Dalam konteks
kekejamannya kepada orang Sunni inilah, saya katakan perang yang berlaku di
Syria sekarang ini adalah perang mazhab. Tetapi tidak boleh kita nafikan di
sebalik konflik ini, AS juga memainkan peranan. Ini kerana kerja AS
menggulingkan kerajaan negara lain bukanlah perkara baru.
Oleh: Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff
Syria mencapai kemerdekaannya
dari Perancis pada April 1946. Sejak merdeka Syria diperintah oleh rejim
tentera sehinggalah Hafez al-Assad memerintah pada tahun 1970 hingga 2000.
Selepas kematiannya, anaknya Basyar memerintah sehingga sekarang.
Syria mempunyai 21 juta
penduduk yang mana 84% adalah Muslim Sunni, 10% Kristian dan 6% Syiah Alawite.
Basyar al-Assad adalah dari kelompok minoriti Syiah Alawite, sebuah kelompok
agama yang dikatakan oleh para ulama sebagai menyimpang dari Islam.
Sejak kemerdekaannya,
hubungan antara kaum Syiah dan Sunni tidak pernah aman. Syria pernah bergabung
dengan Mesir dalam tempoh singkat pada tahun 1958, tetapi kekal hanya selama
tiga tahun sahaja kerana perbezaan mazhab ini.
Satu peristiwa kejam pemimpin
Syria ke atas orang Sunni ialah konflik berdarah di Hama pada tahun 1982
apabila hampir 47 ribu penduduk terbunuh. Peristiwa ini menyebabkan Muslin
Sunni mendiamkan diri dari politik sehinggalah munculnya revolusi rakyat ke
atas Basyar lehih kurang 15 bulan yang lalu. Revolusi yang juga bermula di Hama
ini kemudiannya merebak ke bandar-bandar lain seperti Dar’aa, Hauran, Halab
bahkan sehingga ke 157 tempat lain di Syria.
Mengapa berlakunya tragedi
Hama ini? Tragedi ini bemula dengan insiden 20 remaja menconteng dinding dengan
menulis ‘Rakyat Mahu Jatuhkan Kerajaan’. Remaja ini kemudiannya ditangkap dan
diseksa hingga seorang daripadanya mati. Apabila ibu bapa datang untuk
membebaskan anak-anak mereka, kerajaan telah meletakkan syarat orang Sunni
hendaklah terlebih dahulu memberikan wanita mereka untuk ‘dinikahi’ oleh
puak-puak kerajaan Syria. Permintaan ini merupakan penghinaan kepada orang
Sunni, maka dari sinilah bermulanya kebangkitan dan pemberontakan rakyat.
Basyar mengambil tindakan
yang tegas pada demonstran ini. Ini boleh dilihat dari sejak bermulanya
kebangkitan rakyat ini, dalam masa 42 hari sahaja seramai 4,000 orang rakyat
Syria terbunuh, 39,000 orang cedera, dan 413 orang syahid di penjara. Kini,
sejak Mac 2011, telah lebih dari 100 ribu yang terkorban.
Apakah faktor yang
menyebabkan berlakunya konfik Syria ini? Satu jawapan umum ialah kerana campur
tangan luar. Dilihat dari satu aspek ada betulnya kerana tentera Syria dibantu
oleh penjuang Hezbollah, Iran dan Lubnan serta Rusia dan China. Manakala
pejuang Syria pula disokong oleh Al Qaeda, Muslim Bortherhood dan negara-negara
AS, negara-negara Eropah, Saudi Arabia dan Qatar, Turki dan Jordan.
Apapun kata orang, analisis
saya mendapati punca peperangannya adalah disebabkan pertikaian antara dua
mazhab iaitu Syiah dan Sunni. Ini kerana Basyar adalah seorang diktator yang
cukup benci pada orang Sunni. Bagi Basyar, tiada tempat bagi Muslim Sunni dalam
hatinya. Kezalimannya terhadap wanita dan kanak-kanak Sunni adalah luar biasa
sekali. Beliau alergik kepada bangkangan dan sanggup membunuh rakyatnya
sendiri. Kekejaman ini telah menyebabkan 30 ribu tenteranya sendiri telah
berpaling tadah menentang rejim beliau. Kekejaman Basyar ini juga telah
menyebabkan 95% ulama Syria telah bersama dalam kebangkitan rakyat ini dan 19%
negara-negara Arab telah mewajibkan sekatan politik dan ekonomi ke atas Syria.
Hanya dua negara sahaja yang kekal bersama Syria iaitu Iraq dan Lubnan kerana
kedua-dua negara ini dikuasai oleh Syiah.
Bagi Basyar, beliau bersedia
membunuh Muslim Sunni, tetapi tidak orang Yahudi. Basyar adalah seperti singa
kepada rakyatnya, tetapi takut kepada Israel. Oleh sebab itulah, sejak zaman
ayahnya lagi (Hafez al-Assad), tidak satu peluru pun yang singgah ke tanah
Israel.
Dalam konteks kekejamannya
kepada orang Sunni inilah, saya katakan perang yang berlaku di Syria sekarang
ini adalah perang mazhab. Tetapi tidak boleh kita nafikan di sebalik konflik
ini, AS juga memainkan peranan. Ini kerana kerja AS menggulingkan kerajaan
negara lain bukanlah perkara baru. AS sudah gulingkan banyak kerajaan seperti
di Cuba, Chile, Nicaragua, Brazil, Vietnam, Afghanistan, Iraq dan Libya.
Semuanya atas alasan ‘regime change’ untuk membawa 'demokrasi, khususnya bagi
pemimpin negara yang tidak sehaluan dengannya. Jika sehaluan, sekejam mana pun,
AS akan pertahankan. Itulah yang berlaku di Mesir apabila AS hanya diam sahaja
setelah tentera merampas kuasa di sana. Ini kerana AS memang dari awal tidak
setuju dengan pemilihan Morsi sebagai Presiden.
Begitulah krisis Syria yang
telah memakan banyak korban rakyat yang tidak berdosa. Telah lima belas bulan
tragedi ini berlangsung hebat, saya belum nampak jalan penyelesaiannya.
Pemimpin dunia tidak pernah serius dan sekata untuk menyelesaikan masalah ini.
Pemimpin Arab sekadar mengikut telunjuk AS sahaja. Hanya pemimpin Turki dan
bekas Presiden Mesir sahaja yang menunjukkan keberanian mereka mengutuk keras
rejim Basyar.
Liga Arab ada mengambil
inisiatif dengan mendesak Bashar supaya berundur dan menawarkan perlindungan
kepada beliau, namun ditolak. Ini kerana Basyar yakin Rusia dan China di
belakangnya. Kelompok AS dan Barat pula tidak serius dalam menjatuhkan Basyar
sepertimana seriusnya mereka semasa menjatuhkan Saddam dan Gadaffi dulu. Maka,
akan berterusanlah rakyat Syria dalam keresahan dan kesusahan.
Malaysia pula mengambil
pendirian yang tegas dalam mengutuk kekejaman Basyar ini. Malaysia menyokong
Resolusi PBB tentang Syria pada 15 Mei 2013, biarpun ditentang oleh 12 negara
termasuk Rusia, China, Iran dan Cuba. Dan 59 negara termasuk Indonesia memilih
untuk tidak mengundi. Tahniah Malaysia kerana menunjukkan komitmen yang jelas
dalam hal ini.
Dengan perang yang masih
berlaku sehingga di bulan Ramadan ini, kita tidak tahu bila konflik ini akan
berakhir dan apa akan terjadi kepada nasib saudara kita di bumi Syria. Tidak
ada apa yang dapat kita berikan kepada mereka, cumanya di bulan mulia ini,
marilah kita berdoa untuk keselamatan saudara kita di sana. Dan jika kita
mampu, hulurkan bantuan kewangan kepada mereka.
Pesanan akhir saya, jangan
kita lupa untuk belajar daripada pengalaman Syria ini. Apa pengajarannya?
Pertama, kerajaan tidak boleh bertindak zalim kepada rakyat. Kedua, apapun konflik
dalam negara, jangan kita biarkan negara luar campur tangan dalam urusan negara
kita. Negara kita adalah urusan kita untuk menjaganya.