Tuesday, June 2, 2015

Benarkah Sahabat Bersengketa?

OLEH: MUHAMMAD ASRIE AL-MADANI

Telah masyhur dalam sejarah Islam bahawa selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w dan selepas terbunuhnya Khalifah al-Rasyidin yang ketiga; Usman bin Affan r.h, umat Islam berada dalam keadaan perpecahan dan perbezaan pendapat yang membawa kepada pertumpahan darah.
Sering diwar-warkan di merata ceruk bahawa persengketaan yang berlaku dalam peperangan Jamal dan Siffin adalah persengketaan antara Sahabat-sahabat Rasulullah r.hum dan mereka ini berperang sesama sendiri.
Namun, berapakah jumlah Sahabat yang berperang sesama sendiri ini? Adakah semua Sahabat yang hidup ketika itu terlibat dalam persengekataan sesama sendiri ini? Syiah Rafidah mendakwa semua Sahabat menjadi kafir kecuali beberapa kerat kerana mereka semua terlibat dalam pertumpahan darah ini. Benarkah sedemikian rupa?
Jawapan yang tepat dan tidak teragak-agak adalah dakwaan dan tohmahan jijik Rafidah ini adalah dusta sama sekali kerana para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim majoriti mereka langsung tidak terlibat dalam pertempuran sesama sendiri ini.
Imam Muhammad bin Sirin r.h, salah seorang Tabiin yang menyaksikan persengketaan ini dengan dua matanya berkata:
هاجت الفتنة، وأصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم عشرة آلاف، فما حضرها منهم مائة، بل لم يبلغوا ثلاثين
Maksudnya: “Berlaku fitnah sedangkan jumlah para Sahabat Rasulullah s.a.w semuanya (yang masih hidup) ketika itu 10,000 (sepuluh ribu) orang, tidak ikut serta dalam fitnah itu daripada mereka kecuali 100 (seratus) orang bahkan mungkin tidak sampai 30 (tiga puluh) orang sekalipun”. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/281].
Hal ini juga dapat dilihat dalam kitab-kitab sejarah Islam yang muktabar seperti al-Bidayah wan Nihayah oleh Ibn Kasir dan Tarikh al-Islam Imam al-Zahabi. Al-Imam Ibn Kasir r.h ketika menyenarikan nama-nama pembesar Sahabat yang terbunuh semasa peperangan Jamal menyebut hanya dua orang iaitu Talhah r.a dan al-Zubair r.a sedangkan kata Ibn Kasir r.h jumlah keseluruhan yang terbunuh dalam peperangan Jamal adalah 10,000 orang.
Bandingkan jumlah korban keseluruhan dengan jumlah Sahabat yang terkorban dalam peperangan Jamal ini, menunjukkan betapa sedikitnya Sahabat yang terlibat dalam peperangan ini.
Bahkan lebih menarik, Al-Zubair r.a tidaklah dibunuh di medan peperangan namun seorang Rafidah yang terlibat dalam pembunuhan Usman r.a mengekori beliau semasa beliau meninggalkan medan peperangan lalu si celaka ini membunuh beliau secara tipu muslihat ketika beliau sedang tidur reda Allah sebanyak-banyaknya atas beliau-Hawari Rasulillah s.a.w-.
Ketika berlaku peperangan Jamal ini, Saidina Al-Zubair r.a sebuah hadis Nabi s.a.w kepada beliau ketika Nabi s.a.w menemui beliau sedang duduk bersama Ali r.a lantas Nabi s.a.w bersabda: “Adakah kamu mencintainya wahai Zubair?” Jawab Zubair:“Apakah yang menghalangi aku untuk mencintainya?” Lalu Nabi s.a.w bersabda:“Maka bagaimana pula keadaan kamu nanti ketika kamu memeranginya sedangkan kamu berlaku zalim kepadanya?”
Apabila beliau teringat akan hadis ini, maka Saidina Zubair r.a segera beredar daripada pertempuran dan bersumpah tidak akan memerangi Ali r.a. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/268-269].
Demikian juga telah tsabit semua Sahabat ridwanullahi ‘alaihim yang terlibat dalam peperangan Jamal ini menyesal dan mengaku mereka bersalah dalam tindakan mereka dan terjadi perdamaian antara mereka sebaik sahaja selesai peperangan.
Imam al-Sya’bi r.h begitu mengingkari ramainya Sahabat yang terlibat dalam peperangan Jamal sehingga beliau berkata:
لم يشهدها إلا علي، وعمار، وطلحة، والزبير من الصحابة
Maksudnya: “Tidak turut serta dalamnya (perang Jamal) melainkan Ali, Ammar, Talhah, dan al-Zubair daripada Sahabat”. [Tarikh al-Islam, 3/484]
Malah riwayat-riwayat sejarah lainnya menyatakan para Sahabat yang turut serta bersama Ali r.a dalam peperangan Jamal ini tidak lebih daripada 1000 sahabat sahaja sedangkan seperti kata Ibn Sirin r.h jumlah Sahabat yang masih hidup ketika itu adalah 10,000 orang. Bayangkan terdapat 9000 lagi sahabat ridwanullahi ‘alaihim tidak menyertai fitnah yang terjadi ini. [Ibid]
Sudahlah bilangan Sahabat yang turut serta ini sedikit, peperangan yang berlaku pula bukan berpunca daripada mereka ridwanullahi ‘alaihim sebagaimana yang ditegaskan para sejarawan Islam. Berkata Imam al-Zahabi r.h menyatakan pendapat para Ahli Sejarah:
اصطف الفريقان، وليس لطلحة ولا لعلي رأسي الفريقين قصد في القتال، بل ليتكلموا في اجتماع الكلمة، فترامى أوباش الطائفتين بالنبل، وشبت نار الحرب، وثارت النفوس
Maksudnya: “Kedua-dua pasukan berada dalam barisan dan tiada niat dalam diri Talhan dan Ali, ketua kedua-dua pasukan untuk berperang bahkan untuk berbincang untuk menyatukan suara lalu sekelompok orang daripada kedua-dua pihak mula melontarkan lembing maka menyala lah api peperangan dan berkobarlah jiwa…”.[Tarikh al-Islam, 3/486].
Jelas kalimah أوباش  menunjukkan yang memulakan peperangan adalah kaum yang tidak diketahui dan bukanlah daripada kalangan Sahabat sendiri bahkan mereka itu sangat berusaha untuk menyatukan kaum muslimin, bahkan Aisyah r.ha Ummul Mukmini sendiri ketika memujuk Kaab bin Sur keluar bersamanya ke Jamal berkata:“Sesungguhnya tujuanku hanyalah untuk memperbaiki antara manusia”.[Ibid]
Bahkan Kaab bin Sur al-Azdi r.h (Abu Nuaim r.h memasukkan beliau dalam kalangan Sahabat) keluar sebagai pemegang tali unta Ummul Mukminin membawa Mushaf dan perisai sahaja dan sepanjang peperangan beliau mengajak manusia supaya berdamai namun dia terbunuh terkena panah sesat (dan kita tidak meragui kemungkinan besar kaum Sabaiah –Rafidah- yang memanah beliau kerana tidak mahu peperangan dihentikan).
Demikian juga Muslim al-Juhani r.h daripada pihak Ali r.a diarahkan oleh Ali r.a untuk mengarak Mushaf dan menyeru supaya mereka berhenti berperang dan kembali kepada hukum al-Quran namun dia juga dibunuh bahkan dikatakan orang pertama yang terbunuh.[ibid, m.s 490].
Lihat, para Sahabat dalam peperangan Jamal ini sentiasa berusaha untuk menghentikan peperangan yang bukan mereka mulakan. Maka Laknat Allah atas tangan-tangan tersembunyi di sebalik kejadian ini yang tidak lain tidak bukan pengikut Abdullah bin Saba’, pengasas ajaran Syiah.
Berpindah pula kepada fitnah yang kedua iaitu peristiwa Siffin yang berlaku antara Saidina Ali r.a dan Saidina Muawiyah r.a.
Berkata al-Imam Ahmad bin Hanbal r.h: Menceritakan kepada kami Umayyah bin Khalid, dikatakan kepada Syu’bah: Ibn Abi Syaibah telah meriwayatkan daripada al-Hakam daripada Abdul Rahman bin Abi Laila berkata: “Turut serta dalam peperangan Siffin daripada Ahli Badar 70 (tujuh puluh) orang”. Berkata Syu’bah: “Abu Syaibah salah, kami telah berdiskusi dengan al-Hakam berkenaan perkara ini dan kami tidak dapati Ahli Badar yang menyertai Siffin kecuali Khuzaimah bin Tsabit[1]”. Dikatakan juga turut serta dalam Siffin daripada Ahli Badar, Sahl bin Hunaif r.a dan Abu Ayyub al-Ansari r.a. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/281].
Al-Zahabi r.h menukil daripada Khalifah bahawa Sahabat Ahli Badar yang menyertai Siffin bersama Ali r.a adalah: ‘Ammar bin Yasir, Khawat bin Jabir, Sahl bin Hunaif, Abu Saad al-Sa’idi, Abul Yusr, Abu Rifa’ah al-Ansari dan Abu Ayyub al-Ansari.
Sahabat yang bukan Ahli Badar pula adalah: Khuzaimah bin Tsabit[2], Qais bin Saad bin Ubadah, Abu Qatadah, Sahl bin Saad al-Sa’idi, Qurzah bin Kaab, Jabir bin Abdullah, Ibn Abbas, al-Hasan, al-Husein, Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib, Uqbah bin ‘Amir, Abu ‘Ayyash al-Razki, ‘Adi bin Hatim, al-Asy’as bin Qais, Sulaiman bin Surad, Jundub bin Abdullah, dan Jariah bin Qudamah”.
Lihat jumlah Sahabat yang menyertai peperangan Siffin ini boleh dibilang dengan jari sahaja wahai kaum Muslimin sekalian, masih terdapat beribu-ribu Sahabat lain lagi yang tidak turut serta dalam peperangan ini.
Adapun riwayat daripada Abdul Rahman bin Abza r.a:
شهدنا مع علي ثمانمائة ممن بايع بيعة الرضوان، قتل منهم ثلاثة وستون رجلاً، منهم عمار
Maksudnya: “Kami menyertai Ali bersama 800 orang yang berbaiat dalam Baiat al-Ridwan, terbunuh antara mereka 360 lelaki antaranya Ammar”. [Tarikh al-Islam, 3/545].
Riwayat ini munkar kerana perawinya: Yazid bin Abdul Rahman adalah Abu Khalid al-Dalani kerana dia sahaja bernama Yazid bin Abdul Rahman yang mempunyai riwayat yang diriwayatkan oleh Abdul Salam bin Harb.
Yazid ini dihukum Layyin oleh Ibn Adi dalam al-Kamil fid Dhu’afa’ dan cukuplah menjelaskan kedaifannya dengan disenaraikan dalam al-Kamil, kitab yang khusus menceritakan perawi yang daif sahaja dan Syuraik berkata: “Dia seorang Murjiah, kami berlindung dengan Allah daripadanya”. [Lihat al-Kamil, 7/277-278 dan al-Tarikh al-Kabir , al-Bukhari, 8/346-347].
Maka jelas kepada kita jumlah Sahabat yang terlibat dalam peperangan Siffin tidak sampai beberapa kerat sahaja, maka di manakah kesahihan tohmahan Rafidah bahawa ‘SEMUA SAHABAT KECUALI BEBERAPA KERAT’ kafir mereka kerana berperang sesama sendiri??
Kemudian, adakah mereka yang terlibat dalam peperangan Kafir? Demi Allah, sama sekali tidak kerana Nabi s.a.w telah menamakan mereka sebagai MUSLIMIN sebagaimana dalam sabda baginda:
إنَّ ابني هذا سَيِّدٌ ، ولعَلَّ اللهَ أَنْ يُصلِحَ به بَيْنَ فِئتَينِ عَظِيمَتَينِ من المسلمين
Maksudnya: “Sesungguhnya anak ku ini (yakni al-Hasan bin Ali r.hma) adalah Sayyid (penghulu), mudah-mudahan Allah akan membaikkan dengannya dua puak yang besar daripada Muslimin”. [al-Bukhari].
Hadis ini mengisyaratkan islah yang dilakukan oleh Saidina al-Hasan r.a dengan menyerahkan jawatan Khalifah kepada Saidina Muawiyah r.a yang dengan itu kaum muslimin berkumpul semula di bawah satu Khilafah dan dinamakan tahun itu sebagai ‘Tahun Jamaah’.
Jelas dan terang lagi bersuluh Nabi s.a.w menamakan kedua-dua kumpulan yang menyokong Ali r.a dan Muawiyah r.a sebagai MUSLIMIN, maka siapakah Rafidah sehingga berani-berani sahaja mengkafirkan para Sahabat Nabi s.a.w. Sungguh rahmat dan reda Allah tidak putus-putus mencurah ke atas para Sahabat Rasulullah s.a.w dan tidak putus-putus pula laknatNya atas kaum Rafidah yang zalim dan fasiq ini.

[1] Kedudukan Khuzaimah bin Tsabit r.a sebagai Ahli Badar terdapat pertikaian.
[2] Atas pendapat beliau bukan Badri