Rasulullah s.a.w bersabda
dengan membawakan firman Allah dalam hadith Qudsi: Pandangan mata adalah panah
beracun dari antara panah-panah Iblis. Barangsiapa meninggalkannya kerana takut
kepadaKu maka Aku ganti dengan keimanan yang dirasakan manis dalam hatinya.
(H.R. Al Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Madinah adalah tanah haram, letaknya antara Bukit Eir dan Bukit Tsur, sesiapa
yang melakukan kezaliman (maksiat) atau melindungi orang yang melakukan kezaliman
di dalamnya maka ke atasnya laknat Allah s.w.t, malaikat dan manusia seluruhnya
dan semua amalan sama ada yang wajib atau sunat tidak diterima oleh Allah s.w.t
daripadanya pada hari kiamat kelak. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Ibnu Abbas r.a berkata,
Nabi s.a.w bersabda: Jangan menyendiri seorang lelaki dengan perempuan
melainkan harus ada mahram yang menyertainya. Dan jangan berpergian seorang
perempuan melainkan bersama mahramnya. Maka ada seseorang bertanya: Ya
Rasulullah, isteriku pergi berhaji sedangkan aku telah tercatat untuk pergi
berperang. Maka Nabi s.a.w bersabda: Pergilah engkau berhaji bersama istrimu.
(H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Aisyah r.a, Orang
Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang dijatuhkan kepada seorang
perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka berkata: Siapakah yang boleh
menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w supaya perempuan itu dibebaskan saja? Kata
mereka: Siapakah yang berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah
s.a.w! Usamah lalu menyampaikannya kepada baginda. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang dari had
(hukum) Allah? Kemudian baginda berdiri lalu berpidato, sebagai berikut:
Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana kalau orang yang terhormat (mulia)
mencuri, mereka biarkan saja. Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka
jatuhi hukuman. Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri,
saya potong juga tangannya! (H.R. Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a
berkata: Kekasihku Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepadaku supaya berpuasa
tiga hari setiap bulan, solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur.
(H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a
berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bagaimanakah
pendapatmu seumpama ada sebuah sungai di muka pintu salah seorang dari kamu,
lalu ia mandi daripadanya setiap hari lima kali, apakah masih ada tertinggal
kotorannya? Para sahabat menjawab: Tidak. Nabi s.a.w bersabda: Maka demikianlah
solat lima waktu, Allah akan menghapuskan dosa-dosa dengannya. (H.R. Bukhari
dan Muslim)
Dari Abu Mas’ud (Uqbah) bin
‘Amr al-Badri r.a berkata: Seseorang datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Saya
terpaksa berhenti dari solat jemaah Subuh kerana Fulan (Imam) memanjangkan
bacaannya. Berkata Uqbah: Maka saya tidak pernah melihat Nabi s.a.w marah dalam
suatu nasihat sebagaimana waktu itu. Nabi s.a.w bersabda: Hai sekalian manusia,
seseungguhnya di antaramu ada orang-orang yang membenci orang lain. Maka
barangsiapa di antaramu mengimami orang ramai, hendaklah ia meringkas (bacaan
surahnya) kerana di belakangnya ada orang yang sudah lanjut usia, orang yang
lemah dan orang yang mempunyai kepentingan (urusan). (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a
berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Sungguh, sekiranya salah seorang dari kamu
itu pergi mencari kayu dan dipikul di atas bahunya, lebih baik daripada
meminta-minta kepada orang lain, baik diberi atau ditolak. (H.R. Bukhari dan
Muslim)
Dari Abu Sa’id Al-Khudri
berkata: Ada dua orang lelaki dalam perjalanan, lalu datang waktu solat
sedangkan air tidak ada, lantas keduanya bertayammum dengan debu yang suci dan
solat, kemudian keduanya memperoleh air dan waktu solat masih ada. Seorang
diantara keduanya lantas berwudhu’ dan mengulang solatnya dan yang lain tidak.
Kemudian keduanya datang kepada Rasulullah s.a.w dan diterangkannyalah kejadian
itu kepada Rasulullah s.a.w. Baginda lalu berkata kepada orang yang tidak
mengulang solat: Benar engkau dan solatmu sah, dan kepada orang yang mengulang
solat dengan berwudhu’ baginda berkata: Bagimu ganjarannya dua kali ganda.
(H.R. An-Nasa’i dan Abu Daud)
Dari Anas r.a berkata:
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidaklah seseorang masuk syurga ingin kembali ke
dunia dan dia tidak mempunyai sesuatu pun di dunia kecuali orang yang syahid.
Ia mengharap dapat kembali ke dunia untuk berperang dan terbunuh sampai sepuluh
kali kerana kemuliaan yang ia peroleh. (H.R. Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
Daripada Ibnu Abbas, bahawa seorang
lelaki berkata kepada Nabi: Wahai Rasulullah, aku ada memelihara seorang anak
yatim perempuan. Dia dilamar oleh orang kaya dan orang miskin. Kami suka kalau
dia memilih yang kaya, tetapi dia cinta kepada yang miskin. Maka berkata
Rasulullah s.a.w: Kami tidak melihat perkara yang sesuai bagi orang yang saling
menyintai itu kecuali kahwin. (H.R. Ibnu Majah, Thabrani, Al-Hakim; sahih
mengikut syarat Imam Muslim dan Imam Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a
berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang lelaki pernah mengunjungi
saudaranya di sebuah kampung. Maka Allah mengutus malaikat untuk memantaunya.
Ketika ia tiba, malaikat bertanya: Mahu ke mana kamu? Ia menjawab: Aku akan
mengunjungi saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya: Apakah kerana ada
kenikmatan yang akan kamu peroleh darinya (hasil bumi)? Ia menjawab: Tidak, aku
hanya mencintainya kerana Allah. Lalu malaikat berkata: Aku adalah utusan Allah
untuk menyatakan kepadamu bahawa Allah mencintaimu sebagaimana kamu telah
mencintai saudaramu kerana Dia. (H.R. Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a, ia
berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya seorang mukmin mengetahui siksaan
Allah, nescaya tidak seorang pun yang tamak terhadap syurgaNya. Dan seandainya
seorang kafir mengetahui rahmat Allah, nescaya ia tidak putus asa dari
syurgaNya. (H.R. Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a, ia
berkata Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika Allah menciptakan makhluk, Ia menulis
di buku (catatan) sementara di sisiNya di atas ArasyNya, “RahmatKu mengalahkan
murkaKu”. (Muttafaq ‘Alaih)
Dari Anas bin Malik r.a
berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Pada hari kiamat aku datang mengetuk pintu
syurga. Kemudian penjaganya (malaikat) bertanya: Siapakah engkau? Muhammad
jawabku. Lalu malaikat itu berkata: Aku dilarang oleh Allah untuk membuka pintu
syurga ini kepada sesiapa pun sebelum engkau. (H.R. Muslim)
Dari Abi Abbas Sahl bin Sa’ad
As-Sa’idi r.a berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata:
Wahai Rasulullah! Tunjukkilah aku pada suatu amal yang jika aku kerjakan, aku
dicintai Allah dan dicintai manusia. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Zuhudlah
engkau akan dunia, pasti Allah mencintai engkau. Zuhudlah engkau akan apa yang
ada pada manusia, pasti manusia mencintai engkau. (H.R. Ibnu Majah)
Dari Abi Abdirrahman Abdillah
bin Mas’ud r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w dan dialah yang selalu benar
dan dibenarkan: Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya dalam rahim
ibunya empat puluh hari berupa nutfah. Kemudian menjadi segumpal darah selama
itu juga (empat puluh hari), kemudian menjadi gumpalan seperti sekerat daging
selama itu juga, kemudian diutus kepadanya Malaikat maka ia meniupkan roh
padanya dan ditetapkan empat perkara, ditentukan rezekinya, ajalnya, amalnya,
ia celaka atau bahagia. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain dari padaNya,
sungguh seorang di antara kamu ada yang melakukan pekerjaan ahli syurga
sehingga tidak ada antara dia dan syurga itu kecuali sehasta saja maka
dahululah atasnya takdir Allah, lalu ia lakukan pekerjaan ahli neraka maka ia
pun masuk neraka. Dan sungguh salah seorang di antara kamu melakukan pekerjaan
ahli neraka sehingga tidak ada antara dia dan neraka kecuali sehasta saja maka
dahululah ketentuan Allah atasnya, lalu ia melakukan pekerjaan ahli syurga maka
ia pun masuk ke dalam syurga. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Musa al-Asy’ari r.a
berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya perumpamaan sahabat yang baik
dan sahabat yang buruk bagaikan pembawa misk (kasturi) dan peniup api. Maka
pembawa misk itu ada kalanya memberi kepadamu atau engkau memberi kepadanya
atau engkau mendapat bau harum daripadanya. Adapun peniup api maka kalau tidak
membakar pakaianmu maka kau akan mendapatkan bau busuk daripadanya. (H.R.
Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Ketika dunia berada hampir di penghujungnya, kamu dapati maksiat dilakukan
secara terang-terangan. Zina dilakukan dengan sewenang-wenangnya persis seperti
perilaku haiwan. Yang tinggal hanyalah manusia yang keji dan buruk perangainya.
Ketika itulah berlakunya kiamat. (H.R. Muslim)
Dari Ali r.a, katanya: Pada
suatu ketika, Rasulullah s.a.w mengirim sepasukan tentera (ke medan perang) dan
melantik seorang lelaki menjadi komandan mereka. Setibanya di suatu tempat,
komandan tersebut menyalakan api (unggun) dan memerintahkan anak buahnya
melompat ke dalam unggun api tersebut. Sebahagian anak buahnya telah bersedia
untuk melompat ke dalam unggun api tersebut tetapi yang lain berkata: Kita
harus lari dari api itu. Peristiwa itu mereka laporkan kepada Rasulullah s.a.w.
Maka baginda bersabda: Seandainya kamu melompat ke dalam api itu kamu akan
sentiasa berada di dalamnya hingga hari kiamat nanti. Kemudian baginda bersabda
pula kepada yang lain dengan lemah lembut: Tidak wajib taat kepada perintah
untuk menderhakai Allah. Taat itu hanya wajib dalam rangka menegakkan
kebajikan. (H.R. Muslim)
Dari Mu’adz r.a, ia berkata:
Rasulullah s.a.w mengutus saya sebagai gabenor di negeri Yaman maka Rasulullah
s.a.w berpesan kepadaku: Engkau akan menghadapi kaum ahli kitab maka ajaklah
mereka kembali kepada kalimat syahadat bahawa tidak ada Tuhan kecuali Allah dan
aku adalah Rasulullah. Jika mereka telah menurut kepada ajakan itu,
beritahukanlah bahawa Allah telah mewajibkan atas mereka mengerjakan solat lima
kali sehari semalam dalam lima waktu. Jika mereka telah taat, beritahukanlah
bahawa Allah mewajibkan mereka mengeluarkan zakat (sedekah) yang diambil dari
orang-orang kaya dan diberikan kepada fakir miskin. Jika mereka telah mentaati
itu maka berhati-hatilah kamu dari kekayaan mereka terutama yang benar-benar
mereka sayangi dan takutlah kamu dari doa orang yang teraniaya kerana tidak ada
dinding antara doa itu dengan Allah. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Ibnu Umar r.a berkata:
Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang perempuan disiksa kerana kucing yang
dikurungnya hingga mati, maka ia dimasukkan ke dalam neraka disebabkan ia tidak
memberi makan dan minum ketika mengurungnya dan tidak pula melepaskannya agar
memakan binatang-binatang melata di bumi. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a
berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Tinggalkan tujuh dosa yang akan
membinasakan. Sahabat bertanya: Apakah itu, ya Rasulullah? Nabi s.a.w menjawab:
Menyekutukan Allah, sihir (menilik nasib), membunuh jiwa yang diharamkan Allah
membunuhnya kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim,
melarikan diri pada waktu perang, menuduh wanita mukminat yang sopan dengan
tuduhan berzina. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Jundub bin Abdullah r.a
berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa memperdengarkan amalnya kepada
orang lain maka Allah akan mempermalukannya di hari kiamat dan barangsiapa yang
memperlihatkan amalnya kepada orang lain maka Allah akan membalas riya’nya itu.
(H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a
berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang berbuat kebaikan kepada janda
dan orang miskin adalah bagaikan orang yang berjihad fi sabilillah bahkan
seperti orang yang tidak pernah berhenti puasa dan bangun solat malam. (H.R.
Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Musa r.a berkata:
Rasulullah saw bersabda: Perumpamaan tuntunan hidayah dan ilmu yang diutuskan
Allah kepadaku adalah bagaikan hujan yang turun ke bumi. Ada tanah yang subur
menerima air dan menumbuhkan tanaman dan rumput yang banyak dan ada yang keras
tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.
Demikianlah contoh orang yang mengerti agama Allah lalu belajar dan mengajar
dan orang yang tidak dapat menerima sama sekali petunjuk ajaran Allah yang
diutuskan kepadamu. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Aisyah r.a. berkata:
Ketika Nabi s.a.w masuk ke rumah kami bertepatan dengan adanya seorang wanita
maka Nabi s.a.w bertanya: Siapakah wanita itu? Jawab Aisyah: Ini Fulanah yang
terkenal ibadah solatnya banyak sekali. Maka Nabi s.a.w bersabda: Ah (kata yang
menyatakan kurang senang), hendaklah ia mengerjakan menurut kadar kemampuannya
dengan tidak memaksakan diri maka Allah tidak akan jemu (bosan) menerima amalmu
sehingga kamu sendiri yang jemu beramal dan perilaku agama yang disukai Allah
ialah yang dikerjakan terus-menerus (istiqamah). (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang kamu bersin, hendaknya ia
mengucapkan: الْحَمْدُ لِلَّهِ
Alhamdulillah. Dan hendaknya saudaranya atau sahabatnya mengucapkan kepadanya: يَرْحَمُك
اللَّهُ Yarhamukallah. Maka
apabila ia mengucapkan yarhamukallah kepadanya, hendaknya ia mengucapkan: يَهْدِيكُمْ
اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ Yahdikumullah wa Yuslihu
Baalakum. (H.R. Bukhari)
Dari Sulaiman bin Shurad r.a.
berkata: Ketika saya duduk bersama Rasulullah s.a.w, tiba-tiba ada dua orang
saling memaki, sedang salah satu telah merah wajahnya dan tegang pula urat
lehernya, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Saya mengetahui suatu kalimat yang
apabila kalimat itu dibaca, pasti hilang apa yang dirasakannya iaitu
‘A’udzubillahi minasysyaithoonir rajiim’. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a, bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anggota badan manusia wajib atasnya sedekah,
setiap hari bila terbit matahari engkau damaikan antara dua orang yang
berselisih, itu adalah sedekah dan menolong orang berkenaan dengan
kenderaannya, engkau mengangkatnya atau mengangkat barang-barangnya ke atas
kenderaannya, itu adalah sedekah dan setiap langkah untuk solat adalah sedekah.
Dan menyingkirkan sesuatu rintangan dari jalan adalah sedekah. (H.R. Bukhari
dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a, bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda: Hak kewajiban seorang muslim atas muslim lainnya ada
lima. Pertama menjawab salam. Kedua menjenguk yang sakit. Ketiga mengantar
jenazah. Keempat memenuhi undangan. Kelima mendo’akan orang yang bersin.
(Muttafaq ‘Alaih)
Dari Abdullah bin Abbas dan
Anas bin Malik r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Andaikan seorang anak
Adam (manusia) mempunyai satu lembah dari emas pasti ia ingin mempunyai dua
lembah dan tidak ada yang dapat menutup mulutnya (menghentikan kerakusannya
kepada dunia) kecuali tanah (maut). Dan Allah berkenan memberi taubat kepada
siapa yang bertaubat. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Berilah khabar gembira kepada
orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa dia akan
mendapat cahaya yang sempurna di akhirat kelak. (H.R. Abu Daud dan Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak ada seorang Nabi pun antara aku dan Isa dan sesungguhnya ia benar-benar
akan turun (dari langit), apabila kamu telah melihatnya, maka ketahuilah;
bahawa ia adalah seorang lelaki berperawakan tubuh sedang, berkulit putih kemerah-merahan.
Ia akan turun dengan memakai dua lapis pakaian yang dicelup dengan warna merah,
kepalanya seakan-akan menitiskan air walaupun ia tidak basah. (H.R. Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sekelompok dari umatku akan tetap berperang dalam dalam kebenaran secara
terang-terangan sampai hari kiamat, sehingga turunlah Isa Ibnu Maryam, maka
berkatalah pemimpin mereka (Al-Mahdi): Kemarilah dan imamilah solat kami. Ia
menjawab: Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu adalah sebagai pemimpin terhadap
sebahagian yang lain, sebagai suatu kemuliaan yang diberikan Allah kepada umat
ini (umat Muhammad). (H.R. Muslim dan Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiba-tiba Isa sudah berada di antara mereka dan berkumandangkanlah solat, maka
dikatakan kepadanya, majulah kamu (menjadi imam solat) wahai roh Allah. Ia
menjawab: Hendaklah yang maju itu pemimpin kamu dan hendaklah dia yang
mengimami solat kamu. (H.R. Muslim dan Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Demi yang diriku berada ditanganNya, sesungguhnya
Ibnu Maryam (Nabi Isa a.s) hampir akan turun di tengah-tengah kamu sebagai
pemimpin yang adil, maka ia akan menghancurkan salib, membunuh babi, menolak
juzyah (pajak yang diambil dari orang kafir yang berada di dalam perlindungan
pemerintahan Muslim), melimpahkan harta sehingga tidak seorang pun yang mahu
menerima pemberian (sedekah) dan sehingga satu kali sujud lebih baik dari dunia
dan segala isinya. (H.R. Bukhari, Muslim, Ahmad, Nasai’e dan Ibnu Majah)
Dari Abu Hurairah r.a,
katanya: Ketika kami sedang duduk di samping Rasulullah s.a.w, tiba-tiba datang
seorang lelaki lalu datang kepada baginda dan berkata: Ya Rasulullah! celaka
aku. Jawab Nabi s.a.w: Kenapa engkau? Jawab orang itu: Aku bersetubuh dengan
isteriku, padahal aku berpuasa. Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah engkau
memiliki hamba sahaya yang engkau boleh memerdekakan? Jawabnya: Tidak. Sabda
Nabi s.a.w: Sanggupkah engkau berpuasa 2 bulan berturut-turut. Jawab lelaki
itu: Tidak. Tanya Nabi s.a.w: Sanggupkah engkau memberi makan 60 orang miskin?
Jawabnya: Tidak. Nabi s.a.w diam, sementara itu dibawakan orang kepada Nabi
sebakul kurma. Lalu beginda bertanya: Di manakah orang tadi? Jawab orang itu:
Saya ya Rasulullah. Sabda Nabi s.a.w: Ambillah kurma ini dan bersedekahlah
dengannya. Kata orang itu: Apakah saya harus bersedekah kepada orang yang fakir
seperti saya, ya Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang berada di
antara dua perbatasan yang berbatu-batu (dari kota Madinah) yang lebih fakir
dari keluarga saya. Mendengar itu Nabi s.a.w tertawa hingga nampak taring
beliau. Kemudian baginda bersabda: Berilah makan untuk keluargamu. (H.R.
Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tatkala Allah menciptakan Adam a.s, Dia berfirman: Pergilah dan ucapkanlah
salam kepada para Malaikat yang sedang duduk, lalu perhatikanlah apa yang
mereka akan jawab, sesungguhnya jawaban (para malaikat itu) adalah salam
(penghormatan)mu dan anak keturunanmu. Maka Adam a.s berkata: Assalamu’alaikum,
lalu mereka (para malaikat) menjawab: Assalamu’alaika wa Rahmatullah. Mereka
menambahkan: Warahmatullah. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Ibnu Abbas, ia berkata:
Ketika Rasulullah sedang bersama Malaikat Jibril, tiba-tiba terdengar suara
dari atas. Maka Jibril mengarahkan pandangannya ke langit seraya berkata: Itu
adalah dibukanya sebuah pintu di langit yang belum pernah terbuka sebelumnya.
Ibnu Abbas melanjutkan: Dari pintu itu turun malaikat dan menemui Nabi seraya
berkata: Sampaikan berita gembira kepada umatmu mengenai dua cahaya. Kedua
cahaya itu telah diberikan kepadamu, dan belum pernah sama sekali diberikan
kepada seorang nabi pun sebelum dirimu, iaitu Fathihul kitab dan beberapa ayat
terakhir dari surah Al-Baqarah. Tidaklah engkau membaca satu huruf darinya
melainkan akan diberikan pahala kepadamu. (H.R. An-Nasai’e dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidaklah seorang hamba mencapai darjah Mutaqqin (orang yang bertakwa) hingga
dia meninggalkan apa yang boleh dilakukannya kerana khuatir akan menjerumuskan
kepada apa yang tidak boleh dikerjakan (iaitu perkara yang diharamkan). (H.R.
Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w pernah
keluar menemui satu halaqah dari para sahabat baginda. Kemudian baginda
bertanya: Apa yang menyebabkan engkau duduk? Mereka menjawab: Kami duduk
berzikir kepada Allah. Baginda bertanya lagi: Demi Allah, tidak ada yang
menyebabkan engkau duduk kecuali hanya itu? Mereka menjawab: Demi Allah, tidak
ada yang menyebabkan kami duduk kecuali hanya itu. Baginda bersabda:
Sesungguhnya, aku tidaklah meminta engkau bersumpah kerana sangkaan (yakni cuba
berbohong) kepadamu. Akan tetapi Jibril telah mendatangiku lalu memberitahukan
kepadaku, bahawa Allah s.w.t membanggakanmu kepada para malaikat. (H.R. Muslim)
Dari Anas bin Malik, ia
berkata: Saat aku duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba ada seorang lelaki dari
kaum Ansar yang datang dan bertanya: Wahai, Rasulullah! Apakah masih ada
(perkara) yang tersisa yang menjadi tanggungjawabku berkaitan dengan bakti
kepada orang tuaku setelah mereka berdua meninggal yang masih boleh aku
lakukan? Nabi menjawab: Betul, (iaitu) ada empat hal: Engkau doakan dan minta
keampunan bagi mereka, melaksanakan janji mereka, serta memuliakan
sahabat-sahabat mereka, juga menyambung tali silaturahim dengan orang yang ada
hubungannya dengan ayah ibu. Inilah (kewajiban) yang masih tersisa dalam berbakti
kepada orang tuamu setelah mereka meninggal. (H.R. Abu Daud dan Ahmad)
Dari Abu Hurairah, dia
menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang mukmin jika
dia mengerjakan satu perbuatan dosa, maka akan timbul noda hitam dalam hatinya.
Jika dia bertaubat, menarik diri dari dosa itu dan mencari redha Allah, maka
hatinya menjadi jernih. Jika dosanya bertambah maka bertambah pula noda itu
sehingga memenuhi hatinya. Itulah Ar-ran (penutup), yang disebut oleh Allah
Taala dalam firmannya: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang
selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (H.R. Tirmidzi, An-Nasai’e
dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila seorang hamba berzina, keluarlah iman darinya, lalu iman itu berada di
atas kepalanya seperti naungan, maka apabila dia telah bertaubat, iman itu
kembali kepadanya. (H.R. Abu Daud)
Dari Abdullah bin Qais,
Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Wahai Abdullah bin Qais (Abu Musa)! Aku
berkata: Aku sambut panggilanmu, wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Mahukah
aku tunjukkan kepadamu terhadap satu kalimat, yang merupakan simpanan di antara
simpanan-simpanan syurga? Aku menjawab: Tentu, wahai Rasulullah. Bapaku dan
ibuku sebagai tebusanmu. Baginda bersabda: “Laa haula wa laa quwwata illa billah”.
(H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda,
Allah s.w.t berfirman: Barangsiapa yang tidak redha terhadap ketentuanKu, dan
tidak sabar atas musibah dariKu, maka carilah Tuhan selain Aku. (Hadith Qudsi
Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Aisyah r.ha, dia
berkata, Rasulullah s.a.w mengutus seorang lelaki sebagai ketuan (komandan)
pasuka ekspedisi. Dalam solat dia bertindak sebagai imam bagi sahabat lainnya,
namun dia selalu membaca dalam solatnya surah “Qul huwallahu Ahad”, surah Al-Ikhlas.
Ketika pasukan pulang, hal itu diceritakan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda
bersabda: Tanyakan saja langsung kepadanya mengepa dia selalu membaca surah
itu? Mereka lalu menanyakannya. Dia menjawab: Kerana sesungguhnya surah itu
adalah sifat Allah Yang Maha Pemurah dan aku senang membacanya. Kemudian
Rasulullah s.a.w bersabda: Khabarkan kepadanya bahawa Allah mencintainya. (H.R.
Muslim:1437)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Takutlah kamu akan doa seorang yang dizalimi, kerana doa tersebut tidak ada
hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan
apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, maka lakukanlah seberapa daya
kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran
banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.
(H.R. Bukhari dan Muslim)
Amir bin Said dari bapanya
berkata bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w telah datang dari daerah berbukit.
Apabila Rasulullah s.a.w sampai di masjid Bani Mu’awiyah lalu baginda masuk ke
dalam masjid dan menunaikan solat sunat 2 rakaat. Maka kami pun turut solat
bersama Rasulullah s.a.w. Kemudian, Rasulullah s.a.w berdoa dengan doa yang agak
panjang kepada Allah s.w.t. Setelah selesai baginda berdoa, maka Rasulullah
s.a.w pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud: Aku telah
bermohon kepada Allah 3 perkara, dalam 3 perkara itu, Dia cuma perkenankan 2
sahaja manakala yang 1 lagi ditolak. Aku telah bermohon kepada Allah supaya
tidak dibinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan. Permohonanku ini
diperkenankan oleh Allah. Aku telah bermohon kepada Allah supaya umatku ini
jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah
melanda umat Nabi Nuh). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah. Aku
telah bermohon kepada Allah supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan
sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi, permohonanku
ini telah ditolak. (H.R. Muslim)
Dari Aisyah r.ha, Rasulullah
s.a.w bersabda: Sesungguhnya syaitan akan datang kepada seseorang diantara kamu
lalu ia berkata: Siapa yang menciptakan kamu? Lalu dia menjawab: Allah.
Kemudian syaitan akan bertanya lagi: Siapakah yang mencipta Allah? Apabila
seorang di antara kamu mendapati hal semacam itu, maka hendaklah dia berkata
“Aman tu billahi wa rasulih” (Aku beriman kepada Allah dan RasulNya) dan dengan
ucapan itu syaitan itu akan pergi dari dirinya. (H.R. Ahmad)
Dari Jabir bin Abdullah r.a
katanya: Aku kahwin pada masa Rasulullah s.a.w, sesudah itu aku bertemu dengan
Nabi s.a.w, lalu baginda bertanya: Ya Jabir! Sudah kahwinkah engkau? Jawabku:
Sudah, ya Rasulullah! Tanya baginda: Dengan gadis atau dengan janda? Jawabku:
Dengan janda. Baginda bersabda: Kenapa tidak dengan gadis? Engkau akan senang
bersenda gurau dengannya. Jawabku: Aku punya saudara-saudara perempuan yang
ramai ya Rasulullah. Aku khuatir isteriku akan turut mengatur urusanku dan
adik-adikku. Sabda Rasulullah s.a.w: Oh begitu. Kerana itulah justeru wanita
itu dikahwini kerana agamanya, kerana hartanya, kerana kecantikannya. Rupanya
engkau telah memilih yang beragama. Semoga engkau bahagia! (H.R. Muslim)
Dari Huzaifah bin al-Yaman
r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya
corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai
suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa,
dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang dimaksudkan dengan
nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan Al-Quran akan
dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak
tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang tinggal
hanya beberapa kelompok daripada manusia, di antaranya orang-orang tua,
laki-laki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, “Kami sempat menemui nenek
moyang kami memperkatakan kalimat La ilaha illallah, lalu kami pun
mengatakannya juga”. Maka berkata Shilah (perawi hadith daripada Huzaifah): Apa
yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah)
terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan
dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan sedekah? Maka Huzaifah memalingkan muka
daripadanya (Shilah yang bertanya). Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu
tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah
itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab: Kalimat
itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka (Huzaifah memperkatakan
jawapan itu tiga kali). (H.R Ibnu Majah)
Dari ‘Irbad bin Sariyah,
sesungguhnya dia mendengar Nabi s.a.w bersabda: Aku adalah hamba Allah dan
penutup sekalian Nabi. Dan sesungguhnya (ketika aku diangkat menjadi Nabi) Nabi
Adam masih tanah terbaring (di dalam syurga). Aku akan memberitahu ta’wil
perkara tersebut. Itulah yang didoakan Nabi Ibrahim (surah Al-Baqarah: 128),
dikhabarkan Nabi Isa kepada kaumnya (surah ash-Shaf:6) dan itulah yang
dimimpikan oleh ibuku yang melihat nur keluar dari perutnya yang menerangi
istana-istana di Syam. Begitulah juga yang dilihat oleh ibu-ibu para nabi (yang
juga bermimpi). (H.R. Ahmad; Musnad Imam Ahmad: 4/128)
Daripada Abu Hurairah
berkata: Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bilakah tuan diangkat menjadi
Nabi? Baginda s.a.w menjawab: Ketika Adam masih lagi (kejadiannya) di antara
roh dan jasad. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Ketahuilah bahawa aku ini kekasih Allah dan bukanlah ingin membangga diri.
Akulah pemegang panji-panji kepujian pada hari kiamat dan bukanlah ingin
membangga diri. Akulah yang mula-mula sekali memberi syafaat dan yang mula-mula
diterima syafaatnya pada hari kiamat dan bukanlah ingin membangga diri. Akulah yang
mula-mula menggerakkan kunci syurga, lalu Allah membukanya kepadaku, maka
masuklah aku ke dalamnya dan bersamaku orang-orang mukmin yang fakir dan akulah
semulia-mulia orang-orang yang terdahulu dan semulia-mulia orang yang
terkemudian dan bukanlah ingin membangga diri. (H.R. Tirmidzi)
Dari Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda : Apabila berkumpul suatu kaum dalam rumah-rumah
Allah (masjid) untuk membaca Al-Quran dan mempelajarinya, maka ketenangan pasti
akan turun kepada mereka, rahmat Allah melingkupi mereka, malaikat-malaikat
mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di kalangan makhluk yang
ada didekatNya (para malaikat). (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan
menghiasinya. (H.R. Tirmidzi)
Apabila salah seorang
daripada kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu
hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk berkahwin, maka lakukanlah!
(H.R. Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Firman Allah s.w.t: Wahai hamba-hambaKu, Aku telah haramkan ke atas diriKu
kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke atas kamu semua maka
janganlah berlaku zalim sesama sendiri. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua adalah
sesat kecuali orang-orang yang mendapat petunjukKu, maka mintalah hidayah
daripadaKu, nescaya akan Aku berikan. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua adalah
dalam kelaparan kecuali orang yang mendapat makanan daripadaKu, maka mintalah
daripadaKu nescaya Aku berikan kepadamu. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua adalah
tidak berpakaian kecuali orang yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka
mintalah daripadaKu nescaya akan Aku berikan. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua
melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah
keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan. (Hadith Qudsi Riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk
golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Ummu Salamah r.ha,
bahawa ia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang tertimpa
musibah lalu ia berkata: “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un” dan berdoa:
“Allahuma jurnii fi musibatii wakhluf liya khairan minhaa (Ya Allah berilah aku
pahala dalam musibah ini dan gantikanlah untukku dengan yang lebih baik
daripadanya)”. Nescaya Allah akan memberinya pahala kerana musibah itu dan
menggantikan untuknya dengan yang lebih baik. (H.R. Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a,
bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak terjadi hari Kiamat sehingga
Sungai Furat (Sungai Euphrates iaitu sebuah sungai yang ada di lraq) menjadi
surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang
berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada
seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata,
“Mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu”. Di dalam riwayat lain ada
disebutkan: Sudah dekat suatu masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya
lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadir di
situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu. (H.R. Bukhari dan
Muslim)
Dari Abu Qatadah: Kami pernah
berjalan bersama Nabi s.a.w pada suatu malam. Sebahagian kaum lalu berkata:
Wahai Rasulullah, sekiranya Tuan mahu istirehat sebentar bersama kami? Baginda
menjawab: Aku khuatir kalian tertidur sehingga terlewatkan solat. Bilal
berkata: Aku akan membangunkan kalian. Maka mereka pun berbaring, sedangkan
Bilal bersandar pada haiwan tunggangannya, tapi rasa mengantuknya
mengalahkannya dan akhirnya ia pun tertidur. Ketika Nabi s.a.w terbangun
ternyata matahari sudah terbit, maka baginda pun bersabda: Wahai Bilal, mana
bukti yang kau ucapkan? Bilal menjawab: Aku belum pernah sekalipun merasakan
mengantuk seperti ini sebelumnya. Baginda lalu bersabda: Sesungguhnya Allah
Azza Wa Jalla memegang roh-roh kalian sesuai kehendakNya dan mengembalikannya
kepada kalian sekehendakNya pula. Wahai Bilal, berdiri dan azanlah (umumkan) kepada
orang-orang untuk solat! Kemudian baginda berwudhu’, ketika matahari meninggi
dan tampak sinar putihnya, baginda pun berdiri melaksanakan solat. (H.R.
Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a bahawa
Nabi s.a.w bersabda kepada Bilal r.a ketika solat Fajar (Subuh): Wahai Bilal,
ceritakan kepadaku amal yang paling utama yang sudah kamu amalkan dalam Islam,
sebab aku mendengar di hadapanku suara seliparmu di dalam syurga. Bilal
berkata: Tidak ada amal yang utama yang aku sudah amalkan kecuali bahawa jika
aku bersuci (berwudhu’) pada suatu kesempatan malam atau pun siang melainkan
aku selalu solat dengan wudhu’ tersebut disamping solat wajib. Berkata (Abu
‘Abdullah): Istilah Daffa na’laika maksudnya gerakan selipar. (H.R. Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga
bagi orang kafir. (H.R. Muslim)
Dari Amr bin ‘Auf r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah. Bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan
menimpa kalian. Akan tetapi aku khuatir ketika dibukakan kepada kalian dunia
sebagaimana telah dibukakan bagi orang-orang sebelum kalian. Kemudian kalian
pun berlumba-lumba dalam mendapatkannya sebagaimana orang-orang yang terdahulu
itu. Sehingga hal itu membuat kalian menjadi binasa sebagaimana mereka dibinasakan
olehnya. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Ka’ab bin ‘Iyadh r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya setiap umat memiliki fitnah, sedangkan
fitnah umatku adalah harta. (H.R. Tirmidzi, hadith hasan sahih)
Dari Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada
kalian (dalam hal dunia) dan janganlah kalian melihat orang yang lebih di
atasnya. Kerana sesungguhnya hal itu akan membuat kalian tidak meremehkan
nikmat yang Allah berikan kepada kalian. (H.R. Muslim)
Dari Shuhaib r.a, Rasulullah
s.a.w bersabda: Sangat mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua
urusannya adalah baik baginya. Dan hal itu tidak didapatkan kecuali pada diri
orang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan maka dia bersyukur. Dan
apabila dia mendapatkan kesusahan maka dia akan bersabar. (H.R. Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Ya Allah, tidak ada kehidupan yang sejati selain
kehidupan akhirat. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau. Dan
sesungguhnya Allah Ta’ala menyerahkannya kepada kalian untuk diurusi kemudian
Allah ingin melihat bagaimana sikap kalian terhadapnya. Maka berhati-hatilah
dari fitnah dunia dan wanita. (H.R. Muslim)
Dari Ibnu Umar r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Jadilah kamu di dunia seperti halnya orang asing
atau orang yang sekadar menumpang lewat/musafir. (H.R. Bukhari)
Dari Sahl bin Sa’id as-Sa’idi
r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya dunia ini di sisi Allah senilai
harganya dengan sayap nyamuk nescaya Allah tidak akan memberi minum seteguk air
sekalipun kepada orang kafir. (H.R. Tirmidzi, hadith hasan sahih)
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Ada apa antara aku dengan dunia ini? Tidaklah aku
berada di dunia ini kecuali bagaikan seorang pengendara/penempuh perjalanan
yang berteduh di bawah sebuah pohon. Kemudian dia beristirahat sejenak di sana
lalu meninggalkannya. (H.R. Tirmidzi, hadith hasan sahih)
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a
bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa menghadapi kesempitan
dalam rezekinya kemudian dia mula meminta-minta kepada orang lain, maka
kesempitan itu tidak akan hilang. Dan barangsiapa menghadapi kesempitan dalam rezeki
kemudian dia meminta kepada Allah, maka Allah akan menyediakan kepadanya rezeki
dengan segera, sama ada cepat atau dilambatkan sedikit. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Firman Allah s.w.t: Wahai anak Adam! Lapangkanlah masa untuk beribadat
kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup
kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan
tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadith
Qudsi Riwayat Ahmad)
Dari Al-Musayyab bin Hazn
r.a: Rasulullah s.a.w menziarahi Abu Talib di saat-saat beliau tenat menghadapi
sakaratul maut. Baginda dapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umaiyyah bin
Al-Mughirah turut berada di sana. Rasulullah s.a.w bersabda: Pakcik, ucaplah
dua kalimah syahadat, aku akan menjadi saksi kamu di hadapan Allah s.w.t. Lalu
Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah mencelah: Wahai Abu Talib, sanggupkah
kamu meninggalkan agama Abdul Muttalib? Rasulullah s.a.w tidak berputus asa
malah tetap mengajarnya mengucap dua kalimah syahadat serta berkali-kali
mengulanginya. Sehinggalah Abu Talib menjawab sebagai ucapan terakhir kepada
mereka bahawa dia tetap bersama dengan agama Abdul Muttalib malah enggan
mengucapkan kalimah syahadat. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah, aku akan
pohonkan keampunan dari Allah untukmu sehinggalah Allah menurunkan ayat مَا
كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ
وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ
أَصْحَابُ الْجَحِيمِ Yang bermaksud: Tidak
dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman meminta ampun bagi
orang-orang yang syirik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri. Telah nyata
bagi mereka bahawa orang-orang syirik itu adalah ahli Neraka. Firman Allah
bersempena dengan peristiwa Abu Talib إِنَّكَ
لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ
أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ Yang bermaksud:
Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa memberi hidayat iaitu
petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi supaya dia menerima Islam tetapi
Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya
iaitu menurut undang-undang peraturannya dan Dia jualah yang lebih mengetahui
siapakah orang-orang yang ada persediaan untuk mendapat petunjuk memeluk Islam.
(H.R. Muslim)
Dari Anas r.a katanya: Suatu
arakan jenazah telah melewati suatu tempat. Lantas orang ramai memuji bahawa
itu adalah jenazah orang yang baik. Ya, pasti, berkata Rasulullah s.a.w
menyetujuinya. Kemudian berlalu pula arakan jenazah yang lain. Orang ramai
berkata pula: Mayat yang jahat. Berkata Rasulullah s.a.w: Ya, pasti! Maka
bertanya Umar bin al-Khattab: Apakah yang pasti ya Rasulullah? Jawab baginda:
Kamu katakan mayat itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula
mayat si anu itu jahat, pasti pula ia masuk ke neraka. Kamu semua adalah para
saksi Allah di bumi. (H.R. Bukhari)
Orang-orang Yahudi
berpura-pura bersin di majlis Rasulullah s.a.w, dengan tujuan supaya baginda
bersabda dan mendoakan mereka dengan mendapat rahmat Allah (sebagaimana doa
bagi orang-orang Islam apabila mereka bersin). Maka baginda bersabda (kepada
orang-orang Yahudi ketika mereka bersin): Semoga Allah memberi hidayat kepada
kamu dan membetulkan hal ehwal kamu. (H.R. Tirmidzi)
Thufail bin ‘Amr datang
kepada Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah
Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), mohonlah (berdoalah) kepada
Allah agar ditimpakan keburukan ke atas mereka. Orang-orang menyangka bahawa baginda
akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka
Baginda bersabda: Ya Allah! Berikanlah hidayat kepada kabilah Daus dan
datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam. (H.R. Abu Hurairah)
Dari Abu Hurairah: Nabi s.a.w
mencium Al-Hasan bin Ali dan di sisi Nabi ada Al-Aqro’ bin Haabis At-Tamimiy
yang sedang duduk. Maka Al-Aqro’ berkata: Aku punya 10 orang anak, tidak
seorang pun dari mereka yang pernah ku cium. Maka Rasulullah s.a.w pun melihat
kepada Al-Aqro’ lalu baginda bersabda: Barangsiapa yang tidak
merahmati/menyayangi maka ia tidak akan dirahmati. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Aisyah r.a: Datang
seorang Arab Badwi kepada Nabi s.a.w lalu dia berkata: Apakah kalian mencium
anak-anak lelaki? Kami tidak mencium mereka. Maka Nabi s.a.w bersabda: Aku
tidak boleh berbuat apa-apa kalau Allah mencabut rasa rahmat/sayang dari
hatimu. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Anas bin Malik berkata:
Rasulullah s.a.w memerintahkan untuk menikah dan melarang keras untuk membujang
dan baginda berkata: Nikahilah wanita yang sangat penyayang dan yang mudah
beranak banyak kerana aku akan berbangga dengan kalian di hadapan para Nabi
pada hari kiamat. (H.R. Ibnu Hibban)
Dari Ma’qil bin Yasar
berkata: Datang seorang pemuda kepada Nabi s.a.w dan berkata: Aku menemukan
seorang wanita yang cantik dan memiliki martabat tinggi namun ia mandul apakah
(boleh) aku menikahinya? Nabi s.a.w menjawab: Jangan! Kemudian pemuda itu
datang menemui Nabi s.a.w kedua kalinya dan Nabi s.a.w tetap melarangnya.
Kemudian ia menemui Nabi s.a.w yang ketiga kalinya maka Nabi s.a.w bersabda:
Nikahilah wanita yang sangat penyayang dan yang mudah beranak banyak kerana aku
akan berbangga dengan kalian di hadapan umat-umat yang lain. (H.R. Abu Daud,
Ibnu Hibban dan An-Nasai’e)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Janganlah kalian memukul para wanita (isteri-isteri kalian)! Lalu Umar pun
datang menemui Nabi s.a.w dan berkata: Para isteri berani dan membangkang
suami-suami mereka! Maka Nabi s.a.w pun memberi keringanan untuk memukul
mereka, maka para isteri pun dipukul. Para isteri pun banyak yang berdatangan
menemui isteri-isteri Nabi s.a.w (para ummul mukminin) mengeluhkan tentang
suami mereka. Nabi s.a.w pun berkata: Sungguh para isteri banyak yang telah
mendatangi isteri-isteri Muhammad s.a.w mengeluhkan tentang suami-suami mereka,
mereka itu (para suami yang memukul) bukanlah yang terbaik diantara kalian.
(H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah)
Dalam hadith yang lain
Rasulullah s.a.w bersabda: Orang-orang terbaik di antara kalian tidak akan
memukul. (H.R. Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Dari Jabir, ia berkata:
Rasulullah s.a.w melarang memukul di wajah dan memberi alamat (dengan
menggores) di wajah. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Janganlah salah seorang dari kalian mencambuk (memukul) isterinya sebagaimana
mencambuk (memukul) seorang budak lantas ia menjimaknya di akhir hari. (H.R.
Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Dan merupakan hak kalian agar mereka (isteri-isteri kalian) untuk tidak
membiarkan seorang pun yang kalian benci untuk masuk ke dalam rumah kalian, dan
jika mereka melakukan maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak membekas.
(H.R. Muslim)
Dari Mu’awiyah bin Haidah:
Seseorang bertanya kepada Nabi s.a.w: Apa hak seorang wanita terhadap suaminya?
Rasulullah s.a.w bersabda: Memberi makan kepadanya jika ia makan, memberi
pakaian kepadanya jika ia berpakaian, dan tidak memukul wajahnya, tidak
memalukannya, serta tidak meng-hajr (menjauhi isterinya dari tempat tidur)
kecuali di dalam rumah. (H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Bertakwalah kepada Allah pada (penunaian hak-hak) para wanita, kerana kalian
sesungguhnya telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kalian menghalalkan
kemaluan mereka dengan kalimat Allah. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sekeping dinar yang engkau infakkan pada jihad fi sabilillah, sekeping dinar
yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba, sekeping dinar yang engkau
sedekahkan kepada seorang miskin, dan sekeping dinar yang engkau infakkan
kepada isterimu, maka yang paling besar pahalanya adalah sekeping dinar yang
engkau infakkan kepada isterimu. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Barangsiapa yang menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu maka Allah akan
memudahkan baginya jalan menuju syurga, dan sesungguhnya para malaikat
membentangkan sayapnya karena redha terhadap orang yang mencari ilmu. Dan
sesungguhnya orang yang mencari ilmu akan didoakan oleh mereka yang ada di
langit dan di bumi bahkan ikan-ikan yang ada di air. Dan sesungguhnya keutamaan
orang yang berilmu berbanding orang yang ahli ibadah seperti keutamaan (cahaya)
bulan purnama dengan seluruh cahaya bintang. Sesungguhnya para ulama’ itu
adalah pewaris para Nabi, sesugguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar dan
dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil
bahagian untuk mencari ilmu, maka dia sudah mengambil bahagian yang besar.
(H.R. Ahmad, Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Orang yang imannya paling sempurna di antara kaum mukminin adalah orang yang
paling bagus akhlaknya di antara mereka, dan sebaik-baik kalian adalah yang
terbaik akhlaknya terhadap isteri-isterinya. (H.R. Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia
mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah
yang paling besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu
tenteranya dan melapor: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata:
Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan
melapor: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya.
Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau
tentera terbaik. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Hendaknya yang kalian cari adalah hati yang selalu bersyukur, lisan yang selalu
berzikir dan isteri yang solehah yang membantu kalian untuk meraih akhirat.
(H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Barangsiapa yang bangun di tengah malam dan membangunkan isterinya lalu mereka
berdua solat bersama dua rakaat maka mereka berdua akan dicatat sebagai lelaki
dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah. (H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Allah merahmati seorang yang bangun di malam hari lalu solat (tahajjud) dan
membangunkan isterinya. Jika isterinya enggan untuk bangun maka dia pun
memercikkan air di wajah isterinya. Allah merahmati seorang wanita yang bangun
di tengah malam lalu solat (tahajjud) dan membangunkan suaminya. Jika suaminya
enggan untuk bangun maka dia pun memercikkan air ke wajah suaminya. (H.R. Abu
Daud dan Ibnu Majah)
Dari Anas bin Malik r.a: Abu
Bakar mengimami sembahyang orang ramai ketika Rasulullah s.a.w dalam kesakitan
yang menyebabkan kewafatan baginda. Pada hari Isnin, ketika para sahabat sedang
mendirikan sembahyang, Rasulullah s.a.w membuka tirai dan berdiri memandang
kami. Wajah baginda putih berseri umpama kertas, lalu baginda tersenyum lebar
hingga tertawa. Anas berkata: Kami yang sedang sembahyang menjadi tercengang
kehairanan dan cukup senang hati kerana Rasulullah s.a.w keluar. Abu Bakar
tanpa membuang masa terus berundur menghampiri saf kerana menyangka Rasulullah
s.a.w keluar untuk sembahyang. Lalu baginda mengisyaratkan kepada mereka supaya
menyempurnakan sembahyang. Anas berkata: Rasulullah s.a.w kemudiannya kembali
memasuki bilik dan menjatuhkan tirai. Anas berkata: Hari tersebutlah,
berlakunya kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan
para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada
mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah. Para sahabat
bertanya: Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka? Jawab Rasulullah:
Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan
dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah
mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat
manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita. Lalu
baginda membaca ayat al-Quran (maksudnya): Ketahuilah sesungguhnya wali-wali
Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita. (H.R. Abu
Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang bermujaharah
(terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah Seorang
yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah
telah menutupi dosa tersebut, kemudian dia berkata: “Wahai fulan semalam saya
berbuat ini dan berbuat itu.” Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut
semalaman, tapi di pagi hari dia telah membuka sendiri akan dosa tersebut.
(H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila seseorang lelaki memanggil isterinya ke katil tetapi dia enggan
mendatanginya, lalu suaminya tidur dalam keadaan marah kepadanya nescaya
malaikat akan melaknatnya sehingga waktu subuh (pagi). (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Diperlihatkan (Allah) kepadaku akan neraka. Ketika itu ku lihat kebanyakan
isinya terdiri daripada perempuan-perempuan kafir. Baginda s.a.w ditanya oleh
seseorang: Apakah mereka kafir kepada Allah? Jawab Rasulullah s.a.w: Mereka
kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang
diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa,
kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan sahaja, lantas ia berkata:
Saya tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit pun! (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin (suami yang beriman)
selepas bertaqwa kepada Allah Azza Wa Jalla selain isteri yang solehah. Apabila
suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika suami memandangnya ia menggembirakan
hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu.
Apabila ia keluar kerana bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan
maruah suaminya serta menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat
membelanjakannya. (H.R. Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak dihalalkan bagi seorang isteri yang beriman kepada Allah untuk
mengizinkan seseorang masuk ke rumah suaminya, padahal suaminya tidak senang.
(H.R. Al-Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari
dikenakan azab) mereka di hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si
perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus. (H.R. Ahmad dan
An-Nasaie)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga: Orang yang ketagih arak, si
penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh
ahli keluarganya. (H.R. Ahmad)
Dari Ammar bin Yasir berkata,
ia mendengar dari Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga yang tidak memasuki syurga
sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang
yang ketagih arak. Lalu sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami telah faham
erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus? Bersabda Nabi s.a.w:
Iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya
(isteri dan anak-anaknya). (H.R. At-Thabrani)
Berkata Ubadah bin Somit r.a:
Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku
pukulnya dengan pedangku, maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad
tadi, lalu Nabi s.a.w bersabda : Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk
agama) yang dipunyai oleh Sa’ad? Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil
endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku,
kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang
ternyata dan tersembunyi. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas minum salah
seorang antara kamu, celuplah dan kemudian buanglah lalat itu kerana pada
sebelah sayapnya mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain
mempunyai penyakit. (H.R. Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar.
Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi
seorang muslim adalah sebahagian dari 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada
tiga jenis: Mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, mimpi yang
menakutkan atau menyedihkan datangnya dari syaitan, dan mimpi yang timbul
kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu
bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan jangan
menceritakannya kepada orang lain. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas, maka seakan-akan dia telah membaca
satu pertiga Al-Qur’an. (H.R. Ahmad dan An-Nasai’e)
Dari Abu Sa’id al-Khudri,
seseorang mendengar bacaan surah al-Ikhlas berulang-ulang di masjid. Pada
keesokan paginya dia datang kepada Rasulullah s.a.w dan sampaikan perkara itu
kepadanya kerana dia menyangka bacaan itu tidak lengkap. Rasulullah s.a.w
bersabda: Demi tangan yang memegang nyawaku, surah itu seperti sepertiga al Quran!
(H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu
jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat
yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya: Dan dirikanlah
solat untuk mengingatiKu. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka
yang tinggal di langit. (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Setiap bayi itu dilahirkan atas dasar fitrah (Islam). Maka kedua orang
tuanyalah (ibu bapa) yang (kemudian) menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.
(H.R. Bukhari)
Daripada Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya Allah Azza Wajalla berfirman: Sesiapa
yang memusuhi seseorang wali Aku maka sesungguhnya Aku isytiharkan perang
terhadapnya. Tidak ada satu perbuatan taqarrub (mendekatkan diri) kepadaKu oleh
hambaKu yang lebih Aku cintai selain daripada kewajipan-kewajipan yang Aku
fardhukan ke atasnya. HambaKu akan terus (beramal) menghampirkan diri kepada
Aku dengan melakukan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku
sudah mencintainya maka aku (menjadikan) pendengarannya yang dengannya dia
mendengar, penglihatannya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya
dia memukul dan kakinya yang dengannya dia berjalan. Jika dia memohon (sesuatu)
daripada Aku nescaya aku berikannya, dan jika dia memohon perlindungan Aku
(daripada sesuatu) nescaya akan aku lindunginya. Aku tidak ragu daripada
sesuatu yang Aku lakukan sepertimana Aku ragu (hendak mengambil) nyawa hamba
Aku yang mukmin di mana dia membenci maut sedang Aku tidak suka menyakitinya.
(Hadith Qudsi Riwayat Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah. (H.R.
al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia
disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan ilmunya untuk
apakah ia gunakan, dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia
belanjakan, dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan
dan kecergasannya. (H.R. Tirmidzi)
Daripada Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tahukah kamu, siapakah gerangan orang
yang muflis itu? Lalu jawab sahabat: Pada pandangan kami, orang yang muflis itu
ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta. Lantas Baginda s.a.w
bersabda: Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang
datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia
juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti
orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul
orang. Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah
kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat
dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan
dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan
kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain);
seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum
tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat).
Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan
kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang
yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan
dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang
tidak bertanduk. (H.R. Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Kepanasan api kamu yang digunakan oleh anak Adam di
dunia ini hanyalah sepertujuh puluh kepanasan api Neraka Jahanam.
Sahabat-sahabat Baginda berkata: Demi Allah! Sesungguhnya sekadar itu pun
cukuplah untuk menyeksa. Baginda s.a.w bersabda: Meskipun demikian, kepanasan Neraka
Jahanam ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak enam puluh sembilan
bahagian yang tiap-tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini. (H.R. Bukhari,
Muslim dan Tirmidzi)
Abu Hurairah r.a mengatakan
bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat
seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian
dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka
sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang
sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu
betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang
yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang
keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa
yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban
dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang
hadir juga ikut mendengar khutbah. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan
(Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki
syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Golongan dari ahli neraka yang belum pernah aku lihat, yakni
perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang (nipis, ketat, seksi),
yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada
perbuatan maksiat, kepala mereka seakan-akan bonggol unta. Mereka ini tidak
akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau
syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian. (H.R. Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a
berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni
neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan yang mempunyai
cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua,
perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok waktu
berjalan. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol unta
yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan
dapat mencium bau wangi syurga. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium
dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila seseorang hamba dikebumikan di dalam kuburnya kemudian ditinggalkan
oleh kawan-kawannya nescaya dia akan mendengar bunyi hentakan tapak kasut
mereka. Seterusnya dia akan didatangi oleh dua malaikat lalu mendudukkannya dan
bertanya: Apa pendapatmu tentang lelaki ini (iaitu Nabi Muhammad s.a.w)?
Baginda bersabda lagi: Sekiranya dia seorang mukmin, nescaya dia akan menjawab:
Aku bersaksi bahawa dia hamba Allah dan pesuruhNya. Lalu diberitahu kepadanya:
Lihatlah tempatmu di Neraka, sesungguhnya Allah telah menggantikannya dengan
Syurga. Nabi s.a.w bersabda: Dia dapat melihat kedua-duanya iaitu Syurga dan
Neraka. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Ketika aku berdiri di hadapan pintu syurga ternyata kebanyakan orang yang
memasukinya ialah dari kalangan orang-orang miskin. Aku juga melihat para
pembesar sedang ditahan kecuali penghuni Neraka, di mana mereka diarahkan terus
pergi ke Neraka. Ketika aku berdiri di hadapan pintu Neraka ternyata kebanyakan
orang yang memasukinya adalah kaum wanita. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Golongan yang paling sedikit menghuni syurga ialah kaum wanita. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w telah
bersabda: Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar
iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi
penghuni Neraka. Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya:
Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni
Neraka? Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami.
Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai
pemilik akal, daripada golongan kamu. Wanita itu bertanya lagi: Wahai
Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu? Rasulullah s.a.w
bersabda: Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan
penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga
wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian
berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan
agama. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila membaca ayat yang menyebut kalimat sujud lalu ia (Adam) sujud, larilah
syaitan sambil menangis dan berkata: Celaka aku! Manusia diperintah bersujud
lalu sujud maka syurga baginya dan aku diperintah bersujud tetapi aku tolak,
maka neraka bagiku. (H.R. Muslim)
Diriwayatkan daripada Umar
bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Wahai
Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa
yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata: Tidak sempurna iman
seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun
berkata: Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya
engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada Umar:
Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar! (H.R. Muslim)
Barangsiapa yang menuntut
sesuatu ilmu untuk berbangga diri di hadapan ulama’, atau berbalah dengan orang
bodoh atau mengalihkan pandangan manusia kepadanya, maka dia akan ditempatkan
di dalam neraka. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu
berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar
ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih
memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. (H.R. Muslim dan
Abu Daud)
Aisyah r.a berkata:
Rasulullah s.a.w meninggal di rumahku, pada hatiku dan berada antara dada dan
kerongkonganku. Salah seorang dari kami membacakan doa untuknya dengan doa yang
biasa dibacakan untuk orang sakit. Aku pun ikut mendoakannya. Kemudian baginda
mengangkat pandangannya ke langit dan mengucapkan: “Arrafiiqul A’laa,
Arrafiiqul A’laa (Ya Allah, sekarang aku memilih kekasihku yang tertinggi, ya
Allah, sekarang aku memilih kekasihku yang tertinggi).” Lalu Abdurrahman bin
Abu Bakar masuk dengan membawa kayu siwak yang masih basah. Nabi s.a.w pun
menatapnya, saya mengira baginda memang memerlukan siwak tersebut. Aisyah
berkata: Maka aku mengambilnya, mengunyahnya, mengibas-ngibaskannya, dan
membaguskannya, kemudian aku berikan kepada baginda. Lantas baginda
membersihkan giginya dan belum pernah aku melihat orang yang membersihkan
giginya sebagus yang baginda lakukan. Setelah itu baginda memberikannya
kepadaku namun jatuh (lepas) dari tangannya. Segala puji bagi Allah yang telah
mengumpulkan antara air liurku dengan air liur baginda pada hari-hari terakhir
baginda di dunia dan pada hari-hari pertama di akhirat kelak. (H.R. Bukhari)
Aisyah berkata: Rasulullah
s.a.w bersabda ketika beliau masih sihat: Tidaklah seorang Nabi diambil
nyawanya, hingga diperlihatkan terlebih dahulu tempat duduknya di syurga. Lalu
disuruh memilihnya. Tatkala baginda sakit dan ajal menjemputnya, yang pada
waktu itu kepala beliau berada di peha Aisyah, baginda pengsan. Setelah baginda
sedar, baginda mengalihkan pandangannya ke atap rumah kemudian bersabda: “Ya
Allah, sekarang aku memilih kekasihku yang tertinggi.” Aisyah berkata: Kalau
begitu baginda tidak akan bersama kita. Maka aku pun mengerti bahawa ucapanya
itu adalah perkataan yang pernah baginda sampaikan kepada kami ketika baginda
masih sihat. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Aku akan menjamin sebuah rumah di dasar syurga bagi orang yang meninggalkan
debat meskipun dia berada dalam pihak yang benar. Dan aku menjamin sebuah rumah
di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun dalam keadaan
bergurau. Dan aku akan menjamin sebuah rumah di bahagian teratas syurga bagi
orang yang membaguskan akhlaknya. (H.R. Abu Daud)
Daripada Abu Hurairah r.a,
beliau bertanya Rasulullah s.a.w: Siapakah yang akan mendapat kebahagian di
hari kiamat melalui syafaat Baginda s.a.w? Rasulullah s.a.w menjawab: Wahai Abu
Hurairah, sesungguhnya aku telah memerhatikan minatmu terhadap hadith, maka aku
telah menduga bahawa tiada yang akan bertanya kepada aku tentang hal ini
sebelum engkau. Baginda menambah: Yang akan mencapai kebahagian dan keuntungan
melalui syafaatku ialah orang yang mengucapkan kalimah لاَّ
إِلَهَ إِلاَّ الله dengan hati dan jiwa yang
ikhlas. (H.R. Bukhari dan Al-Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Zikir yang paling afdhal ialah لاَّ
إِلَهَ إِلاَّ الله dan doa yang paling
afdhal ialah Alhamdulillah. (H.R. Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiada seorang pun hamba yang mengucapkan لاَّ
إِلَهَ إِلاَّ الله melainkan dibukakan
baginya pintu-pintu langit sehingga kalimah itu terus menuju ke Arasy kecuali
mereka yang terlibat dengan dosa-dosa besar. (H.R. Tirmidzi, An-Nasaie, Ibnu
Hibban dan As-Sayuthi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Barangsiapa yang mengucapkan لاَّ
إِلَهَ إِلاَّ الله dengan ikhlas, dia akan
dimasukkan ke dalam syurga. Baginda s.a.w ditanya: Apakah yang dimaksudkan
dengan ikhlas itu? Baginda s.a.w menjawab: Ikhlas itu ialah yang mencegah dari
melakukan perbuatan-perbuatan haram (mungkar dan sesat). (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Dua kalimah yang ringan pada lidah, berat pada Al-Mizan (yakni timbangan Allah
di hari akhirat) yang kedua-duanya sangat-sangat di sukai oleh Allah SWT itulah
bertasbih dengan Subhanallahi Wabihamdihi, Subhanallhil ‘Azhim. (H.R. Bukhari,
Muslim, Tirmidzi, An-Nasai’e dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Di
satu ketika, Nabi Musa a.s memohon kepada Allah s.w.t: Wahai Tuhan, ajarkanlah
aku akan sesuatu agar dapat aku mengingatiMu dengannya. Allah s.w.t berfirman:
Sebutlah لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله!
Baginda menjawab: Wahai Tuhan, ini diucapkan oleh setiap hambaMu. Allah s.w.t
berfirman lagi: Sebutlah لاَّ
إِلَهَ إِلاَّ الله! Baginda menjawab lagi:
Wahai Tuhan, aku mahukan sesuatu yang istimewa khas buat diriku. Allah s.w.t
berfirman menjawab: Jika tujuh petala langit dan tujuh petala bumi diletakkan
di atas satu bahagian di neraca timbangan dan لاَّ
إِلَهَ إِلاَّ الله di sebelah yang lain,
nescaya akan lebih berat di sebelah لاَّ
إِلَهَ إِلاَّ الله. (H.R. An-Nasaie, Ibnu
Hibban dan Al-Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Semua umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan. Para sahabat bertanya:
Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan? Baginda menjawab: Barangsiapa
yang taat kepadaku dia masuk syurga dan barangsiapa yang melanggar perintahku
dia telah enggan. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w telah
bersabda: Sesiapa yang menghadiri (menyaksikan) jenazah sehingga jenazah itu
disembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah
kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya
sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Sahabat bertanya:
Apakah dua qirat itu? Baginda s.a.w bersabda: Seumpama dua gunung. (H.R.
Muslim)
Rasulullah s.a.w telah
bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu
qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia
menghadiri pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama
dengan Bukit Uhud. (H.R. Muslim)
Seorang lelaki telah dihumban
ke Neraka pada Hari Kiamat, terkeluar ususnya dan dia berputar dalam Neraka
seperti seekor keldai berputar mengelilingi pengisar gandum dalam kandang. Ahli
Neraka mengerumuninya dan mereka bertanya: Hai kamu! Apa yang telah terjadi
kepadamu? Bukankah kamu dahulu menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menegah
manusia daripada melakukan perkara mungkar? Dia menjawab: Memang benar. Aku
telah menyuruh orang melakukan kebaikan tetapi aku (sendiri) meninggalkannya
dan aku menegah manusia dari melakukan perkara mungkar sedangkan aku
melakukannya. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Dan apabila harus pula engkau lakukan (iaitu mengharapkan mati), maka hendaknya
ia berucap: Ya Allah, hidupkanlah hambamu bila hidup itu lebih baik untukku,
dan matikanlah hambamu bila mati itu lebih baik untukku. (H.R Bukhari dan
Muslim)
Seorang perempuan datang
bertanya kepada Rasulullah s.a.w serta menerangkan katanya: Sesungguhnya
sepupuku meminangku, maka sebelum aku berumah tangga, ajarkanlah kepadaku,
apakah hak suami terhadap isterinya? Rasulullah s.a.w menjawab: Sesungguhnya
hak suami terhadap isterinya sangatlah besar, sehingga apabila mengalir darah
hidung atau nanah suaminya, lalu dijilat isterinya, masih belum terbayar hak
suaminya itu. Dan jika sekiranya manusia dibolehkan sujud kepada manusia,
nescaya aku perintahkan si isteri untuk sujud kepada suaminya. (H.R. Al-Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Isteri-isteri kamu tergolong dalam golongan penghuni-penghuni Syurga adalah
yang subur dengan kasih sayang dan sentiasa meminta keredhaan daripada
suaminya. Apabila suami sedang marah, isteri menghampiri suami dan menyambut
tangan suaminya lalu berkata: “Aku tidak ingin tidur sebelum kamu berasa
tenang.” (H.R. An-Nasa’ie)
Berkata Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa telah berwuduk dengan cara yang baik, kemudian
terus ia menuju (ke masjid, tetapi) didapati orang ramai telah selesai dari
bersembahyang (jemaah) Allah swt akan mengurniakan kepadanya pahala (solah
jamaah) sama dengan mereka yang hadir berjemaah, dengan tidak mengurangkan
sedikit pun pahala (solah) jemaah mereka. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui
implikasi dan hukum percakapannya, maka perkataan itu akan mencampakkannya ke
dalam Neraka sejauh antara timur dan barat. (H.R. Bukhari)
Dari Anas r.a, kami para
sahabat r.a bertanya: Ya Rasullullah s.a.w, kami tidak akan menyuruh orang
untuk berbuat baik sebelum kami sendiri mengamalkan semua kebaikan dan menjauhi
semua kemungkaran. Maka Nabi s.a.w bersabda: Tidak, bahkan serulah orang untuk
berbuat baik, meskipun kalian belum mengamalkan semuanya. Dan cegahlah
kemungkaran, meskipun kalian belum menghindari semuanya. (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa
setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya. (H.R. Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang menyeru kepada kebaikan, maka dia
mendapat pahala orang yang melakukan kebaikan tersebut tanpa mengurangi
sedikitpun pahala mereka dan barangsiapa mengajak kepada kesesatan, maka dia
mendapat dosa sebanyak yang diperoleh mereka tanpa mengurangi dosa mereka
sedikitpun. (H.R. Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Mencarut adalah sejenis sikap kasar. Manakala sikap
kasar balasannya ialah neraka. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Said r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Pada Hari Kiamat kelak maut didatangkan
seperti kibas belang (Abu Kuraib menambah di dalam riwayatnya: Lalu dihentikan
antara Syurga dan Neraka. Mereka sepakat pada baki Hadith). Kemudian diseru:
Wahai penghuni Syurga! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan
memandang lalu berkata: Ya! Ini adalah maut. Kemudian diseru pula: Wahai ahli
Neraka! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan memandang lalu
menjawab: Ya! Itu adalah maut. Kemudian diperintahkan supaya maut disembelih
dan menyeru: Wahai ahli Syurga! Kamu tetap kekal dan tidak akan mati. Wahai
ahli Neraka! Kamu juga tetap kekal dan tidak akan mati. Kemudian Rasulullah
s.a.w membaca ayat yang bermaksud: Dan berilah mereka peringatan tentang hari
penyesalan, iaitu ketika segala perkara telah diputuskan dan mereka dalam
kelalaian serta tidak beriman. Kemudian baginda menunjuk ke arah dunia dengan
tangan. (H.R. Muslim)
Dari Aisyah r.a katanya:
Sesiapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad melihat Tuhannya,
sesungguhnya orang itu dusta kerana Allah mengatakan: Pemandangan tidak sampai
kepadaNya. Dan sesiapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad
mengetahui hal yang ghaib, sesungguhnya orang itu dusta kerana Tuhan
mengatakan: Tiada mengetahui hal yang ghaib melainkan Allah. (H.R. Muslim)
Daripada Suhaib daripada Nabi
s.a.w bersabda: Apabila Ahli Syurga telah memasuki syurga Allah Tabaraka wa
Taala akan berkata: Kamu mengkehendaki sesuatu supaya Aku tambahkan lagi? Lalu
mereka menjawab: Bukankah Kamu telah memutihkan wajah kami? Bukankah Kamu telah
memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami daripada neraka? Maka
Allah menyingkap tabir dan tidaklah diberi nikmat yang lebih mereka cintai
selain daripada melihat kepada Tuhan mereka Azza wa Jalla. Kemudian baginda
membaca ayat ini: “Bagi mereka yang berbuat baik akan diberi kebaikan dan
tambahan.” [Yunus: 26] (H.R. Muslim)
Dari Abu Dzar r.a katanya:
Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Adakah anda melihat Allah? Jawab baginda:
Dia Maha Cahaya, bagaimana aku dapat melihatnya? (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Aku pernah bertanya kepada Malaikat Jibril, pernahkah engkau melihat Tuhanmu ya
Jibril? Jibril menjawab: Di antara aku dan Allah ada 70 lapis hijab yang
terdiri daripada cahaya. Bila terbuka sahaja lapisan hijab cahaya yang paling
luar, aku pasti terbakar. (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang
dibenarkan oleh syarak, haram baginya bau syurga. (H.R. Abu Daud dan Tirmidzi)
Dari Abu Said Al-Khudri dan
dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Tidaklah seorang muslim
tertimpa suatu kelelahan, atau penyakit, atau kekhuatiran, atau kesedihan, atau
gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus
kesalahan-kesalahannya (dosa) kerananya. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah
akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan
daun-daunnya. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidaklah seseorang muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan,
gangguan, kegundah-gulanan hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan
menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Bencana senantiasa menimpa orang mukmin dan mukminah pada dirinya, anaknya dan
hartanya, sehingga ia berjumpa dengan Allah dalam keadaan tidak ada kesalahan
pada dirinya. (H.R. Tirmidzi, Ahmad, Al-Hakim dan Ibnu Hibban)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Allah benar-benar akan menguji hambaNya dengan penyakit, sehingga
ia menghapuskan setiap dosa darinya. (H.R. Al-Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang lebih dari itu, melainkan
ditetapkan baginya dengan sebab itu satu darjat dan dihapuskan pula satu
kesalahan darinya. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sakit demam itu menjauhkan setiap orang mukmin dari api neraka. (H.R.
Al-Bazzar)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Janganlah kamu mencaci-maki penyakit demam, kerana sesungguhnya (dengan
penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku
api menghilangkan kotoran-kotoran besi. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Allah menciptakan penyakit dan ubatnya, maka berubatlah dan
janganlah berubat dengan yang haram. (H.R. Ad Daulabi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kalian pada apa-apa yang
haram.(H.R. Abu Ya’la dan Ibnu Hibban)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan penyakit kalian pada apa-apa
yang diharamkan atas kalian. (H.R. Bukhari dan Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak ada ketaatan kepada siapa pun dalam maksiat kepada Allah, ketaatan
hanyalah dalam perkara yang baik menurut syariat. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Api yang kamu semua nyalakannya di dunia ini adalah 1 bahagian daripada 70
bahagian panasnya api neraka jahanam. Para sahabat berkata: Demi Allah, api di
dunia ini pun sudah amat panasnya ya Rasulullah! Baginda lalu bersabda lagi:
Memang, api neraka itu masih lebih panasnya 69 kali bahagian panasnya. Semuanya
itu setiap bahagiannya sama suhu panasnya dengan api di dunia ini. (H.R.
Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Solat dua rakaat sebelum solat subuh adalah lebih baik daripada dunia dan
segala apa yang ada padanya. (H.R Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku, Nabi s.a.w ucapkan
kalimat ini satu kali. Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak
pernah melihatku. Nabi s.a.w ucapkan kalimat terakhir ini tujuh kali. (H.R.
Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Barangsiapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah s.w.t, maka baginya
kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barangsiapa yang
berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan
berada di syurga seperti ini, Rasulullah s.a.w mengisyaratkan merenggangkan antara
jari telunjuk dan jari tengahnya. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath
(perkataan yang keji) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum).
Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: “Sesungguhnya
aku sedang berpuasa (Nabi menyebutnya dua kali).” (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Bukanlah dari itu, dari makan dan minum, namun puasa adalah dengan menahan diri
daripada bercakap kosong dan lucah, maka jika seseorang memaki atau
menyakitimu, maka katakan: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (H.R. Ibn
Khuzaimah, hadith sahih)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Jika kamu mendengar sesuatu wabak (penyakit) menular di sebuah tempat,
janganlah kamu memasuki kawasan itu. Namun jika wabak tersebut merebak di
tempat kamu, janganlah kamu meninggalkan kawasan tersebut. (H.R. Bukhari dan
Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah
diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang
ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan)
yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang
itu lalu diletakkan ke atasnya. (H.R Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya
nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan RasulNya adalah lebih
dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana
Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia
benci dilemparkan ke dalam api neraka. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya perkara yang halal itu adalah sesuatu yang nyata dan demikian juga
yang haram adalah nyata, (telah dijelaskan oleh Allah dan RasulNya) namun
terdapat di antara kedua-duanya (halal dan haram) itu perkara yang kesamaran
(syubhat) yang mana tidak diketahui oIeh ramai di kalangan manusia. Maka
barangsiapa yang memelihara dirinya daripada mengambil perkara-perkara yang
syubhat, maka terpeliharalah agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang
melibatkan diri pada perkara-perkara syubhat bererti ia melibatkan dirinya pada
perkara yang haram. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak seorang isteri yg menyakiti suaminya di dunia ini, melainkan isterinya di
kalangan Bidadari (yang berada di dalam syurga) berkata kepada isterinya yang
di dunia itu sebagai amaran dan peringatan: “Jangan kamu menyakiti kekasih yang
bakal menjadi suami kami, nanti kamu akan dibinasakan oleh Allah (di akhirat).”
(H.R. Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Majah dan Abu Nu’aim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Jika salah seorang dari kamu memasuki masjid, maka janganlah duduk sebelum
mengerjakan solat dua rakaat. (H. R. Bukhari & Muslim)
Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a,
dia menyatakan: Sulaik al-Ghifani pernah datang pada hari Jumaat ketika
Rasulullah s.a.w sedang menyampaikan khutbah lalu dia terus duduk. Baginda
s.a.w pun berkata kepadanya: Wahai Sulaik, berdiri dan rukuklah dua rakaat
serta pendekkanlah dalam melaksanakannya. Kemudian baginda bersabda: Jika salah
seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah,
hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dengan seringkasnya. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Jika salah seorang di antara kamu memasuki masjid, hendaklah dia tidak duduk
hingga mengerjakan solat dua rakaat. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Barangsiapa yang menumpai sesuatu harta, maka wajiblah dia memaklumkannya
(bersaksi) dia menjumpainya kepada orang yang adil atau pihak berkuasa, tidak
boleh sama sekali dia menyembunyikan dan menghilangkannya. Sekiranya dapat
dijumpai pemiliknya wajiblah dia mengembalikan wang terbabit, jika gagal maka
harta tadi adalah dikira milik Allah dan boleh disedekahkan kepada sesiapa yang
diingini. (H.R. Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi menghiraukan dari sumber mana
diperolehi hartanya, sama ada dari yag halal atau yang haram. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan Muslim yang lain, dan apabila
seorang kamu mengambil hak milik saudaranya yang lain, wajiblah dia
memulangkannya kembali. (H.R. Tirmidzi dan Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak halal harta yang dimiliki oleh seseorang Muslim (untuk diambil oleh orang
lain) kecuali diizinkan olehnya. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Aku mengagumi seorang mukmin. Bila memperoleh kebaikan dia memuji Allah dan
bersyukur. Bila ditimpa musibah dia memuji Allah dan bersabar. Seorang mukmin
diberi pahala dalam segala hal walaupun dalam sesuap makanan yang diangkatnya
ke mulut isterinya. (H.R. Ahmad dan Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa menahan kemarahan padahal dia mampu meluahkannya, maka Allah kelak akan
memanggilnya di hadapan makhluk-makhluk hingga Allah memperkenankan kepadanya
untuk memilih bidadari yang dikehendakinya. (H.R. Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu
Majah)
Ibnu Abbas menceritakan: Nabi
s.a.w berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran
oleh baginda suara dua orang sedang disiksa dalam kuburnya. Maka bersabda
Rasulullah s.a.w: Keduanya disiksa bukanlah kerana dosa besar. Kemudian baginda
melanjutkan perkataannya: Yang seorang disiksa kerana kencing di tempat terbuka
dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan.
Sesudah itu baginda menyuruh supaya mengambil pelepah tamar lalu dipatah dua
oleh baginda dan diletakkan di atas kedua kubur itu masing-masing satu pelepah.
Seseorang pun bertanya: Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu? Jawab
baginda: Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar
itu tidak kering. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam.
(H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah
akan membina rumah baginya di syurga; iaitu 4 rakaat sebelum Zohor dan 2 rakaat
pula selepas Zohor, serta 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan
2 rakaat sebelum Fajar. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Setiap anak Adam berbuat kesalahan dan sebaik-baik orang bersalah adalah orang
yang bertaubat. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang banyak dosa, tapi banyak
bertaubat. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya,
nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat. (H.R.
Ahmad dan Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila datang kepadamu seorang laki-laki datang untuk meminang yang engkau
redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau
lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang
merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk
waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis
setelah ditemuinya yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Seorang mukmin yang bercampur bergaul dengan masyarakat dan sabar atas
kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah lebih besar
ganjarannya dari mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar
atas kepedihan, kepayahan kejahatan masyarakatnya. (H.R. Bukhari, Tirmidzi dan
Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya apabila seseorang hamba berdiri untuk solat maka diletakkan semua
dosa-dosanya di atas kepala dan kedua-dua bahunya. Setiap kali ia rukuk atau
sujud, maka akan berjatuhanlah dosa-dosanya itu. (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Allah Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia, ketika masih tersisa
sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepadaKu, nescaya
Aku mengabulkannya, siapa yang memohon kepadaKu, nescaya Aku memberinya, siapa
yang meminta ampun kepadaKu nescaya Aku mengampuninya! (H.R. Bukhari dan
Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Seburuk-buruk makanan yang dijamu ialah hidangan dalam majlis kenduri
perkahwinan apabila orang-orang kaya dijemput dan orang-orang miskin tidak
dijemput. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya mati itu adalah amat pedih umpama ditetak dengan pedang beberapa
kali atau digergaji dengan gergaji atau umpama dipotong dengan gunting beberapa
kali guntingan (H.R. Abu Na’im)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Janganlah mencabut uban kerana uban adalah cahaya pada hari kiamat nanti. Siapa
saja yang beruban dalam Islam walaupun sehelai, maka dengan uban itu akan
dicatat baginya satu kebaikan, dengan uban itu akan dihapuskan satu kesalahan,
juga dengannya akan ditinggikan satu darjat. (H.R. Ibnu Hibban)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila matinya anak Adam itu terputuslah baginya segala amalan kecuali tiga
perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa dari anak yang
soleh. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Orang mukmin memandang dosanya seperti sebuah bukit di atasnya yang dia bimbang
akan menghempapnya, sedangkan orang munafik memandang dosanya seperti seekor
lalat yang hinggap di hidungnya lalu dihalaunya sehingga terbang. (H.R.
Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Bergerombolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan
bersentuhan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahramnya. (H.R. Ibnu
Majah; dhaif)
Daripada Ibn Mas’ud, katanya
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Janganlah seorang perempuan itu
bergaul dengan perempuan lain kemudian ia menceritakan perihal perempuan lain
itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat perempuan yang
diceritakannya. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan
ke atasnya, kecelakaan ke atasnya. (H.R. Abu Daud, Tirmidzi dan an-Nasai’e)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan
kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah
orang-orang yang ganjil. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa di kalangan kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, dia mesti
memperbetulkannya dengan tangannya; dan sekiranya dia tiada cukup kekuatan
untuk itu, maka dia mesti melakukannya dengan lidahnya; dan sekiranya dia juga
tiada cukup kekuatan untuk itu, maka dia mesti membencinya dalam hatinya dan
ini adalah selemah-lemah iman. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Akan ada dari umatku segolongan manusia yang meminum arak dengan mereka
menamakannya dengan nama lain, kepala mereka dilalaikan dengan bunyi-bunyian
dan penyanyi-penyani wanita. Allah akan membenamkan mereka ke dalam bumi dan menjadikan
sebahagian mereka kera dan babi. (H.R. Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada
agamanya laksana menggenggam bara api. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sembunyikanlah kebaikan-kebaikanmu sebagiamana engkau menyembunyikan
keburukan-keburukanmu, dan janganlah engkau kagum dengan amalan-amalanmu,
sesungguhnya engkau tidak tahu apakah engkau termasuk orang yang celaka (masuk
neraka) atau orang yang bahagia (masuk syurga). (H.R. Al-Baihaqi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Malu itu sebahagian daripada iman, dan iman itu dalam syurga; manakala
kelucahan adalah daripada perangai yang kasar (al-jafa’), dan perangai yang
kasar itu dalam neraka (H.R. Bukhari dan Al-Baihaqi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yg
berdusta & berbuat aniaya. Maka barangsiapa yg membenarkan kedustaan mereka
& membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan
termasuk umatku, & bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai
datang ke telaga (yang ada di syurga). (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang dilakukan secara istiqamah
(terus-menerus) walaupun ianya sedikit. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi
sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak
pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah Yahudi
dan Nasrani yang kau maksudkan? Nabi s.a.w menjawab: Siapa lagi kalau bukan
mereka. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang
singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi.
Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.
(H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila salah seorang di antara kamu mati, akan ditunjukkan kepadanya setiap
pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan ditunjukkan
kepadanya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka, akan ditunjukkan
kepadanya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada mereka: Itulah tempat
tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada hari kiamat. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu
adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal
bagi kamu. (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Ada dua kenikmatan yang disia-siakan oleh kebanyakan manusia, iaitu nikmat
sihat dan masa lapang. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Aisyah, Nabi s.a.w
bersabda: Janganlah kalian mencaci orang-orang yang telah meninggal dunia,
kerana mereka telah sampai kepada apa yang telah mereka lakukan (pembalasan
amal). (H.R. Nasa’ie)
Dari Abu Hurairah r.a katanya
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu
pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan baginya suatu jalan untuk
menuju ke syurga. (H.R. Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang.
Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang
tawaduk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya. (H.R.
Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Kedua mata dapat berzina, dan zina keduanya adalah melihat. Kedua telinga dapat
berzina, dan zina keduanya adalah mendengar. Lidah zinanya dengan bicara.
Tangan zinanya dengan menyentuh. Kaki zinanya dengan melangkah. Hati zinanya
dengan berhasrat dan menginginkan. Dan kemaluan akan membenarkan atau
mendustakannya. (H.R. Muslim)
Asma’ binti Abu Bakar telah
masuk ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis.
Rasulullah s.a.w lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata: Wahai
Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak
boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan
wajah dan telapak tangannya. (H.R. Abu Daud)
Ummu Salamah pernah bertanya
Rasulullah s.a.w: Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di dalam pakaian
labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung? Nabi s.a.w menjawab: Asal
pakaian labuh (jubah) itu sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya. (H.R. Abu
Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia
tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja.
(H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang
berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang
berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud: Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang
kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka
untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu. Adapun
pemimpin-pemimpin yang jahat di kalangan kamu ialah orang-orang yang kamu benci
mereka, dan mereka pun benci kepada kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka juga
melaknat kamu. Auf bin Malik bertanya kepada Rasulullah: Apakah kita tidak
boleh menentang mereka? Sabda baginda: Jangan menentang mereka selama mereka
masih mendirikan sembahyang di kalangan kamu. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud: Akan lahir selepas aku beberapa pemimpin yang mementingkan diri
sendiri dan yang melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh kamu. Para
Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah apakah yang engkau hendak perintah
dikalangan kami ini sekiranya terdapat perkara seperti itu? Baginda s.a.w
menjawab: Hendaklah kamu menunaikan tanggungjawab kamu dan memohon kepada Allah
segala hak-hak yang kamu perlukan. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Ma’qil Ibnu Yasar r.a
berkata: Saya mendengar Nabi s.a.w bersabda: Tidak ada seorang hamba yang Allah
serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia tidak memelihara
rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan
akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w. bersabda
yang bermaksud: Tiga Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan
mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak
melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab
yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang
suka berbohong dan orang miskin yang sombong. (H.R. Muslim)
Sabda Rasulullah s.a.w
bermaksud: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak
beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah s.a.w) lebih daripada
kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (H.R. Bukhari
dan Muslim)
Sabda Rasulullah s.a.w
bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan sunnah daripada sunnahku yang telah
ditinggalkan selepas aku maka sesungguhnya baginya pahala seumpama pahala orang
yang melakukannya tanpa sedikitpun berkurangan sementara sesiapa yang
mengadakan bidaah yang sesat yang tidak diredhai Allah dan rasulNya baginya
dosa seumpama dosa-dosa yang dilakukan mereka di mana tidak sedikitpun
berkurangan. (H.R. Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan diciptakan daripada api,
api dipadamkan dengan air, oleh itu apabila marah salah seorang daripada kamu
hendaklah berwudhu’. (H.R. Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a,
katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Roh orang mati yang beriman tergantung
(diawang-awangan) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya dibayar oleh
warisnya atau orang lain. (H.R. Tirdmizi)
Rasulullah s.a.w bersabda
yang maksudnya: Sesiapa yang memberi tangguh kepada orang yang tidak mampu
membayar hutangnya atau mengurangkan bayaran jumlah hutangnya, nescaya Allah
menaunginya di bawah naunganNya pada hari yang tidak ada sebarang naungan
padanya selain daripada naungan Allah. (H.R. Muslim dan Ahmad)
Dari Abu Bakar r.a bahawa
Nabi Muhammad s.a.w biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan baginda
terus sujud kepada Allah. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w telah
bersabda yang maksudnya: Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya
kepada Malaikat: Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hambaKu? Malaikat
menjawab: Ya. Allah bertanya lagi: Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?
Malaikat menjawab: Ya. Allah bertanya kali ketiga: Apakah kata hambaKu?
Malaikat menjawab: Ia bersyukur padaMu serta mengucapkan “Dari Allah kita
datang dan kepadanya kita kembali”. Allah Ta’ala memerintahkan malaikatNya:
Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu ‘Rumah
Kesyukuran’. (H.R. Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
Firman Allah dalam sebuah
hadith Qudsi: Tidak ada balasan bagi hambaKu yang mukmin, jika Aku ambil
kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya. (H.R.
Bukhari)
Sabda Rasulullah s.a.w: Aku
peringatkan kepada kalian tentang prasangka, kerana sesungguhnya prasangka
adalah perkataan yang paling bohong, dan janganlah kalian berusaha untuk
mendapatkan informasi tentang keburukan dan mencari-cari kesalahan orang lain,
jangan pula saling dengki, saling benci, saling memusuhi, jadilah kalian hamba
Allah yang bersaudara. (H.R Bukhari)
Bersabda Rasulullah s.a.w:
Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke
dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari
keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka Allah
akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari keaibannya, maka Allah akan
mendedahnya sekalipun dirumahnya. (H.R. Abu Daud dan Ahmad)
Rasulullah s.a.w
bersabda:”setiap orang di antaramu adalah pemimpin dan setiap orang akan
dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya, seorang imam adalah pemimpin atas
umatnya,dan dia bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang suami adalah pemimpin
bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas isteri dan keluarganya. (H.R.
Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)
Sabda Rasulullah s.a.w yang
bermaksud: Sesungguhnya kecacatan pertama yang berlaku pada Bani Israil ialah
apabila seorang lelaki melihat lelaki lain melakukan maksiat, dia akan berkata:
Wahai si fulan! Takutlah kepada Allah dan tinggalkan kerja maksiat yang engkau
sedang lakukan itu kerana ia tidak harus bagi engkau untuk melakukannya.
Kemudian pada keesokan harinya lelaki yang menegah itu melihat lelaki yang
melakukan maksiat itu masih melakukan maksiat yang sama, tetapi dia tidak
mencegahnya kerana barangkali pelaku maksiat itu merupakan orang yang
memberinya makan dan minum atau rakan baiknya. Apabila Bani Israel melakukan
perbuatan seperti itu, maka Allah telah memperlagakan sesama hati mereka dan
kemudian Allah melaknat mereka melalui lidah para anbiya’Nya. (H.R. Abu Daud
dan Tirmidzi)
Daripada Abi Zar Al-Ghiffari
katanya: Kekasihku s.a.w telah memerintahkan agar aku berkata benar walaupun
ianya pahit. (H.R. Ahmad)
Pada hari Kiamat nanti akan
dihadirkan orang yang paling berbahagia di dunia yang akhirnya masuk Neraka,
lalu dimasukkan sebentar ke dalam Neraka tersebut, kemudian ia ditanya, “Wahai
manusia, apakah engkau pernah merasakan kebaikan? Apakah ada kebaikan yang
pernah engkau alami?” Orang itu menjawab, “Sama sekali tidak wahai Rabbku.”
Lalu dihadirkan pula orang yang paling sengsara di dunia ini, namun kemudian
masuk ke dalam Syurga, dimasukkan ke dalam Syurga sebentar, lalu ditanya,
“Wahai manusia, apakah engkau pernah merasakan kesengsaraan? Apakah ada
kesengsaraan yang pernah kau alami?” Orang itu menjawab, “Tidak ada.” (H.R.
Muslim dan Ahmad)
Syurga itu dikelilingi oleh
perbuatan yang dibenci manusia, sementara Neraka itu dikelilingi oleh perbuatan
yang disukai hawa nafsu.” (H.R. Muslim, Tirmidzi, dan Ahmad)
Seorang sahabat telah
bertanya kepada Nabi s.a.w tentang hak seorang isteri terhadap suaminya. Nabi
s.a.w telah menjelaskan: Engkau memberinya makan apabila engkau makan dan
memberikannya pakaian apabila engkau memakai dan janganlah engkau memukul
wajahnya dan janganlah engkau memalukannya dan janganlah engkau menjauhinya
kecuali dalam rumah sahaja. (H.R. Ibnu Majah)
Dua perkara apabila dimiliki
oleh seseorang dia dicatat oleh Allah sebagai orang yg bersyukur dan sabar.
Dalam urusan agama dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu meniru dan
mencontohinya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih bawah lalu
bersyukur kepada Allah bahawa dia masih diberi kelebihan. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggamanNya. Seandainya kamu tidak berdosa
nescaya Allah akan mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum
yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah
mengampuni mereka. (H.R. Muslim)
Rasulullah menjelaskan,
tatkala ditanya oleh seorang sahabat: Wahai Rasulullah, apakah itu mengumpat?
Lalu jawab baginda: Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di
belakangnya! Kemudian baginda ditanya lagi: Bagaimana sekiranya apa yang
disebutkan itu benar? Jawab baginda: Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu
benar, maka itulah mengumpat, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar,
maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar). (H.R. Muslim, Abu Daud
dan Tirmidzi)
Apabila diantara kamu
mencampuri isterinya, hendaklah ia menutupi dirinya dan menutupi isterinya dan
janganlah keduanya (suami isteri) bertelanjang bulat seperti keldai. (H.R.
Tabrani)
Terkutuklah orang yang
menyetubuhi isteri di duburnya. (H.R. Abu Daud dan Nasa’ie)
Apabila diantara kamu telah
mencampuri isterinya kemudian ia akan mengulangi persetubuhannya itu maka
hendaklah ia mencuci zakarnya terlebih dahulu. (H.R. Baihaqi)
Apabila seseorang diantara
kamu bersetubuh dengan isterinya maka janganlah ia menghentikan persetubuhannya
itu sehingga isterinya juga telah selesai melampiaskan hajatnya (syahwat atau
mencapai kepuasan) sebagaimana kamu juga menghendaki lepasnya hajatmu (syahwat
atau mencapai kepuasan). (H.R. Ibnu Addi)
Saidatina Aisyah r.a katanya:
Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Pada Hari Kiamat manusia akan
dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan belum berkhatan. Aku Bertanya: Wahai
Rasulullah! Adakah kaum lelaki dan wanita akan melihat di antara satu sama lain?.
Baginda bersabda: Wahai Aisyah! Urusan ketika itu lebih penting dari memandang
kepada orang lain. (H.R. Muslim)
Sesiapa yang mempelajari
sesuatu ilmu yang sepatutnya dicari keredhaan Allah Azza wa Jalla dengannya,
tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka
dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. (H.R. Abu Daud dan Ibn
Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tujuh golongan akan berada dibawah naungan rahmat Allah pada hari yang tidak
ada naungan kecuali naunganNya. (Pertama): Raja yang adil. (Kedua): Pemuda yang
menghabiskan masa mudanya dengan beribadat kepada Allah. (Ketiga): Seorang
lelaki yang hati sanubarinya sentiasa berpaut kepada masjid. (Keempat): Dua
orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah. Bertemu dan berpisah
kerana Allah. (Kelima): Seorang lelaki yang diajak oleh wanita bangsawan dan
cantik kepadanya namun dia berkata: Aku takutkan Allah. (Keenam): Seorang
lelaki yang membelanjakan hartanya secara sembunyi sehingga tangan kirinya
tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya. Dan (Ketujuh):
Seorang lelaki yang berzikir kepada Allah dengan bersunyi diri sehingga
mengalirkan air mata. (H.R. Bukhari)
Doa sebelum jimak dengan
isteri:
بِسْمِ اللهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ
وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا
“Dengan menyebut nama Allah,
Ya Allah jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari anak yang kau
anugerahkan kepada kami.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a,
bahawasanya Rasulullah s.a.w jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang
berkahwin, baginda akan berkata:
بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ
بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ
“Semoga Allah memberikan
keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua
di dalam kebaikan.” (H.R. Abu Daud, Tirmidzi)
Doa ketika Rasulullah
menikahkan Ali r.a dengan Fatimah r.ha:
اَلَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارَكَ لَهُمَا
فِيْهِمَا فِيْ بِنَائِهِمَا
“Ya Allah, berkahilah mereka
berdua dan berkahilah perkahwinan mereka berdua.” (H.R. Thabrani)