Ayat seterusnya yang dijadikan hujah
oleh Syi‘ah ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Kemudian
sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh
pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru
anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta
perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon
kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah
ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.” [‘Ali
Imran 3:61]
Syi‘ah menggelar
ayat ini sebagai Ayat al-Mubahalah.Perkataan Mubahalah (مباهلة) berasal daripada kata bahlahatau buhlah (بهلة) yang bererti doa yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kutukan
kepada lawan yang membangkang. ImbuhanMubahalah menunjukkan
wujudnya dua pihak yang saling melakukan perkara yang sama, dalam kes ini
saling berdoa kepada Tuhan untuk menjatuhkan laknat kepada pihak yang
mengingkari kebenaran.[1]
Merujuk kepada ayat di atas,
diriwayatkan bahawa pada
satu ketika datang delegasi Nasrani dari Najran[2] untuk
berdialog dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di
Kota Madinah dalam subjek perbandingan agama antara Kristian dan Islam. Setelah
disampaikan segala hujah yang benar yang tidak mampu dijawab oleh delegasi
Nasrani, mereka tetap enggan mengakui kebenaran Islam, apatah lagi memeluknya.
Keengganan delegasi Nasrani ini
menyebabkan AllahSubhanahu wa Ta‘alamenurunkan ayat 61 surah ‘Ali Imran
di atas. Merujuk kepada firman Allah: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan
perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta
diri kamu… ,
Rasulullah telah memanggil 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu
'anhum. Pihak delegasi Nasrani berdoa kepada Tuhan mereka yang tiga (The
Father, The Son: Jesus and The Holy Spirit)[3] manakala
Rasulullah berdoa kepada Allah, Tuhan yang Satu.
Ayat 61 surah ‘Ali Imran dan kisah
bermubahalah di atas dijadikan hujah oleh Syi‘ahsepertimana
berikut:
HUJAH SYI‘AH
Bagi Syi‘ah, ayat
ini adalah bukti kekhususan dan keistimewaan 'Ali, Fathimah, Hasan dan
Husain radhiallahu 'anhum yang tidak dimiliki oleh mana-mana
sahabat yang lain. Ini kerana untuk bermubahalah, Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam tidak memanggil mana-mana sahabat yang lain kecuali
'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain. Muhammad Mar‘i al-Amin dalam bukunya Mengapa
Aku Memilih Ahl al-Bait? menulis:[4]
Sesungguhnya bersepakat para ahli
tafsir bahawa (Ayat al-Mubahalah) diturunkan kepada lima manusia suci; Muhammad,
'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain ‘alahim al-Salam. Di sana terdapat
para sahabat yang utama dari kalangan kaum lelaki akan tetapi baginda tidak
memanggil seorangpun daripada mereka selain daripada 'Ali, Hasan dan Husain.
Kemudian di sana juga terdapat Ummahat al-Mukminin (para
isteri Rasulullah) dan wanita-wanita Bani Hasyim akan tetapi baginda tidak
memanggil seorangpun daripada mereka selain daripada anak kandungnya al-Shadiqah(Fatimah)
al-Zahra' ‘alaihi salam.
Kekhususan dan keistimewaan 'Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum, lanjut Syi‘ah, tidak
hanya terletak pada pemilihan mereka oleh Rasulullahshallallahu 'alaihi
wasallam untuk bermubahalah tetapi juga pada kejayaan
mereka untuk menakutkan delegasi Nasrani daripada bermubahalah. Apabila
delegasi Nasrani melihat Rasulullah membawa bersama 'Ali, Fathimah, Hasan dan
Husain untuk bermubahalah, mereka terus mengundur diri sekalipun mereka
(Rasulullah, 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain) pada saat itu belum lagi berdoa
meminta laknat Allah ke atas delegasi Nasrani tersebut. Ini tidak lain
disebabkan kekhususan dan keistimewaan yang terdapat pada diri 'Ali, Fathimah,
Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum.
Muhammad Mar’i al-Amin menyalin
riwayat berikut daripada kitab Tafsir al-Zamakhsyari sebagai
bukti ke atas kejayaan tersebut:[5]
Diriwayatkan bahawa apabila mereka
(kaum Nasrani dari Najran) diajak (oleh Rasulullah) untuk bermubahalah, mereka
berkata: “Kami akan pulang dan kami akan membuat keputusannya.” Manakala mereka
pergi, mereka berkata kepada 'Aqib, seorang yang pintar di kalangan mereka:
“Wahai hamba al-Masih apa pandangan anda?” Dia menjawab: “Demi Allah
sesungguhnya kalian mengetahui wahai kaum Nasrani, bahawa sesungguhnya Muhammad
adalah seorang Nabi yang diutuskan. Dia telah mendatangi kalian dengan
keterangan daripada Tuhan kalian. Demi Allah tidak ada satu kaum pun (yang
pernah bermubahalah dengan seorang Nabi) sehingga yang kecil dan
besar mereka dapat hidup. Sekiranya kalian lakukan, nescaya kalian akan binasa.
Dan sekiranya kalian enggan bermubahalah maka dia akan membiarkan
agama kalian dan kalian kekal dengan agama kalian. Lantaran itu ucaplah selamat
tinggal kepada lelaki itu dan kembalilah ke tempat kalian.”
Maka merekapun datang kembali
menemui Rasulullahshallallahu ‘alaihi wa alihiyang pada ketika itu
beliau sedang mendukung Husain, memegang tangan Hasan, Fatimah berjalan di
belakangnya dan 'Ali di belakang Fatimah. Baginda bersabda: “Tidakkah aku telah
menyeru kalian, maka berimanlah.”
Lalu uskuf (bisyop) kaum Najran
tersebut menjawab: “Wahai bangsa Nasrani! Sesungguhnya aku sedangmelihat kepada muka-muka mereka,
sekiranya Allah mahu menghilangkan bukit dari tempatnya, nescaya Dia akan
menghilangkannya melalui kemuliaan
muka-muka mereka. Justeru itu janganlah kalian bermubahalah,
nanti kalian akan binasa, dan tidak tinggal lagi seorang Nasrani pun di bumi
ini hingga di Hari Kiamat.”
Lalu mereka berkata: Wahai Abu Qasim
(gelaran kepada Nabi Muhammad), kami fikir kami tidak akan bermubahalah dengan
anda sebaliknya kami mengakui anda di atas agama anda sementara kami kekal di
atas agama kami.” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:
“Sekiranya kalian enggan bermubalahah, maka masuklah Islam. Ke atas
kalian (hak-hak) sebagaimana di atas mereka (Islam).”
(Lantas mereka menolaknya), kemudian
baginda bersabda: “Aku melepaskan kalian.” Mereka menjawab: “Kami tidak mampu
untuk memerangi Arab, justeru itu kami membuat perdamaian dengan anda supaya
anda tidak memerangi kami, menakut-nakutkan kami dan memaksa kami supaya
meninggalkan agama kami. Sebagai balasan kami akan memberikan kepada anda
setiap tahun dua ribu Hillah, seribu pada bulan Safar, dan seribu pada bulan
Rajab, dan tiga puluh baju besi biasa.”
Maka Rasulullah mengadakan
perjanjian damai dengan mereka dengan syarat-syarat tersebut. Baginda bersabda:
“Demi diriku di Tangan-Nya, sesungguhnya kebinasaan telah jelas ke atas ahli
Najran (suku kaum Nasrani tersebut). Dan sekiranya mereka bermubahalah,
nescaya mereka bertukar menjadi kera dan babi serta lembah ini menjadi api
membakar mereka. Allah akan melenyapkan Najran dan penduduk-penduduknya sekali
sehingga burung yang hinggap di atas pokok." Manakala genap setahun mereka
dibinasakan (kerana tidak menepati janji mereka).
Terdapat seperkara lain yang tidak
kurang penting di dalam ayat ini yang dijadikan hujah olehSyi‘ah. Syi‘ah merujuk
kepada firman Allah: Anak-anak
kami…bermaksud Hasan dan Husain,Perempuan-perempuan kami… bermaksud Fathimah danDiri kami… bermaksud
Rasulullah dan ‘Ali bin Abi Thalib.Syi‘ah menekankan bahawa
berdasarkan firman Allah Diri
kami… (أنفسنا), diri ‘Ali disamakan kepada diri
Rasulullah. Hal ini diperkuatkan lagi oleh sabda Rasulullahshallallahu
'alaihi wasallamkepada ‘Ali dalam sebuah hadis sahih yang berasingan:
Anda
di sisi aku seperti Harun di sisi Musa kecuali bahawasanya tidak ada Nabi
sesudah aku.
Muhammad Mar‘i al-Amin justeru
membuat kesimpulan berikut:[6]
Aku berpendapat, apa yang zahir
daripada ayat (al-Mubahalah) yang mulia ini adalah bahawa khalifah yang
wajib selepas Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallamialah 'Ali bin Abi
Talib ‘alaihi salam kerana Allah menjadikan (“nafs” 'Ali)
sebagai “nafs” Muhammadshallallahu ‘alaihi wasallamdengan ilmunya, akhlaknya,
kemuliaannya, keberaniannya, lemah lembutnya, kasihan belasnya terhadap
orang-orang yang lemah, garangnya terhadap orang yang zalim dan kedudukannya
tinggi yang dengannya Allah mengangkatnya. Kecuali kenabian berdalilkan sabda
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (yang maksudnya): “Anda di
sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa hanya tiada Nabi
selepasku." Justeru itu tidak dibolehkan mendahulukan (memberi prioriti)
seorang jua ke atas ‘Ali secara mutlak kerana mendahulukan seseorang (selain ‘Ali)
adalah seumpama mendahulukan (seseorang) di atas Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam.
Demikianlah panjang lebar
penghujahan Syi‘ah ke atas ayat 61 surah ‘Ali Imran. Sekarang
marilah kita mengkaji dan membahasnya untuk melihat sejauh mana kebenaran hujah-hujah
tersebut.
JAWAPAN AHL AL-SUNNAH
Ahl al-Sunnah mengakui
peristiwa Mubahalah antara Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam dan delegasi Nasrani dari Najran. Ia tercatit di
dalam kitab-kitab sahih, antaranya di dalam Shahih al-Bukhari:
Daripada
Huzaifah (radhiallahu 'anh), dia berkata: al-Aqib dan al-Sayyid, ketua delagasi
Najran datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk saling
melaknat (Mubahalah).
(Huzaifah
menyambung): Lalu berkata salah seorang daripada mereka kepada sahabatnya:
“Janganlah berbuat demikian kerana Demi Allah, jika benar dia (Muhammad)
seorang Nabi lalu kita melaknat dia pasti kita dan generasi sesudah kita tidak
akan mencapai kejayaan.”
Lalu
akhirnya mereka berdua berkata: “Kami akan memberikan apa yang kamu minta
(sebagai perjanjian damai) dan utuskanlah kepada kalangan kami seorang yang
amanah, tidak sebarangan orang kecuali yang amanah.” Rasulullah menjawab: “Aku
akan mengutus bersama kalian seorang yang amanah, benar-benar amanah.”
Setelah
itu maka setiap seorang daripada para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam sangat-sangat berharap agar merekalah yang terpilih sebagai utusan
yang amanah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda: “Bangunlah wahai Abu ‘Ubaidah
bin al-Jarrah.” Tatkala (Abu ‘Ubaidah) berdiri Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda: “Inilah orang amanah umat ini.” [7]
Ahl al-Sunnah juga
menerima bahawa ayat 61 surah ‘Ali Imran diturunkan merujuk kepada 'Ali,
Fathimah, Hasan dan Husainradhiallahu 'anhum. Sa‘ad bin Abi
Waqqas radhiallahu 'anhmenerangkan:
Tatkala
diturunkan ayat: Maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak
kami serta anak-anak kamu……[‘Ali Imran 3:61], Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam menyeru 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain lalu berdoa: “Ya Allah!
Merekalah ahli keluarga aku.” [8]
Akan tetapi pada waktu yang
sama Ahl al-Sunnah menolak penghujahan Syi‘ah ke
atas ayat 61 surah ‘Ali Imran dan peristiwaMubahalah. Penolakan ini
adalah seperti berikut:
Pertama: Peristiwa Mubahalah bukanlah hujah kekhususan mahupun
keistimewaan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain.
Tindakan Rasulullahshallallahu
'alaihi wasallammemilih 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu
'anhumdalam peristiwa Mubahalahdengan meninggalkan para sahabat
yang lain bukanlah untuk membuktikan kekhususan mahupun keistimewaan mereka
berempat akan tetapi untuk membuktikan keyakinan baginda tentang Allah yang
Maha Esa dan risalah Islam yang disampaikannya.
Ini kerana bermubahalahialah
satu tindakan berdoa kepada tuhan masing-masing untuk menjatuhkan laknat ke
atas pihak lawan. Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membawa
bersama ahli keluarganya yang terdekat lagi dicintainya, ia menunjukkan
keyakinan Rasulullah yang tidak berbelah bahagi untuk bermubahalah.
Seandainya Rasulullah tidak yakin
bahawa Allah akan mengabulkan doanya untuk menjatuhkan laknat, bahkan yang akan
mengabulkannya ialah Tuhan Nasrani yang Tiga, pasti baginda tidak akan membawa
bersama ahli keluarga yang terdekat lagi yang dicintainya. Dalam erti kata
lain, seandainya Rasulullah tidak yakin dengan risalah Islam yang dibawanya,
bahkan yang benar adalah agama Nasrani, pasti baginda tidak akan mengorbankan
'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain yang amat dicintainya untuk bermubahalah.
Muhammad Quraish Shihab, ahli tafsir
kontemporer dari Indonesia menerangkan hakikat ini:[9]
Sungguh Nabi sangat yakin akan
kebenaran yang beliau sampaikannya, yakni tidak sedikit keraguan pun yang
menyentuh jiwa beliau. Sungguh beliau bersiap sedia melakukan mubahalah,
tidak secuil keraguan atau kekhawatiran – sampai-sampai beliau mengajak
orang-orang yang paling beliau cintai, yakni anak-anak dan cucu-cucunya yang
biasanya dibela dan dihindarkan dari segala kemungkinan ancaman.
Keyakinan Rasulullahshallallahu
'alaihi wasallammembawa 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu
'anhummenyebabkan delegasi Nasrani menjadi ragu-ragu sehingga akhirnya
menarik diri daripada bermubahalah. Pengunduran delegasi Nasrani
membuktikan bahawa mereka sendiri tidak yakin akan iktikad Tuhan Bertiga yang
mereka pegang selama ini. Bahkan mereka akhirnya meminta Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam mengutuskan seseorang yang amanah untuk mengajar
mereka tentang Islam.
Bukti
kedua bahawa peristiwa Mubahalah bukanlah
hujah kekhususan atau keistimewaan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu
'anhum ialah tindakan Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam untuk
memilih Abu ‘Ubaidah bin Jarrahradhiallahu 'anh sebagai utusan yang
akan mengajar kaum Nasrani Najran tersebut. Malah Rasulullah bukan sahaja
sekadar memilih Abu ‘Ubaidah tetapi baginda juga mengiktiraf beliau
sebagai “Inilah orang amanah
umat ini.”
Di sini penulis ingin menarik
perhatian para pembaca yang budiman sekalian kepada satu poin penting. Jika
para pembaca lazim membaca hujah-hujahSyi‘ah terhadap ayat 61 surah
‘Ali Imran dan kaitannya dengan peristiwa Mubahalah, tidak akan
ditemui mana-mana sumberSyi‘ah yang mengemukakan riwayat Shahih
al-Bukhari dan lain-lain rujukan hadis Ahl al-Sunnah tentang
pemilihan Abu ‘Ubaidah bin Jarrah radhiallahu 'anh. Ini kerana
tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk tidak memilih‘Ali bin Abi
Thalib radhiallahu 'anhadalah bukti jelas yang membatalkan
hujah Syi‘ahtentang kekhususan mahupun keistimewaan ‘Ali bin Abi
Thalib.[10]
Kedua: Riwayat
bahawa delegasi Nasrani menarik diri daripada bermubahalah setelah melihat muka-muka 'Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain adalah tidak benar.
Dalam riwayat yang dikemukakan oleh
al-Zamakhsyari rahimahullah(538H), disebut bahawa:
Lalu Bisyop Nasrani menjawab: “Wahai
kaum Nasara! Sesungguhnya aku sedang melihat kepada muka-muka mereka, sekiranya Allah mahu
menghilangkan bukit dari tempatnya, nescaya Dia akan menghilangkannya melaluikemuliaan muka-muka mereka. Justeru
itu janganlah kalian bermubahalah, nanti kalian akan binasa, dan tidak
tinggal lagi seorang Nasrani pun di bumi ini hingga di Hari Kiamat.”
Dalam riwayat ini kelihatan
seolah-olah sebab delegasi Nasrani mengundur diri daripada bermubahalah ialah
setelah melihat kemuliaan muka-muka 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husainradhiallahu
'anhum.
Riwayat ini tidak memiliki asal
usulnya. al-Zamakhsyari mengemukakannya tanpa sanad mahupun menyebut sumber
rujukannya. Sejauh kajian penulis, sumber terawal yang mengemukakan riwayat ini
ialah al-Tsa’labi (427H) di dalam kitab tafsirnya al-Kasyf wa al-Bayan,
jld. 3, ms. 85 (tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran). Akan tetapi
al-Tsa’labi juga tidak mengemukakan sanad mahupun menyebut sumber rujukannya.
Riwayat yang dikemukakan oleh al-Tsa’labi ini kemudiannya diambil oleh
sebahagian ahli tafsir yang lain di dalam kitab-kitab mereka. Sayang sekali
tidak seorang jua daripada para ahli tafsir ini – rahimahumullah –
yang menyemak sanad atau sumber rujukannya.
Di sini perlu dibezakan bahawa
peristiwa Mubahalahmemang benar berlaku dan ia diriwayatkan secara
bersanad dengan pelbagai lafaz, sebahagiannya panjang dan sebahagiannya pendek.
Akan tetapi sejauh kajian penulis, tambahan yang disebut oleh al-Tsa’labi tidak
wujud dalam mana-mana riwayat yang bersanad.
Para pembaca boleh mengkaji sendiri
riwayat-riwayat yang bersanad tentang peristiwaMubalahah dalam
pelbagai kitab hadis Ahl al-Sunnah seperti al-Shahih,
al-Sunan, al-Musnad, al-Musannaf, al-Mustadrak dan al-Mu’jam. Selain
itu terdapat beberapa rujukan khusus sepertimana berikut:
1. ‘Abd Razzaq bin Hammam
al-Shan‘ani (211H) – Tafsir ‘Abd al-Razzaq – riwayat no:
409-411 (tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran).
2. Ahmad bin Hanbal
(241H) –Fadha’il al-Shahabah – riwayat no: 1374 (Kitab
Keutamaan al-Hasan dan al-Husain).
3. Ahmad bin Yahya al-Balazuri
(279H) – Futuh al-Buldan, ms. 75-76 (Bab Perjanjian dengan
Najran).
4. Ibn Jarir al-Thabari
(310H) –Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Qur’an – riwayat no:
5666-5675 (tafsir ayat 61-63 surah ‘Ali Imran)
5. Ibn Abi Hatim al-Razi (327H)
– Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim: Musnadan ‘an Rasulullah wa al-Shahabah wa
al-Tabi‘in – riwayat no: 3615-3623 (tafsir ayat 61 surah ‘Ali
Imran).
6. Ibn Marduyah (410H),
sebagaimana nukil Ibn Katsir di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, jld.
3, ms. 81(tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran).
7. Abu Nu‘aim al-Ashbahani
(430H) – Dala’il al-Nubuwwah– riwayat no: 244 & 245 (Bab
Kisah al-Sayyid dan al-Aqib……).
8. al-Baihaqi (458H) – Dala’il
al-Nubuwwah, jld. 5, ms. 382-393 (Bab Delegasi Najran……).
9. al-Wahidi (468H) – Asbab
al-Nuzul, ms. 136-137 (sebab turun ayat 61 surah ‘Ali Imran).
Oleh itu sekali lagi ditekankan
bahawa tambahan yang disebut oleh al-Tsa’labi tidak memiliki asal usulnya.
Justeru riwayat tersebut tertolak berbanding dengan riwayat-riwayat lain yang
lengkap bersanad. Yang benar delegasi Nasrani mengundur diri daripada bermubahalah bukan
kerana “muka-muka” 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husainradhiallahu 'anhum akan
tetapi kerana keyakinan Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallammembawa
ahli keluarganya yang terdekat lagi dicintainya.
Ketiga: Perkataan Anfusana (أنفسنا) tidak bermaksud
kesamaan diri akan tetapi kesamaan perbuatan.
Perkataan Anfusana (أنفسنا) tidak bermaksud kesamaan diri akan tetapi kesamaan perbuatan.
Berikut dikemukakan dua ayat yang juga menggunakan perkataan Anfusana:
Pertama, firman Allah:
Wahai
sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari
kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayat-Ku, dan yang
memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan Hari (Kiamat) ini?
Mereka
menjawab: “Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri(أنفسنا) (mendustakan
Rasul-rasul itu).” [al-An‘aam 6:130]
Dalam ayat di atas perkataanAnfusana tidak
bermaksud kesamaan diri tetapi kesamaan dalam bersaksi akan kesalahan
masing-masing. Sesama jin dengan manusia, sesama jin dengan jin dan sesama
manusia dengan manusia wujud perbezaan yang pelbagai sehingga tidak mungkin
mereka semua boleh dikatakan sebagai “satu diri.”
Kedua, firman Allah:
Mereka
berdua (Adam dan Hawa) merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri
kami sendiri (أنفسنا), dan kalau Engkau
tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami
dari orang-orang yang rugi.” [al-A’raaf 7:23]
Di atas adalah doa bertaubat yang
diucapkan oleh Nabi Adam‘alaihi salam dan Hawa setelah mereka
menganiaya diri sendiri di dalam syurga dengan mengikut bisikan Iblis
menghampiri pohon terlarang (Lihat surah al-A’raaf mulai dari ayat 19).
Perkataan Anfusanatidak bermaksud kesamaan diri kerana Adam ialah
seorang Nabi Allah dan seorang lelaki manakala Hawa adalah seorang perempuan.
Akan tetapi perkataan Anfusana bermaksud kesamaan perbuatan,
iaitu menganiaya diri sendiri kerana mengikuti bisikan Iblis menghampiri pohon
terlarang.
Berdasarkan dua ayat di atas,
perkataan Anfusana di dalam ayat 61 surah ‘Ali Imran tidak
bermaksud kesamaan diri antara Rasulullah dan ‘Ali akan tetapi kesamaan perbuatan
Rasulullah dan ‘Ali bermubahalah dengan delegasi Nasrani.
Bagaimana mungkin disamakan antara Rasulullah dan ‘Ali padahal Rasulullah
adalah manusia yang teristimewa di kalangan para manusia, Nabi Allah yang
termulia di antara para Nabi dan Rasul Allah yang terpenting di kalangan para
Rasul manakala ‘Ali adalah seorang manusia yang bukan Nabi dan bukan Rasul.
Adapun hadis Rasulullahshallallahu
'alaihi wasallamkepada ‘Ali radhiallahu 'anh:
Anda
di sisi aku seperti Harun di sisi Musa kecuali bahawasanya tidak ada Nabi
sesudah aku.[11]
Ia adalah hadis sahih yang tidak
lain hanya menunjukkan keutamaan ‘Ali kepada Rasulullah. Hadis di atas tidak
membawa apa-apa bukti bahawa Rasulullah dan ‘Ali adalah “diri” yang sama
sebagaimana juga Nabi Musa dan Nabi Harun bukanlah “diri” yang sama. Hadis di
atas juga tidak memiliki apa-apa isyarat kekhalifahan kerana Nabi Harun ‘alaihi
salambukanlah khalifah Bani Israil sesudah Nabi Musa ‘alaihi salam.
Kesimpulan
mudah kepada para pembaca:
Pemilihan 'Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain untuk bermubahalah bukanlah bukti
keistimewaan mereka tetapi bukti keyakinan Rasulullah terhadap risalah Islam
yang disampaikan baginda.
Perkataan Anfusanabukan
bermaksud kesamaan diri tetapi kesamaan perbuatan.
[1]
Quraish Shihab –Tafsir al-Mishbah, jld. 2, ms. 105.
[2]
Najran terletak di Yaman, kira-kira 240km di utara bandar San’a. [Syed Anwar
Ali –Qur’an: The Fundamental Law of Human Life (Hamdard Foundation,
Karachi 1987), jld. 4, ms. 172].
[3]
Sejauh mana kebenaran konsep Trinity ini? Sila rujuk buku Christianity
Through The Lens Of Christian & Muslim Scholars (Part One & Two) oleh
M. Amin Yaacob (Jahabersa, Johor Bahru 2004).
[4] Limaza
Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah, ms. 67-68.
[5] Limaza
Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah, ms. 68-69. Lebih lengkap rujuk Tafsir
al-Zamakhsyari (al-Kasyf ‘an Haqa’iq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil fi Wujuh
al-Ta’wil), jld. 1, ms. 395-397 (tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran).
[6] Limaza
Akhtartu Mazhab al-Syi ‘ah, ms. 74.
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh
al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain, lihat Shahih
al-Bukhari – no: 4380 (Kitab al-Maghazi, Bab Kisah Ahli
Najran). Selain Huzaifah, hadis ini juga diriwayatkan oleh ‘Abd Allah
ibn Mas‘ud radhiallahu 'anh,dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bazzar,
al-Nasa’i (Sunan al-Kubra), al-Hakim dan lain-lain. Berkata al-Haitsami
di dalamMajma’ al-Zawa’id – no: 14911(Kitab Manaqib, Bab Manaqib
Abu ‘Ubaidah bin Jarrah):Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bazzar, para perawi
al-Bazzar adalah perawi yang sahih. Demikian juga para perawi Ahmad kecuali
Khalaf bin al-Walid, dia thiqah.
[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad,
Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain, lihat Shahih Muslim - no:
2404-3 (Kitab Keutamaan para sahabat, Bab Keutamaan ‘Ali bin Abi
Thalib).
[9] Tafsir
al-Mishbah, jld. 2, ms. 105.
[10]
Mengikut riwayat yang dibawa oleh Muhammad ibn Ishaq, Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam turut mengutus ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu
'anhke Najran. Akan tetapi pengutusan ini adalah pada masa yang terkemudian
untuk mengutip jizyah. Rujuk al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn
Hisyam, jld 4, ms. 212 (Bab Haji Wida’)dan Dala’il
al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, jld. 5, ms. 394 (Bab-bab tentang
delegasi Arab kepada Rasulullah, Bab Rasulullah mengutus ‘Ali bin Abi Thalib ke
Ahli Najran dan Yaman sesudah Khalid bin al-Walid).
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh
al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Shahih al-Bukhari –
no: 3706 (Kitab al-Manaqib, Bab Manaqib ‘Ali bin Abi Thalib),Shahih
Muslim – no: 2404 (Kitab Keutamaan para sahabat, Bab Keutamaan
‘Ali bin Abi Thalib), di atas dengan lafaz Muslim