Uthman RA yang terdapat di dalam kitab Tarikh Al-Umam War-Rusul oleh Imam
At-Thabari. Merekalah yang bertanggungjawab terhadap riwayat-riwayat dusta yang
memburuk-burukkan para sahabat Rasulullah SAW seperti Uthman bin Affan RA.,
Aishah RA. dan Muawiyah bin Abi Sufian RA. Kefahaman umat Islam terhadap
beberapa peristiwa getir di zaman itu seperti Perang Jamal dan Siffin, Majlis
Tahkim, pembunuhan Husein RA dan sebagainya, juga dicemari dengan
riwayat-riwayat para pembohong seperti perawi yang telah kita sebutkan di
atas.  Oleh yang demikian, amat penting bagi kita untuk membuat
penilaian semula terhadap Sejarah Islam yang kita fahami selama ini. Mana-mana
riwayat yang didapati bercanggah dengan kedudukan para Sahabat RA dan Baginda SAW
sendiri, hendaklah dikaji semula dan dinilai berdasarkan kedudukan perawi yang
meriwayatkannya.
Ini adalah anjuran Imam At-Thabari
sendiri sebagaimana yang beliau nyatakan di dalam muqaddimah kitabnya Tarikh
Al-Umam wal Muluk (Tarikh At-Thabari) yang masyhur itu; bahawa kesahihan
riwayat-riwayat yang dikemukakannya hendaklah ditentukan dengan menilai sanad
yang beliau sertakan pada hampir setiap riwayat. Janganlah nanti kerana
menganggap kitab Tarikh At-Thabari itu muktabar, maka kita mengabaikan kaedah
yang disyaratkan kepada mereka yang ingin mengambil manfaat daripada
penulisannya itu. Sesungguhnya semua ini berhajatkan kepada disiplin
ilmu yang tinggi, maka janganlah nanti ada pula yang mencabuli kebenaran yang
menjadi hak Allah tanpa ilmu pengetahuan yang nyata. Allah SWT berfirman:
“Dan ada di antara manusia yang
membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah SWT, tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan
kejahatan.” (Al-Hajj 22 : 3)
FirmanNya lagi:
“Dan ada di antara manusia yang
membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah SWT dengan tidak
berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan
atau Kitab ALlah yang menerangi kebenaran. Ia membantah sambil memalingkan
sebelah badannya dengan sombong angkuh sehingga menghalang dirinya dan orang
lain dari jalan agama Allah; ia akan beroleh kehinaan di dunia dan Kami akan
merasakannya azab membakar pada hari kiamat kelak” (Al-Hajj 22 : 8-9)
Artikel ini diterjemah dan disunting
berdasarkan tesis PhD Dr. Muhammad Amahzun bertajuk “Tahqiq Mawaqif As-Sahabah fil
Fitnah min Riwayat Al-Imam At-Thabari wal Muhaddithin” yang diterbitkan dalam bentuk buku oleh Dar At-Thayyibah lin
Nasyr wat Tauzi’, Riyadh.