Oleh Shaikh
Soleh bin Abdullah al-Muhaisin,
Dekan Fakulti
Dakwah dan Usuluddin, Universiti Islam Madinah.
Sesungguhnya segala
pujian untuk Allah. Kami memuji-Nya, meminta pertolongan daripada-Nya, meminta
keampunan-Nya, meminta petunjuk-Nya dan kami meminta perlindungan dengan Allah
daripada kejahatan diri kami dan amalan-amalan kami yang buruk. Sesiapa yang
diberi petunjuk oleh Allah maka dia terpimpin dan sesiapa yang disesatkan Allah
maka tiada yang dapat memimpinnya. Saya bersaksi bahawa tiada tuhan selain
Allah, tiada sekutu bagi-Nya dan saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah
hamba dan pesuruh Allah. Semoga Allah menselawati Baginda, kaum keluarga dan
para sahabat Baginda.
Sejarah Islam tidak
dapat ditandingi oleh mana-mana bangsa sama ada dari sudut kuantiti ataupun
kualiti. Dari sudut kuantiti, sejarah Islam lebih luas setakat yang diketahui
oleh umat manusia sehingga ke hari ini. Ini kerana ia memiliki sejarah
khalifah-khalifah, gabenor-gabenor, para ilmuwan, kadi-kadi dan
panglima-panglima.
Semua itu dicatit
dengan jelas dan amat teliti di samping merakamkan penaklukan-penaklukan yang
besar yang telah dilakukan oleh orang-orang Islam di timur dan barat yang
sentiasa maju dan terkehadapan dari semasa ke semasa. Selain itu, sejarah Islam
meliputi ilmu-ilmu, sirah kehidupan yang terpuji, sumbangan-sumbangan mereka
yang berjasa dari kalangan umat ini.
Dari sudut kualiti,
sejarah Islam berasaskan kepada periwayatan dan nukilan orang-orang yang adil,
thiqah lagi dipercayai cerita-cerita mereka sehingga tidak ada ruang untuk
rekaan dan pendustaan dan faktor ini tidak ada dalam sejarah mana-mana umat
lain. Sejarah Islam telah memberikan perhatian yang khusus terhadap
periwayatan, dokumentasi dan hafalan. Para ulama telah menekuni riwayat sejarah
dan menganalisa dan mengkritiknya. Mereka saling berlumba-lumba dalam hal ini
dan menjadikan perpustakaan Islam sarat dengan kitab-kitab sejarah bagi setiap
zaman dan generasi umat ini.
Dalam pada itu,
musuh-musuh Islam melupakan kekuatan dan kekuasaan Islam serta tersebarnya
Islam dengan pantas menyebabkan mereka terkejut dan hairan.
Oleh kerana mereka
tidak mempunyai kekuatan untuk melawan Islam dengan pedang secara terbuka,
mereka memeilih beberapa cara dan kaedah untuk menghapuskan dan menghancurkan
Islam. Bid`ah Syi`ah adalah merupakan bid`ah pertama yang dibangunkan untuk
matlamat ini dan tipu daya pertama yang diaturkan di sebalik tabir ini. Inilah
fitnah terbesar yang dirancang untuk menentang Uthman bin `Affan iaitu khalifah
ketiga dan salah seorang sepuluh sahabat yang dijamin syurga.
Fitnah ini bermula
dengan rekaan dan penyebaran berita-berita palsu atau diriwayatkan bukan dengan
caranya yang sahih supaya dapat menarik dan mengumpulkan orang-orang yang jahil
dan bodoh. Akibatnya berkesudahan dengan kesyahidan Uthman sebagaimana yang
disebutkan dengan terperinci di dalam kitab-kitab hadis dan sejarah.
Penjahat yang
merancang dan melaksanakan fitnah ini ialah Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi.
Kemudian setelah Uthman syahid, golongan Rafidhah mendapat peluang yang sesuai
untuk menimbulkan kekacauan yang berlaku kemudiannya. Perkara ini dibuat untuk
mencipta dan menyebarkan riwayat-riwayat palsu tentang keburukan sahabat dan
perselisihan yang berlaku di kalangan mereka lalu menggambarkan mereka dengan
cara yang tidak benar.
Penulis di sini tidak
bertujuan untuk mengkritik kekarutan dan kepalsuan yang ditaburkan oleh Syi`ah
di dalam kitab-kitab sejarah Islam kerana itu adalah natijah kebencian dan
kejahatan terhadap sahabat yang tersembunyi di dalam hati mereka. Begitu juga
serangan terhadap pemimpin-pemimpin Islam. Apatah lagi kitab-kitab Syi`ah
bersepah dengan makian dan celaan terhadap sahabat. Hakikat ini sememang
terang-terang batil. Tidak halal kepada sesiapapun untuk membaca kitab-kitab
ini kecuali dengan maksud untuk melihat kebatilan itu dan menyanggahnya
seterusnya memberi peringatan kepada orang lain.
Penulis di sini
bertujuan untuk mengkaji penularan kejahatan Syi`ah ke dalam kitab-kitab
sejarah Islam sama melalui perawi yang bermuka-muka dengan menzahirkan
ketakwaan dan keadilan tetapi menyembunyikan fahaman Rafidhah atau dengan cara
berfahaman Syi`ah yang sederhana yang periwayatannya itu diterima oleh
kebanyakan ahli ilmu jika dia tidak taksub dan menyeru kepada bid`ahnya.
Kadang-kadang ahli
sejarah seperti Ibn Jarir meriwayatkan daripada perawi-perawi yang terkenal
dengan tasyayyu` tetapi beliau menyebutkan sanadnya supaya kedudukan
perawi-perawi itu diberi perhatian.
Ini tidaklah
menyebabkan Ibn Jarir tercela selagi beliau tetap menukilkan berita-berita
tersebut dengan sanad-sanadnya dan menyerahkan kepada para pembaca yang tajam
pemikiran menilai dan menyaringnya. Di muqaddimah tarikhnya itu,[1] Ibn Jarir
menulis:
“Hendaklah pembaca
kitab kami ini mengetahui sesungguhnya pegangan saya bahawa setiap perkara yang
saya sebutkan dalam kitab ini adalah mengikut syarat yang saya beriltizam
dengannya iaitu meriwayatkan berita-berita sebagaimana ia telah diriwayatkan
dan saya hanya menyebutkannya sahaja.
Apa yang terkandung
dalam kitab ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu. Antara berita
tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa benci atau pendengar merasa
jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau
sesuatu hakikat. Oleh itu, hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita
tersebut bukan datang daripada kami, tetapi ia datang daripada orang yang
menyampaikannya kepada kami. Dan kami hanya menyampaikan seperti yang dibawakan
kepada kami.”
Malangnya penulis yang
datang selepas Ibn Jarir al-Tabari membuang sanad-sanad ini lalu menghimpunkan
kesemua riwayat demi untuk meringkaskan. Kemudian orang-orang kemudian
terutamanya penulis zaman ini menukilkan riwayat-riwayat ini dan menyandarkan
kepada kitab-kitab sejarah tanpa membezakan anatara yang diriwayatkan oleh perawi-perawi
yang thiqah dan perawi-perawi yang berfahaman Syi`ah, antara berita-berita yang
jelas sahih kerana nukilan perawi-perawi thiqah yang saling menyokong dan
menguatkan dan berita-berita yang jelas kebatilannya seperti keburukan sahabat
dan fitnah yang berlaku di kalangan mereka yang disepakati oleh ulama hadis
tentang kebatilannya.
Keadaan semakin parah
sejak akhir-akhir ini kerana kemunculan Saba’iyyah baru dengan rupa lain dan
golongan orientalis Yahudi dan Kristian. Mereka ini menemui riwayat-riwayat
Syi`ah yang bertaburan di dalam sejarah sebagai bahan-bahan yang segar untuk
memburukkan sejarah Islam yang gemilang.
Mereka mengabui mata
orang ramai dengan mendakwa sebagai pengkaji yang teliti berasaskan metode
ilmiah. Sedangkan sebenarnya mereka adalah pembohong. Penyelidikan mereka tidak
lebih daripada mengambil beberapa riwayat Syi`ah lalu diolah dalam bentuk yang
buruk dengan melakukan tambahan dan pengurangan di sana sini mengikut matlamat
mereka yang keji. Akhirnya mereka akan berkata: “Sila rujuk Tarikh al-Tabari
atau Tarikh Ibn al-Athir.”
Dalam pada itu ramai
dari kalangan sejarawan dan professor sejarah hari ini yang terpedaya dengan
pembohongan dan pendustaan mereka. Sebenarnya adalah satu pengkhianatan
terhadap agama ini jika sejarah sendiri diambil daripada musuh-musuh Islam
iaitu Yahudi dan Nasrani yang lebih dikenali sebagai orientalis.
Dalam hal ini, penulis
tidak lupa untuk menyebutkan usaha gigih yang dicurahkan oleh ulama bagi
membendung riwayat-riwayat batil itu sama ada dengan penulisan sejarah yang
berasaskan kepada riwayat yang diakui thiqah di samping mengakui dan menginsafi
kemuliaan dan ketinggian kedudukan para sahabat, atau juga penulisan yang
khusus dengan riwayat-riwayat tersebut atau kajian yang terselit dalam penulisan
yang membincangkan topik tertentu.
Ini boleh didapati
dengan banyak, sama ada sudah diterbitkan atau masih lagi dalam bentuk
manuskrip, dan, inilah yang paling banyak. Antara kitab yang ditulis dengan
cara pertama dan telah diterbitkan ialah al-Bidayah wa al-Nihayah tulisan Ibn
Kathir, seorang tokoh yang tampil menentang Syi`ah dengan kajian-kajian beliau
yang ilmiah dan terperinci . Beliau amat kritis dalam kritikannya. Di samping
itu, beliau menonjolkan keutamaan dan kelebihan para sahabat walaupun tidak disetujui
oleh Syi`ah.
Contoh penulisan dalam
bentuk kedua ialah kitab al-`Awasim min al-Qawasim karangan Abu Bakar Ibn
al-`Arabi dan contoh bagi bentuk ketiga seperti perbahasan-perbahasan yang
berselerakan di dalam kitab-kitab karangan Ibn Taymiyyah, Ibn al-Qayyim,
al-Zahabi, Ibn Hajar dan lain-lain. Usaha-usaha tersebut walaupun mempunyai
beberapa pendekatan namun tetap penting dan saling melengkapi. Itulah yang
telah dilaksanakan oleh ulama salaf dan khalaf dengan baiknya.
Apa yang tinggal
sekarang ialah tugas para ilmuwan dan mereka yang peka kepada Islam di zaman
ini. Tanggungjawab mereka ialah meneruskan usaha ke arah perbersihan dan
pemurnian timbunan-timbunan riwayat tersebut. Alim ulama kita telah menjelaskan
tentang pembohongan dan pendustaan riwayat-riwayat Syi`ah dan tidak ada cara
lain selain dari menghapuskan kesemuanya itu dari lembaran sejarah.
Sesungguhnya jika
orientalis, Yahudi atau Kristian atau anak didik mereka merasa senang dan
selesa untuk terus menggunakan riwayat-riwayat batil yang menggelapkan lembaran
sejarah Islam maka tidak harus sama sekali bagi orang Islam merestui kotoran
yang terpalit pada sejarah umat dan agamanya.
Adalah menjadi
kewajipan institusi yang tertentu di dalam dunia Islam untuk mewujudkan
kuarantin-kuarantin ilmiah yang halus untuk menyingkirkan riwayat-riwayat yang
ditimpa wabak Syi`ah itu dan mengemukakan kepada sejarah Islam kita dengan rupa
yang bercahaya dan bersinar setelah membersihkan dan menghapuskannya dari
virus-virus Syi`ah yang kotor.
Begitu juga wajib
kepada institusi tersebut untuk mengadakan sekatan syara` terhadap setiap orang
yang bodoh yang lantang bersuara terhadap para sahabat. Ini juga merupakan
usaha membantu agama Allah dan rasul-Nya dan melaksanakan kewajipan terhadap
para sahabat sebagai generasi Islam yang terbaik, di dunia dan akhirat.
Serangan Ganas
Yang Dilancarkan Syi`ah Ke Atas Sejarah Islam Berkisar Dua Perkara:
Perkara Pertama:
Mencaci, memalsukan
dan mereka-reka cerita yang memburukkan sahabat Rasululullah s.a.w. Tujuan
mereka ialah menyerang Islam sendiri kerana sahabat itulah yang meriwayatkan
Islam dan merekalah umat yang terbaik selepas Rasulullah s.a.w. bahkan
merekalah anak Adam yang paling utama selepas para nabi.
Setelah mencacatkan
kelebihan dan keutamaan para sahabat serta menjatuhkan para sahabat bererti
menjatuhkan Islam sendiri, Ibn Taymiyyah menulis: “Inilah prinsip asas Syi`ah
Rafidhah kerana orang yang mencipta fahaman Rafidhah itu seorang Yahudi yang
berpura-pura memeluk Islam tetapi sebenarnya seorang munafik. Dia telah
menaburkan kepada orang-orang jahil racun-racun yang mengancam asas Islam. Oleh
kerana itu, Rafidhah merupakan pintu kemunafikan dan zindik yang paling besar.”
Beliau menulis lagi:
“Serangan terhadap kurun yang terbaik yang mendampingi Rasulullah s.a.w.
bererti serangan terhadap Baginda sendiri sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam
Malik dan para ulama yang lain.”
Kekarutan Syi`ah
Rafidhah lebih tertumpu kepada sahabat yang paling utama iaitu Abu Bakar, Umar
dan Uthman , dan kemudiannya dengan berani mereka menyerang sahabat lain yang
terdiri dari kalangan mereka yang awal memeluk Islam dan sahabat-sahabat yang
menyertai peperangan Badar, Uhud, Bai`ah Ridwan malah mereka yang membela
Rasulullah s.a.w. semasa senang dan susah.
Rasulullah s.a.w.
wafat dalam keadaan baginda reda terhadap sahabatnya seperti Talhah, al-Zubair
dan sahabat-sahabat yang dijamin syurga. Bukan setakat itu sahaja, mereka
berani mencerca isteri-isteri Rasulullah s.a.w. terutama `Aishah dan Hafshah
dan akhirnya mereka mengecam keseluruhan Bani Umayyah dengan kutukan dan
makian.
Perkara Kedua
Melampau dalam
menyanjung Ahli Bait dan mereka mengkhususkan Ali, Fatimah dan keturunan mereka
berdua. Lalu mereka mencipta dan meletakkan riwayat batil yang memuji Ahli Bait
dan mendewa-dewa mereka sehingga ke tahap menyifatkan mereka dengan perkara
yang tidak layak dengan mereka serta mengaitkan beberapa pendirian dan amalan
yang tidak sesuai dengan keutamaan dan ketinggian kedudukan mereka.
Beberapa Contoh
Pendustaan Yang Dibawa Masuk Oleh Syi`Ah
Di sini, penulis akan
menyebutkan beberapa riwayat yang disebarkan Syi`ah dalam sejarah dan penulis
akan menyebutkan kebatilannya serta mengemukakan riwayat yang sahih yang
menyanggahinya.
Syi`ah mendakwa Ali
tidak membai`ah Uthman dan sebahagian mereka pula mendakwa Ali membai`ah tetapi
secara terpaksa. Bagi menyokong dakwaan itu, mereka mencipta sebilangan berita
yang palsu dan dusta. Sebelum pergi kepada riwayat palsu mereka itu dan sebelum
menyebut kesimpulan peristiwa bai`ah serta syura dengan sanad yang diriwayatkan
oleh perawi-perawi yang adil dan thiqah, penulis ingin mengemukakan beberapa
perkara:
Tatkala Umar ditikam,
beliau telah menjadikan khilafah selepas beliau sebagai syura yang terdiri
daripada sahabat-sahabat yang diredai oleh Rasulullah s.a.w iaitu Ali bin Abu
Talib, Uthman bin Affan, al-Zubair bin al-`Awwam, Talhah bin Ubaidillah, Sa`ad
bin Abi Waqqas dan Abdul Rahman bin `Auf. Beliau menyerahkan urusan khilafah
kepada enam sahabat ini untuk melantik salah seorang mereka sebagai khalifah.
Urusan tersebut dapat
disempurnakan dengan pemilihan Uthman lalu beliau dibai`ah oleh ahli Syura yang
lain termasuklah Ali serta kesemua Muhajirin dan Ansar tanpa bantahan dan
teragak-agak. Peristiwa ini adalah sahih melalui beberapa sanad yang masyhur di
dalam kitab-kitab sejarah yang muktabar dan diriwayatkan di dalam Sahih
al-Bukhari dan Muslim dan lain-lain. Seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari,
di dalam sahihnya[2] daripada Amar bin Maimun dan menyebutkan cerita tersebut
dengan panjang lebarnya antaranya ialah: Para sahabat berkata: Wahai Amirul
mukminin, wasiatkanlah siapakah yang akan menggantikan. Umar menjawab: Saya
tidak dapati orang yang lebih layak dengan urusan ini selain daripada mereka
yang Rasulullah s.a.w. wafat dalam keadaan baginda reda terhadap mereka.” Lalu
Umar menamakan Ali, Uthman, al-Zubair, Talhah, Sa`ad dan Abdul Rahman. Umar
berkata: Biarlah Abdullah bin Umar menjadi saksi, tetapi dia tidak mempunyai
apa-apa hak dalam jawatan ini (seolah-olah ucapan takziah kepada anaknya).
Kemudian Imam
al-Bukhari mengemukakan wasiat Umar kepada rakyatnya dan kisah pengkebumiannya.
Al-Bukhari menyebutkan lagi: Apabila selesai pengkebumian, enam orang sahabat
tersebut berkumpul. Abdul Rahman berkata: “Serahkan urusan kamu ini kepada tiga
orang sahaja.” Al-Zubair berkata: “Saya telah menyerahkan hak saya kepada Ali.”
Talhah berkata: “Saya telah menyerahkan hak saya kepada Uthman.” Sa`ad berkata:
“Saya telah menyerahkan hak saya kepada Abdul Rahman bin Auf.” Abdul Rahman
berkata: “Siapa antara kamu berdua yang menarik diri, saya akan menyerahkan
jawatan ini kepadanya. Allah dan umat Islam menyaksikan kita. Demi Allah, Dia
akan memerhatikan yang terbaik di antara mereka.” Kata-katanya itu menyebabkan
Ali dan Uthman terdiam. Abdul Rahman berkata: “Apakah kamu mahu menyerahkan
urusan ini kepadaku? Allah menjadi saksi ke atasku bahawa aku tidak akan cuai
dalam memilih yang terbaik di antara kamu.” Ali dan Uthman berkata: “Baiklah
kalau begitu.” Abdul Rahman memegang tangan Ali sambil berkata: “Engkau
mempunyai hubungan kerabat dengan Rasulullah s.a.w. dan telah lama memeluk
Islam sebagimana kamu maklum. Allah menjadi saksi kepadamu, sekiranya aku
melantikmu, engkau pasti akan berlaku adil. Kalau aku lantik Uthman, pasti
engkau mendengar dan mematuhinya.” Kemudian Abdul Rahman membawa yang seorang
lagi (Uthman) ke tempat sunyi lalu berkata seperti yang dikatakan kepada yang
tadi (Ali). Apabila dia telah berjanji begitu, diapun berkata: “Angkat tanganmu
wahai Uthman.” Lalu Abdul Rahman membai`ahkan Uthman dan Ali turut juga
membai`ahkannya. Setelah itu, orang-orang yang berada di kawasan itu masuk dan
memberikan bai`ah kepada Uthman.
Inilah yang diriwayatkan
oleh Imam al-Bukhari tentang bai`ah Uthman yang dilakukan oleh Ali bersama-sama
orang-orang Islam yang lain. Inilah berita yang sahih dalam kitab-kitab hadis
yang muktabar dan disebutkan juga oleh kebanyakan ahli sejarah yang dipercayai.
Namun begitu, Rafidhah
menyebarkan beberapa kepalsuan bahawa Ali menangguh-nangguhkan atau dia telah
mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Abdul Rahman bin `Auf. Riwayat ini telah
disebutkan di dalam kitab-kitab sejarah antaranya ialah riwayat al-Tabari[3]
dengan sanadnya daripada Umar bin Maimun al-Audi dan beliau menyebutkan apa
yang berlaku tentang syura dan bai`ah. Antara yang disebutkan dalam riwayat itu
ialah: “Ali berkata kepada Abdul Rahman: Kamu akan merangkak buat
selama-lamanya. Ini bukanlah kali pertama kamu semua berpakat untuk
menentangku…”
Sanad yang disebutkan
oleh al-Tabari terdapat beberapa `illah (penyakit) dan tidak boleh dijadikan
hujah di sisi ulama hadis. Antara perawi sanad ini ialah Abu Mihknaf. Namanya
ialah Lut bin Yahya, seorang Syi`ah. Di dalam Mizan al-I`tidal, al-Zahabi
menulis[4]:
“Dia seorang tukang
cerita yang lemah dan tidak boleh dipercayai.”
Ibn `Adi mengatakan:
“Dia merupakan Syi`ah yang hangus (tulen atau pekat), pembawa cerita-cerita
mereka (golongan Syi`ah).”
Kemudian al-Tabari
meriwayatkan dengan sanadnya sampai kepada al-Miswar bin Makhramah dan
menyebutkan tentang syura dan bai`ah Uthman, katanya: Orang ramai mula
membai`ah Uthman dan Ali bertangguh. Lalu Abdul Rahman membacakan ayat:
“Sesiapa yang melanggar janjinya pasti akibat melanggar janji itu menimpa
dirinya.” (al-Fath: 10). Ini membuatkan Ali mula membelah barisan orang ramai
sehingga beliau dapat memberi bai`ah seraya berkata: “Tipu daya, memang tipu
daya.”
Dalam sanad riwayat
al-Tabari ini terdapat Abdul Aziz bin Abi Thabit. al-Zahabi menulis berhubung
dengannya, al-Bukhari berkata: “Hadisnya tidak boleh ditulis.” Al-Nasa’i dan
lain-lain berkata: “Dia adalah matruk (ditinggalkan). Uthman bin Sa`id berkata:
Saya bertanya kepada Yahya: “Bagaimana dengan keadaan Abi Thabit Abdul Aziz bin
`Imran? Jawab Yahya: “Dia tidak thiqah. Dia hanya memiliki syair walaupun
berketurunan Abdul Rahman bin Auf.”
Hafiz Ibn Hajar
menyebutkan di dalam Tahzib al-Tahzib[5]: “al-Husani bin Hibban menukilkan
daripada Yahya: “Saya melihatnya (Abdul Aziz) di Baghdad. Dia sering memaki
orang ramai dan menuduh-nuduh keturunan mereka. Hadisnya tidak mempunyai
apa-apa nilai.”
Pada pendapat penulis,
Ibn Jarir al-Tabari menukilkan riwayat daripada Abdul Aziz setelah menyebutkan
riwayat yang lalu. Mala petaka yang lain ialah beliau menafsirkan kata-kata Ali
dalam riwayat yang lalu yang menyebutkan: “tipu daya, tipu daya” sebagai
penipuan dari pihak Amar bin al-Ash dan menyebutkan bentuk penipuan yang kita
tidak sanggup untuk menyebutkannya kerana kejelikannya.
Riwayat-riwayat ini
dan yang seumpamanya kebanyakannya ialah penyebaran jahat Syi`ah Rafidhah
terhadap sejarah. Penulis ingin mengingatkan bahawa kebanyakan penulis sejarah
pada zaman ini terpedaya lalu menyebutkannya tanpa sebarang kajian dan kepastian.
Semoga Allah membalas usaha baik Ibn Kathir. Beliau telah menyebutkan peristiwa
Syura dan bai`ah Uthman di dalam kitabnya, al-Bidayah wa al-Nihayah dengan
panjang lebar dan beliau tidak mempedulikan riwayat-riwayat yang karut itu.
Bahkan setelah mengemukakan riwayat-riwayat yang sahih beliau mengulas: “Berita
yang dinukilkan oleh kebanyakan ahli sejarah seperti Ibn Jarir al-Tabari dan
penulis lain daripada perawi-perawi yang tidak dikenali bahawa Ali berkata
kepada Abdul Rahman: “Kamu telah memperdayakanku. Sesungguhnya kamu melantiknya
kerana dia adalah mertua kamu dan dia bermesyuarat dengan kamu setiap hari
tentang urusannya. Dan Ali terlewat memberi bai`ah sehingga Abdul Rahman
membacakan sepotong ayat al-Qur’an kepadanya: “Sesiapa yang melanggar janjinya
pasti akibat melanggar janji itu menimpa dirinya.” (al-Fath: 10). Dan
riwayat-riwayat lain yang menyanggahi riwayat-riwayat yang sabit di dalam
kitab-kitab sahih. Kesemuanya itu adalah tertolak.
Wa Allah A`lam.
Malangnya ramai di
kalangan ahli-ahli sejarah yang menukilkan riwayat-riwayat palsu itu tanpa
sebarang saringan dan tapisan seperti Ibn Kathir.
Riwayat-Riwayat
Syi`Ah Rafidhah Tentang Peperangan Jamal.
Apabila kita cuba
melihat peperangan Jamal, kita dapati Syi`ah Rafidhah telah menutup sepenuhnya
hakikat suasana peperangan tersebut kerana dilindungi oleh tutupan yang dibuat
oleh mereka. Oleh itu apabila anda memeriksa halaman kitab-kitab sejarah anda
hanya mendapati makian, cemuhan, celaan dan fitrah yang suci akan merasa kesal
untuk mendengarnya. Namun di sini, penulis akan menyebutkan fakta-fakta yang
disebutkan oleh sejarah melalui riwayat-riwayat yang sahih walaupun tidak
disukai oleh Syi`ah dan penulis-penulis sejarah yang terpengaruh dengan barat.
Hakikat Pertama
Riwayat-riwayat yang
sahih menyebutkan bahawa tujuan sebenar Talhah, al-Zubair dan orang-orang yang
bersama mereka keluar ialah untuk membaiki keadaan dan menghapuskan orang-orang
yang melakukan kerosakan dengan membunuh Uthman. Mereka tidak keluar untuk
kepentingan kuasa atau mana-mana tujuan duniawi bahkan mereka sekali-kali tidak
bermaksud untuk memerangi Ali dan orang-orang Islam bersamanya. Hakikat ini
telah dikemukakan oleh Ibn Kathir. Beliau menulis: “Sesungguhnya Ali telah
mengutuskan al-Qa`qa` sebagi utusan untuk menemui Talhah dan al-Zubair mengajak
mereka kepada kesatuan dan jamaah dan menyatakan kepada mereka berdua betapa
besarnya perpecahan dan perselisihan. Lalu al-Qa`qa` menuju ke Basrah dan orang
yang pertama ditemuinya ialah `Aishah. Beliau berkata: “Wahai Ummu Mukminin,
apakah yang mendorong ibu menjejakkan kaki di bumi ini?”. `Aishah menjawab:
“Wahai anakku, untuk mendamaikan antara manusia.” Kemudian al-Qa`qa` meminta
supaya `Aishah menjemput Talhah dan al-Zubair datang menemui `Aishah lalu
mereka berdua tiba. Al-Qa`qa` berkata: “Saya telah bertanya kepada Ummu
Mukminin sebab mengapa beliau menjejakkan kaki ke sini dan beliau menjawab
untuk mendamaikan antara manusia.” Lalu mereka berdua menyatakan: “Kamipun
dengan tujuan yang sama.”
Jelas dari riwayat di
atas Aishah, Talhah dan al-Zubair mengatakan bahawa mereka datang hanya untuk
mendamaikan antara manusia. Sesungguhnya mereka telah bercakap benar dan Syi`ah
telah berdusta. Ini dibuktikan dengan mereka telah berdamai dan Ibn Kathir
telah menyebutkan daripada Ali ketika beliau ditanya oleh Abu Salam al-Dala’i:
“Adakah mereka itu (Mu`awiyah dan orang-orang bersamanya) mempunyai hujah
berkenaan tuntutan mereka terhadap darah ini (darah Uthman) jika mereka
benar-benar ikhlas kerana Allah dalam perkara ini? Ali menjawab: “Ya.” Abu
Salam bertanya lagi: “Adakah tuan mempunyai hujah mengapa tuan
menangguhkannya?” Ali menjawab: “Ya.” Apa yang dikatakan oleh Ali ini merupakan
pegangan Ahli Sunnah berkenaan peristiwa yang berlaku sesama sahabat. Ahli
sunnah beriktiqad bahawa masing-masing mereka itu mujtahid, jika benar mereka
mendapat dua pahala tetapi jika tersilap mereka mendapat satu sahaja.
Hakikat Kedua
Para sahabat telah
bersetuju untuk tidak meneruskan perselisihan tersebut dan tidak terlintas
kepada mereka kecuali segala-galanya telah berakhir dan tidak ada sebarang
peperangan. Namun golongan Saba’iyyah yang melakukan pembunuhan khalifah Uthman
tidak berpuas hati lalu mereka mengatur satu pakatan untuk mencetuskan
peperangan maka berlakulah peperangan Jamal.
Ini telah dinyatakan
oleh Ibn Kathir dan lain-lain bahawa al-Qa`qa` tatkala dihantar oleh Ali untuk
menemui Talhah, al-Zubair dan `Aishah dan menawarkan kepada mereka perdamaian.
Mereka menjawab: “Anda memang benar dan melakukan yang terbaik. Oleh itu,
pulanglah, jika Ali datang dan dia berpandangan seperti anda, keadaan akan
menjadi baik.” Lalu al-Qa`qa` pulang menemui Ali dan mencerita apa yang berlaku
dan itu benar-benar mengkagumkan Ali. Kemudian Ali menemui orang-orangnya supaya
mereka sama-sama berdamai. Lalu mereka yang benci, tetap membenci dan orang
yang reda, tetap reda. `Aishah kemudiannya menulis surat kepada kepada Ali
menyatakan beliau datang untuk tujuan perdamaian, lalu pihak masing-masing
gembira. Kemudian Ali menulis kepada Talhah dan al-Zubair: “Jika pendirian kamu
berdua masih seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan kamu berdua, maka tunggulah
sehingga kami datang dan membincangkan perkara ini. Lalu mereka berdua
menjawab: “Sesungguhnya kami masih lagi berpendirian seperti ketika al-Qa`qa`
meninggalkan kami iaitu untuk berdamai.” Hati dan jiwa kedua-dua belah pihak
menjadi tenang dan reda lalu mereka berkumpul. Pada waktu petang Ali menghantar
Abdullah bin Abbas sebagai wakil dan pihak Talhah menghantar Tulaihah al-Sajjad.
Pada malam itu, mereka melalui malam yang paling baik dan indah tetapi
pembunuh-pembunuh Uthman melalui malam yang paling buruk bagi mereka dan mereka
merancang dan berpakat untuk mencetuskan peperangan pada waktu malam yang
akhir. Lalu mereka keluar sebelum fajar menyinsing.
Bilangan mereka itu
hampir 2,000 orang. Masing-masing menuju kepada yang berdekatan mereka dan
melancarkan serangan dengan pedang-pedang. Maka setiap kumpulan bangkit menuju
ke pasukan masing-masing untuk menghalang mereka. Orang ramai terjaga dari
tidur dan mendapatkan senjata. Mereka berteriak: Ahli Kufah telah mendatangi
dan menyerang kami pada waktu malam. Mereka telah menipu kita.
Mereka menyangka ini adalah
perbuatan orang-orang Ali. Lalu hal ini sampai kepengetahuan Ali dan beliau
bertanya: Apa yang telah terjadi kepada orang ramai? Mereka menjawab: Ahli
Basrah telah menyerang kami pada waktu malam. Lalu semua kumpulan mendapatkan
senjata, memakai baju besi dan menaiki kuda. Tidak siapapun di kalangan mereka
yang menyedari perkara sebenar yang terjadi. Dan ketetapan Allah itu suatu
ketetapan yang pasti berlaku.
[1] Tarikh al-Tabari, jil. 1,
hal. 8
[2] Sahih al-Bukhari, hal. 707
no: 3700
[3] Tarikh al-Tabari, jil 2 hal.
632
[4] Mizan al-I`tidal, jil. 6,
hal. 632
[5] Taqrib al-Tahzib, jil. 6
hal. 150