Thursday, December 25, 2014

Siapa Syiah Sebenarnya?

Syiah terbahagi kepada berpuluh-puluh puak, bahkan ada yang mengatakan sehingga 300 puak. Terdapat Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah, Syiah Zaidiyyah, Syiah Ismailiyyah, Syiah Kaisaniyyah dan banyak lagi. Tulisan kali ini hanya akan membicarakan tentang Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah atau Syiah Jaafariyyah yang penganutnya agak ramai di Malaysia ketika ini.


Dr. Ali Ahmad As Salus dalam bukunya yang bertajuk Ma'a Al Ithna Asyariyyah fi Ushul wal Furug telah memulakan dengan petikan ini:

"Syiah Ithna Asyariyyah tidak semuanya sama, sebahagian mereka yang melampau yang kita lihat apa yang mereka tulis mengandungi perkara kufur dan zindiq, sebahagian yang lain menyeru kepada pandangan yang lebih sederhana dan ada juga yang mencampurkan antara pandangan yang melampau dan sederhana."

Rujukan Syiah

Tafsir Hasan Al Askari,Tafsir Al I'yasyi dan Tafsir Al Qummi.

Ketiga-tiga tafsir ini muncul pada kurun ketiga hijrah. Penulisnya mengkafirkan para sahabat khususnya Khulafa' Ar Rasyidin sebelum Saidina Ali dan semua yang membai'ah mereka. Penulisnya juga beriktikad Al Quran ada yang telah diselewengkan secara nas dan makna. Mereka beriktikad tentang Imamah 12 orang imam sehingga ke peringkat syirik. 

Al Kafi, karya Al Kulani

Kitab ini kitab hadis yang terbesar. Mengandungi 8 juzuk, 2 juzuk yang pertama dikenali dengan nama Al Usul Min Al Kafi, juzuk 3 hingga 7 dikenali dengan nama Al Furu' min Al Kafi, dan juzuk terakhir dikenali dengan nama nama Ar Raudhah min Al Kafi. Pada Syiah, kitab ini menyamai taraf kitab Sahih Bukhari. Kitab ini ditulis oleh Muhammad bin Yaakob Al Kulaini yang merupakan murid Al Qummi, pemilik Tafsir Al Qummi. Buku ini mempunyai kedudukan yang sangat tinggi pada penganut Syiah dan telah disyarahkan oleh lebih 50 ulama Syiah yang lain. 

Kitab Tafsir Al Tibyan, karya Al Tusi

Penulis kitab ini ialah Al Tusi, seorang ulama besar Syiah Ithna Asyariyyah. Beliau menulis kitab ini dengan membawa pandangan yang sederhana dan cuba menentang kesesatan yang dibawa oleh orang-orang sebelumnya. Walau bagaimanapun, beliau terpengaruh dengan sebahagian akidah yang menyeleweng ketika menghuraikan tafsir ayat-ayat Al Quran.

Kitab Al Murajaat

Karya Abdul Hussein Syarafuddin Al Musawa "Hamba Hussein" ini merupakan sebuah kitab yang isi kandungannya dipetik daripada ulama Syiah yang melampau sahaja. Bahkan penulisnya menambah isi kandungannya menjadikan ia lebih syirik, lebih kufur dan lebih sesat. Beliau tidak memetik dari Kitab At Tibyan, karangan At Tusi. Penulis kitab ini dianggap sebagai Syiah Rafidhah yang paling melampau, zindiq dan kufur.

Kitab Lillah Summa Littarikh / Kenapa Aku Meninggalkan Syiah

Buku ini berjaya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh beberapa orang penuntut Al Azhar. Penulis buku ini ialah As Sayyid Hussein Al Musawi. Beliau cuba memperbetulkan fahaman yang melampau dalam Syiah Ithna Asyariyyah. Buku ini adalah contoh Syiah yang sederhana dan tidak melampau. Mereka menyanjung tinggi kedudukan para sahabat dan memuliakan ahlul bait sama seperti Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kedudukan ulama ahlul bait yang dianggap imam dibersihkan daripada iktikad yang syirik.

As Syiah Wal Tashih: As Sira' Baina As Syiah wal Tasyayyu'

Buku ini ditulis oleh Dr Musa Al Musawi. Buku ini juga antara buku Syiah yang sederhana. Penulisnya cuba mengajak penganut Syiah supaya tidak melampau dalam ajaran Syiah dan mengajak mereka kembali kepada ajaran imam-imam mereka yang sebenar.

Asal Usul Syiah

Perkataan 'Syiah' disebut beberapa kali dalam Al Quran. Antaranya:

"Kemudian pasti akan Kami tarik dari tiap-tiap golongan siapan di antara mereka yang sangat durhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah." (Maryam: 69)

"Dan Musa masuk ke kota (Memphis) ketika penduduknya sedang lengah, maka didapatinya di dalam kota itu dua orang lelaki yang berkelahi; seorang  daripada golongannya (Bani Israel) dan seorang (lagi) daripada musuhnya (kaum Fira'un). Maka orang yang daripada golongannya meminta tolong kepadanya untuk mengalahkan orang daripada musuhnya lalu Musa meninjunya, dan matilah musuh itu. Musa berkata: "Ini adalah perbuatan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya)." (Al Qasas: 15)

"Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk golongannya (Nuh)." (As Shoffat: 83)

Golongan Syiah sering berhujjah dengan mengatakan perkataan 'Syiah' disebut dalam Al Quran untuk mempertahankan kebenaran aqidah mereka. Tidak semestinya apabila disebut dalam Al Quran menandakan aqidah ajaran itu sahih. Fira'un, Namrud dan Haaman juga disebut di dalam Al Quran biarpun mereka sesat serta kufur. 

Perkataan 'Syiah' di dalam Al Quran membawa maksud pengikut. Syiah Ithna Asyariyyah ialah salah satu puak Syiah Imamiyyah yang dikategorikan oleh para ulama sebagai melampau. Mereka juga menggelarkan diri mereka dengan nama Syiah Ja'fariyyah, iaitu salah seorang yang mereka anggap sebagai imam mereka. Perkataan Itha Asyariyyah bermaksud dua belas, ataupun merujuk kepada 12 orang imam mereka. Khomeini dan Kerajaan Iran adalah pendokong kepada aliran ini. Mereka mendakwa sebagai umat Islam yang mempercayai 12 imam setelah kewafatan Rasulullah SAW dengan Saidina Ali sebagai imam yang pertama. Mereka juga mendakwa sebagai golongan yang mencintai keluarga Nabi Muhammad SAW serta melebihkan mereka daripada sahabat-sahabat yang lain.

Perlu dijelaskan di sini, Syiah ini bukan seperti golongan Syiah yang ada di kalangan sahabat dan tabi'in yang menyebelahi Ali R.A. ketika berlaku persengketaan dengan Muawiyyah.

Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Siapa Syiah Sebenarnya" karangan Ustaz Abdullah Din dan Ustaz Azfar Abdullah.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)


Akidah Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah

Imamah dan Khilafah

Mereka mempercayai Imamah ialah jawatan penting yang diberikan kepada Saidina Ali R.A. selepas kewafatan Rasulullah SAW. Mereka mendakwa jawatan ini dilantik secara nas oleh Rasulullah SAW sebelum kewafatannya, bahkan jawatan ini kononnya dinaskan secara jelas di dalam Al Quran oleh Allah SWT. Pada mereka, sesiapa yang menolak imam-imam Syiah, dia menjadi kafir bahkan lebih kafir daripada Iblis.

Khomeini menulis dalam Hukumah Islamiyah:

Rasulullah SAW yang mulia telah dilantik oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi untuk menghukum ke atas manusia dengan adil dan tidak mengikut hawa nafsu. Allah telah menurunkan kepadanya wahyu supaya baginda menyampaikan apa yang telah diturunkan ke atasnya kepada orang yang menggantikannya. Rasul telah mengikut ketentuan ini dan telah melantik Amirul Mukminin, Ali sebagai penggantinya. Baginda di dalam membuat penentuan ini bukanlah didorong oleh faktor bahawa Ali adalah menantunya, atau Ali telah bekerja keras dan mempunyai khidmat-khidmat cemerlang, tetapi kerana Allah yang telah memerintahkannya supaya berbuat demikian

Mereka mempercayai jawatan ini diwarisi oleh keturunan Ali R.A. hingga Imam yang kedua belas, iaitu Imam Muhammad Al Mahdi bin Hasan Al Askari.

Imam-imam tersebut ialah:
1.                Imam Ali bin Abi Talib
2.                Imam Hasan bin Ali
3.                Imam Husin bin Ali
4.                Imam Ali Zainal Abidin bin Husin
5.                Imam Muhammad Al Baqir bin Ali Zainal Abidin
6.                Imam Jaafar As Sadiq bin Muhammad Al Baqir
7.                Musa Al Kazim
8.                Imam Ali Ar Rida
9.                Imam Muhammad Al Jawwad
10.             Imam Ali bin Muhammad Al Jawwad
11.             Imam Hassan bin Ali Askari
12.             Muhammad bin Hasan Al Askari Al Mahdi

Di sisi Syiah, Imam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada para Nabi dan Malaikat. Khomeini dalam bukunya Al Hukumah Islamiyyah, halaman 95:

Pastinya kekuasaan dan pemerintahan bagi Imam tidaklah bermakna terpencilnya dia dan kedudukannya yang sebenar di sisi Allah, dan kuasa itu tidak akan menjadikannya seperti pemerintah-pemerintah yang lain daripadanya. Sesungguhnya Imam mempunyai kedudukan yang terpuji, darjat yang tinggi juga merupakan khalifah yang mempunyai kuasa pembentukan yang tunduk kepada pemerintahan dan kuasa semua unsur di alam ini. Dan di antara perkara-perkara yang tidak dapat dipertikaikan lagi menurut mazhab kita ialah bahawasanya Imam-imam kita telah mempunyai kedudukan tinggi tetapi tidaklah sampai ke tahap yang dicapai oleh malaikat yang sentiasa berdampingan (dengan Allah) dan juga Nabi yang diutus. Riwayat-riwayat dan hadis yang ada pada kita telah mempastikan bahawa Rasul Agung SAW dan para Imam A.S. di sebalik dunia ini mereka adalah merupakan cahaya-cahaya yang telah diterbitkan oleh Allah dari 'ArasyNya, dan Allah menganugerahkan kepada mereka kedudukan dan darjat yang hampir dengan Allah yang hanya Imam sahaja yang mengetahuinya.

Terdapat juga dari kalangan Imam-imam A.S. sebagai berkata:

"Sesungguhnya bagi kami ada berbagai keadaan yang tidak dapat dicapai kecuali oleh Malaikat yang sentiasa berdampingan (dengan Allah) serta Nabi yang diutus."

Kedudukan seumpama ini ada juga pada Fatimah Az Zahra (A.S) tetapi tidaklah bererti beliau adalah seorang khalifah, pemerintah, ataupun hakim. Kedudukan ini adalah satu perkara lain yang berada di sebalik status khalifah dan kekuasaan. Sesungguhnya Fatimah bukanlah seorang hakim atau pemerintah ataupun khalifah, (ungkapan ini) tidaklah bermakna bahawa Fatimah tidak mempunyai kedudukan yang hampir (kepada Allah) itu, sebagaimana perkara tersebut tidak memberi erti bahawa ia adalah seorang perempuan biasa seperti perempuan-perempuan yang ada di masa kita ini.

Para imam ini kononnya bersifat maksum. Mereka menganggap para Imam ini bukan sahaja terpelihara daripada dosa kecil dan dosa besar, malah terpelihara daripada melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan serta tidak terlupa. Pada mereka Imam mempunyai ilmu yang setaraf dengan Nabi. Yang membezakan antara Nabi dan Imam ialah Imam tidak diberikan wahyu. Pun begitu, mereka percaya imam mempunyi ilmu ladunni. Mereka juga mempercayai para Imam juga mempunyai mukjizat. Antara contohnya ialah:

Abu Jaafar Muhammad bin Jariri At Tabari berkata, "Saya telah melihat tuanku Imam Al Baqir AS membuat seekor gajah dari tanah, lalu beliau menaikinyadan terbang di udara ke Mekah dan kembali di atasnya. Aku tidak percaya berita tersebut sehinggalah aku bertemu dengan Imam Al Baqir lalu aku katakan kepadanya Jabir telah menceritakan begini, begini (kisah ini). Imam Al Baqir terus melakukan perkara yang sama (mengambil tanah dan membentuk seekor gajah) lalu menaikinya dan membawa aku bersamanya ke Mekah dan kembali semula."

Imam yang kedua belas ialah Imam Mahdi di sisi Syiah. Beliau dipercayai ghaib pada tahun 260 H di Samarra' dalam sebuah lubang. Imam Mahdi atau namanya Imam Muhammad bin Hasan Al Askari akan kembali memenuhi dunia dengan keadilan pada suatu masa nanti. 

Ar Raj'ah

Bermaksud kepercayaan bahawa para Imam akan dibangkitkan sebelum kiamat untuk menuntut bela dan menghukum orang-orang yang zalim yang telah merampas hak-hak mereka. Kepercayaan ini menjadi suatu kepercayaan yang disepakati oleh para ulama Syiah. Berkata Syeikh Mufid dalam Awail al Maqalat:

"Golongan Imamiyyah sepakat tentang wajibnya raj'ah atau kembalinya sebahagian besar orang-orang yang telah mati (sebelum kiamat)."

Mengkafirkan Sahabat

Contoh 1 - Abu Bakar dan Umar kafir

Dalam Kitab Bihar Al Anwar karya Muhamma Baqir Al Majlisi,

"Daripada Maula Ali bin Husin AS, aku bersama dengannya (dengan Imam Ali bin Husin) dalam khalwahnya. Aku berkata "Bolehkah engkau beritahu aku tentang keadaan dua orang lelaki ini iaitu Abu Bakar dan Umar". Dia berkata, "Kedua-duanya kafir dan orang yang menyintainya juga menjadi kafir."

Dan daripada Hamzah As Sumali beliau bertanya kepada Ali bin Husin tentang kedua-duanya lalu dijawabnya, 

"Kedua-dua mereka kafir dan menjadi kafir orang yang menganggap mereka sebagai pemimpinnya."

Contoh 2 - Semua Sahabat Murtad

Kitab Al Kafi karya Al Kulaini,

Daripada Abi Jaafar, "Semua manusia (sahabat) telah murtad selepas kewafatan Nabi SAW melainkan 3 orang". Aku bertanya, "Siapa mereka bertiga?" lalu jawabnya, "Miqdad bin Aswad, Abu Zar al Ghifari dan Salman al Farisi."

bersambung...( insya Allah ) 

Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Siapa Syiah Sebenarnya" karangan Ustaz Abdullah Din dan Ustaz Azfar Abdullah.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
Posted by Abu Nu'man at 11:10 PM