Thursday, July 16, 2015

Dosa Menyelewengkan Hakikat Sejarah Dan Fakta

Oleh Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin

Dalam sejarah manusia, ramai yang teraniaya hanya disebabkan oleh berita palsu yang direka terhadap seseorang. Penderitaan atau kezaliman cerita bohong atau penyelewengan fakta terhadap seseorang, bukan sahaja dirasai kesannya oleh individu berkenaan, sebaliknya juga orang ramai.
Lihat sahaja apabila diselewengkan hakikat Nabi Isa a.s. daripada seorang insan yang diutuskan menjadi rasul telah diselewengkan kepada anak Tuhan. Hasilnya, satu umat merubah menjadi syirik dan tersasar jauh dari agama yang sebenar. Adapun Nabi Isa a.s, baginda tetap mulia di sisi Allah. Namun yang menjadi mangsa ialah golongan jahil yang menelan penyelewengan fakta yang dibuat oleh sesetengah pihak. Demikian Saidina Ali r.a., hakikat dirinya telah diselewengkan, sehingga lahirnya aliran Syiah telah memuja-mujanya melebihi yang sepatutnya melebihi kedudukan seorang nabi lalu tersasarlah satu mazhab di kalangan umat ini.

Sebab itu dosa para penyeleweng fakta dan hakikat sejarah bukan sedikit. Mereka akan turut menanggung dosa kesesatan mereka yang terseleweng disebabkan fakta yang direka atau hakikat yang diubah. Firman Allah: (maksudnya) Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab (Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini datang dari sisi Allah”, supaya mereka dapat membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa Yang mereka usahakan itu. (Surah al-Baqarah: 79).

Dosa penyelewengan akan terus ditanggung selama mana pembohongan beredar di kalangan manusia. Justeru itu, kita sentiasa disuruh berhati-hati dalam menerima berita buruk mengenai orang lain. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. Bukan sedikit dalam sejarah manusia yang menjadi mangsa hasil dari penyelewengan fakta. Bermula daripada para nabi, para sahabah Nabi s.a.w., tokoh-tokoh ilmu, para pemerintah sehingga kepada insan biasa. Semua kerana berita golongan yang hasad, atau menyimpan dendam kebencian, atau orang yang hobinya membuat cerita. Atas apa pun alasan, mereka yang terlibat menyelewengkan fakta memakai pingat kurniaan bergelar ‘fasiq’ atau secara mudahnya ‘orang jahat’ atau ‘ahli dosa’.
Umpamanya, entah berapa banyak kisah dusta yang direka oleh golongan syiah untuk memburuk Mu’awiyah bin Abi Sufyan, sahabah Nabi s.a.w hanya kerana dendam politik. Seorang tokoh sejarah , Munir al-Ghadban menyebut: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi –di dalam sejarah Islam- yang terdiri daripada kalangan para sahabah yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah s.a.w. dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Mu`awiyah bin Abi Sufyan r.a. Sesungguhnya kebanyakan maklumat yang terlekat di pemikiran orang ramai telah diterima sebagai sesuatu yang tidak diragui lagi dan tidak boleh untuk dipertikaikan. Maklumat itu tidak bersesuaian sama sekali dengan darjat yang sepatutnya bagi seorang sahabah Nabi. Gambaran Mu`awiyah pada pemikiran orang ramai ialah seorang yang menuntut kuasa, ahli politik yang cekap, seorang yang mencari kesempatan, dia tidak pernah menghiraukan apa pun dalam usahanya untuk sampai kepada kekuasaan dan seorang yang bertarung kerana inginkan kuasa serta bertindak membunuh berpuluh-puluh ribu orang lain semata-mata untuk menjadi khalifah. Inilah gambarannya yang bertentangan dengan perasaan dan fitrah setiap muslim, namun tiada ganti baginya kerana buku-buku sejarah menyebut demikian. (Munir al-Ghadban, Mu`awiyah bin Abi Sufyan, m.s. 5 Syria, Dar al-Qalam).
Demikian riwayat-riwayat bohong yang telah menggambarkan Khlaifah Harun al-Rasyid sebagai seorang yang suka berfoya-foya. Bahkan masyhur di kalangan sesetengah masyarakat bahawa dia sering ditipu oleh seorang ‘kaki belit’ yang bernama Abu Nawas. Ramai yang membaca kisah bohong Nawas dan tersengeh melihat bagaimana dia berjaya mempersendakan Khalifah Harun al-Rasyid. Sedangkan kata Ibn Khaldun (meninggal 808H): “Adapun apa yang dipalsukan oleh hikayat mengenai Harun al-Rasyid yang selalu meminum arak dan mabuk seperti mabuknya seorang kaki arak, Allah memelihara daripada itu semua!. Kita tidak pernah tahu dia seorang yang berbuat jahat. Mana mungkin ini semua dengan keadaannya yang melaksanakan tanggungjawab agama dan keadilan bagi kedudukannya sebagai khalifah. Seorang yang mendampingi ulama dan auliya. Selalu berbincang dengan al-Fudail bin `Iyad, Ibn al-Sammak dan al-`Umari. Selalu berutusan surat dengan Sufyan al-Thauri, menangis mendengar nasihat mereka, berdo`a di Mekah ketika tawaf, kuat beribadah, menjaga waktu solat dan hadir solat subuh pada awal waktunya” (Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, m.s. 17, Beirut: Dar al-Fikr).
Kadangkala kebencian dan dendam membawa sesetengah pihak menghalalkan diri mereka mencipta kisah dusta memfitnah orang lain. Kemudian orang ramai pula menelankan tanpa menyedari bahawa jika itu satu fitnah pembohongan, mereka akan dihukum oleh Allah pada hari kiamat kelak kerana menyebarkan fitnah terhadap muslim yang lain. Apatah lagi jika muslim itu sahabah Nabi s.a.w, atau orang soleh atau tokoh ilmuwan Islam. Sekalipun jika individu itu bukan terkenal sebagai orang soleh dan baragama, kita tidak boleh menzaliminya dengan membuat cerita bohong terhadapnya. Lihatlah apa yang dilakukan oleh penyelewengan sejarah terhadap Yazid bin Muawiyah dengan menuduh dia membunuh cucu Nabi s.a.w. Saidina Husain bin Ali. Sehingga dia dilaknat dan ditohmah dengan berbagai tohmahan. Padahal tiada bukti pun yang menunjukkan demikian.Kata Ibn Taimiyyah (meninggal 728H): “Yazid bin Mu`awiyah lahir pada zaman khalifah `Uthman bin `Affan r.a. Beliau tidak bertemu dengan Nabi S.A.W. dan tidak termasuk dalam kalangan sahabah dengan sepakat ulama. Dia juga tidak termasuk di kalangan yang terkenal dengan agama dan kesolehan. Dia adalah salah seorang pemuda kaum muslimin. Dia tidak kafir atau zindik. Memegang jawatan selepas ayahnya dengan kebencian sebahagian kaum muslimin dan redha sebahagian yang lain. Dia adalah seorang yang berani dan bermurah hati. Dia bukan seorang yang menzahirkan perkara-perkara keji (maksiat) seperti yang dituduh oleh musuh-musuhnya” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 2/253, Riyad: Maktab al-`Abikan)
Adapun peristiwa pembunuhan cucu Nabi s.a.w. Husain bin `Ali r.ahuma tidak ada bukti dia menyuruhnya atau terlibat dengannya. Bahkan ahli sejarah yang adil telah meriwayatkan bahawa beliau telah menangis atas kematian Husain dan melaknat pembunuhnya. Penduduk Syam yang hadir turut menangis bersamanya. Bahkan hubungan baik Yazid dan anak Saiyyidina Husain iaitu `Ali bin Husain berterusan selepas itu. Mereka sering mengutus surat menyurat antara mereka. Bahkan `Ali bin Husain menganggap yang membunuh ayahnya adalah Syi`ah di Kufah yang menjemput ayahnya datang dan menipunya. Cumanya Yazid dipertikaikan kerana tidak membunuh balas terhadap pembunuh Husain. Kata Ibn al-Salah (meninggal 643H):“Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh Husain r.a. Riwayat mereka yang dipercayai menyetakan perintah membunuh al-Husain datang dari orang yang mengepalai pembunuhannya iaitu `Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid m.s. 57, Kaherah: Dar al-Sahwah).
Maka, kita tidak dapat menerima sesetengah pihak yang memudah-mudahkan menerima kisah buruk hanya kerana yang dikaitkan itu seorang artis atau orang politik atau seorang yang tidak dipandang tinggi dalam agama. Dosa tetap dosa. Setiap insan ada haknya yang akan dibela di sisi Allah. Para wartawan hendaklah sedar hakikat ini. Jangan dalam keghairahan mengejar berita sensasi, mereka melanggar hak-hak insan yang dipelihara oleh agama. Sabda Nabi s.a.w. ketika haji terakhir baginda:“Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Para ulama juga bukan sedikit yang menjadi mangsa penyelewengan fakta. Cumanya fitnah terhadap tokoh-tokoh ilmuwan agama ini kebanyakannya lahir dari sentimen ketaksuban sesama golongan agama itu sendiri. Apabila adanya kelompok agama yang terlalu taksub terhadap sesuatu aliran atau tokoh, maka mereka akan memfitnah tokoh-tokoh yang dianggap tidak sealiran dengan aliran taksub mereka. Hal ini telah mengenai berbagai tokoh termasuk al-Imam al-Syafi’I, al-Bukhari, Ibn Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahhab dan ramai yang lain. Contohnya, di sana ada kitab yang dusta mengenai al-Rihlah ila al-Rasyid (Kembara Menuju Harun al-Rasyid) yang disandarkan secara palsu kepada al-Imam al-Syafi’i r.h. Dalam kitab tersebut banyak riwayat-riwayat yang bohong dan karut. Antara ianya mencerita bahawa Al-Imam al-Syafi’i bertemu dengan al-Qadi Abu Yusuf (w 182H), tokoh utama mazhab Abi Hanifah di Baghdad, sedangkan al-Qadi Abu Yusuf telah meninggal sebelum al-Imam al-Syafi’`I masuk ke Baghdad. Lebih buruk lagi ia menceritakan tokoh terkenal ulama Islam al-Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani (w 189H) dan juga al-Qadi Abu Yusuf merancang agar al-Imam al-Syafi’i dibunuh dengan membuat dakwaan terhadapnya di hadapan khalifah. Ini adalah fitnah yang besar terhadap kedua imam yang agung tersebut. Kedudukan kedua-dua imam yang agung itu memustahilkan mereka melakukan perkara yang seperti itu. Kisah ini semata-mata untuk memperlihatkan ketaksuban kepada imam al-Syafi’i. Semuanya datang daripada ‘Abd Allah bin Muhammad al-Balawi, seorang pendusta. Malangnya beberapa tokoh telah memetik apa yang diriwayatkannya tanpa menjelaskan pembohongan isi kandungannya. Sedangkan menurut kajian al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) al-Imam al-Syafi’i datang ke Bahgdad pada tahun 184H. Beliau telah berdialog dengan al-Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani di hadapan khalifah Harun al-Rasyid. Muhammad bin al-Hasan memuji al-Imam al-Syafi’i disebabkan kebijaksanaannya. Sehingga beliau memuliakan al-Imam al-Syafi’i dan mengambilnya sebagai tetamu. Adapun Al-Qadi Abu Yusuf telah meninggal setahun, atau dua tahun sebelum itu. (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/263, cetakan Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah, Beirut.).
Demikian fitnah yang dikenakan kepada Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h. Hanya kerana hasad dan taksub. Di Malaysia ini pun ada ‘tukang penyebar fitnah terhadap Ibn Taimiyyah’. Tujuannya agar cubaan membawa Islam dengan lebih terbuka dan ilmiah dapat dihalang, kerana Ibn Taimiyyah tokoh pembaharuan yang menjadi sumber inspirasi banyak pihak. Maka seperti biasa Ibn Taimiyyah dituduh sebagai wahhabi, padahal dia meninggal pada tahun 728H dan al-Imam Muhammad Abdul Wahhab lahir pada 1115H, iaitu hampir empat ratus sebelum kelahiran Muhammad bin Abdul Wahhab. Ilmu Ibn Taimiyyah r.h juga jauh mengatasi keilmuwan Muhammad bin Abdul Wahhab. Ibn Taimiyyah r.h telah membayar harga yang mahal untuk perjuangan pembaharuan yang dilakukan pada zamannya. Setiap kali gerakan perbaharuan berlaku, sejarah akan mengenangnya. Musuh-musuh pembaharuan pula akan membangkitkan semula fitnah terhadapnya. Pada zamannya musuh-musuh beliau dari kalangan ahli-ahli khurafat, syi`ah dan tarikat yang melampau telah menabur fitnah yang begitu dahsyat terhadap beliau. Dengan harapan, jatuhnya Ibn Taimiyyah, dapatlah mereka bermaharajalela. Tokoh dakwah terkenal Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi, dalam bukunya “Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah” telah menceritakan bagaimana golongan yang sesat berusaha agar Ibn Taimiyyah dipenjarakan. Apabila beliau dipenjarakan, maka mereka kembali berani untuk menyebarkan kesesatan mereka. Maka, para ulama pada zaman tersebut mulai sedar betapa besar dan pentingnya peranan Ibn Taimiyyah. Mereka mula menulis surat, merayu dan membelanya di hadapan pemerintah, sehingga al-Nadwi menyebut: “Ahli bid`ah dan hawa nafsu yang cuba untuk menonjolkan diri sebagai bermazhab Ahli sunnah, untuk menipu para pemerintah dan hakim (agar menangkap Ibn Taimiyah). Sebaik sahaja berjaya penipuan mereka, maka orang ramai pun nampaklah kejahatan mereka, dan golongan tersebut mulalah menonjol dan tidak bersembunyi lagi”.( Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah, m.s. 93-94, Kuwait: Dar al-Qalam) Jika kita perhatikan tokoh-tokoh umat pada zaman lalu dan kini, mereka banyak mengambil manfaat daripada khazanah Ibn Taimiyyah. Lihat al-Nadwi yang saya sebutkan di atas. Demikian juga al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut “Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku” (Al-Qaradawi, Kaif Nata‘amul ma‘a al-Sunnah, m.s. 170, Mesir: Dar al-Wafa).
Justeru, kita hendaklah berhati-hati dengan fitnah dan khabar buruk yang disebarkan oleh manusia yang bermusuhan atau berkepentingan. Orang yang difitnah sebenarnya tidak rugi di sisi Allah selagi dia ikhlas dan lurus dengan Allah. Bahkan dia akan diberi pahala yang besar. Namun yang menfitnah dan menyebarkan fitnah, akan menanggung bebanan dosa itu di dunia dan akan dibicarakan pada hari kiamat kelak. Janganlah kita jadi seperti masyarakat lalat hijau yang gemarkan bahan busuk, dan akan mati jika disiram air wangi. Cumanya, deria lalat selalu benar dan tidak menipu, maka ia benar-benar akan singgap pada yang busuk. Malangnya deria kita banyak yang tidak benar, lalu kita membusukkan yang tidak busuk. Lantas kita menanggung dosa sehingga kiamat. Dengari firman Allah (maksudnya): Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita dusta itu segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan mendapat hukuman sepadan yengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat). Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri mereka sendiri (sesama mukmin). dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”. (Surah al-Nur 11-12).