Sunday, July 19, 2015

Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

Kandungan :

1.                Menjawab Fitnah: Qidam al-‘Alam bi al-Nau’ (قدم 

         العالم بالنوع)            

2.                Menjawab Fitnah: Al-Hawadits Allati La Awwala 

        Laha(الحوادث التي لا أول لها)         

3.                Menjawab Fitnah: Allah Memiliki Batasan (الحد)        

4.                Menjawab Fitnah: Allah Memiliki Arah (الجهة)    

5.                Menjawab Fitnah: Allah Berjisim (التجسم)             

6.                Menjawab Fitnah: Berlaku Perbuatan Perbuatan   

        Baru Pada Zat Allah (حلول الحوادث بذات الله)

7.                Menjawab Fitnah: Allah Berkata-Kata (كلام الله)   

8.                Menjawab Fitnah: Kebinasaan Neraka (فناء النار

9.                Menjawab Fitnah: Pergerakan Bagi Allah (الحركة)     

10.             Menjawab Fitnah: Nabi Duduk Di Atas Arasy

         (إجلاس النبي على العرش

11.             Menjawab Fitnah: Allah Menetap Di Atas   

         Belakang Nyamuk (الاستقرار على ظهر بعضة)    

12.             Menjawab Fitnah: Keaslian Taurat dan Injil (تبديل 

         التورات والإنجيل

13.             Menjawab Fitnah: Tiada Kiasan Dalam Bahasa 

         (المجاز في اللغة

14.             Menjawab Fitnah: Masalah-Masalah Aqidah Dan 

          Persoalan Ijtihad (مسائل العقيدة والاجتهاد)

15.             Menjawab Fitnah: Masalah Talak (الطلاق

16.             Menjawab Fitnah: Masalah Tawasul (التوسل

17.             Menjawab Fitnah: Masalah Ziarah Kubur Nabi (شد 

           الرحل إلى قبره النبي)


Kata Pengantar Penterjemah  
Bismillahir rahmanir rahim,

Semenjak dari zaman persekolahan, saya sering mendengar pelbagai tohmahan dan kata-kata nista dilontarkan oleh pihak-pihak tertentu dalam masyarakat terhadap Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah. Oleh kerana saya masih di alam pengajian peringkat menengah, apa yang didengar, diterima antara percaya atau tidak. Namun saya berusaha meluaskan pembacaan untuk mengkaji dan menilai sendiri sejauh mana benar atau tidaknya tohmahan berkenaan. Saya masih ingat ketika sedang menuntut di sebuah sekolah agama berasrama penuh, rakan-rakan yang lebih senior sering menjadikan kata-kata Ibn Taimiyyah dari kitab beliau Al-Ubudiyyah sebagai rujukan. Senario sebegini menjadikan saya semakin teruja untuk mengetahui kedudukan sebenar perkara ini.

Apabila berpeluang menyambung pengajian ke salah sebuah universiti di Timur Tengah, saya menggunakan kesempatan ini untuk menelaah kitab-kitab karangan Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah bagi menilai dan mengukur sendiri segala apa yang telah didengar sebelum ini.  Akhirnya nyatalah kepada saya, segala tuduhan, tohmahan dan kata-kata nista yang ditujukan oleh golongan tertentu kepada Ibn Taimiyyah merupakan fitnah-fitnah jahat untuk memburukkan peribadi beliau agar kebenaran yang beliau cuba persembahkan terpadam dari kehidupan umat ini.

Golongan yang cuba memfitnah Syaikh Al-Islam tidak lain dan tidak bukan semata-mata mahu mempertahankan kebatilan dan penyelewengan yang menjadi pegangan mereka. Golongan berkenaan mungkin satu dari 3 yang berikut:
Golongan bid'ah yang menyeleweng dari manhaj ahli sunnah yang sebenar seperti jahmiyyahmuktazilah,syi'ah dan sebagainya 
Golongan Asya'irah yang menisbahkan diri mereka sebagai pengikut Abu Al-Hasan Al-Asy'ari – yang asalnya bermazhab muktazilah tetapi akhirnya kembali kepada aliran ahli sunnah yang sebenarnya,
Golongan ahli sufi yang suka mereka-reka pelbagai amalan bid'ah melalui tariqat anutan mereka – walaupun tidak dinafikan ada juga ahli sufi yang berpegang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah. 
Setiap satu dari golongan di atas mempunyai peranan masing-masing untuk menafikan usaha pemurniaan yang dijalankan Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah. Sebahagian dari tuduhan mereka tidak masuk akal. Contohnya Ibn Taimiyyah dituduh berpegang dengan akidah tajsim (menganggap Tuhan berjisim). Hakikatnya beliau sendiri menolak fahaman berkenaan dan menegaskan di dalam kitab-kitab karangan beliau tentang kesesatan dan kekufuran fahaman tajsim itu sendiri. 

Amat mendukacitakan, apabila sebahagian umat Islam di dunia ini menerima bulat-bulat tuduhan palsu yang sangat beracun ini, tanpa sebarang usul periksa dan kemahuan untuk mengkaji terlebih dahulu. Sikap terburu-buru dalam menilai dan menghukum seseorang apatah lagi individu yang hendak dinilai itu seorang yang terkenal sangat luasnya ilmunya, pasti mengundang kesan buruk yang bukan kepalang hebatnya.

Kita dapat melihat sendiri, dalam realiti masyarakat Islam di Malaysia yang sangat serasi dengan nama-nama tokoh dalam bidang tasawwuf seumpama Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullah, masyarakat lantas menolak mentah-mentah segala pendapat Ibn Taimiyyah kerana dilihat antara beliau dan Imam Ghazali sering berlaku pertentangan dalam beberapa isu. Imam Ghazali dikenali sebagai seorang sufi dan ahli falsafah (filosof) manakala Ibn Taimiyyah sangat kuat mengkritik golongan berkenaan atas sebab faktor-faktor tertentu.

Fenomena ini menatijahkan ketidakadilan di sisi masyarakat dalam menilai dan menghukum individu yang tidak sehaluan dengan pemikiran mereka. Apa yang datang dari Ibn Taimiyyah sering dilihat dari sudut yang negatif walaupun terbukti kebenarannya. Justeru apabila masyarakat didatangi suara-suara sumbang yang memfitnah Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah, mereka serta merta mempercayainya seratus peratus. Mereka seolah-olah lupa dengan pesanan Allah Subhanahu Wa Taaladi dalam Al-Qur'an :
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. Al-Hujurat  [49:6].

Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah telah mengarang kitab Minhaj As-Sunnah dalam rangka menjawab bermacam penyelewengan puak Syi'ah dan segala bentuk kesesatan yang berlaku di kalangan mereka. Puak Syi'ah pula tak semena-mena menuduh Syaikh Al-Islam seorang yang anti ahlil bait.

Di zaman mutakhir ini, sepatutnya kita mengambil sikap yang bijak dan berfikiran matang apabila berhadapan dengan kegawatan pelbagai isu berkenaan kehidupan umat Islam. Setiap permasalahan perlu dilihat dari sudut yang lebih terbuka dan atas keinginan untuk mencari kebenaran. Seandainya terdapat di kalangan umat Islam Malaysia yang mendakwa mereka bermazhab Imam Syafie, kemudian secara mentah-mentah menolak pandangan dan ilmu yang disampaikan oleh ulamak lain yang bukan dari kalangan Mazhab Syafie, keadaan seperti ini hanya mampu diungkapkan dengan istilah "buta minda" atau "pemikiran sempit". 

Justeru itu, walaupun Syaikh Al Islam Ibn Taimiyyah bukan dari kalangan tokoh ulamak As Syafieyyah, maka umat Islam di Malaysia khususnya yang bermazhab Imam Syafie sepatutnya menaruh sangkaan baik terhadap Ibn Taimiyyah dan juga mana-mana tokoh ulamak lain yang bukan dari aliran mazhab Syafie apabila mereka terdengar sesuatu yang belum diketahui kesahihan khabar berita itu. Seeloknya buatlah kajian, semakan dan bertanyalah kepada pihak yang mengetahui kedudukan masalah ini beserta dengan fakta-fakta dan bahan rujukannya. 

Untuk makluman pihak pembaca, teks asal buku "Menjawab 17 Fitnah Terhadap Ibn Taimiyyah" karya Syaikh Murad Syukri adalah merupakan sebuah buku yang sangat sukar untuk difahami gaya bahasanya. Khususnya perbincangan yang berkaitan dengan istilah-istilah ahli falsafah. Atas persetujuan bersama dengan pihak penyunting (Hafiz Firdaus) penterjemahan tidak dilakukan sepenuhnya secara harifiyyah tetapi lebih banyak kepada bentuk mengambil pengertiannya (mengambil maksud dari kitab asal tanpa terikat dengan gaya bahasa asal sepenuhnya).

Manakala contoh-contoh yang dikemukakan tidak diambil secara keseluruhannya. Memadai diambil beberapa contoh untuk setiap tajuk. Mesej yang terkandung di dalam tajuk berkenaanlah yang lebih utama untuk difahami oleh pihak pembaca. Nasihat saya kepada para pembaca, sekiranya anda terjumpa di dalam mana-mana bahan bacaan berbentuk buku, majalah, risalah atau artikel sebarang fakta yang berbentuk mencaci, mentohmah, mencerca dan menghina Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah, pastikan kesahihannya terlebih dahulu. Cuba selidiki latar belakang pihak yang menulisnya.  Jangan mudah mempercayainya sehinggalah anda menyiasatnya terlebih dahulu. Kajilah dan bacalah buku-buku karangan Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah. Apa yang benar datangnya dari Allah, jadi berlaku adillah walau kepada sesiapa pun.   

Selamat Membaca.     

Kata Pengantar Pengulas

بِاسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ

Menjadi satu sifat lazim untuk bersikap dengki kepada orang yang pada dirinya terdapat banyak kebaikan. Dengki ialah keinginan agar kebaikan itu hilang, sekali pun orang yang mendengki itu tidak memperolehnya. Dengki ialah salah satu penyakit hati, yang sayang sekali, turut menjangkiti orang-orang agama. Iya! Orang yang kita sangka agamawan, sebenarnya memiliki hati yang justeru menyelisihi nilai-nilai agama.
Saya sendiri memiliki satu kata pepatah: “Orang agama tidak semestinya kaya dengan nilai-nilai agama sebagaimana orang bukan agama tidak semestinya miskin dari nilai-nilai agama”.
Jika kita mengkaji sejarah para tokoh, para ilmuan dan para imam umat Islam, pasti akan ditemui sekian-sekian fitnah dilontarkan kepada mereka. Ini berlaku semata-mata kerana kedengkian yang tersemat di dalam hati pemfitnah. Di antara tokoh, ilmuan dan imam yang menjadi mangsa ialah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
Nama lengkap beliau ialah Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Abd al-Salam bin Taimiyyah al-Harani. Beliau lahir di daerah Harran, Syria pada hari Isnin, 10 Rabiulawwal, tahun 661H. Beliau berasal daripada keluarga yang terkenal dengan keilmuan mereka dalam agama Islam. Sejak awal Ibn Taimiyyah belajar agama daripada sekian banyak guru. Akan tetapi disebabkan kecerdasannya yang luar biasa, beliau mampu belajar sendiri dalam pelbagai subjek lain dengan pantas.
Akhirnya beliau menjadi seorang ilmuan yang lebih hebat daripada para gurunya dan para tokoh sezaman dengannya. Beliau dapat menguasai pelbagai cabang ilmu yang tidak mampu diijangkau oleh para tokoh pada zamannya. Jika dibaca karya-karyanya, nescaya seseorang itu menyangka dia sedang membaca sebuah ensaiklopedia.
Berdasarkan ilmunya yang luas itu, Ibn Taimiyyah berusaha untuk membetulkan ajaran-ajaran agama Islam pada zamannya yang sudah banyak tercemar dengan adat tradisi, pemikiran filosof dan agama-agama yang lain. Beliau banyak menulis, memberi ceramah, khutbah dan fatwa. Usaha keras membela kemurnian Islam ini menyebabkan beliau masyhur digelar sebagai Syaikh al-Islam di kalangan orang-orang yang setuju dan menghargai usahanya.
Namun di sana terdapat juga orang yang tidak setuju dan tidak menghargai usaha Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Betapa tidak! Usaha pemurnian beliau jelas menunjukkan kelalaian dan  kejahilan mereka sendiri. Usaha pemurnian Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga menggoyang kedudukan masyhur yang selama ini mereka raih daripada umat Islam. Maka penentangan dilancarkan ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sehinggalah beliau dipenjarakan beberapa kali.
Kali terakhir beliau dipenjarakan, segala alat tulisnya dirampas. Ini memberi kesan yang berat kepada beliau sehingga akhirnya beliau meninggal dunia dalam penjara, setepatnya pada malam Isnin, 20 Zulkaedah, tahun 728H.
Sekali pun sudah meninggal dunia, kehebatan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tetap terserlah sehingga hari ini. Ilmu dan pemikirannya tetap dikaji, dianalisa, dimanfaat dan dikembangkan. Selari dengan itu, penentangan yang dilancarkan oleh mereka yang tidak setuju – atau lebih tepat – mereka yang dengki, juga berterusan sehingga hari ini. Jika pada masa hidupnya penentangan dilakukan dengan memenjarakan beliau, maka selepas beliau meninggal dunia ia dilakukan dengan memfitnah beliau. Pelbagai fitnah ditabur ke atas beliau dari masalah aqidah hinggalah ke masalah fiqh.
Terhadap fitnah-fitnah ini, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidak mungkin dapat bangun dari kubur untuk menjawabnya. Akan tetapi – alhamdulillah – Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak mengosongkan umat ini daripada para ilmuan yang adil lagi jujur untuk bangun menjawabnya. Menjawab fitnah tersebut tidak bererti membela Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sahaja, tetapi lebih kepada membela agama Islam itu sendiri. Ini kerana tidaklah sesuatu individu atau aliran memfitnah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah melainkan pada diri mereka terdapat pegangan dan amalan yang menyelisihi ajaran Islam yang tulen.
Di antara tokoh tersebut ialah Syaikh Murad Syukri. Sejujurnya saya tidak mengenali latar belakang beliau, tetapi dengan melihat bukunya yang berjudul دفع الشبه الغوية عن شيخ الإسلام ابن تيمية, segera dapat saya ketahui bahawa beliau adalah seorang ilmuan yang mengenali secara terperinci tentang pemikiran Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Buku beliau itulah yang diterjemahkan dan kini berada di tangan anda.
Selanjutnya, izinkan saya menerangkan beberapa langkah yang dilalui dalam mengusahakan edisi terjemahan ini:
Pertama:
Kitab دفع الشبه الغوية عن شيخ الإسلام ابن تيمية asalnya milik Ustaz Dr. Azwira bin Abdul Aziz. Beliau ialah pensyarah jurusan hadis di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Beliau dapat dikenali lebih lanjut melalui bukunya Siapakah Ahli Sunnah Sebenar? Penjelasan Terhadap Tohmahan Zamihan Mat Zin al-Ghari Ke Atas Pegangan Ahli Sunnah Dan Para Tokohnya yang diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru.
Kedua:
Kitab tersebut kemudiannya diterjemah ke bahasa Malaysia oleh Ustaz Badrul Hisham bin Sulaiman. Beliau ialah seorang guru di Maahad Muhammadi Lelaki, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bahru, Kelantan. Selain itu beliau juga aktif menulis, memberi ceramah dan khutbah di beberapa masjid di Kelantan.
Dalam mengusahakan terjemahan ini, saya dan Ustaz Badrul Hisham telah bersetuju untuk menggunakan manhaj:
a)      Menterjemah secara ringkas. Kitab yang asal memiliki penjelasan yang agak panjang lagi mendalam sehingga diyakini akan memberatkan para pembaca sekalian. Maka bagi edisi terjemahan ini, ia diringkaskan kepada hujah-hujah yang penting atau yang dirasakan memadai. Sebagai contoh, Syaikh Murad Syukri mungkin mengemukakan tujuh hujah untuk menjawab sesuatu fitnah. Maka bagi edisi terjemahan ini, ia diringkaskan kepada tiga hujah sahaja.
b)      Menterjemah secara maknawiyyah. Gaya bahasa dan kaedah penyampai tentu berbeza antara dua bahasa yang berlainan. Maka edisi ini bukanlah merupakan terjemahan harfiyyah dari kitab yang asal, tetapi terjemahan maknawiyyah. Maka gaya bahasa dan susunan penyampaian adalah berbeza dari kitab asal, tetapi hujah yang digunakan untuk menjawab fitnah adalah sama.
c)      Memberi penjelasan di bahagian notakaki terhadap beberapa istilah yang sukar difahami.
Ketiga:
Skrip terjemahan kemudian diserahkan kepada saya untuk disunting. Apa yang saya lakukan ialah:
a)      Melakukan beberapa peringkasan, menyusun semula struktur penyampaian dan menyelaraskan susunan bahasa agar ia lebih mudah difahami oleh para pembaca.
b)      Menyebut nama surah dan nombor ayat bagi ayat-ayat al-Qur’an.
c)      Mentakhrij hadis-hadis, iaitu menyebut sumbernya yang asal serta darjat kekuatannya. Bagi poin b dan c di atas, Syaikh Murad Syukri hanya mengemukakan ayat al-Qur’an dan hadis tanpa menyebut rujukannya.
d)     Menyatakan tajuk penuh kitab Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang dirujuk oleh Syaikh Murad Syukri. Ini kerana beliau hanya mengemukakan tajuk kitab secara ringkas sahaja.
e)      Memberi ulasan tambahan di bahagian notakaki. Ini kerana buku ini secara keseluruhannya agak berat lagi mendalam untuk pembaca awam. Justeru saya rasakan ada baiknya jika diberi penjelasan tambahan untuk memudah dan menambahkan lagi kefahaman para pembaca.
Rujukan saya ialah kitab-kitab karya Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sendiri, kitab-kitab lain oleh para tokoh lain yang membela Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan kitab-kitab yang ditulis oleh para tokohAhl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam subjek yang sedang dibincang.
Sumber rujukan yang saya guna dinyatakan dalam kurungan besar. Akan tetapi sebahagian rujukan tidak saya sebut kerana saya terlupa di mana saya membacanya atau kerana ia adalah rumusan dari beberapa rujukan sekali gus.
f)       Memberi biografi ringkas kepada tokoh-tokoh yang disebut namanya dalam buku ini. Biografi dikemukakan pada kali pertama nama tokoh disebut dan tidak akan diulangi selepas itu. Terdapat segelintir tokoh yang saya tidak pasti siapakah mereka atau tidak ditemui biografi mereka. Bagi tokoh seperti ini, saya diamkan sahaja. Rujukan utama saya ialah kitab Siyar A’lam al-Nubala oleh al-Hafiz al-Zahabi rahimahullah (748H) yang secara kebetulan ialah anak murid Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
g)      Menyatakan sumber rujukan bagi sesuatu fitnah yang sedang dijawab. Tujuannya bukan untuk mewar-warkan rujukan tersebut, tetapi sekadar memberi gambaran bagaimana orang yang mengemukakan fitnah itu sebenarnya tidak faham, bahkan tidak tahu langsung tentang apa yang sedang dia fitnahkan.
Keempat:
Skrip yang sudah siap saya sunting dicetak dan diberikan kepada Ustaz Badrul Hisyam dan Mohd. Yaakub bin Mohd. Ynus untuk disemak. Banyak maklumbalas bermanfaat yang saya terima dan dengan itu saya ucapkanJazakallahu khairan katsiran.

Demikian empat langkah yang dilalui untuk menyiapkan buku ini. Saya berharap buku ini berjaya mencapai sasarannya, iaitu menjawab fitnah ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan sekali gus membantu menjaga ketulenan agama Islam daripada para pencemarnya. Apa-apa kekurangan atau kesilapan, dialu-alukan untuk mengemukakannya kepada saya melalui emel atau Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
Wassalamu‘alaikum waRahmatullahi waBarakatuh
Hafiz Firdaus bin Abdullah

Kata Pengantar Pengarang: Syaikh Murad Syukri.

إن الحمدلله، نحمده ونستعينه ونستغفره،
 ونعوذبالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا،
 من يهده الله فلا مضل له، ومن يضلل فلا هادي له.
وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. [‘Ali Imran 3:102]
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. [al-Nisa 4:01]
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara) supaya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. [al-Ahzab 33:70-71]
Ada pun sesudah itu:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar. [al-Taubah 9:119]
Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). [Qaf 50:18]
Dan jauhilah kata-kata dusta. [al-Hajj 22:30]
Dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa. [Ta-Ha 20:61]
Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, akan ditimpa kemurkaan daripada Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang mengada-adakan pembohongan. [al-A’raaf 7:152]
Abi Bakrah radhiallahu 'anh menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ (ثَلاَثًا)؟
الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ (أَوْ قَوْلُ) الزُّورِ.
وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَّكِئًا فَجَلَسَ
فَمَا زَالَ يُكَرِّرُهَا حَتَّى قُلْنَا لَيْتَهُ سَكَتَ.
Mahukah aku khabarkan kepadamu sebesar-besar dosa besar (diulang sebanyak tiga kali) (Ia ialah) syirik kepada Allah, menderhakai ibu bapa dan memberi penyaksian dusta (atau baginda berkata) berkata-kata dusta.
(Abi Bakrah berkata): Baginda ketika itu sedang duduk bersandar, lalu baginda duduk tegak dan mengulangi perkara di atas sehingga kami berkata alangkah baiknya kalau baginda diam.[1]
Ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis yang memperkatakan tentang larangan dan kesalahan berdusta sangatlah banyak lagi terkenal. Ia memberi peringatan tentang bahaya melempar tuduhan palsu, membuat penipuan dan akibat yang bakal ditanggung oleh pembuatnya.
Pada masa kini banyak orang yang berdusta sehingga ke tahap melontarkan fitnah ke atas seorang tokoh daripada kalangan umat Islam. Tatkala saya mengkaji fitnah-fitnah tersebut, terserlah segala pendustaan dan pembohongan yang amat memalukan. Namun banyak orang yang telah terperdaya dengan fitnah-fitnah tersebut. Ini berlaku kerana mereka tidak memiliki manhaj ilmu yang betul. Iaitu manhaj menyemak, mendapat kepastian dan memperoleh gambaran yang jelas tentang sesuatu masalah sebelum membuat keputusan.
Ini menyebabkan saya merasa perlu mengusahakan tulisan ini, sekadar menyampaikan kebenaran dan membela seorang tokoh yang difitnah. Tulisan ini bukan untuk memenangkan mana-mana pendapat tetapi sekadar menerangkan segala pendustaan dan menyingkap kejahilan (pihak yang menfitnah) sehingga lenyaplah segala keraguan.
Buku ini akan menjadi saksi pada hari manusia semua di bangkitkan di hadapan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sementara saat itu tiba, saya mengharap doa (keampunan dan kebaikan) daripada para (pembaca) mukminin yang ikhlas.

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 87 (Kitab al-Iman, Bab dosa-dosa besar dan yang paling besar darinya).